PANDUAN SOLAT SUNAT

CARA NABI S.A.W.

 

Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 Disemak oleh: Ustaz Mohd Fikri Che Hussain

 

 

BEBERAPA HUKUM BERKAITAN SOLAT SUNAT

 

Berikut adalah beberapa hukum yang berkaitan dalam mengerjakan solat-solat sunat:

 

a)    Tiada Lafaz Niat Yang Tertentu

Setiap amal seseorang mukmin yang terbit dari kehendak, azam, cita-cita dan gerak hatinya yang disedari dan tidak dipaksa, maka itulah yang dinamakan niat. Oleh itu tempat niat adalah di hati dan tiada petunjuk daripada sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa perlu melafazkan niat sebelum mengerjakan apa jua jenis solat. Lafaz-lafaz niat dalam solat sebagaimana yang terdapat di dalam buku-buku fardu ‘ain tidak ada satu pun yang berasal daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda memulakan solat baginda dengan takbir dan bukan dengan niat Usholli. Antara hadis-hadis yang menggambarkan bagaimana baginda shallallahu ‘alaihi wasallam memulakan solatnya adalah seperti berikut:

 

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَفْتِحُ الصَّلاَةَ بِالتَّكْبِيرِ.

 

Maksudnya:

Daripada ‘Aishah dia berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membuka solatnya dengan Takbir. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Sholaah, no. 498.

 

عَنْ عَلِيٍّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مِفْتَاحُ الصَّلاَةِ الطُّهُورُ وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ

 

وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ.

 

Maksudnya:

Daripada ‘Ali bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Kunci solat ialah berwuduk, pembukaannya membaca takbir, dan penutupnya ialah memberi salam. - Hadis riwayat Imam Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no. 3.

 

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

افْتَتَحَ التَّكْبِيرَ فِي الصَّلاَةِ فَرَفَعَ يَدَيْهِ حِينَ يُكَبِّرُ.

 

Maksudnya:

Daripada ‘Abdullah ibn ‘Umar radhiallahu’ anhuma, dia berkata: Aku melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membuka solatnya dengan takbir, lalu mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no. 738.

 

Berkaitan dengan memulakan solat dengan lafaz niat Usholli ianya juga bukan daripada ajaran Imam kita Imam al-Syafi’i rahimahullah. Dia berkata:

 

Siapa yang pandai membaca takbir, nescaya tidaklah dia memulakan solatnya melainkan dengan takbir itu sendiri dan takbirnya ialah Allahu Akbar.” - Rujuk Abu ‘Abdillah Muhammad bin Idris al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk) (edisi terjemahan oleh Prof. TK. H. Ismail Yakub, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1989), jld.1, ms. 241.

 

Sementara itu menurut Ibnu Taymiyyah rahimahullah dalam al-Fatawa al-Kubra (Jld. 1, ms. 1):

 

Melafazkan niat secara jahrah (kuat) tidak pernah disyari’atkan walaupun oleh salah seorang ulamak Muslimin, tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, tidak pernah dilakukan oleh salah seorang daripada para khulafa’ baginda, tidak pernah dilakukan oleh para sahabat baginda dan juga tidak pernah dilakukan oleh para salaf al-ummah dan para ulamaknya.

 

Maka sewajarnya kita mencontohi sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hal berkaitan dengan niat dalam solat mahupun apa jua jenis ibadah.

 

 

b)   Boleh Dilaksanakan Dengan Keadaan Duduk

Solat sunat boleh dilaksanakan dalam keadaan duduk walaupun seseorang itu mampu berdiri. Menurut Imam al-Nawawi rahimahullah:

 

Inilah ijmak (kesepakatan) ulamak – Rujuk Syarh Nawawi ‘ala Shahih Muslim, jilid 6, ms. 255. Penulis nukil dari kitab Sholaatul Mu’min karya Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani (edisi terjemahan dengan tajuk Tuntunan Solat Sunnah, Irsyad Baitus Salam, Jakarta 2005), ms. 29

 

Dalilnya adalah sebuah riwayat daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha, dia berkata:

 

 ...وَكَانَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ تِسْعَ رَكَعَاتٍ فِيهِنَّ الْوِتْرُ

 

وَكَانَ يُصَلِّي لَيْلاً طَوِيلاً قَائِمًا وَلَيْلاً طَوِيلاً قَاعِدًا

 

وَكَانَ إِذَا قَرَأَ وَهُوَ قَائِمٌ رَكَعَ وَسَجَدَ

 

وَهُوَ قَائِمٌ وَإِذَا قَرَأَ قَاعِدًا رَكَعَ وَسَجَدَ وَهُوَ قَاعِدٌ...

