PANDUAN SOLAT SUNAT

CARA NABI S.A.W.

 

Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 Disemak oleh: Ustaz Mohd Fikri Che Hussain

 

 

KEUTAMAAN MENGERJAKAN SOLAT SUNAT

 

Mengerjakan solat-solat sunat memiliki banyak keutamaan. Di antaranya adalah seperti berikut:

 

a)   Ia Merupakan Amalan Yang terbaik

Mengerjakan solat merupakan amalan yang terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

اسْتَقِيمُوا وَلَنْ تُحْصُوا وَاعْلَمُوا أَنَّ خَيْرَ أَعْمَالِكُمْ الصَّلاَة

Maksudnya:

Istiqamahlah kamu semua, janganlah kamu menghitung-hitungnya, dan ketahuilah bahawa sebaik-baik amal-amalmu adalah solat. – Hadis riwayat Imam Ibnu Majah dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah wa Sunanuha, no: 273.

 

b)    Menutup Kekurangan Solat Fardu

Solat sunat dapat menutupi segala kekurangan yang mungkin wujud ketika mengerjakan solat fardu. Abu Hurairah radhiallahu’ anh meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ النَّاسُ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ أَعْمَالِهِمْ الصَّلاَةُ

 

قَالَ يَقُولُ رَبُّنَا: جَلَّ وَعَزَّ لِمَلَائِكَتِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ انْظُرُوا فِي صَلاَةِ عَبْدِي أَتَمَّهَا أَمْ نَقَصَهَا

 

فَإِنْ كَانَتْ تَامَّةً كُتِبَتْ لَهُ تَامَّةً وَإِنْ كَانَ انْتَقَصَ مِنْهَا شَيْئًا

 

قَالَ: انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَإِنْ كَانَ لَهُ تَطَوُّعٌ

 

قَالَ: أَتِمُّوا لِعَبْدِي فَرِيضَتَهُ مِنْ تَطَوُّعِهِ ثُمَّ تُؤْخَذُ الأَعْمَالُ عَلَى ذَاكُمْ.

 

Maksudnya:

Sesungguhnya amalan manusia yang mula-Mula dihisab pada hari kiamat ialah solat mereka. Tuhan kita berfirman kepada para malaikat-Nya padahal Dia lebih mengetahui: Periksalah solat hamba-Ku! Sempurnakah atau kurang? Jika solatnya sempurna catatkanlah sebagai sempurna, dan jika terdapat sesuatu kekurangan Tuhan berfirman pula: Periksalah adakah hamba-Ku mempunyai amalan solat sunat? Jika dia mempunyai amalan solat sunat lalu Tuhan berfirman: Sempurnakanlah solat fardu hamba-Ku dengan solat sunatnya. Kemudian diperhitungkan amalan-amalan itu dengan cara demikian. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 733.

 

c)   Menjadi Ahli Syurga

Mengerjakan solat sunat dapat menyebabkan seseorang menjadi ahli syurga. Daripada Rabi’ah bin Malik al-Aslami, dia berkata:

 

Aku pernah bermalam di rumah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ketika baginda bangun, aku mengambil air wuduk untuk baginda dan melayani apa yang baginda perlukan.

Selanjutnya baginda bersabda kepadaku: Mintalah!

Aku menjawab: Aku meminta agar sekiranya aku dapat menemani engkau di syurga kelak.

Baginda bertanya: Adakah permintaan selain dari itu?

Aku menjawab: Cukup itu sahaja.

Baginda lalu bersabda:

فَأَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ

 

Maksudnya:

Bantulah aku bagi mencapai permintaanmu itu dengan memperbanyakan sujud (solat sunat). – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Sholaah, no: 489.

 

d)   Meninggikan Darjat Seseorang

Amalan solat sunat juga dapat meninggikan darjat seseorang serta menghapuskan dosa-dosanya yang lalu. Daripada Mi’dan bin Abi Thalhah al-Ya’mari, dia bercerita:

 

Aku pernah bertemu Tsauban, pembantu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu kukatakan: Beritahukan kepada ku suatu amalan yang dengan mengerjakannya Allah akan memasukkanku ke dalam syurga. (Atau dia menceritakan: Ku katakan dengan amal yang paling disukai Allah). Kemudian Tsauban diam. Maka aku tanyakan lagi kepadanya. Dia tetap diam. Selanjutnya aku bertanya untuk yang ketiga kalinya, dia pun berkata: Aku pernah bertanyakan hal tersebut kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lalu baginda menjawab:

 

عَلَيْكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ لِلَّهِ فَإِنَّكَ لاَ تَسْجُدُ لِلَّهِ سَجْدَةً إِلاَّ رَفَعَكَ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً

 

وَحَطَّ عَنْكَ بِهَا خَطِيئَةً.

