Setiap kali ketibaan bulan Rejab, timbul perbincangan di kalangan
orang ramai berkenaan beberapa amalan yang khusus kerananya seperti
puasa sunat Rejab, solat sunat malam tertentu bulan Rejab dan
sebagainya. Di satu pihak terdapat mereka yang mengatakan tidak ada
apa-apa amal ibadah yang khusus dengan bulan Rejab kerana semua hadis
yang menganjurkan ibadah tersebut adalah tidak sahih. Di pihak yang
lain mereka membolehkan pengamalan ibadah-ibadah tersebut dengan hujah
hadis yang tidak sahih – yakni hadis-hadis dha‘if – boleh digunakan
dalam keutamaan beramal.
Dalam risalah ini
penulis akan cuba mengupas isu beramal dengan hadis yang dha‘if.
Kupasan bersifat umum tanpa terhad kepada amalan bulan Rejab sahaja
kerana terdapat banyak lagi amalan kita di Malaysia yang disandarkan
kepada hadis-hadis yang dha‘if.
Kata-Kata al-Imam al-Nawawi.
Kebanyakan orang yang membolehkan
penggunaan hadis dha‘if menyandarkan hujah mereka kepada kata-kata
al-Imam al-Nawawi rahimahullah (676H):
Berkata para ilmuan daripada kalangan ahli hadis, ahli
fiqh dan selain mereka, dibolehkan – bahkan disunatkan beramal dengan
hadis dha‘if dalam bab keutamaan (al-Fadha’il), memberi anjuran
(al-Targhib) dan amaran (al-Tarhib) asalkan ianya bukan
hadis maudhu’.
Adapun dalam bab hukum-hakam seperti halal dan haram,
jual-beli, penceraian dan apa-apa lain yang seumpama, tidak boleh
beramal dengan hadis dha‘if kecuali dengan hadis yang sahih atau hasan.
Melainkan jika hadis-hadis tersebut bersangkutan dengan sikap
berhati-hati terhadap bab-bab tersebut, seperti hadis dha‘if yang
menyebutkan makruhnya hukum melakukan sebahagian bentuk jual-beli atau
pernikahan, maka disunatkan untuk menghindari daripadanya (yang makruh
tersebut) namun ia tidak jatuh kepada hukum wajib.
Ada yang menerima
kata-kata al-Imam al-Nawawi di atas sebulat-bulatnya, bahkan
menganggap mudah bahawa pengamalan hadis dha‘if diperbolehkan asalkan
ianya bukan hadis maudhu’. Sebenarnya terdapat beberapa syarat yang
perlu diperhatikan oleh seseorang sebelum dia boleh mengamalkan hadis
dha‘if. Syarat-syarat ini juga diketahui dan dipegang oleh al-Imam al-Nawawi,
hanya beliau tidak menggariskannya dalam kitabnya al-Azkar
kerana kitab tersebut bukanlah kitab ilmu hadis tetapi kitab yang
dipermudahkan untuk menjadi amalan orang ramai. Hal ini seperti yang
disebutkan sendiri oleh al-Imam al-Nawawi di bahagian muqaddimah kitab
al-Azkarnya tersebut.
TOP
Pendapat
para ilmuan berkenaan pengamalan hadis dha‘if
Dalam kata-kata al-Imam
al-Nawawi di atas, beliau menyebut bahawa:
“Berkata para ilmuan daripada kalangan ahli hadis, ahli
fiqh dan selain mereka, dibolehkan – bahkan disunatkan beramal dengan
hadis dha‘if……”
Kata-kata di atas sebenarnya bukan mencerminkan pandangan ijma’ tetapi
jumhur ilmuan Islam. Hal ini diterangkan oleh al-Hafiz al-Sakhawi
rahimahullah (902H):
……bahawa dalam pengamalan hadis dha‘if terdapat tiga
pendapat: (yang pertama adalah) tidak dibolehkan beramal dengannya
secara mutlak, (yang kedua adalah) boleh beramal dengannya jika dalam
bab tersebut tidak ada yang selainnya (tidak ada hadis yang sahih atau
hasan) dan yang ketiga – ini merupakan pendapat jumhur – boleh beramal
dengannya dalam bab keutamaan asalkan bukan dalam bab hukum-hakam
sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini akan syarat-syaratnya.
TOP
Syarat-syarat pengamalan
hadis dha‘if.
Sepertimana yang dikatakan oleh al-Hafiz
al-Sakhawi di atas, jumhur ilmuan membolehkan penggunaan hadis dha‘if
dalam bab keutamaan beramal selagi mana diperhatikan syarat-syaratnya.
Syarat-syarat tersebut dikemukakan oleh beliau seperti berikut:
Saya mendengar guru kami rahimahullah (yakni
al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, 852H) selalu berkata, bahkan telah
mencatitkannya dengan tulisannya untuk saya bahawa syarat pengamalan
hadis dha‘if ada tiga:
1. Yang
disepakati, bahawa kelemahan hadis tersebut tidak berat. Maka
terkeluarlah apa yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang dusta atau
dituduh sebagai pemalsu hadis serta yang parah kesalahannya.