 

Maksudnya:

 …baginda mengerjakan solat malam sebanyak sembilan rakaat, termasuk di dalamnya solat Witir. Pada suatu malam baginda mengerjakannya lama sekali sambil berdiri dan pada malam yang lain baginda pernah mengerjakannya begitu lama dalam keadaan duduk. Jika baginda membaca al-Fatihah dan surahnya sambil berdiri, baginda rukuk dan sujud sambil berdiri pula; dan jika baginda membaca al-Fatihah dan surahnya sambil duduk, baginda rukuk dan sujud sambil duduk pula… - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 730.

 

Tatacara duduk yang dianjurkan adalah dengan bersila sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah radhiallahu’ anha, dia berkata:

 

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مُتَرَبِّعًا.

Maksudnya:

Saya pernah melihat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam solat dengan duduk bersila. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab Qiyam al-Lail wa Thathawwu’ al-Nahaar, no: 1643

 

Ianya juga boleh dikerjakan sebahagian duduk dan sebahagian berdiri. Misalnya bagi seseorang yang mengerjakan solat Tahajjud dengan lapan rakaat maka dibenarkan baginya untuk solat secara berdiri bagi empat rakaat dan solat dalam keadaan duduk bagi empat rakaat lagi.

 

Walaupun begitu solat sunat yang dilakukan sambil berdiri (bagi yang mampu) adalah lebih utama berbanding dengan solat sambil duduk. Daripada ‘Abdullah ibnu ‘Umar radhiallahu’ anhuma bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

صَلاَةُ الرَّجُلِ قَاعِدًا نِصْفُ الصَّلاَةِ...

Maksudnya:

Pahala solat seseorang yang dilakukan sambil duduk adalah separuh dari pahala solat yang dilakukan sambil berdiri… - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 735.

 

 

c)    Lebih Afdal Didirikan Solat Sunat Di Rumah

Solat Sunat lebih afdal dilaksanakan di rumah sendiri melainkan solat-solat sunat yang disyari’atkan perlaksanaannya secara berjemaah atau di tempat-tempat yang tertentu seperti masjid, musolla (tanah lapang) dan lain-lain. Daripada Zaid bin Tsabit radhiallahu’ anh yang menyebutkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

فَصَلُّوا أَيُّهَا النَّاسُ فِي بُيُوتِكُمْ فَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ صَلاَةُ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةَ.

 

Maksudnya:

Wahai sekalian manusia, kerjakanlah solat (sunat) di rumah kalian, sebab solat yang paling utama adalah solat seseorang yang dikerjakan di rumahnya, kecuali solat fardu. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no: 731.

 

 

d)    Dikerjakan Secara Berterusan

Amalan yang terbaik adalah amalan yang dikerjakan secara berkekalan walaupun sedikit. Adalah amat menduka-citakan kerana terdapat di kalangan umat Islam di Malaysia yang mengerjakan amal ibadah mengikut musim atau fadilat-fadilat (yang berlatar belakangkan hadis-hadis lemah dan palsu) yang ditetapkan ke atas tarikh-tarikh yang tertentu seperti hari Mawlidurrasul, bulan Rejab, malam Israk dan Mikraj, Nisfu Sya’ban dan lain-lain lagi. Sewajarnya kita melakukan solat-solat sunat itu sesuai dengan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan ianya menjadi amalan yang dilazimi oleh kita dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.

 

‘Aisyah radhiallahu’ anha meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya orang: Amalan yang manakah lebih dikasihi Allah Ta’ala. Baginda bersabda:

 

أَدْوَمُهُ وَإِنْ قَلَّ

Maksudnya:

Amalan yang berterusan walaupun sedikit. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 782.

