Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah
bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramadhan apabila didatangi
haid. Ini kerana apabila mereka didatangi haid, mereka tidak boleh
berpuasa, tidak boleh bersolat – khasnya solat tarawih dan tidak boleh
membaca al-Qur’an. Lalu apakah yang boleh mereka amalkan agar
hari-hari Ramadhan tidak berlalu begitu sahaja ketika mereka didatangi
haid?
Penulis menjawab, kalian boleh membaca al-Qur’an ketika haid. Jawapan
ini secara automatis dibalas dengan soalan: “Bukankah wanita yang
didatangi haid dilarang daripada memegang dan membaca al-Qur’an?”
Soalan ini memerlukan jawapan yang panjang lagi mendalam. Berikut
adalah jawapan penulis tentang hukum sebenar bagi wanita memegang dan
membaca al-Qur’an ketika didatangi haid, sama ada di bulan Ramadhan
atau selain Ramadhan.
Pertama:
Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an.
Umumnya terdapat dua
pendapat, yang pertama mengatakan tidak boleh manakala yang kedua
berkata boleh. Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:
Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui
bersih suci.
[al-Waqiah 56:79]
Diikuti dengan sabda
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Tidaklah menyentuh al-Qur’an
dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.
Manakala
bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang
wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa
melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang melarangnya. Dalam hal
ini yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan
bersetubuh. Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil tepat
yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.
Ayat al-Qur’an
yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk
dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya
merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada
keseluruhan ayat yang berkaitan:
Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan
dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh
makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari
Allah Tuhan sekalian alam.
[al-Waqiah
56:77-80]
Berkata
Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat “fii Kitabim-maknun”
bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun
adalah para malaikat yang suci.
Justeru keseluruhan ayat sebenarnya
menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam
al-Lauh al-Mahfuz, di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa
kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.
Hadis yang
dijadikan dalil melarang adalah juga tidak tepat sandarannya kerana
perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu
perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan
mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak
erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan
wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.
Perkataan
suci dalam hadis di atas boleh bererti suci daripada najis
seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci daripada hadas
besar seperti haid dan junub, dan suci daripada hadas kecil yakni
seseorang yang dalam keadaan wudhu’. Ia juga boleh bererti suci dari
sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik:
Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis.
[al-Taubah
9:28]
Oleh
itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di
atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di
mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat
yang dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
kepada seorang sahabat di Yaman. Pada saat itu Yaman adalah sebuah
wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan
Islam dan Islam, justeru kemungkinan yang besar adalah surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada
disentuh oleh orang bukan Islam.
Himpunan
antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik
sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat
bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada
orang Islam. Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang
bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an.
Akhirnya
jika dianalisa antara dua pendapat di atas, yang lebih tepat adalah
pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk
memegang al-Qur’an.
TOP
Kedua:
Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an.
Dalam persoalan ini
terdapat sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Tidak boleh membaca
sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub
atau haid.
Hadis ini memiliki beberapa jalan
periwayatan namun setiap darinya adalah dha‘if. Berkata Imam al-Nawawi
rahimahullah (676H):
Adapun hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca
sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub
atau haid” , maka ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah,
al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan
oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat
padanya adalah jelas.
Namun
sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid
daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada
keadaan junub.
Namun hal ini dianggap tidak tepat kerana dua sebab:
1. Peranan
qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud
pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa-apa
perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara
analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman
Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Adapun haid,
maka ia adalah sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila pada zaman itu Allah dan
Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haid daripada
membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian
membuat hukum yang baru.
2. Haid
dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu
keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya
atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada
bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan
haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.
Sebahagian lain melarang atas dasar
memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka
berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali
beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan.
Pendapat ini juga dianggap kurang tepat
kerana seseorang wanita, sama ada dalam keadaan haid atau tidak,
tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan
melainkan wujudnya dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah
seperti solat, puasa, tawaf dan bersetubuh. Adapun pensyari‘atan mandi
wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas
sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang
sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun
kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang
wanita yang sedang dalam keadaan haid.
Pernah
sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh mengasingkan diri daripada
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau balik ke rumah
untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah
dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau
sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu Rasulullah bersabda:
Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang mukmin tidaklah ia
menjadi najis.
Kata-kata Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam di atas bersifat umum, menunjukkan
bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam
keadaan najis sekalipun dia dalam keadaan junub. Termasuk dalam
keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid.
Sebagai rumusan kepada
kupasan ini, berikut dinukil kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah
rahimahullah (728H):
Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada
zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka seandainya
membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana
solat, pasti baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam akan
menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada para
Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada
mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang
melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini tidak boleh
dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak
melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai
wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia
sememangnya tidak haram.
Kesimpulan:
Allah Subhanahu wa
Ta‘ala berfirman:
Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia
pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[al-Baqarah 2:1-2]
Setiap individu Muslim
yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang memberi petunjuk
kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat,
termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid. Tidak mungkin
untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk
dalam kehidupan sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah al-Qur’an
dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang
didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Qur’an seperti biasa.
Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang
lemah sekalipun masyhur.