Setiap
kali bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan menjelang tiba, umat Islam
secara umumnya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memanfaatkannya
dengan amal ibadah. Selari dengan usaha ini, minat untuk bertanya,
mengkaji dan menimba ilmu juga meningkat. Ini adalah sesuatu yang
baik kerana tidak ada ibadah tanpa ilmu yang benar.
Alhamdulillah,
saya banyak menerima soalan berkenaan puasa dan isu-isu yang berkaitan
dengannya. Soalan-soalan ini, sekalipun berasal daripada individu
yang berbeza, lazimnya mengarah kepada persoalan yang sama. Persoalan-persoalan
ini saya kelompokkan dalam kategorinya yang tertentu. Kemudian bagi
setiap kategori saya jelaskan dalam bentuk satu risalah agar ia
tidak sahaja dimanfaatkan oleh individu yang bertanya tetapi meluas
kepada semua yang berminat. Risalah-risalah ada di antaranya yang
pernah disiarkan dalam majalah tempatan, ada yang saya jadikan kertas
kuliah dalam majlis-majlis ilmu dan ada yang saya paparkan di laman
web al-firdaus.com. Risalah-risalah ini kemudiannya dihimpunkan
menjadi sebuah buku sebagaimana yang sedang ditatapi sekarang ini.
Risalah-risalah ini saya usahakan secara rambang. Dengan itu para
pembaca yang prihatin akan mendapati risalah-risalah ini memiliki
format perbahasan yang berbeza. Malah ada beberapa poin tertentu
yang berulang di antara risalah. Ini bukanlah satu kekurangan, malah
adalah satu kelebihan di mana setiap risalah berdiri dengan sendirinya
sehingga setiap individu boleh mengkaji risalah yang berkaitan dengan
persoalan yang dihadapinya.
Pada
waktu yang sama, saya juga memanfaatkan sebuah risalah daripada
Ustaz Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. Beliau adalah seorang pensyarah
Univ. Sains Malaya dan penceramah yang sudah dikenali ramai,
alhamdulillah. Di samping itu saya juga memanfaatkan dua buah
risalah daripada akhi Khairol Amin bin Mohd Salleh. Beliau,
yang lebih dikenali dengan nama singkat “Kamin”, ialah seorang yang
mendalam ilmunya lagi rajin berusaha untuk menyebarkannya kepada
orang ramai. Beliau merupakan salah seorang ahli panel fiqh al-ahkam
(www.al-ahkam.com.my), sebuah laman web yang mengendalikan ratusan
persoalan fiqh di alam maya sejak beberapa tahun yang lalu. Jazakallahu
khairan katsiran diucapkan kepada kedua-duanya kerana sudi mengizinkan
dua daripada risalahnya dimasukkan dalam buku ini.
Perlu
diingatkan bahawa buku ini tidak membicarakan “Panduan Berpuasa”
kerana hal tersebut adalah sesuatu yang sudah sedia maklum di kalangan
orang ramai. Lebih dari itu terdapat banyak buku di pasaran yang
membicarakan subjek puasa secara umum. Buku ini hanya memberi tumpuan
kepada persoalan-persoalan yang lazim dikemukakan tentang puasa
dan isu-isu yang berkaitan dengannya.
Tidak
dinafikan bahawa wujud beberapa persoalan lain yang tidak sempat
dibahas dalam buku ini. Demikian juga, diakui bahawa terdapat para
pembaca yang lebih arif terhadap beberapa persoalan yang dibahas
dalam buku ini. Dengan tangan yang terbuka, saya mengalu-alukan
apa-apa persoalan, pembaikan dan pandangan daripada para pembaca
sekalian. Saya boleh dihubungi melalui e-mel di alamat hafizfirdaus@yahoo.com
atau melalui SMS di nombor 019-3848467.
Akhir
kata, selamat mengkaji dan menganalisa. Semoga setiap amal ibadah
kita adalah selari dengan tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah yang
sahih supaya ia diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Sebelum mengakhiri Kata Pengantar yang ringkas ini, ingin saya ucapkan
ribuan terima kasih kepada ukhti Maryati bt. Mat Nasir, akhi
Muhammad Rafiq dan akhi Mohammad Yaakub b. Mohammad
Yunus atas kesudian mereka membaca, menyemak dan memberi pandangan
pembaikan kepada buku ini. Semoga Allah Subhanahu wa Ta‘ala membalasi
mereka dengan ganjaran yang sebaik-baiknya di dunia dan akhirat.
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Hafiz Firdaus bin Abdullah
1-28 Ramadhan 1425H