 

Di antara faktor yang penting untuk melakukan ibadah secara berterusan adalah mengerjakannya sesuai dengan kemampuan diri. Sekiranya kita melakukan solat sunat yang jumlah rakaatnya terlalu banyak sehingga meletihkan ataupun menyeksa tubuh badan kita, maka ianya akan menimbulkan perasaan jemu dan meningkatkan kebarangkalian yang tinggi untuk ianya tidak dikerjakan secara berterusan. Hal ini bersandarkan kepada hadis Anas bin Malik radhiallahu’ anh dia berkata:

 

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah masuk masjid dan tiba-tiba baginda melihat ada tali yang diikat dan dibentangkan di antara dua tiang.

Baginda lalu bertanya: Tali apa ini?

Para sahabat menjawab: Tali ini adalah milik Zainab yang digunakannya untuk menahan tubuhnya saat mengerjakan solat (sunat) bila dia merasa lelah dan letih.

Baginda bersabda:

 

لاَ! حُلُّوهُ! لِيُصَلِّ أَحَدُكُمْ نَشَاطَهُ فَإِذَا فَتَرَ فَلْيَقْعُدْ.

 

Maksudnya:

Jangan begitu! Lepaskan tali itu! Hendaklah seseorang daripada kalian mengerjakan solat (sunat) sesuai dengan kemampuannya. Jika dia sudah merasa letih, hendaklah dia berehat sahaja. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jamaah, no: 1150.

 

 

e)    Memanjangkan Bacaan

Semasa mengerjakan solat sunat adalah dianjurkan untuk memanjangkan bacaan ayat-ayat atau surah-surahnya berbanding dengan banyak jumlah rakaatnya.

 

جَابِرٍ قَالَ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الصَّلاَةِ أَفْضَلُ قَالَ طُولُ الْقُنُوتِ

 

Maksudnya:

Jabir Bin Abdillah radhiallahu’ anh berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya pekerjaan solat yang manakah yang lebih utama?” Rasulullah menjawab: “Perkara yang paling utama dalam solat iaitu panjangnya al-Qunuut (lama berdirinya). - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 756.

 

 

f)     Dibenarkan Solat Sunat di Atas Kenderaan

Dibenarkan untuk solat sunat di atas kenderaan bagi perjalanan yang jauh mahupun dekat walaupun keadaan membenarkan seseorang itu untuk memberhentikan kenderaan tersebut. Ini adalah sebagaimana diriwayatkan oleh ‘Abdullah ibnu ‘Umar radhiallahu’ anhuma, dia berkata:

 

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي السَّفَرِ عَلَى رَاحِلَتِهِ

 

حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ يُومِئُ إِيمَاءً صَلاَةَ اللَّيْلِ إِلاَّ الْفَرَائِضَ وَيُوتِرُ عَلَى رَاحِلَتِهِ.

 

Maksudnya:

Ketika dalam perjalanan, Nabi pernah mengerjakan solat malam di atas unta tunggangannya sesuai dengan arah yang dihadapi oleh tunggangannya itu. Baginda mengerjakannya dengan memberi isyarat (dengan kepalanya). Akan tetapi baginda tidak pernah mengerjakan solat fardu di atas unta tunggangannya. Baginda juga mengerjakan solat Witir di atas unta tunggangannya – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jamaah, no: 1000.

 

Dari sini dapat kita fahami bahawa solat fardu tidak dikerjakan di atas kenderaan sekiranya keadaan membenarkan seseorang untuk menghentikan kenderaan tersebut. Namun begitu sekiranya keadaan memaksa maka solat fardu juga boleh dilaksanakan di atas kenderaan. Misalnya sekiranya kita menaiki kapal terbang dalam satu perjalanan yang jauh maka dibenarkan bagi kita untuk melaksanakan solat fardu di dalam kapal terbang tersebut.

