Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab:

Tokoh Yang Dizalimi.

       

karangan : Mas’ud al-Nadwi

terjemahan : Mohd Amin Yaacob

 

Bab Kelima:

Pertuduhan serta pembohongan terhadap al-Syeikh Muhammad ‘Abd. al-Wahhab

dan pergerakan dakwahnya

 

 

 

Istilah Wahabi

          Secara realiti pendustaan nyata terhadap pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam ialah mengelarkan mereka sebagai “al-Wahabiyyah” atau Wahabi. Golongan penentang berusaha sedaya upaya merujuk gelaran ini sebagai “kumpulan yang terkeluar dari agama Islam” atau “kumpulan yang mewujudkan agama baru”. Dalam konteks ini pihak Inggeris, Turki dan Mesir mempromosikan gelaran ini seolah-olah ia sejenis “hantu yang menakutkan” (syabhan mukhifan). Ini tatkala pergerakan al-Syeikh al-Imam berdiri teguh di pelbagai lapangan dan tempat sebagai sebuah pergerakan dakwah Islam. Pihak Inggeris melihat pergerakan ini sebagai sesuatu yang membahayakan kepentingan politik serta ekonomi sehingga melabelkannya sebagai “al-Wahabiyyah al-Najdiyyah”.

          Pergerakan al-Sanusiyyah di Maghribi serta pergerakan pembaharuan (al-Tajdid) serta kepimpinan (al-Imamah) di India mempunyai pendekatan fekah serta perkara cabang lain yang berbeza dengan pergerakan dakwah penduduk Najd. Walaupun demikian kedua pergerakan ini tetap dilontarkan pertuduhan sebagai pergerakan Wahabi disebabkan usaha jihad mereka yang berterusan.

          Merujuk percubaan memperkenalkan istilah Wahabi dengan gambaran madzhab baru serta kumpulan sesat, hakikatnya istilah yang digunakan ini dikritik dari segi sandaran. Sekiranya dinisbahkan kepada pengasasnya iaitu al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab sudah semestinya pengikut beliau digelar sebagai “Muhammadiyyun”. Namun sudah tentu golongan penentang tidak menghendaki merealisasikan matlamat pertuduhan serta pembohongan dengan melabelkan pengikut al-Syeikh al-Imam sebagai “Muhammadiyyun”. Oleh itu mereka menisbahkan pergerakan ini ke atas ayah al-Syeikh al-Imam iaitu al-Syeikh ‘Abd. al-Wahhab. Sehubungan ini gelaran “Wahabi” merupakan istilah yang sangat terkenal sehinggakan sejarawan serta penulis menisbahkan pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam kepada ayahnya ‘Abd. al-Wahhab. Contoh yang jelas [penulisan Bridges (Jil. 2/hlm.134)].

          Zwemmer, ketua missionari terkenal turut membawa kenyataan palsu apabila mengatakan golongan Wahabi merupakan agama serta madzhab baru. Beliau seterusnya mengatakan Imam Ibn al-Qayyim (m.751M) mempunyai persamaan pemikiran dengan al-Syeikh al-Imam oleh itu Ibn al-Qayyim merupakan seorang Wahabi. Kenyataan Zwemmer berbunyi: “Ibn al-Qayyim merupakan seorang Wahabi namun dia menamakan dirinya Hanbaliyan (pengikut madzhab hanbali).”[1] Betapa bodoh si Zwemmer sehingga tidak mengerti bahawa istilah Wahabi hanya wujud 4 abad setelah Ibn al-Qayyim meninggal dunia.

          Penulis tidak mempunyai maklumat kukuh mengenai individu yang mula menggunakan istilah Wahabi. Namun golongan penentang menggunakan istilah Wahabi terhadap pengikut al-Syeikh al-Imam ketika beliau masih hidup. Ini merupakan pandangan Margoliouth[2] serta selainnya.[3]

Neuber, seorang penjelajah Eropah yang hidup sezaman dengan al-Syeikh al-Islam tidak menggunakan istilah Wahabi. Jelas bahawa istilah ini tidak terkenal ketika itu (1764M). Sebaliknya beliau melabelkan pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam sebagai “agama baru” (New Religion).[4] Setelah beberapa tahun al-Syeikh al-Imam meninggal dunia, muncul beberapa penjelajah lain yang mengulas mengenai pergerakan penduduk Najd. Antaranya Ali Bek ‘Abbas Badia (m.1807M) dan Brockhardt (m.1814M). Badia berpeluang menziarahi Hijaz sebelum dikuasai tentera Mesir. Namun beliau tidak menyatakan sama ada istilah Wahabi digunakan ketika itu.

