PANDUAN SOLAT SUNAT

CARA NABI S.A.W.

 

Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 Disemak oleh: Ustaz Mohd Fikri Che Hussain

 

 

SOLAT TAWAF

 

Adalah disunatkan untuk mengerjakan solat sunat dua rakaat di belakang makam Ibrahim setelah selesai mengerjakan tawaf sebanyak tujuh kali mengelilingi Kaabah sama ada tawaf yang rukun mahupun yang sunat.

 

 

v  DALIL DISYARI’ATKAN

 

Telah diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu’ anh, dia berkata:

 

قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَطَافَ بِالْبَيْتِ سَبْعًا ثُمَّ صَلَّى خَلْفَ الْمَقَامِ رَكْعَتَيْنِ

 

وَطَافَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ. وَقَالَ: لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ.

 

Maksudnya:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam datang dan tawaf di kaabah sebanyak tujuh kali lalu solat dua rakaat di belakang makam Ibrahim kemudian sa’i di antara Shafa dan Marwah. Lalu dia (Ibnu ‘Umar) berkata: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.(al-Ahzaab (33) : 21) – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Hajj, no: 1623.

 

 

v  TATACARA MENGERJAKAN SOLAT TAWAF

 

q  Adalah disunatkan untuk membaca surah al-Ikhlas dan al-Kaafiruun setelah al-Fatihah.

 

...عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ

 

وَقُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ...

 

Maksudnya:

…Bahawasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam membaca dalam solat dua rakaat (Solat Tawaf) Qul huwallahu Ahad dan Qulyaa ayyuhal kaafiruun… - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Hajj, no: 1218.

 

q  Tempat Perlaksanaan Solat Tawaf.

Adalah afdal sekiranya solat Tawaf ini dilaksanakan di sekitar makam Ibrahim yang terletak berdekatan dengan pintu Kaabah ataupun dikenali sebagai Multazam. Multazam merupakan tempat yang mustajab untuk berdoa maka seandainya dapat didirikan solat Tawaf di situ maka hendaklah seseorang itu mengambil peluang untuk memperbanyakan doa ketika sujud mahupun setelah membaca tasyahhud akhir sebelum memberi salam ke kanan. Sekiranya terdapat kesulitan untuk mengerjakan solat Tawaf di makam Ibrahim, maka diperbolehkan untuk mengerjakannya di mana-mana kawasan dalam Masjidil Haram mahupun di luarnya. Dalilnya adalah sebuah hadis daripada Ummu Salamah radhiallahu’ anha (isteri Nabi s.a.w), bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda ketika itu baginda berada di Makkah dan hendak keluar – dan Ummu Salamah belum tawaf di Kaabah lalu hendak keluar- maka baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:

 

إِذَا أُقِيمَتْ صَلاَةُ الصُّبْحِ فَطُوفِي عَلَى بَعِيرِكِ وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ

 

فَفَعَلَتْ ذَلِكَ فَلَمْ تُصَلِّ حَتَّى خَرَجَتْ.

 

Maksudnya:

Apabila iqamah untuk solat Subuh telah dilaungkan, maka tawaflah di atas unta mu saat manusia solat. Ummu Salamah melakukan hal itu dan tidak solat sehingga keluar. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Hajj, no: 1626.

 

Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata:

 

Adapun yang diperlukan di sini adalah lafaz dan tidak solat sehingga keluar yakni keluar dari masjid atau Makkah. Maka hal ini menunjukkan bolehnya melakukan solat Tawaf di luar masjid, sebab bila perlaksanaan solat Tawaf di masjid merupakan syarat yang harus dilakukan, tentu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak akan mempersetujui perbuatan Ummu Salamah tersebut. – Rujuk Fathul Baari, jilid 9, ms. 156.

 

Menerusi hadis Ummu Salamah radhiallahu’ anha ini juga para ulamak memutuskan bahawa sekiranya seseorang itu terlupa untuk mengerjakan solat Tawaf, maka dia boleh mengerjakannya ketika dia tersedar baik ketika itu dia berada di tanah suci mahupun luar dari tanah haram. Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata:

 

Hadis Ummu Salamah telah dijadikan pula sebagai dalil bahawa barangsiapa terlupa untuk mengerjakan solat dua rakaat Tawaf, maka dia boleh menggantinya ketika ingat. – Rujuk Fathul Baari, jilid 9, ms. 157.

 

q  Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Tawaf.

 

Rakaat Pertama

1)      Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Tawaf

2)      Takbiratul Ihram

3)      Doa Iftitah

4)      Membaca surah al-Fatihah

5)      Membaca Surah al-Qur’an

6)      Rukuk

7)      Iktidal

8)      Sujud

9)      Duduk antara dua sujud

10)    Sujud kali kedua

11)    Bangun untuk rakaat kedua

 

Rakaat Kedua

1)      Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)

2)      Duduk untuk tahiyyat akhir

3)      Memberi salam ke kanan dan ke kiri