Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab:

Tokoh Yang Dizalimi.

       

karangan : Mas’ud al-Nadwi

terjemahan : Mohd Amin Yaacob

 

 

Bab Ketiga:

Hasil Penulisan al-Syeikh al-Imam Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab

 

 

al-Amir Syakib Arsalan seorang mujahid serta penguasa Arab yang terkenal. Ketika mengulas mengenai tokoh pemikir serta politik abad ke 19 iaitu al-Sayyid Jamal al-Din al-Afghani, beliau berkata:

 

“Secara umum beliau bukan seorang yang menyusun kitab-kitab tetapi menyusun bangsa serta negara.”[1]

 

          Berdasarkan kenyataan al-Amir Syakib Arsalan adakah berkemungkinan disandarkan ungkapan ini kepada al-Syeikh al-Imam (yang dituduh perjuangannya bermotif politik bangsa dan negara)? Hakikatnya keseluruhan hasil penulisan beliau dalam bidang dakwah serta pendidikan Islam bukan sedikit. Namun apa yang membezakan penulisannya dengan sebahagian penulis lain ialah tidak terdapat kecanggihan ungkapan ilmu kalam. Sebaliknya ia berasaskan pendekatan para muhadditsin (ulama’ hadith). Penulisan beliau menggunakan ungkapan yang jelas serta amat mudah difahami kerana berpandukan kepada al-Qur’an serta al-Sunnah. Dalam konteks ini kebenaran tidak memerlukan kepada sebarang perhiasan serta kepalsuan.

          Penulisan beliau tidak mengandungi istilah kesufian yang dikenali di kalangan umat Islam sebagai ilmu tasauf yang merosakkan asas al-Din Islam.[2] Hakikatnya sebahagian tokoh pembaharuan (al-Mujaddidun) di India melakukan kesilapan apabila berterusan mengemukakan perkara ini kepada umat sehingga membahayakan jiwa serta jasad mereka.[3] Kesan dari ilmu tasauf menyebabkan umat Islam di India sehingga kini tidak berupaya membebaskan diri mereka dari belenggu permasalahan akidah.

          Merujuk kepada pendekatan bahasa, al-Syeikh al-Imam tidak menggunakan susunan bahasa yang kompleks sebagaimana yang didapati dalam penulisan Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah (m.728H), Ibn al-Qayyim (m.756H) dan al-Syah Wali Allah al-Dahlawi (m.1176H).

          Keutamaan yang terdapat pada penulisan beliau sehingga jarang didapati menerusi kitab induk Islam (al-Turath al-Islami) selepas kurun ke 8 hijrah di mana penulisan al-Syeikh al-Imam mampu menghidupkan kembali jiwa (al-ruh) serta memberi pengaruh kepada pembacanya. Iqbal, seorang pujangga Islam terkenal ketika mengulas hasil penulisan al-Syeikh al-Imam berkata:

 

“Keseluruhan penulisannya penuh dengan pengaruh serta kesan. Keadaan ini berpunca dari jiwa keagamaan yang wujud pada dirinya.”

 

      Hasil penulisan al-Syeikh al-Imam ialah seperti berikut:

 

1.       Kitab al-Tauhid

          Kitab ini merupakan hasil penulisan beliau paling terkemuka sebagaimana kitab Taqwiyah al-Iman di sisi al-Syeikh Ismail al-Syahid (m.1246H).[4] Nama penuh penulisan ialah Kitab al-Tauhid allazi Huwa Haqqullah ‘ala al-‘Abid. Menerusinya al-Syeikh al-Imam menyatakan hakikat tauhid serta sempadannya dan persoalan syirik serta keburukannya. Majoriti isi kandungan kitab meliputi permasalahan al-Isti’azah (memohon perlindungan selain Allah), al-Istigoshah (memohon hajat kepada selain Allah), al-Tawassul, berdoa kepada Allah dengan perantaraan makhlukk, persoalan Nazar, sembelihan kepada selain Allah, sihir, tukang ramal dan sebagainya. Beliau tidak mengemukakan ulasan kecuali sedikit.[5] Dalam konteks ini mencukupi baginya menyatakan pembuktian berdasarkan al-Qur’an serta al-Sunnah.