Brockhardt menziarahi Hijaz selepas ia dikuasai Muhammad Ali dan tenteranya pada 1229H/1814M. Beliau menghasilkan beberapa rencana mengenai golongan Wahabi pada 1816M. Penulisan beliau dikumpulkan sehingga menjadi 2 jilid bertajuk: Notes on the Bedouins and the Wahhabys. Dalam penulisan ini perkataan Wahabi digunakan secara meluas. ‘Abd. al-Rahman al-Jabarti (m.1238H) menerusi kitab sejarah yang ditulisnya turut menggunakan perkataan Wahabi secara meluas.[5] Mengulas peristiwa 1218H, al-Jabarti berkata: “Penduduk Mekah mendatangi jemaah haji serta menasihati mereka supaya melarikan diri dari “al-Wahabi”.”[6]

          Ternyata menerusi kenyataan di atas istilah Wahabi tersebar luas ketika berlaku peperangan antara penduduk Najd dengan Mesir.

 

kembali

 

 

 

 

Penentang pertama al-Syeikh al-Imam

          Individu pertama yang menyatakan pembohongan terhadap al-Syeikh al-Imam ketika hayatnya ialah Sulaiman bin Muhammad bin Suhaim.[7](m.1181H). Pertuduhan beliau yang tersebar di seluruh lapangan dan tempat[8] ialah seperti berikut:

  1.  Meruntuhkan kubah Zaid bin al-Khattab di Jubailah

  2.  Meruntuhkan masjid berhampiran kubur

  3.  Membakar kitab Dalail al-Khairat dan Raudh al-Rayyahin

  4. Mengkafirkan Ibn al-Farid serta Ibn ‘Arabi.

Hakikatnya kubur Zaid bin al-Khattab radiyallahu ‘anh tidak diketahui secara pasti. Pembakaran kitab Dalail al-Khairat serta Raudh al-Rayyahin hanyalah suatu pembohongan. Ini walaupun al-Syeikh al-Imam menegah pengikutnya dari membaca kedua kitab ini. Pengkafiran terhadap Ibn al-Farid serta Ibn ‘Arabi memang benar berlaku. Ibn Ghannam mengulas: “al-Syeikh al-Imam mengkafirkan Ibn ‘Arabi, Ibn Farid dan individu yang seumpama dengan mereka.”[9]

          Dalam persoalan mengkafirkan kedua individu ini al-Syeikh al-Imam tidak bersendirian. Sikap beliau ini turut dilakukan tokoh ulama’ ahl al-Sunnah wa al-Jamaah terdahulu. al-Buqa’ie mengulas mengenai Ibn ‘Arabi:

 

Jelas kufurnya lelaki ini serta sesiapa yang mengikutinya kerana mengeluarkan kenyataan yang menyesatkan menyalahi para ulama’, ilmuwan serta pemuka (masyaikh) Islam.

 

      al-Buqa’ie mengulas mengenai Ibn Farid:

 

Beliau ini seorang zindik. Kenyataan ini disokong 40 ulama’ terkemuka di zamannya serta zaman kita.

 

          al-Buqa’ie menyebutkan senarai ulama’ yang mengkafirkan Ibn Farid antaranya: ‘Izz al-Din bin ‘Abd. al-Salam, Taqi al-Din Ibn al-Solah, al-Qastalani, Ibn Daqiq al-‘Aid, Ibn Jama’ah, al-Subuki, al-Zahabi, Ibn Hajar, al-‘Aini, Wali al-Din al-‘Iraqi, ‘Ila al-Din al-Bukhari dan sebagainya.[10]

 

kembali

 

 

 

 

Penentang utama lain yang sezaman dengan al-Syeikh al-Imam

          Golongan ini bekerjasama dengan Ibn Suhaim serta membantunya dalam melancarkan serangan terhadap al-Syeikh al-Imam. Senarai mereka seperti berikut:

 

Peringkat pertama

1.            Ahmad bin Ali al-Basri (m.1150H)

2.            Muhammad bin ‘Abd. al-Rahman bin ‘Afaliq al-Hanbali (m.1756H)

3.            ‘Abd. Allah bin Isa bin Muwais (m.1175H)