 

 

g)    Boleh Dilaksanakan Secara Berjemaah

Sekali-sekala solat sunat seperti Solat Tahajjud yang tidak disyari’atkan untuk dilaksanakan secara berjemaah boleh dikerjakan secara berjemaah. Sebagai contohnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengerjakan Solat Tahajjud secara berjemaah. Namun hendaklah amalan tersebut tidak dilaksanakan secara berkekalan kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kebiasaannya mengerjakan solat sunat di rumah baginda secara sendiri-sendiri. Daripada ‘Abdullah ibnu Mas’ud radhiallahu’ anh, dia berkata:

 

صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَطَالَ حَتَّى هَمَمْتُ بِأَمْرِ سَوْءٍ

 

 قَالَ: قِيلَ وَمَا هَمَمْتَ بِهِ

 

 قَالَ: هَمَمْتُ أَنْ أَجْلِسَ وَأَدَعَهُ

 

Maksudnya:

Saya pernah mengerjakan solat (qiyam al-lail) berjemaah dengan Rasulullah s.a.w.. Saat itu baginda membaca surah yang panjang hingga terlintas kerunsingan di hatiku untuk melakukan sesuatu yang tidak baik.

Ketika ditanya: Apakah perkara yang engkau runsingkan itu?

Dia menjawab: Aku runsing kerana ingin duduk dan meninggalkan baginda (bersolat bersendirian). – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Sholaah, no: 512.

 

 

h)    Memperbanyakan Doa Dalam Solat

Hendaklah memperbanyak doa ketika sujud dan sesudah membaca tasyahhud ketika mendirikan solat sunat. Ini adalah kerana hadis-hadis Nabi s.a.w telah menunjukkan bahawa antara tempat paling mustajab untuk berdoa adalah ketika sujud dan setelah membaca tasyahhud akhir sebelum memberi salam. Rasulullah s.a.w bersabda:

 

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

 

Maksudnya:

Saat paling dekat seorang hamba untuk berada di sisi Tuhannya ialah ketika dia sujud. Oleh itu, kamu hendaklah memperbanyakan doa ketika sujud itu. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya, Kitab al-Sholaah, no: 482.

 

Sabda Rasulullah s.a.w:

 

أَلاَ وَإِنِّي نُهِيتُ أَنْ أَقْرَأَ الْقُرْآنَ رَاكِعًا أَوْ سَاجِدًا فَأَمَّا الرُّكُوعُ فَعَظِّمُوا فِيهِ الرَّبَّ عَزَّ وَجَلَّ

 

وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا فِي الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ

 

Maksudnya:

Ketahuilah sesungguhnya aku dilarang membaca al-Quran ketika rukuk atau sujud. Oleh itu, hendaklah kamu membesarkan Tuhan ketika rukuk manakala di waktu sujud usahakanlah berdoa padanya dengan sungguh-sungguh kerana besar kemungkinan (doa itu) akan dimakbulkan. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya, Kitab al-Sholaah, no: 479.

 

Menurut Abu Hurairah radhiallahu’ anh, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

 

 

إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَعَذَابِ الْقَبْرِ

 

وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ثُمَّ يَدْعُو لِنَفْسِهِ بِمَا بَدَا لَهُ

 

Maksudnya:                                     

Bila seseorang selesai membaca tahiyyat (akhir), dia hendaklah memohon perlindungan kepada Allah dari empat perkara, iaitu berlindung dari siksaan neraka jahannam, siksa kubur, fitnah hidup dan mati, serta kejahatan al-Masih Dajjal. Seterusnya, dia hendaklah berdoa memohon kebaikan untuk dirinya sesuai dengan kehendaknya. - Hadis riwayat Imam al-Nasaai dalam Sunannya, Kitab al-Sahwa, no: 1293.

 

Sesungguhnya memanjatkan doa ketika masih dalam keadaan bersolat adalah afdal berbanding dengan sesudahnya. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah dalam Majmu’ Fatawa, Jilid 22, mukasurat 512-514:

 

Seseorang yang sedang bersolat sebenarnya sedang mengadu (bermunajat) kepada Tuhannya, maka ketika dia memberi salam (menunjukkan berakhirnya solat), selesailah sudah munajatnya. Oleh itu sewajarnya permohonan itu dipanjatkan ketika bermunajat (dalam solat sebelum salam) kerana ianya lebih mungkin untuk dimakbulkan jika dibandingkan dengan permohonan yang dipanjatkan setelah dia selesai bermunajat (selesai solat).

