|
PANDUAN SOLAT SUNAT CARA NABI S.A.W.
Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Disemak oleh: Ustaz Mohd Fikri Che Hussain |
|
SOLAT KELUAR DAN MASUK RUMAH
Adalah juga disunatkan untuk mengerjakan solat sunat dua rakaat ketika keluar atau masuk rumah. Dalil disunat solat ini adalah sebuah riwayat daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِذَا دَخَلْتَ مَنْزِلَكَ فَصَلِّ رَكَعَتَيْنِ تَمْنَعَانِكَ مَدْخَلَ السُّوءِ,
خَرَجْتَ مِنْ مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكَعَتَيْنِ تَمْنَعَانِكَ مَخْرَجَ السُّوءِ.
Maksudnya: Jika engkau masuk rumahmu, kerjakanlah solat dua rakaat, nescaya keduanya akan mencegahmu dari tempat masuk yang buruk. Jika engkau keluar dari rumahmu, kerjakanlah solat dua rakaat, nescaya keduanya akan mencegahmu dari tempat keluar yang buruk – Hadis riwayat al-Bazzar dalam Kasyful Astaar (II/357). Penulis nukil daripada buku Bughyat al-Mutatowwi Fi Solah al-Tatowwu' karya Syeikh Muhammad bin ‘Umar Salim Bazmul, ms. 116.
Kehidupan pada zaman yang serba moden dan canggih ini semakin mencabar keimanan setiap umat Islam. Pusat-pusat maksiat semakin berkembang pesat manakala aktiviti-aktiviti yang boleh menghanyutkan seseorang itu ke dalam perbuatan yang bercanggah dengan syarak juga semakin berleluasa tanpa sekatan yang serius oleh pihak yang berkuasa. Namun dewasa ini semakin sedikit jumlah manusia yang mengamalkan solat sunat ini sedangkan keutamaan mengerjakannya begitu bertepatan dengan kedudukan umat pada masa ini sebagaimana yang dikhabarkan menerusi hadis di atas. Oleh itu marilah kita bersama-sama menghidupkan semula sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang semakin dilupakan ini
v RINGKASAN TATACARA MENGERJAKAN SOLAT KELUAR ATAU MASUK RUMAH
Rakaat Pertama1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Keluar atau Masuk Rumah 2) Takbiratul Ihram 3) Doa Iftitah 4) Membaca surah al-Fatihah 5) Membaca Surah al-Qur’an 6) Rukuk 7) Iktidal 8) Sujud 9) Duduk antara dua sujud 10) Sujud kali kedua 11) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua 1) Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10) 2) Duduk untuk tahiyyat akhir 3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri
|