4.            Ibn Fairum (m.1216H)

 

Peringkat kedua

1.            ‘Afif al-Din ‘Abd. Allah bin Daud al-Zubairi al-Hanbali (m.1225H)

2.            Ahmad ‘Abd. Allah al-Haddad al-Ba’lawi al-Tarimi al-Syafi’e

3.            Ibn Fairuz (m.1216H)

 

Ibn Fairuz, salah seorang penentang di atas menghasilkan penulisan mencaci-maki al-Syeikh al-Imam sehingga mengeluarkan kenyataan seperti berikut:

 

‘Abd. al-Wahhab terlupa bahawa syaitan melakukan hubungan jenis dengan ibunya (iaitu ibu kepada al-Syeikh al-Imam). Ini sehinggakan syaitanlah bapa kepada si Marid ini (merujuk al-Syeikh al-Imam)…hingga akhir.[11]

 

kembali

 

 

 

 

Pelbagai pembohongan terhadap al-Syeikh al-Imam

 

1. Mengakui menjadi Nabi

Hakikatnya para penentang apabila tidak berupaya melancarkan serangan mereka akan berkata:

 

“Lelaki ini (merujuk al-Syeikh al-Imam) ingin menjadi seorang Nabi namun dia menyembunyikan di dalam dirinya.”[12]

 

Ahmad Zaini Dahlan menyatakan:

 

Secara zahir dari perlakuan Muhammad ‘Abd. al-Wahhab beliau ingin menjadi seorang Nabi. Namun dia tidak berupaya menyatakan pada umum.[13]

         

Neuber turut terpengaruh dengan pertuduhan ini sambil berkata:

 

Muhammad ‘Abd. al-Wahhab ingin menjadi seorang Nabi namun bukan melalui wahyu atau ilham yang disampaikan malaikat.[14]

 

Contoh buruk menyamai kenyataan Neuber di atas ialah kenyataan T. E Ravenshaw yang berbunyi:

 

Muhammad ‘Abd. al-Wahhab tidak mempercayai ilham serta kitab yang diturunkan Tuhan kepada manusia. Selain itu dia tidak meyakini kewujudan agama yang berasaskan ketuhanan. Oleh yang demikian dia tidak menamakan pergerakannya sebagai al-Din Muhammadi (ajaran yang di bawa Muhammad).[15]

 

 

2.  Menolak hadith

Suatu yang menghairankan apabila tokoh yang berpegang teguh dengan Sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam dituduh sebagai mengingkari hadith. Individu pertama melemparkan tuduhan ini ialah al-Haddad al-Ba’lawi. Namun semakin ganjil apabila pertuduhan ini terkeluar dari mulut ‘Abd. Allah Yusuf Ali, tokoh penterjemah al-Qur’an ke dalam bahasa Inggeris. Beliau berkata: “Karamat Ali beriman kepada hadith-hadith, namun golongan Wahabi menolaknya.”[16]

Dalam konteks ini Thomas Patrick Hughes seorang missionari Kristian tidak menulis sepertimana kenyataan ‘Abd. Allah Yusuf Ali. Ketika membandingkan gerakan Wahabi dengan gerakan protestant beliau berkata:

 

Gerakan Wahabi kadangkala dikatakan gerakan protestant dalam Islam. Namun terdapat perbezaan ketara antara keduanya. Gerakan protestant berpegang teguh kepada Bible dengan menolak tradisi gereja. Sebaliknya gerakan Wahabi berpegang teguh kepada al-Qur’an serta Ahadith.[17]

 

 

3. Mengkafirkan kaum muslimin serta memerangi mereka

al-Syeikh al-Imam menolak pertuduhan karut ini menerusi kenyataan yang amat jelas:

 

Sekiranya kami tidak mengkafirkan sesiapa yang mengabdikan diri kepada berhala yang terdapat di atas kubah ‘Abd. al-Qadir, Ahmad al-Badawi serta seumpamanya disebabkan kejahilan serta tidak ada individu yang menyatakan kebenaran kepadanya, bagaimana mungkin kami mengkafirkan sesiapa yang tidak menyegutukan Allah atau sesiapa yang tidak berhijrah kepada kami?..Subhanaka Hadza Buhtanum ‘Adhim.[18]

 