 

 

i)      Memisahkan Di Antara Solat 

Hendaklah setelah mengerjakan solat fardu seseorang itu tidak secara langsung mengerjakan solat sunat melainkan setelah dia bangun dari tempat solatnya itu atau setelah terjadi perbicaraan seperti membaca zikir-zikir yang sabit daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Daripada ‘Umar bin Atha’ bin Abil Khawar bahawasanya Nafi’ bin Jubair pernah mengutusnya kepada al-Saib Ibnu Ukhti Namr untuk bertanyakan sesuatu yang pernah disaksikan oleh Mu’awiyah daripadanya dalam solat. Maka dia menjawab: Ya, aku memang pernah mengerjakan solat Jumaat bersamanya di al-Maqshurah (rumah benteng besar). Setelah imam mengucapkan salam, aku berdiri di tempatku dan langsung mengerjakan solat. Setelah dia masuk, dia mengutus seseorang kepadaku seraya berkata:

 

 

لاَ تَعُدْ لِمَا فَعَلْتَ إِذَا صَلَّيْتَ الْجُمُعَةَ فَلاَ تَصِلْهَا بِصَلاَةٍ حَتَّى تَكَلَّمَ أَوْ تَخْرُجَ

 

فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَنَا بِذَلِكَ أَنْ لاَ تُوصَلَ صَلاَةٌ بِصَلاَةٍ

 

حَتَّى نَتَكَلَّمَ أَوْ نَخْرُجَ.

 

Maksudnya:

Janganlah engkau mengulangi perbuatanmu lagi. Jika engkau mengerjakan solat Jumaat, janganlah engkau menyambungnya dengan solat lain sehingga engkau berbicara atau keluar. Kerana sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan kita melakukan hal tersebut, iaitu tidak menyambung solat dengan solat lain sehingga kita berbicara atau keluar. Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 883.

 

 

j)     Berpindah Tempat

Adalah digalakkan bagi mereka yang ingin mengerjakan solat sunat untuk berpindah dari tempat yang dipergunakannya bagi mendirikan solat fardu. Begitu juga adalah digalakkan bagi mereka yang telah mengerjakan solat sunat untuk berpindah tempat apabila hendak mendirikan solat fardu. Abu Hurairah radhiallahu’ anh meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ إِذَا صَلَّى أَنْ يَتَقَدَّمَ أَوْ يَتَأَخَّرَ أَوْ عَنْ يَمِينِهِ أَوْ عَنْ شِمَالِهِ

 

Maksudnya:

Apakah seseorang kamu apabila telah mengerjakan solat tidak mampu untuk maju ke hadapan atau mundur ke belakang atau bergerak ke kanan atau ke kiri. – Hadis riwayat Imam Ibnu Majah dalam Sunannya, Kitab Iqamah al-Sholaah, no: 1417.

 

Hikmahnya anjuran untuk berpindah-pindah tempat solat ini adalah untuk memperbanyakan tempat-tempat sujud kerana ia akan menjadi saksi pada hari kiamat nanti sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

 

يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا

 

Maksudnya:

Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya. – al-Zalzalah (99) : 4

 

 

k)  Dilarang Solat Sunat Setelah Iqamah

Adalah dilarang solat sunat setelah dilaungkan iqamah. Ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 

إِذَا أُقِيمَتْ الصَّلاَةُ فَلاَ صَلاَةَ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةُ.

 

Maksudnya:

Apabila telah dilaungkan iqamah solat maka tidak boleh dikerjakan solat kecuali solat fardu.Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 710.

 

 

l)    Waktu-Waktu Yang Dilarang Solat

Waktu-waktu yang dilarang untuk mengerjakan solat adalah:

               i.      Sesudah solat Subuh sehingga terbit matahari sampai matahari naik sepenggalahan.

             ii.      Ketika matahari tepat di tengah langit sampai tergelincir menunjukkan masuk waktu Zuhur.

           iii.      Sesudah solat Asar sehingga terbenam matahari menunjukkan masuk waktu Maghrib.

 

Hal ini didasarkan kepada sebuah riwayat daripada ‘Amru bin ‘Abasah radhiallahu’ anh, dia berkata:

 

أَخْبِرْنِي عَنْ الصَّلاَةِ. قَالَ: صَلِّ صَلاَةَ الصُّبْحِ ثُمَّ أَقْصِرْ عَنْ الصَّلاَةِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ

 

حَتَّى تَرْتَفِعَ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ حِينَ تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ وَحِينَئِذٍ يَسْجُدُ لَهَا الْكُفَّارُ.