2. Bahawa
ianya mencakupi asas umum (agama). Maka terkeluarlah sesuatu yang
diada-adakan kerana tidak memiliki dalil asas yang mengasaskannya.
3. Bahawa
ia diamalkan tanpa berkeyakinan ia adalah sabit (daripada Nabi), agar
tidak disandarkan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam apa
yang tidak disabdakan olehnya.
Seterusnya marilah kita
mengulas lanjut tiga syarat di atas.
Ulasan kepada syarat
pertama
Hadis dha‘if yang diperbolehkan penggunaannya ialah hadis yang ringan
kelemahannya. Maka dari sini dapat kita ketahui bahawa setiap hadis
yang ingin digunakan, sekalipun untuk tujuan keutamaan beramal dan
memberi anjuran serta amaran, perlu dirujuk kepada sumbernya yang asal
dan disemak darjatnya. Ini kerana tanpa merujuk kepada sumbernya yang
asal dan menyemak darjatnya, kita tidak akan mengetahui sama ada
kelemahannya adalah ringan atau berat. Dirujuk kepada sumbernya yang
asal bererti mencari hadis tersebut dalam kitab-kitab hadis sama ada
ia benar-benar wujud atau tidak. Disemak darjatnya bererti dikaji
sanadnya sama ada ianya sahih atau tidak. Jika ianya tidak sahih, maka
disemak sama ada kelemahannya adalah ringan atau berat. Jika
kelemahannya ringan maka ia lulus syarat yang pertama ini, jika
kelemahannya adalah berat maka ia gagal.
Di sini penulis merasa
perlu untuk membetulkan salah faham masyarakat, termasuk para da’i,
penceramah, penulis dan ilmuan yang selain daripada ahli hadis, yang
berpendapat boleh menggunakan apa jua hadis asalkan ia duduk di dalam
bab keutamaan beramal (al-Fadha‘il) dan memberi anjuran serta
amaran (al-Targhib wa al-Tarhib). Mereka tidak menyemak
asal-usul hadis tersebut sama ada ia wujud atau tidak dalam
kitab-kitab hadis yang lengkap dengan sanadnya. Lebih memberatkan,
mereka tidak memberi perhatian langsung kepada darjatnya. Setiap hadis
yang mereka temui dalam bab ini disampaikan terus dalam kuliah-kuliah
atau karya-karya mereka.
Ini sebenarnya adalah kesalahan yang amat
berat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda,
maksudnya: “Sesiapa yang menceritakan (atau meriwayatkan) satu
hadis dan dia pandang hadis tersebut sebagai dusta, maka dia termasuk
dalam salah seorang pendusta.” [Shahih Muslim,
muqaddimah] Terhadap hadis ini, al-Imam Ibn Hibban
rahimahullah (354H) menukil daripada al-Imam Abu Hatim
rahimahullah:
Dalam hadis ini terdapat dalil yang membenarkan apa
yang kami sebut, bahawa apabila seseorang itu meriwayatkan sebuah
hadis yang tidak sah daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam,
apa sahaja hadis yang disandarkan kepada baginda, padahal dia
mengetahui bahawa ia tidak sah, (maka) dia termasuk salah seorang
pendusta.
Malah maksud zahir hadis ini adalah lebih berat kerana
baginda shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang
menceritakan (atau meriwayatkan) satu hadis dan dia pandang hadis
tersebut sebagai dusta…”, baginda tidak mengatakan bahawa orang
tersebut yakin bahawa hadis tersebut adalah dusta (tetapi sekadar
memandangnya sebagai dusta). Maka setiap orang yang ragu-ragu sama ada
yang diriwayatkannya itu adalah sahih atau tidak sahih termasuk dalam
zahir perbicaraan hadis ini.
Perkara yang sama juga disebut oleh
al-Imam al-Thohawi rahimahullah (321H):
Sesiapa yang menyampaikan hadis daripada Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam berdasarkan sangkaan, bererti dia
menyampaikan hadis daripada baginda secara tidak benar. (Sesiapa yang)
menyampaikan hadis daripada baginda secara tidak benar bererti dia
menyampaikan hadis daripada baginda secara batil. (Sesiapa yang)
menyampaikan hadis daripada baginda secara batil (maka) dia berdusta
ke atas baginda sebagaimana seorang pendusta hadis. Mereka termasuk
dalam sabdanya shallallahu 'alaihi wasallam: “Sesiapa yang
berdusta ke atas aku maka hendaklah dia mengambil tempat duduknya di
dalam neraka.” Kami berlindung daripada Allah Ta‘ala
daripada yang sedemikian.
Berdasarkan syarat yang
pertama ini, hendaklah kita pastikan bahawa setiap hadis yang
digunakan untuk tujuan keutamaan beramal dan memberi anjuran serta
amaran memiliki sumber rujukannya serta dijelaskan darjatnya. Tidak
boleh disampaikan sesuatu hadis dengan sangkaan ia memiliki rujukan
dan darjat yang paling rendah adalah ringan kelemahannya kerana
sangkaan seperti ini termasuk dalam kategori mendustakan Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam.