Walaupun perkara ini jelas namun pertuduhan mengkafirkan kaum muslimin ini berterusan disandarkan kepada golongan Wahabi. Ibn ‘Abidin al-Hasyimi (m.1258H/1842M) dalam kitab Hasyiah terkenalnya Radd al-Mukhtar turut terpengaruh dengan pembohongan ini ketika mengulas:

 

Sebagaimana yang terjadi di zaman kita menerusi pengikut ‘Abd. al-Wahhab yang berasal dari Najd kemudian menguasai kota Mekah dan Madinah serta menganuti madzhab Hanbali. Namun mereka meyakini diri sebagai muslim sebenar manakala golongan yang menyalahi pandangan mereka sebagai musyrik. Oleh sebab itu golongan Wahabi menghalalkan pembunuhan ke atas ahl al-Sunnah serta ulama mereka.[19]

 

Ahmad Zaini Dahlan yang merasakan dirinya mendekati Allah dengan menentang pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam turut mempromosikan pertuduhan ini.[20]

Dalam konteks ini tokoh salafi terkenal di India iaitu Sodiq Hassan Khan (m.1307H) tidak dapat memberi kata putus atau hukuman secara pasti terhadap pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam. Namun kesemua kenyataan beliau merupakan pernyataan baik serta menghampiri kebenaran (contoh menerusi kitabnya Ithaf al-Nubala’, hlm.413)[21].

Imam al-Syaukani (m.1250H) turut terpengaruh dengan pertuduhan ini sebelum mendapat penjelasan sebenar hakikat perjuangan al-Syeikh al-Imam. [22] Beliau pernah mengulas:

 

Golongan Wahabi meyakini sesiapa yang diluar dari penguasaan penguasa Najd serta tidak mematuhi perintahnya maka dia seorang kafir.[23]

         

Hakikatnya pertuduhan golongan penentang penduduk Najd mengkafirkan umat Islam merupakan suatu kekeliruan. Madzhab penduduk Najd bukan madzhab baru tetapi madzhab Imam Ahmad bin Hanbal (Hanbali). Sehubungan ini al-Syeikh Hamid bin Nasir bin ‘Uthman bin Mu’ammar al-Najdi (m.1225H) salah seorang murid al-Syeikh al-Imam mengemukakan tiga permasalahan kepada para ulama’ Mekah pada 1211H. Permasalahan kedua secara ringkas seperti berikut:

 

Sesiapa mengatakan Lailahaillallah Muhammad Rasulullah namun dia melakukan syirik seperti bermohon kepada orang yang sudah mati bagi memperkenankan hajat serta menghilangkan kesusahan maka dia kafir musyrik yang dihalalkan darah serta hartanya. Sesiapa mengatakan Lailahaillallah Muhammad Rasulullah serta menunaikan solat dan berpuasa maka dia seorang muslim.

         

Menerusi risalah ini Ibn Mu’ammar al-Najdi mengharuskan memerangi sesiapa yang meninggalkan solat kerana malas. Ini merupakan perkara yang disepakati pemimpin empat madzhab kecuali al-Zuhri serta Abu Hanifah.[24] Tidak perlu kepada penjelasan lanjut kerana ia merupakan pandangan yang dikenali di kalangan ulama Hanbali. Penduduk Najd turut berpandangan sedemikian iaitu hukum kafir kepada sesiapa yang meninggalkan solat.

Merujuk persoalan penyembah atau pencinta kubur, Imam al-Son’ani al-Yamani (m.1182H) tidak membezakan antara mereka dengan penyembah berhala.[25] al-Syeikh al-Imam turut berpandangan sedemikian. Namun hukum kafir hanya ke atas mereka yang ditegakkan hujah ke atasnya bukan kerana kejahilan. Penduduk Najd menyatakan pandangan al-Syeikh al-Imam:

 

al-Syeikh al-Imam tidak mengkafirkan penyembah berhala yang menyeru para awliya’ atau salihin yang sudah mati serta selainnya yang termasuk perbuatan syirik melainkan setelah ditegakkan hujah ke atas pelakunya. Sekiranya masih menolak setelah ditegakkan hujah maka diperangi, dibunuh serta dirampas harta mereka. Ini merupakan kenyataan al-Qur’an serta al-Sunnah dan persepakatan imam empat madzhab.[26]

         

Jelas di sini bahawa al-Syeikh al-Imam serta pengikutnya mensyaratkan supaya ditegakkan hujah sebelum menjatuhkan hukum kafir serta diperangi. Dalam konteks ini al-Syeikh al-Imam memiliki pembuktian kukuh di mana Abu Bakr al-Siddiq radiyallahu ‘anh memerangi golongan yang menolak membayar zakat.[27] Dengan itu kami mendapati mereka sama sekali tidak mengkafirkan secara umum.