 

ثُمَّ صَلِّ فَإِنَّ الصَّلاَةَ مَشْهُودَةٌ مَحْضُورَةٌ حَتَّى يَسْتَقِلَّ الظِّلُّ بِالرُّمْحِ ثُمَّ أَقْصِرْ عَنْ الصَّلاَةِ

 

فَإِنَّ حِينَئِذٍ تُسْجَرُ جَهَنَّمُ فَإِذَا أَقْبَلَ الْفَيْءُ فَصَلِّ فَإِنَّ الصَّلاَةَ مَشْهُودَةٌ مَحْضُورَةٌ حَتَّى تُصَلِّيَ الْعَصْرَ

 

ثُمَّ أَقْصِرْ عَنْ الصَّلاَةِ حَتَّى تَغْرُبَ الشَّمْسُ فَإِنَّهَا تَغْرُبُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ

 

وَحِينَئِذٍ يَسْجُدُ لَهَا الْكُفَّارُ.

 

Maksudnya:

Khabarkan kepada saya tentang solat. Sabda baginda: Lakukanlah solat Subuh, kemudian hentikan solat sehingga matahari terbit dan terangkat naik, kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan, di saat orang kafir bersujud kepadanya (mereka yang menyembah matahari). Kemudian solatlah pula kerana solat itu disaksikan dan dihadiri (oleh para malaikat), sampai naungan (bayang) itu tepat menimpa panah (matahari tegak di langit) maka hentikanlah kerana ketika itu neraka sedang dinyalakan apinya; dan jika ia telah tergelincir, maka solatlah pula, kerana solat itu disaksikan dan dihadiri sehingga anda melakukan solat Asar, lalu berhentilah pula solat sehingga matahari terbenam, kerana ia terbenam di antara dua tanduk syaitan, di saat orang-orang kafir sujud kepadanya. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 832.

 

 

m) Duduk Tawarruk Atau Iftirasy?

Duduk tawarruk iaitu duduk dengan meletakkan pinggul di lantai dengan mengeluarkan telapak kaki yang kiri (melalui bawah tulang kering kaki kanan) dan menegakkan telapak kaki yang kanan. Kebiasaannya kita duduk seperti ini ketika tahiyyat terakhir sebelum salam. Duduk iftirasy iaitu duduk dengan menduduki telapak kaki kirinya dan menegakkan telapak kakinya yang kanan. Atau biasanya kita duduk seperti ini pada tahiyyat awal. Telah terjadi perdebatan yang hangat berkaitan dengan tatacara duduk sesuatu solat sunat yang hanya memiliki satu tahiyyat sahaja.

 

PENDAPAT PERTAMA: Menurut pendapat Imam Ahmad rahimahullah, setiap solat yang di dalamnya terdapat dua tahiyyat, cara duduknya dalam tahiyyat akhir adalah dengan duduk tawarruk, sedang dalam solat yang di dalamnya hanya satu tahiyyat maka cara duduknya adalah dengan duduk iftirasy. Dalil meraka ialah keumuman hadis-hadis atau riwayat yang menjelaskan bahawa hukum asal sifat duduk di dalam solat adalah iftirasy melainkan solat-solat yang ada dua tahiyyatnya maka duduk akhirnya adalah tawarruk. Hadis-hadis yang dijadikan hujah bagi mereka adalah seperti berikut:

 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ قَالَ: إِنَّ مِنْ سُنَّةِ الصَّلاَةِ

 

أَنْ تُضْجِعَ رِجْلَكَ الْيُسْرَى وَتَنْصِبَ الْيُمْنَى.

 

Maksudnya:

Daripada Qasim bin Muhammad, daripada ‘Abdullah bin ‘Abdullah bin ‘Umar, daripada bapanya (yaitu ‘Abdullah bin ‘Umar), bahawasanya dia pernah berkata, Sesungguhnya sebahagian dari sunnah solat ialah engkau hamparkan kaki kirimu dan engkau tegakkan (kaki) kananmu. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Tathobbayaq, no: 1145.

 

Menurut Aisyah radhiallahu’ anha:

 

...وَكَانَ يَقُولُ فِي كُلِّ رَكْعَتَيْنِ التَّحِيَّةَ وَكَانَ يَفْرِشُ رِجْلَهُ الْيُسْرَى وَيَنْصِبُ رِجْلَهُ الْيُمْنَى...

