Bulan Rejab
merupakan salah satu bulan daripada 12 bulan-bulan Islam. Bulan
Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang
Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk dan pembebasan Al-Aqsa
dari tangan tentera Salib. Ada juga orang Islam yang berpendapat
bahawa bulan inilah berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj Nabi
Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Tidak kurang juga
ramai yang melihat bulan Rejab sebagai satu bulan spiritual di
mana mereka mempertingkatkan ibadat-ibadat sunat khususnya ibadat
puasa.
Tarikan dan seruan yang ditiup ke
dalam jiwa umat Islam Nusantara terutamanya untuk melakukan ibadat
kebanyakannya dipengaruhi oleh penyebaran beberapa hadis yang
mengandungi fadilat-fadilat beribadat dalam bulan ini. Jelas
terlihat dari segi jualan buku-buku kecil yang mengandungi
fadilat-fadilat bulan Islam, ia begitu laris dipasaran menjelang
bulan Rejab. Begitu juga pada zaman era Internet kini (ICT),
e-mail dan mailing list yang dihantar mengandungi
'cut & paste' risalah-risalah dan hadis-hadis berkenaan
fadilat Rejab. Rata-rata tarikan fadilat ini menjadi faktor
penarik kepada orang awam untuk melakukan ibadat sunat. Injeksi
faktor ini dapat kita lihat penerapannya ke dalam budaya Melayu-Islam
sepertimana rangkap sya'ir di bawah:
Rejab bulan menabur benih
Sya'ban bulan menyiram tanaman
Ramadhan bulan menuai
Rejab menyucikan badannya
Sya'ban menyucikan hati
Ramadhan menyucikan rohnya
Rejab bulan marghfirah
Sya'ban bulan syafaat
Ramadhan bulan menggandakan kebajikan
Rejab bulan taubat
Sya'ban bulan muhibbah
Ramadhan dilimpahi pahala amalan seperti hujan mencurah banyaknya
Rejab digandakan 70 pahala
Sya'ban diganda 700 pahala
Ramadhan diganda 1000 pahala
Mungkin timbul
beberapa persoalan yang tersimpan di dalam lubuk hati kita:
mengapa bulan Rejab sahaja yang dipilih mempunyai kelebihannya?
Pernah atau tidak kita terfikir bahawa mungkin berita-berita ini
ditokok tambah (exaggerate) oleh manusia biasa yang
bercakap atas nama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam?
Mengapa di dalam bulan ini terdapat solat-solat khas, puasa-puasa
khas, zikir-zikir khas dan juga waktu-waktu khas untuk melakukan
ibadat? Di sini kita ingin membawa beberapa penjelasan daripada
ulama'-ulama' muktabar dan kontemporari mengenai kesahihan fadilat
yang terdapat di dalam bulan Rejab, dan apakah sebenarnya fadilat
yang terkandung di dalam Rejab.
Bulan Rejab merupakan satu bulan daripada bulan-bulan Haram
Bulan Rejab
merupakan salah satu dari bulan-bulan 'Haram' di dalam Islam.
Dalilnya terdapat dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua
belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia
menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang
dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul
lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan
yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah
kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu
seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang
yang bertakwa.
[al-Taubah 9:36]
Menurut Tafsir al-Jalalain,
yang dimaksudkan dengan "diantaranya empat bulan yang di
hormati" ialah:
“Empat
bulan Haram ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.”
Allah Subhanahu
wa Ta‘ala telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram.
Bulan-bulan ini sebagaimana yang disepakati oleh semua ulama'
ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam
diharamkan berperang dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka
diugut. Di dalam bulan ini terdapatnya ibadat Haji (bulan
Zulhijjah), di mana pada hari Arafah disunatkan bagi mereka yang
tidak menunaikan haji melakukan ibadat puasa. Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam juga menggalakkan umat Islam
melakukan puasa sunat pada hari Asyura' (10 haribulan Muharam).
TOP
Apakah
terdapat fadilat khas berpuasa bulan Rejab?
Untuk menjawab
persoalan ini, berikut dinukil keterangan beberapa ulama muktabar
masa kini:
Pertama: Shaikh Atiyah al-Saqr.