Memang benar, di sisi mereka (al-Muwahidun), para penyembah kubur serta golongan yang melakukan perbuatan syirik, ia merupakan perbuatan kufur bukan sahaja dari sudut tindakan (al’-Amali) sahaja tetapi keyakinan (akidah). Ini kerana di sisi mereka tauhid al-Rububiyyah sahaja tidak mencukupi tanpa tauhid al-Uluhiyyah. Ini merupakan syarat asas menjadi muslim yang beriman. Tidak mencukupi beriman kepada Allah sebagai pencipta yang mengurus alam sahaja. Golongan jahiliyyah turut beriman kepada tauhid al-Rububiyyah namun mereka menyekutukan Allah dari sudut tauhid al-Uluhiyyah.

Oleh sebab itu golongan jahiliyyah menamakan sembahan mereka yang terdiri dari batu serta pokok sebagai (Ilahan). Sebaliknya golongan musyrikin serta jahil abad ini tidak melakukan demikian. Malah mereka melebihinya dengan memperuntukkan kepada makhluk keseluruhan hak al-Uluhiyyah seperti bernazar, memohon hajat, tawaf keliling kubur, melakukan sembelihan dan sebagainya di atas nama tawassul serta meminta syafaat.

Walaubagaimanapun hakikat sesuatu tidak akan berubah dengan berlaku perubahan nama. Bagi pembaca yang ingin memahami isu ini dengan mendalam sila rujuk kitab Tabri’ah al-Syaikhain al-Imamiyyin yang ditulis Sulaiman bin Sahman secara khusus dihalaman 82-125.

 

kembali

 

 

 

 

Pelbagai pembohongan lain

          al-Syeikh ‘Abd. Allah bin Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab menjawab perkara ini menerusi risalahnya kepada penduduk Mekah pada 1218H/1803M seperti berikut:

 

Antara pembohongan ke atas kami yang menyalahi kebenaran ialah dakwaan kami mentafsirkan al-Qur’an dengan pemikiran, mengambil sesuatu hadith tanpa memahaminya….kononnya kami berkata: Nabi laksana tali reput di dalam kubur sementara tongkat kami lebih bermanfaat dari jasadnya, tidak wujud syafaat pada dirinya….menziarahi kuburnya tidak diharuskan…kami mengkafirkan kaum muslimin secara keseluruhan…di mana jawapan terhadap keseluruhan pembohongan ini ialah Subhanaka Hadza Buhtanun ‘Adhim.[28]

 

kembali

 

 

 

 

Meruntuhkan kubah yang dibina di atas kubur Rasulullah

          Golongan penentang mendakwa Saud bin ‘Abd. al-‘Aziz bin Muhammad bin Saud meruntuhkan kubah yang dibina di atas kubur Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Sejarawan Eropah turut merasa gembira menyatakan kenyataan dusta ini. Antara mereka: Stoddard (Hadhar, Jil. 11, hlm.64), Hughes (Dictionary of Islam, hlm.660), Zwemmer (hlm.195), Anne Blunt (Mustaqbal al-Islam, hlm.45), Margoliouth (Da’irah al-Ma’arif al-Adyan wa al-Akhlaq, Jil. 2, hlm.661) serta selainnnya.

          Hakikatnya penduduk Najd tidak pernah melihat dengan penglihatan yang tidak baik terhadap kubur baginda. Walaupun mereka bergembira dengan kejayaan meruntuhkan kubah lain serta pembahagian harta di sekelilingnya namun dakwaan meruntuhkan kubah di atas kubur baginda merupakan dakwaan palsu yang tidak mempunyai asas. Bridges yang menetap di Baghdad serta Basrah ketika penduduk Najd melebarkan pengaruh turut tidak bersetuju dengan pertuduhan ini.[29]

 

kembali

 

 

 

 

Penyaksian tokoh Inggeris

          Bridges mengulas:

 

Turki Uthmaniyyah melancarkan serangan dengan mengatakan ‘Abd. al-‘Aziz melarang umat Islam dari menziarahi Madinah. Kenyataan ini tidak benar. Beliau hanya melarang melakukan perbuatan syirik di sisi Raudhoh al-Mutohharah sebagaimana larangan dilakukan di sisi kubur awliya’ lainnya.

