PANDUAN SOLAT SUNAT

CARA NABI S.A.W.

 

Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 Disemak oleh: Ustaz Mohd Fikri Che Hussain

 

 

SOLAT TAHIYYATUL MASJID

 

Adalah disyari’atkan bagi kita untuk mengerjakan solat Tahiyyatul Masjid sebanyak dua rakaat apabila memasuki masjid sebagai tanda penghormatan kepada masjid. Ianya hendaklah dilaksanakan sebelum seseorang itu duduk di dalam masjid tersebut.

 

Daripada Abu Qatadah al-Sulami radhiallahu’ anh bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

Maksudnya:

Jika salah seorang di antara kalian masuk masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Sholaah, no: 444.

 

Solat Tahiyyatul Masjid boleh dilakukan apabila sahaja seseorang memasuki masjid walaupun ketika itu ia termasuk dalam lingkungan waktu-waktu yang dilarang untuk mengerjakan solat.

 

Namun begitu sekiranya pada waktu seseorang itu memasuki masjid, iqamah solat sudah dilaungkan maka hendaklah dia melaksanakan solat fardu tersebut tanpa mengerjakan solat Tahiyyatul Masjid. Dalilnya adalah sebuah riwayat daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh. daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

 

إِذَا أُقِيمَتْ الصَّلاَةُ فَلاَ صَلاَةَ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةُ.

 

Maksudnya:

Jika iqamah solat sudah dikumandangkan, tidak ada solat lagi kecuali solat wajib. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 710.

 

 

v  HUKUM SOLAT TAHIYYATUL MASJID

 

Para ulamak berbeza pendapat tentang hukum mengerjakan solat ini. Ada yang melihat ism f’il ‘Amr (kata kerja perintah) dalam hadis yang menganjurkan solat Tahiyyatul Masjid menunjukkan ianya wajib. Sedangkan bagi mereka yang beranggapan bahawa ianya hanyalah berhukum sunat mu’akkadah melihat bahawa hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah menetapkan bahawa solat yang fardu hanyalah solat lima waktu sahaja dan hadis-hadis tentang solat Tahiyyatul Masjid hanya satu perintah yang berbentuk sunat.

 

Setelah membawa hujah bagi kedua-dua pendapat di atas, Syaikh Kamal al-Sayyid Salim berkata:

 

Salah satu hal yang menguatkan bahawa yang dimaksud dengan perintah di atas (untuk solat Tahiyyatul Masjid) adalah perintah untuk suatu perkara sunat adalah hadis Abu Waqid al-Laitsi bahawa ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam duduk bersama orang-orang di masjid, datanglah tiga orang lelaki, dua orang di antaranya menghadap Rasulullah dan yang satu pergi. Lalu keduanya berdiri dan salah seorang di antara keduanya ketika melihat tempat yang agak longgar dia duduk di tempat itu dan seorang lagi duduk di belakangnya, sementara orang ketiga pergi. Setelah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam selesai, baginda bersabda:

 

أَلاَ أُخْبِرُكُمْ عَنْ النَّفَرِ الثَّلاَثَةِ أَمَّا أَحَدُهُمْ فَأَوَى إِلَى اللَّهِ فَآوَاهُ اللَّهُ وَأَمَّا الآخَرُ

 

فَاسْتَحْيَا فَاسْتَحْيَا اللَّهُ مِنْهُ وَأَمَّا الآخَرُ فَأَعْرَضَ فَأَعْرَضَ اللَّهُ عَنْهُ

Maksudnya:

 Mahukah kalian aku beritahu perihal ketiga orang tadi? Adapun yang pertama dia berlindung kepada Allah, maka Allah melindunginya dan yang kedua merasa malu maka Allah pun malu kepadanya. Dan yang terakhir berpaling daripada Allah maka Allah pun berpaling daripadanya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Kitab Shahihnya, Kitab al-‘Ilm, no: 66.

 

Saya katakan lalu keduanya duduk dan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak memerintahkan keduanya untuk melakukan solat dua rakaat. Wallahu a’lam. - Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah, jilid 1, ms. 679.

 

Justeru itu dapat kita simpulkan bahawa solat Tahiyyatul Masjid ini hukumnya sunat mu’akkadah.

 

 

v  RINGKASAN TATACARA MENGERJAKAN SOLAT TAHIYYATUL MASJID

 

Rakaat Pertama

1)      Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat sunat Tahiyyatul Masjid

2)      Takbiratul Ihram

3)      Doa Iftitah

4)      Membaca surah al-Fatihah

5)      Membaca Surah al-Qur’an

6)      Rukuk

7)      Iktidal

8)      Sujud

9)      Duduk antara dua sujud

10)    Sujud kali kedua

11)    Bangun untuk rakaat kedua

 

Rakaat Kedua

1)      Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)

2)      Duduk untuk tahiyyat akhir

3)      Memberi salam ke kanan dan ke kiri