a)
Kebanyakan fadilat Rejab terkandung di dalam hadis-hadis
yang sangat lemah dan palsu. Bekas Ketua Lujnah Fatwa Al-Azhar
mengatakan bahawa setiap fadilat bagi sesuatu perkara itu harus
dilihat dari segi nas yang sahih padahal hadis-hadis yang
didatangkan mengenai fadilat bulan Rejab kebanyakannya adalah
lemah dan palsu. Beliau berkata:
Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengutamakan
beberapa bulan di atas sebahagian yang lain dan mengutamakan
sebahagian tempat di atas sebahagian yang lain. Akan tetapi tidak
boleh mensabitkan keutamaan sesuatu bulan atau tempat melainkan
dengan dalil yang nyata. Hal ini perlu dipastikan supaya tidak
berlaku pendustaan ke atas Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam. Kebanyakan hadis hadis yang datang berkenaan fadilat
Rejab tidak terlepas daripada dua kemungkinan – sama ada dha‘if (lemah)
atau maudhu’ (palsu). Tidak ada hadis-hadis yang secara jelas
dinukil daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani telah menulis sebuah
risalah dalam bab ini berjudul Tabyin al-Ujab bi ma warada fi
Fadli al-Rejab (menjelaskan keajaiban tentang apa yang
disebut-sebut tentang keutamaan bulan Rejab) dengan berkata:
“Kebanyakan hadis-hadis yang dihimpunkan berkenaan bulan Rejab (seperti)
puasanya dan solatnya, ia terbahagi kepada dua kategori, iaitu
dha‘if dan maudhu’.
b)
Fadilat Rejab berada bersama dengan fadilat bulan-bulan
haram yang lain. Fadilat Rejab secara umumnya berada di dalam
fadilat bulan-bulan Haram sebagaimana firman Allah di dalam surah
al-Taubah, ayat 36. Selain itu hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim
menerangkan bahawa bulan-bulan tersebut ialah: Zulkaedah,
Zulhijjah dan Muharram, dan yang tunggal, Rejab. Pada bulan-bulan
ini orang Islam ditegah melakukan kezaliman, peperangan dan juga
dilarang melakukan maksiat kepada Allah
Subhanahu wa Ta‘ala.
c)
Berpuasa hari pertama atau yang lain di dalam bulan-bulan
Haram di atas memiliki fadilat yang sama darjatnya. Shaikh al-Saqr
mengulas:
Amalan
salih di dalam bulan Rejab adalah sama ganjarannya di dalam
bulan-bulan Haram, di antara amalan yang dimaksudkan ialah puasa.
Sama sahaja (ganjarannya berpuasa) pada hari pertama atau pun hari
akhir (daripada bulan-bulan tersebut). Berkata Ibnu Hajar :
“Sesungguhnya bagi bulan Rejab tidak terdapatnya hadis mengenai
fadilat khas berpuasa, tidak yang sahih dan tidak yang hasan.”
Seterus Shaikh al-Saqr memetik beberapa hadis
dha‘if dan maudhu’ berkenaan fadilat bulan Rejab, antaranya:
Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah sungai yang dipanggil
Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis
dari madu, barangsiapa yang berpuasa satu hari dari bulan Rejab,
maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu.
Hadis ini dha'if.
Barangsiapa berpuasa sehari di dalam bulan Rejab seolah-olah dia
berpuasa satu bulan, dan siapa yang berpuasa di dalamnya 7 hari
maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka, dan barangsiapa yang
berpuasa 8 hari maka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan
barangsiapa yang berpuasa 10 hari, maka akan digantikan dosa
dengan kebaikan"
Hadis ini dha‘if.
Terdapat sebuah
hadis yang panjang berkenaan fadilat puasa rejab menurut hari, dan
di dalamnya terkandung:
Rejab
bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.
Hadis ini maudhu’.
d)
Tidak ada solat khas di dalam bulan Rejab. Terdapat sebuah hadis
yang berbunyi:
Barangsiapa yang solat Maghrib di awal malam dari bulan Rejab,
kemudian diikuti oleh solat 20 rakaat selepasnya, dia membaca pada
setiap rakaat surah Al-Fatihah dan Qulhu Allahu Ahad sekali dan
dia memberi salam kepadanya 10 kali salam, Allah akan menjaga
dirinya, keluarganya, hartanya dan anaknya, dan akan diselamatkan
dari azab kubur, dan perjalanan di sirat bagaikan boraq, tanpa
hisab dan azab.
Ini adalah hadis maudhu'.
e)
Menziarah kubur pada bulan Rejab tiada nasnya. Shaikh al-Saqr
menasihatkan:
Amalan
menziarahi kubur pada Jumaat pertama bulan Rejab sepertimana yang
dilakukan oleh beberapa orang yang prihatin, termasuk oleh wanita
tertentu, tidak memiliki asal usul di dalam agama. Tidak ada
ganjaran yang besar menziarahi kubur pada hari tersebut. Adalah
lebih utama di dalam bulan Rejab ini kita mengingati kembali
sejarah yang berlaku di dalamnya seperti penaklukan Tabuk,
mengingati Salahuddin al-Ayubi yang menyelamatkan Jerusalem (Al-Qudus)
dari tangan (kekuasaan) tentera Salib (Rejab 583H, 1187M) dan
tindakan orang Arab dan Islam menyucikan Masjid Al-Aqsa dari Ketua
Pasukan Pakatan. Kita juga mengingatkan kembali peristiwa Isra'
dan Mi'raj iaitu pengajaran daripadanya, di mana orang Islam
menganggapnya berlaku di dalam bulan Rejab. Allah yang Maha
Mengetahui.