Sebahagian golongan jahil melemparkan tuduhan kafir terhadap golongan Wahabi. Sebaliknya mereka mengikuti sepenuhnya al-Qur’an serta al-Sunnah. Oleh itu pergerakan Wahabi merupakan pergerakan Islam yang sejati (Puritanism).[30]

          Roussau, seorang Peranchis bodoh (Ahmaq) menulis pada 1808M bahawa Saud (penguasa Najd) mengasaskan madzhab baru serta memansuhkan ibadat haji. Roussau mendakwa memperolehi maklumat dari seorang lelaki yang rapat dengan penguasa Najd. Hakikatnya pertuduhan ini dusta semata-mata. Golongan Wahabi berpegang teguh kepada al-Qur’an serta al-Sunnah dengan itu bagaimana mungkin mereka memansuhkan ibadat haji? Untuk pengetahuan si Peranchis bodoh ini[31] Saud hanya melarang perbuatan buruk dilakukan ketika musim haji. Selain itu antara tindakan awal yang dilakukan penguasa Najd ketika menguasai Mekah ialah beliau sendiri melakukan tawaf serta sa’ie (menunaikan haji).[32]

 

kembali

 

 

 

 

Pertuduhan ajaib

            Seorang syeikh Badwi meriwayatkan suatu kisah khayalan dalam kitab al-A’immah wa al-Saddah mengenai Emams and Sayads of Oman yang diperolehi dari penulisan Salil bin Raziq iaitu: “Golongan Wahabi memiliki satu juzuk (al-Qur’an) yang dibuang ‘Uthman radiyallahu ‘anh dari mushafnya.”[33]

kembali

 


 

[1]               al-Muqattaf, Jil. 27, hlm.295

[2]               Rencana “al-Wahabiyyah”

[3]               Margoliouth berdasarkan kepada kenyataan Daud al-Baghdadi (m.1882M) menerusi kitabnya Sulh al-Ikhwan [Margoliouth: Notes on Mahammedanism, hlm.219]

[4]               Jil. 2, hlm.133-135

[5]               Jil. 3, hlm.233, 235 dan 252

[6]               ‘Ajaib al-Athar, Jil. 3, hlm.225

[7]               Nama penuhnya Sulaiman bin Muhammad bin Ahmad bin Ali bin Suhaim. Ayahnya termasuk kalangan penentang dakwah. Raudhah al-Afkar Jil.1, hlm.38.

[8]               Raudhah al-Afkar Jil.1, hlm.42-43, 37

[9]               Raudhah al-Afkar Jil.1, hlm.154, 167, 198

[10]             Bagi mengetahui isu ini dengan mendalam sila rujuk keseluruhan kitab Musarri al-Tasawwuf  karangan al-Buqa’ie.

[11]             Raudhah al-Afkar, Jil. 2, hlm.214

[12]             Mishbah al-Anam, manuskrip, helaian 5, 6

[13]             al-Durar al-Saniyyah, hlm.46.

[14]             Rihlah Newber, Jil. 2, hlm.134

[15]             Muzakkirat Ravenshaw, hlm.. 437, 445

[16]             Inkrizi ‘Ahd Mayan Hadustan Kai Tamadun Kai Tarikh (Urdu), hlm.192

[17]             Dictionary of Islam, hlm.66

[18]             Raudhah al-Afkar, hlm.479 yang ditahqiq oleh Dr Nasir al-Din al-Asad (penterjemah)

[19]             al-Radd al-Mukhtar, Jil. 3, hlm.309

[20]             al-Durr al-Saniyyah, hlm.45-46 dan Khulasoh al-Kalam, hlm.229, 230, 232.

[21]             Sikap Sodiq Hassan dapat difahami disebabkan beberapa faktor seperti berikut:

1.       Sodiq Hassan Khan hidup antara 1248-1307H. Dalam tempoh ini negeri Najd dikuasai musuh manakala golongan Wahabi dikalahkan serta ditindas. Dalam konteks ini segala jenis pertuduhan serta pembohongan terhadap mereka disebarluaskan. Dengan itu agak sukar bagi seseorang mempertahankan perjuangan golongan Wahabi secara terang-terangan. Ini sehinggakan kitab Siyanah al-Insan ‘an waswasah Syeikh Dahlan yang ditulis bagi menjawab pertuduhan serta pembohongan Ahmad Zaini Dahlan tidak disertakan nama pengarang pada peringkat permulaan.