 

Maksudnya:

Hendaklah engkau memperbanyakan sujud (solat sunat) kepada Allah kerana sesungguhnya tidaklah engkau bersujud kepada Allah sekali sahaja, melainkan dengannya Dia meninggikanmu satu darjat serta menghapuskan darimu satu kesalahan. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Sholaah, no: 488.

 

e)   Dicintai Oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala

Allah Subhanahu wa Ta’ala mencintai mereka yang mengerjakan amalan-amalan sunat (nawafil) termasuk solat-solat sunat. Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh, dia berkata Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

إِنَّ اللَّهَ قَالَ: مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ

 

وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ

 

وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ

 

فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ

 

وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لأُعِيذَنَّهُ

 

وَمَا تَرَدَّدْتُ عَنْ شَيْءٍ أَنَا فَاعِلُهُ تَرَدُّدِي عَنْ نَفْسِ الْمُؤْمِنِ يَكْرَهُ الْمَوْتَ وَأَنَا أَكْرَهُ مَسَاءَتَهُ.

 

Maksudnya:

Sesungguhnya Allah Ta’aala berfirman: Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, sungguh Aku telah mengizinkan agar dia diperangi. Tidak ada amal yang paling Aku senangi yang dipergunakan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain ibadah yang telah Aku fardukan kepadanya. Hamba-Ku yang senantiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah sunat (nawafil), pasti Aku mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar; Aku menjadi penglihatannya yang dengannya dia melihat; Aku menjadi tangannya yang dengannya dia membuat (sesuatu); Aku menjadi kakinya yang dengannya dia berjalan; jika dia memohon kepada-Ku pasti akan Ku beri; jika dia memohon perlindungan daripada Ku pasti akan Ku lindungi dia. Aku tidak pernah bimbang dalam melakukan sesuatu sebagaimana kebimbangan Ku ketika hendak mencabut nyawa seorang mukmin yang tidak menyukai sakitnya sakratul maut, sementara Aku pun tidak ingin menyakitinya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Riqaaq, no:6502.

 

f)    Mencegah Dari Perbuatan Terlarang

Solat merupakan perisai yang dapat melindungi diri seseorang dari terjerumus melakukan perbuatan maksiat yang terlarang. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

 

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ

 

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ

 

وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

 

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. – al-‘Ankabuut (29) : 45

 

Justeru itu seharusnya setiap manusia berkeyakinan bahawa dengan memperbanyakan melakukan solat-solat sunat seseorang itu boleh membendung dirinya dari keinginan untuk melakukan perkara yang keji dan mungkar sebagaimana yang dijamin oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas. Namun begitu untuk mencapai objektif ini hendak kita pastikan amalan solat-solat sunat tersebut diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Para ulamak ahlus sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh Allah. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w yang thabit.  Sekiranya kedua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, maka amal ibadah tersebut dianggap terbatal. Firman Allah S.W.T:

 

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

 

Maksudnya:

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat).  - Surah al-Mulk (67): 2.

 

Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh rahimahullah:

 

Maksud 'amalan yang lebih baik' ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah. - Dinukil daripada kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258.

 

g)   Mendatangkan Keberkatan Terhadap Rumah

Mengerjakan solat-solat sunat di rumah akan mendatangkan keberkatan. Berbeza dengan solat fardu, solat-solat sunat lebih afdal sekiranya dikerjakan di rumah masing-masing kecuali solat-solat sunat yang sememangnya disyaratkan untuk dikerjakan secara berjemaah di masjid, musolla (tanah lapang) mahupun tempat-tempat tertentu. Daripada Zaid bin Tsabit radhiallahu’ anh yang menyebutkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

فَصَلُّوا أَيُّهَا النَّاسُ فِي بُيُوتِكُمْ فَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ صَلاَةُ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةَ.

 

Maksudnya:

Wahai sekalian manusia, kerjakanlah solat (sunat) di rumah kalian, sebab solat yang paling utama adalah solat seseorang yang dikerjakan di rumahnya, kecuali solat fardu. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no: 731.

 

Demikianlah keutamaan-keutamaan mengerjakan solat-solat sunat secara umum yang penulis harap melaluinya dapat meningkatkan motivasi para pembaca untuk mengerjakannya sesuai dengan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.