Kedua: Shaikh Yusuf al-Qaradhawi
a)
Fadilat Rejab adalah sama dengan fadilat bulan-bulan haram
yang lain. Beliau berkata:
Tidaklah ada kesahihan (fadilat-fadilat) di dalam bulan Rejab,
melainkan ia merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram yang
disebut oleh Allah di dalam kitabnya (surah al-Taubah, ayat 36),
iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram....Inilah
bulan-bulan yang mempunyai fadilat. Tidak terdapat hadis sahih
bahawa yang mengkhususkan Rejab sebagai bulan yang yang memiliki
keutamaan.
b)
Hadis-Hadis mengenai fadilat Rejab kebanyakannya adalah dha‘if dan
maudhu’. Shaikh al-Qaradhawi menyambung:
Hadis ini dimaklumi sebagai sebuah
hadis fadilat Rejab: “Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan
Ramadhan bulan umatku", namun hadis ini mungkar dan sangat dha‘if,
bahkan sebahagian besar ulama' mengatakan hadis ini maudhu’, yakni
dusta. Maka tidak ada baginya nilai saintifik mahupun agama.
Selain itu terdapat juga hadis-hadis fadilat Rejab yang
menerangkan sesiapa bersolat sekian-sekian maka dia mendapat
ganjaran sekian-sekian, sesiapa beristighfar sekali maka baginya
sekian-sekian ganjaran…..semua ini adalah satu pelampauan dan
pendustaan. Malah termasuk isyarat bahawa sesuatu hadis adalah
dusta adalah bahawa ianya bersifat melampau dan berlebih-lebihan.
Berkata para ilmuan, janji mendapatkan ganjaran yang besar
terhadap amalan yang biasa atau azab yang berat untuk kesalahan
yang ringan termasuk isyarat bahawa hadis tersebut adalah dusta.
c)
Oleh
itu, lanjut Shaikh al-Qaradhawi, kita sebagai orang Islam wajib
mengetahui darjat hadis yang didengar atau dibaca. Tidak boleh
bersikap remeh dalam hal ini kerana sudah sedia terdapat buku-buku
di pasaran yang menerangkan sumber dan darjat hadis, berbanding
buku-buku yang hanya mengemukakan hadis tanpa menerangkan sumber
dan darjatnya.
Ketiga: Shaikh al-Sayid Saabiq
Shaikh al-Sayid Sabiq dalam karyanya
yang masyhur, Fiqh al-Sunnah menyebut:
Puasa
Rejab, bukanlah ada padanya fadilat yang melebihi bulan-bulan lain
melainkan sesungguhnya ia daripada bulan-bulan Haram.
Ini bermaksud bahawa
bulan-bulan haram semuanya memiliki fadilat yang sama darjatnya.
TOP
Bagaimana cara
sebenar untuk beramal di dalam bulan Rejab?
Apabila ditanya, selain bulan Ramadhan,
bulan apakah yang afdal untuk berpuasa, Shaikh Mutawalli al-Sya’rawi
menjawab dengan mengemukakan sebuah hadis daripada ‘Ali bin Abi
Thalib radhiallahu 'anh, bahawa seorang lelaki bertanya
kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Wahai Rasulullah! Apakah bulan yang engkau perintahkanku
berpuasa selepas Ramadhan?” Rasulullah menjawab: “Jika kamu
ingin berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah pada bulan
Haram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah dan padanya
terdapat satu hari yang terima taubat daripada satu kaum dan
diampunkan padanya kaum (yang lain).”
Berdasarkan hadis
ini, dianjurkan berpuasa sunat pada bulan-bulan Haram tanpa
dikhususkan kepada bulan Rejab sahaja.
Shaikh Abdul Aziz bin Baz, mufti besar
Arab Saudi pernah juga dikemukakan soalan yang seumpama. Beliau
menjawab:
Dari sudut syara’, dibolehkan berpuasa (sunat) pada
bulan Muharam dan demikian juga bulan Sya’ban. Adapun berpuasa
pada 10 hb Zulhijjah, tidak ada dalil ke atasnya, akan tetapi jika
seseorang ingin berpuasa tanpa beriktikad bahawa ia adalah puasa
yang khusus, ia tidak mengapa. Adapun bulan Allah al-Haram,
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:
“Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada
bulan Allah al-Haram.” Maka apabila berpuasa pada
bulan-bulan tersebut maka ia adalah baik, atau berpuasa pada 9,
10, 11 hb itu adalah baik juga, demikian juga dibolehkan berpuasa
pada bulan Sya’ban.