Penulisan ini mendapat sambutan masyarakat Islam sehingga diulang cetak beberapa kali serta diterjemah ke dalam pelbagai bahasa. Ulama’ Najd menghasilkan beberapa kitab sebagai penjelasan atau syarahan kepada kitab ini. Brockleman menyatakan dua daripadanya seperti berikut:

  1. al-Dur al-Nadhid karangan Ahmad bin Hassan al-Najdi

  2. Fath Allah al-Hamid al-Majid karangan Hamid bin Muhammad bin Hassan. Ia dicetak pada 1897M

Merujuk kitab pertama yang dinyatakan Brockleman, penulis tidak mempunyai maklumat mengenainya. Dalam konteks ini Brockleman lupa menyatakan syarahan kepada kitab al-Tauhid yang terkemuka iaitu Taisir al-‘Aziz al-Hamid yang ditulis al-Syeikh Sulaiman bin ‘Abd. Allah bin al-Syeikh al-Islam. Kitab ini tidak sempat disiapkan namun dilengkapkan kemudian oleh al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan bin al-Syeikh al-Imam dengan tajuk Fath al-Majid.[6]

Beliau meletakkan beberapa penambahan sehingga berbeza dengan kitab yang ditulis al-Syeikh Sulaiman. Kitab al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman disusun mengikut bab permasalahan dengan penambahan penjelasan berdasarkan kepada penulisan Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah serta muridnya Ibn al-Qayyim. Ini menyebabkan penulisan ini berperanan sebagai suatu himpunan maklumat yang amat bernilai. Ia dicetak pertama kali menerusi percetakan al-Ansari, Delhi pada 1311H. Ia dicetak kali kedua menerusi percetakan al-Salafiyyah di Mesir pada 1347H dengan bantuan seorang ahli perniagaan Bahrain bernama al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman al-Qusaibi. Cetakan ketiga dilakukan menerusi percetakan Ansar al-Sunnah al-Muhammadiyyah di Kaherah pada 1357H di bawah penyeliaan al-Syeikh Muhammad Hamid al-Faqi.

 

2.       Kasyf al-Syubuhat

Penulisan ini merupakan pelengkap kepada Kitab al-Tauhid. Namun secara realiti keseluruhan penulisan al-Syeikh al-Imam mempunyai hubungkait dengan persoalan tauhid. Isi kandungan Kasyf al-Syubuhat mengenai kekeliruan yang menimpa umat disebabkan tidak mengabdikan diri kepada Allah dalam ruang lingkup Tauhid al-Uluhiyyah. Ternyata sebahagian umat Islam memohon kepada wali atau al-Ghauth sementara sebahagian lain melakukan kesalahan dari sudut al-Tawassul, al-Istigoshah serta persoalan syafaat.

Penulisan ini merupakan sebuah risalah kecil walaupun dipenuhi dengan maklumat. Ia dicetak beberapa kali. Penulis menyimpan naskah Kasyf al-Syubuhat yang dicetak serta disisipkan ke dalam kitab Majmu’ah ‘Isa bin Ramih al-Najdi, hlm.56-72.

 

3.       al-Usul al-Thalathah wa Adillatuha

          Penulisan ini berkisar mengenai pengenalan (ma’rifah) kepada Tuhan, Din Islam serta terhadap Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Ia merupakan sebuah risalah kecil.

 

4.       Syurut al-Solah wa Arkanuha

          Penulisan ini berkisar syarat-syarat menunaikan solat iaitu: Islam, berakal, sampai umur, mengangkat hadath, bebas dari najis, menutup aurat, masuk waktu solat, mengadap kiblat dan niat. Selain itu dinyatakan rukun serta syarat wajib menunaikan solat.

 

5.       al-Qawaid al-Arba’

          Penulisan ini berkisar permasalahan ilmu tauhid dengan penjelasan yang amat mudah serta senang difahami. Perkara yang diperbincangkan seperti berikut:

  1. Masyarakat Arab jahiliyyah beriman kepada Allah sebagai Pencipta serta Pemberi rezeki. Namun ini tidak menjadikan mereka seorang muslim.