2.       Kesan kekalahan golongan mujahidin dalam menghadapi Inggeris di Balakut pada 1246H masih dirasai. Masyarakat Islam dihukum kerana berpegang teguh dengan cara hidup al-Sunnah. Ini sehinggakan sekiranya seseorang itu mengucapkan “Amin” dengan suara kuat ketika menunaikan solat ia akan dihukum dengan hukuman berat.

3.       Sodiq Hassan Khan merupakan tokoh yang berkedudukan sama ada dari sudut politik mahupun keilmuan. Sehubungan ini musuh-musuh beliau yang secara realiti bekerjasama dengan Inggeris hanya menunggu peluang untuk menyerangnya. Di sisi mereka, jenayah paling besar yang beliau dapat lakukan ialah menyebarkan fahaman Wahabi serta melancarkan gerakan jihad.

4.       Oleh sebab itu Sodiq Hassan Khan tidak berupaya untuk mempertahankan pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam tidak sepertimana tokoh-tokoh yang lahir selepasnya. Namun matlamat utamanya ialah untuk mempertahankan serta memberi perlindungan kepada golongan tauhid di India sama ada dari sudut jiwa, kebendaan mahupun maruah yang secara hakiki dituduh sebagai pengikut Wahabi.

5.       Oleh yang demikian Sodiq Hassan Khan serta ulama’ hadith yang lain di India sibuk mempromosikan bahawa golongan tauhid di India tidak ada hubungkait dengan penduduk Najd. Kenyataan mereka ada kebenaran kerana golongan tauhid di India ini mendasari pegangan mereka terus dari al-Qur’an serta al-Sunnah dan bukan melalui para ilmuan Najd.

6.       Namun Sodiq Hassan Khan masih mampu bersikap adil terhadap golongan Wahabi. Beliau menyebut perkara ini dalam banyak hasil penulisannya. Beliau akan menyatakan dakwaan para penentang diikuti dengan jawapan para pengikut al-Syeikh al-Imam. Pembelaannya terhadap golongan Wahabi terserlah apabila beliau melantik pengarang kitab Siyanah al-Insan ‘an Waswasah Syeikh Dahlan menjadi pengarah bahagian keagamaan di negerinya. (penterjemah)

[22]             Imam al-Syaukani menulis kitab al-Badr alToli’ ketika peperangan berlaku antara ‘Abd. al-‘Aziz penguasa Najd dengan Ghalib penguasa Mekah. Dengan itu tidak menghairankan apabila segala sampah sarap pertuduhan serta pembohongan ke atas golongan Wahabi disebarluaskan sehingga sampai ke negeri Yaman serta diketahui Imam al-Syaukani walaupun ianya bukan suatu kebenaran. Namun apabila mengetahui hakikat sebenar perjuangan dakwah al-Syeikh al-Imam, beliau menyatakan pujian terhadapnya menerusi gubahan puisi.

[23]             al-Badr al-Toli’, Jil. 2, hlm.5

[24]             Bagi mengetahui huraian lanjut sila rujuk al-Hidyah al-Saniyyah, hlm.69, 86.

[25]             Tathir al-I’tiqod, hlm.12

[26]             Tabri’ah al-Syaikhain, hlm.86

[27]             al-Qawaid al-Arba’ah dalam Raudhah al-Afkar, Jil. 1, hlm.135, 137, Ji. 2, hlm.32

[28]             Tarikh Najd, hlm.45-49, Sodiq Hassan Khan, Ittihaf al-Nubala’, hlm.414-416

[29]             Bridges, Jil. 2, hlm.109-110

[30]             Bridges, Jil. 2, hlm.109-110

[31]             Roussau menghasilkan 2 penulisan yang mengandungi kenyataan golongan Wahabi menegah umat Islam menunaikan haji iaitu: Pasbalike de Baghded dan A Memoris in the Min de, Ioriont

[32]             Bridges, Jil. 2, hlm.102, 203

[33]             Hasyiah, hlm.202-203