Shaikh Yusuf al-Qaradhawi menulis:
Berpuasa di dalam bulan Haram adalah maqbul
(diterima) dan mustahab (sunat hukumnya). Akan tetapi
tidaklah diriwayatkan daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam bahawa baginda berpuasa pada keseluruhan
bulan-bulan Haram tersebut. Baginda hanya berpuasa penuh satu
bulan (yakni) dalam bulan Ramadhan. Selain itu baginda banyak
berpuasa pada bulan Sya’ban tetapi tidak berpuasa sepenuhnya dalam
bulan tersebut. Inilah sunnah Nabawiyah.
Pada bulan-bulan yang lain (selain Ramadhan dan
Sya’ban), baginda berpuasa dan berbuka sehingga dikatakan oleh
para sahabat dalam sebuah riwayat: “Baginda berpuasa
sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, baginda berbuka
sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa.” (Riwayat
al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Maka apa yang dilakukan oleh
sebahagian manusia dengan berpuasa pada bulan Rejab seluruhnya
sebagaimana yang kita lihat sebelum ini, malah aku telah lihat
sebahagian manusia berpuasa pada bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan
dan 6 hari di dalam bulan Syawal dan menamakannya "Al-Ayam Al-Baidh"
selepas berbuka, (lalu) mereka membuat satu perayaan pada hari ke
8 bulan Syawal. Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari
saling secara berterusan. Mereka hanya akan berbuka apabila tiba
Hari Id (1 Syawal). Amalan seperti ini tidak datang daripada
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mahupun para sahabat
dan generasi al-Salaf al-Salih (generasi awal umat Islam).
Maka
sebaik-baik puasa (sunat) ialah puasa sehari dan berbuka sehari,
bukan berterusan di dalam berpuasa. Setiap kebaikan ialah pada
mengikuti generasi awal dan setiap keburukan ialah pada rekaan
generasi terkemudian. Barangsiapa yang ingin mengikut dan
memperoleh ganjaran yang sempurna, maka ikutlah Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam dengan tidak berpuasa pada bulan
Rejab dan Syaban seluruhnya. Inilah sebaik-baik (bentuk puasa
sunat). Wa Billahi Tawfiq.
Kesimpulan
1. Hadis-Hadis
keutamaan (fadilat) bulan Rejab kebanyakannya adalah dha‘if (lemah)
dan maudhu’ (palsu). Berterusan menyampaikan hadis-hadis ini
adalah satu bentuk pendustaan terhadap Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam.
2. Kita
dilarang mengkhususkan hari atau malam tertentu melainkan jika
pengkhususan tersebut berasal daripada Allah (al-Qur’an) dan
Rasul-Nya (hadis-hadis yang sahih).
3. Tidak
ditemui dalil bahawa bulan Rejab memiliki fadilat yang khusus,
yang ada cuma fadilat umum keempat-empat bulan haram.
4. Demikian
juga, tidak ditemui dalil bagi melakukan solat, puasa, zikir,
ziarah kubur dan sebagainya yang khusus bersempena bulan Rejab.
Risalah 2:
Hadis
Dha‘if: Hukum dan Syarat Pengamalannya
Untuk memudahkan kefahaman para pembaca,
orang-orang yang
berpuasa pada bulan Rejab boleh dikategorikan kepada beberapa
kumpulan:
-
Mereka yang memperbanyakkan puasa sunat pada
bulan-bulan Haram, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam
dan Rejab tanpa melakukannya secara berterusan. Ini adalah
sunnah.
-
Mereka yang berpuasa sunat Isnin, Khamis dan
sebagainya dalam bulan Rejab. Mereka berpuasa sunat bukan
kerana fadilat Rejab tetapi kerana hadis-hadis yang
menganjurkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Ini
adalah sunnah.
-
Mereka yang berpuasa sunat dalam keseluruhan
bulan Rejab kerana fadilat Rejab. Ini bukanlah sunnah.
-
Mereka yang berpuasa secara berterusan
daripada bulan Rejab, Syaban, Ramadhan dan enam hari bulan
Syawal. Mereka tidak berhenti kecuali pada 1 Syawal. Ini
bukanlah sunnah.
5. Mereka
yang melarang apa-apa bentuk puasa sunat dalam bulan Rejab.
Ini tidak benar. Boleh berpuasa sunat dalam bulan Rejab
sebagaimana yang disebut dalam kategori pertama dan kedua di
atas. Yang dilarang ialah puasa sunat kerana fadilat Rejab.
-
Mereka yang mengqadha puasa Ramadhan yang
lepas dalam bulan Rejab. Ini dibolehkan selagi mana dia
tidak beriktikad adalah lebih utama untuk mengqadha dalam
bulan Rejab kerana fadilat-fadilatnya. (Hafiz Firdaus).