  2. Masyarakat Arab jahiliyyah memohon kepada awliya’ bagi mendekatkan diri kepada Allah serta bagi memperolehi syafaat. Mereka berkata mengenai pemberi syafaat: “Golongan ini merupakan pemberi syafaat kami di sisi Allah!”

  3. Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam memerangi penyembah para malaikat, anbiya’ serta salihin, penyembah pokok, batu, matahari dan bulan tanpa membezakan antara mereka.

  4. Golongan musyrikin zaman mutakhir lebih dahsyat kemusyrikin mereka berbanding golongan musyrikin masa lampau. Ini kerana golongan musyrikin terdahulu memohon kepada Allah ketika ditimpa musibah sementara golongan musyrikin mutakhir memohon kepada para awliya’ dalam segala keadaan.

 

6.       Usul al-Iman

          Penulisan ini berkisar pelbagai persoalan iman bersumberkan kepada hadith-hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Sebahagian keluarga al-Syeikh al-Imam menambah beberapa penjelasan yang berguna di dalamnya. Ia dicetak pertama kali di Delhi. Ia turut disisipkan ke dalam kitab Majmu’ah al-Hadith al-Najdiyyah yang dicetak menerusi percetakan al-Manar pada 1342H, hlm.209-240.

 

7.       Kitab Fadl al-Islam

          Penulisan ini mengenai keburukan melakukan perbuatan bid’ah serta syirik dan juga syarat menjadi seorang muslim. Ia disisipkan ke dalam kitab Majmu’ah al-Hadith al-Najdiyyah, hlm.242-255.

 

8.       Kitab al-Kabair

          Ini mengenai pembahagian dosa-dosa besar. Ia diperjelaskan satu persatu berdasarkan kepada bab dengan berlandaskan keterangan al-Qur’an serta al-Sunnah. Ia disisipkan ke dalam kitab Majmu’ah al-Hadith al-Najdiyyah, hlm.258-310.

 

9.       Nasihah al-Muslimin[7]

          Penulisan ini berkisar mengenai hadith-hadith yang berhubung dengan pendidikan Islam. Ia disisipkan ke dalam kitab Majmu’ah al-Hadith al-Najdiyyah, hlm.213-444.

 

10.     Sittah Mawadhi’ min al-Sirah

          Penulisan ini merupakan risalah ringkas mengenai 6 persoalan yang berkait dengan sirah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. Ia seperti berikut:

1.            Permulaan penurunan wahyu

2.            Pendidikan tauhid serta penolakan terhadap golongan kafir

3.            Kisah al-Gharaniq al-‘Ula[8]

4.            Kisah mengenai Abu Talib

5.            Peristiwa hijrah

6.            Kisah golongan murtad selepas kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam

 

11.     Tafsir al-Fatihah

          Penulisan ini merupakan risalah ringkas mengenai tafsir kepada surah al-Fatihah. Ia disisipkan ke dalam kitab Majmu’ah al-Kitab al-Mufid, hlm.18-19.

 

12.     Masa’il al-Jahiliyyah

Penulisan ini menerangkan 131 permasalahan jahiliyyah yang ditentang Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam. al-Syeikh Mahmud Syukri al-Alusi menulis penjelasan (syarahan) terhadap kitab ini. al-Zahra’, hlm.44-52

 

13.     Tafsir al-Syahadah

          Penulisan ini berkisar mengenai tafsir kalimah Lailahaillallah. Selain itu terkandung di dalamnya kepentingan ilmu tauhid.

 

14.     Tafsir Liba’ Sur al-Qur’an[9]

          Ini mengenai tafsiran terhadap beberapa ayat al-Qur’an. Menerusinya al-Syeikh al-Imam mengistinbat (mengeluarkan) beberapa hukum yang berkait dengan ayat yang diulas.

 

15.     Kitab al-Sirah

          Ini merupakan ringkasan kepada kitab Sirah Ibn Hisyam. Naskah tua kitab ini terdapat di perpustakaan Batnah.