 

Maksudnya:

…dan baginda mengucapkan setiap dua rakaat at-tahiyyat, dan baginda menghamparkan kaki kirinya dan menegakkan kaki kanannya (yakni baginda duduk iftirasy)… – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Sholaah, no: 498.

 

Pada dasarnya sekiranya solat itu hanya terdapat satu tahiyyat maka hendaklah tatacara duduk tersebut dikembalikan kepada hukum asal sifat duduk di dalam solat iaitu iftirasy. Sekiranya solat itu mempunyai dua tahiyyat, maka sifat duduk tasyahhud awal adalah iftirasy, sedangkan tasyahhud akhir sifat duduknya tawarruk.

 

PENDAPAT KEDUA: Pada pandangan Imam al-Syafi’i rahimahullah sifat duduk di akhir setiap solat adalah tawarruk termasuklah solat yang hanya memiliki satu tahiyyat. Menurut mereka dalil iftirasy bersifat mutlak atau umum, sedangkan dalil tawarruk setiap duduk untuk tahiyyat akhir bersifat muqayyad (bersifat khusus atau membatasi keumuman). Maka sesuai dengan kaedah ushul, bahawa dalil yang mutlak harus dibawa kepada dalil yang muqayyad. Oleh karena itu mereka mengatakan, bahawa setiap duduk untuk tahiyyat akhir adalah tawarruk sebagaimana telah ditunjukkan oleh dalil yang bersifat muqayyad. Dalil yang dimaksudkan adalah:

 

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ عَطَاءٍ أَنَّهُ كَانَ جَالِسًا مَعَ نَفَرٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

فَذَكَرْنَا صَلاَةَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ أَبُو حُمَيْدٍ السَّاعِدِيُّ: أَنَا كُنْتُ أَحْفَظَكُمْ لِصَلاَةِ

 

رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَيْتُهُ إِذَا كَبَّرَ جَعَلَ يَدَيْهِ حِذَاءَ مَنْكِبَيْهِ

 

وَإِذَا رَكَعَ أَمْكَنَ يَدَيْهِ مِنْ رُكْبَتَيْهِ ثُمَّ هَصَرَ ظَهْرَهُ فَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ اسْتَوَى

 

حَتَّى يَعُودَ كُلُّ فَقَارٍ مَكَانَهُ فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَ يَدَيْهِ غَيْرَ مُفْتَرِشٍ وَلاَ قَابِضِهِمَا

 

وَاسْتَقْبَلَ بِأَطْرَافِ أَصَابِعِ رِجْلَيْهِ الْقِبْلَةَ فَإِذَا جَلَسَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ جَلَسَ عَلَى رِجْلِهِ الْيُسْرَى

 

وَنَصَبَ الْيُمْنَى وَإِذَا جَلَسَ فِي الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ قَدَّمَ رِجْلَهُ الْيُسْرَى وَنَصَبَ الأُخْرَى

 

وَقَعَدَ عَلَى مَقْعَدَتِهِ.

 

Daripada Muhammad bin Amr bin ‘Atha’, sesungguhnya dia pernah duduk bersama sepuluh orang sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu kami menyebut solat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, maka berkata Abu Humaid As Saa’idiy: Aku lebih hafal daripada kamu tentang solat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Aku pernah melihat baginda apabila bertakbir, baginda jadikan kedua tangannya berhadapan dengan kedua bahunya. Dan apabila baginda rukuk, baginda meletakkan kedua tangannya di kedua lututnya, kemudian baginda meluruskan punggungnya. Maka apabila baginda mengangkat kepalanya (dari rukuk), baginda berdiri lurus (iktidal) sehingga kembali setiap tulang belakang ke tempatnya. Kemudian apabila baginda sujud, baginda meletakkan kedua tangannya dengan tidak menghamparkan dan tidak menggenggam keduanya, dan baginda (ketika sujud) menghadapkan hujung jari kedua kakinya ke arah kiblat. Kemudian apabila baginda duduk pada dua rakaat, baginda duduk di atas (hamparan) kaki kirinya dengan menegakkan kaki kanannya (sifat duduk iftirasy). Dan apabila baginda duduk pada rakaat akhir, baginda majukan kaki kirinya dengan menegakkan kaki kanannya dan beliau duduk di tempatnya (ditanah, yakni sifat duduk tawarruk). – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no: 828.