 

16.     al-Hadyi al-Nabawi

          Ini ialah ringkasan kitab Zad al-Ma’ad karangan Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah. Manuskrip kitab ini terdapat di perpustakaan Batnah. Selain penulisan yang dinyatakan di atas, al-Syeikh al-Imam turut menghasilkan beberapa penulisan kecil lainnya. Sebahagiannya dinyatakan dalam kitab Raudhah al-Afkar.[10]

 

 

 

 

 


[1]               Hadhar al-‘Alam al-Islami, Jil. 2, hlm.301

[2]               Sebahagian rakan mengesyorkan supaya penulis tidak menentang tasauf secara umum. Menurut mereka yang seharusnya ditentang ialah sufiah al-su atau sufi atau tasauf yang menyeleweng. Ini sebagaimana ungkapan ulama al-Su disandarkan kepada ulama jahat. Namun penulis tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Ini disebabkan banyak keburukan serta kejahatan yang terhasil di atas nama tasauf. Namun penulis akan menyokong golongan yang menyeru kepada al-Ihsan atau al-Tazkiyah iaitu pembersihan jiwa yang bersumberkan kepada al-Qur’an serta al-Sunnah.

[3]               Bagi mendalami kerosakan yang ditimbulkan ilmu tasauf sila rujuk kitab al-Tasauf bayn al-Haq wa al-Khalq karangan Ustaz Muhammad Fihir Syafaqah dan kitab Hazihi Hiya al-Sufiyyah karangan Ustaz ‘Abd. al-Rahman al-Wakil. (penterjemah)

[4]               Beliau ialah Muhammad Ismail bin ‘Abd. al-Ghani bin Wali Allah al-Dahlawi. Terhimpun pada dirinya keluasan ilmu, kewarakan serta keperwiraan sehingga memimpin pergerakan dakwah Islam di benua India ketika umat Islam dilanda penjajahan. Beliau berjuang dengan gigih menentang penjajahan Inggeris bersama temannya al-Sayyid Ahmad bin ‘Urfan sehingga berjaya menegakkan kerajaan Islam. Namun kerajaan ini tidak bertahan lama. Beliau menghadapi musibah serta tribulasi dalam usahanya membersihkan pegangan umat Islam dari kekotoran berhala serta perbuatan syirik. Amat menyedihkan apabila dunia Arab melupai perjuangan tokoh ini sehingga sukar untuk mendapati hasil penulisan mengenai dirinya melainkan sekadar rencana kecil sahaja. Beliau dilahirkan pada 1193 H dan mati syahid dalam peperangan menentang Inggeris pada 1246H. (penterjemah).

[5]               al-Syeikh al-Imam mengambil sikap sebegini bagi menolak persepsi golongan yang menentang dakwahnya bahawa beliau mengasaskan madzhab baru dalam Islam, membawa ajaran sesat ataupun beliau serta pengikutnya merupakan golongan khawarij. Ini sebagaimana dakwaan Dahlan, al-Nabhani serta selainnya.

[6]               Hakikatnya Fath al-Majid merupakan kitab syarahan bebas yang ditulis al-Syeikh ‘Abd. al-Rahman bin Hassan. Manakala kitab al-Syeikh Sulaiman bin ‘Abd. Allah dicetak menggunakan tajuk Taisir al-‘Aziz al-Hamid.

[7]               Menurut al-Syeikh Ismail bin Muhammad al-Ansari risalah himpunan hadith yang berjudul Nasihah al-Muslimin yang disisipkan dalam kitab Majmu’ah al-Hadith al-Najdiyyah bukan merupakan karangan al-Syeikh al-Imam. Sebaliknya diambil dari kitab Misykat al-Masobih karangan al-Khatib al-Syirazi. Sebahagian dari pengikut al-Syeikh al-Imam memasukkannya ke dalam kitab Majmu’ah al-Hadith al-Najdiyyah dengan tujuan menambahkan ilmu pengetahuan mengenai hadith. Kenyataan ini disokong oleh al-Syeikh ‘Abd. al-‘Aziz bin Baz. (penterjemah).

[8]               Bagi mengetahui dengan mendalam kisah ini sila rujuk kitab Nasb al-Maja’iq li Nisfi Qissah al-Gharaniq karangan al-Syeikh Muhammad Nasir al-Din Albani. (penterjemah).

[9]               al-Fuhrus al-Mashruh, Perpustakaan Oriental (al-Maktabah al-Syarqiyyah) di Batnah, no. 1477

[10]             Jilid pertama: bab ketiga dan keempat