 

“Dan apabila baginda duduk pada rakaat akhir…” menunjukkan bahawa ia merangkumi tahiyyat akhir bagi semua jenis solat yang tatacara duduknya hendaklah tawarruk. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah:

 

Para ulamak mazhab Syafi’i menggunakan hadis ini sebagai dalil bahawa posisi duduk tasyahhud pada solat Subuh (solat yang memiliki hanya satu tahiyyat) sama seperti tasyahhud akhir (iaitu tawarruk) pada solat-solat lainnya (yang memiliki dua tahiyyat). – al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari Syarah Shahih al-Bukhari, jilid 4, (edisi terjemahan dengan tajuk Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pustaka Azzam, Jakarta 1997),ms. 665

 

Terdapat sebuah lagi riwayat yang menguatkan lagi hadis di atas iaitu daripada Ibnu Mas’ud, dia berkata:

 

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم كَنَ يَجْلِسُ فِيْ آخِرِ صَلاَتِهِ عَلَى وَرِكِهِ الْيُسْرَى.

 

Bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam duduk tawarruk pada akhir solatnya – Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah, no: 701.

 

Namun bagi mereka yang berpegang kepada pendapat pertama, hadis-hadis di atas memperjelaskan tentang solat yang mempunyai dua tahiyyat. Wallahu a’alam

 

Penulis terbuka kepada kedua-dua pendapat pertama dan kedua.

 

 

n)  Tempat Yang Dilarang Solat

Secara umumnya dibenarkan untuk mengerjakan solat di semua tanah yang terhampar. Ini adalah sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 

فُضِّلْتُ عَلَى الأَنْبِيَاءِ بِسِتٍّ... وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ طَهُورًا وَمَسْجِدًا...

 

Maksudnya:

Aku mendapat enam keistimewaan di atas nabi-nabi yang lain… [yang mana salah satunya adalah] dan bumi dijadikan bagiku untuk bersuci dan sebagai tempat sujud (masjid)… - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Masajid wa Mawaqdhi’ al-Sholaah, no: 523.

 

Namun begitu terdapat beberapa tempat yang khusus dilarang oleh syarak untuk didirikan solat seperti berikut:

 

q  Kuburan

Dilarang untuk mendirikan solat di kawasan perkuburan. Rasulullah s.a.w bersabda:

 

الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْحَمَّامَ وَالْمَقْبَرَةَ.

 

Maksudnya:

Bumi semuanya adalah masjid (boleh dipergunakan untuk bersujud yakni bersolat) kecuali kuburan dan bilik mandi. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 415.

 

Larangan ini termasuk semua jenis kuburan sama ada milik orang Islam mahupun kafir.

 

q  Bilik Mandi

Sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam hadis di atas, adalah dilarang untuk mengerjakan solat di bilik mandi. Larangan ini juga mencakupi jamban (bilik untuk membuang air besar) kerana ia adalah tempat yang kotor dan bernajis serta tempat syaithan. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ الْخَلاَءَ فَلْيَقُلْ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ.

 

Maksudnya:

Sesungguhnya jamban ini adalah tempat syaithan, jika salah seorang daripada kamu memasuki tempat buang air besar, maka ucapkanlah: Aku berlindung kepada Allah dari syaithan lelaki dan syaithan betina. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 5.

 

q  Kandang Unta

Adalah dilarang untuk bersolat di kandang unta. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

صَلُّوا فِي مَرَابِضِ الْغَنَمِ وَلاَ تُصَلُّوا فِي أَعْطَانِ الإِبِلِ.

 

Maksudnya:

Bersolatlah kamu dalam kandang kambing dan janganlah kamu bersolat dalam kandang unta. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 317.

 

Faktor yang menyebabkan larangan tersebut adalah sebagaimana sabda baginda:

 

لاَ تُصَلُّوا فِي مَبَارِكِ الْإِبِلِ فَإِنَّهَا مِنْ الشَّيَاطِينِ.

 

Maksudnya:

Janganlah kalian solat di kandang unta sebab dia adalah bahagian dari syaithan. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 416.