Umpamakan hal ini
seperti seorang jurujual yang mempromosi sebuah buku. Dia menceritakan
kepada para pelanggannya bahawa buku tersebut adalah baik serta banyak
maklumat yang benar lagi besar manfaatnya. Padahal si jurujual itu
sendiri pada asalnya tidak pernah membaca buku tersebut untuk
membezakan sama ada ia adalah baik atau tidak, jauh sekali daripada
mengkaji maklumat di dalamnya sama ada ia adalah benar atau tidak.
Nah, apa yang dipromosikan oleh si jurujual ini terbuka kepada
kemungkinan benar dan salah. Namun oleh kerana dia tetap membuat
promosi tanpa menerangkan hakikat yang sebenar, dia sebenarnya
berdusta kepada para pelanggannya.
Demikianlah juga dengan
seseorang yang menyampaikan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam
tanpa dia sendiri mengetahui asal usul dan darjatnya. Apa yang
disampaikannya terbuka kepada kemungkinan benar atau salah. Namun
apabila dia tetap menyampaikan hadis tersebut dan menyandarkannya
kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, dia juga dikira
berdusta ke atas baginda. Oleh itu hendaklah kita sentiasa peka kepada
syarat yang pertama ini, sama ada kita adalah sebagai penyampai atau
penerima hadis-hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
Pastikan ia memiliki sumber rujukan dan dijelaskan darjatnya. Jika
syarat yang pertama ini tidak dipenuhi, hendaklah hadis tersebut
ditinggalkan sekalipun ia memiliki kedudukan yang masyhur di kalangan
masyarakat.
TOP
Ulasan kepada syarat
kedua.
Hadis dha‘if tidak boleh digunakan untuk
menetapkan sesuatu amalan, perintah atau larangan. Peranan hadis
dha‘if tidak lain sekadar menerangkan keutamaan satu amalan yang
telah ditetapkan oleh al-Qur’an dan/atau hadis yang sahih. Hadis
dha‘if juga tidak boleh digunakan untuk menganjur atau melarang
sesuatu perkara melainkan perkara tersebut telah tetap hukumnya
daripada al-Qur’an dan/atau hadis yang sahih. Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah rahimahullah (728H) berkata:
Berkata (al-Imam) Ahmad bin Hanbal, apabila datang (persoalan)
halal dan haram kami memperketatkan semakan sanad dan apabila datang (persoalan)
memberi anjuran dan amaran (al-Targhib wa al-Tarhib) kami
memudahkan semakan sanad. (Ibn Taimiyyah mengulas lanjut): Demikianlah
apa yang disepakati oleh para ilmuan tentang beramal dengan hadis
dha‘if dalam keutamaan beramal. Ia tidaklah bermaksud menetapkan hukum
sunat berdasarkan hadis yang tidak boleh dijadikan hujah dengannya (kerana
ia adalah dha‘if). Ini kerana “sunat” merupakan hukum syari‘at yang
tidak boleh ditetapkan melainkan dengan dalil syari‘at juga. Sesiapa
yang mengkhabarkan daripada Allah bahawasanya Dia menyukai (menyunatkan)
sesuatu amal tanpa dalil syari‘i maka sungguh dia telah mensyari‘atkan
dalam agama apa yang tidak diizinkan Allah.
Sebagai contoh, hadis-hadis berkenaan
puasa pada bulan Rejab dan solat khusus pada malam-malam tertentu
bulan Rejab semuanya tidak ada yang sahih. Syaikh Sayid Sabiq
menegaskan:
Berkenaan puasa pada bulan Rejab, tidak ada kelebihan
yang menonjol (tentang bulan Rejab) berbanding bulan-bulan lain,
kecuali bahawa ia termasuk daripada bulan-bulan haram (yakni bulan
Zulqa‘idah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab). Tidak diterima dalam
sunnah yang sahih bahawa berpuasa dalam bulan Rejab memiliki keutamaan
yang khusus. Adapun apa yang datang tentangnya (keutamaan berpuasa
pada bulan Rejab), ia tidak dapat dipertanggungjawabkan sebagai hujah.
Berkata (al-Hafiz) Ibn Hajar (al-Asqalani), tidak diterima (apa-apa)
hadis yang sahih yang dapat dijadikan hujah tentang keutamaannya (bulan
Rejab), mahupun tentang puasanya dan puasa pada hari-hari tertentu
daripadanya mahupun solat pada malam yang tertentu daripadanya.
Apabila tidak wujud
hadis yang sahih yang menetapkan wujudnya “Puasa sunat Rejab” dan
“Solat malam Rejab yang ke sekian-sekian hari”, hadis-hadis yang
menerangkan keutamaan berpuasa dan bersolat pada bulan Rejab tidak
memiliki apa-apa nilai. Yang lebih penting, ia tidak boleh dijadikan
dalil untuk menghukum sunat berpuasa dan bersolat secara khusus kerana
bulan Rejab.
Sebenarnya terdapat
banyak lagi amalan yang dilakukan oleh umat Islam berdasarkan hadis
yang dha‘if tanpa diperhatikan sama ada amalan tersebut terlebih
dahulu telah ditetapkan atau tidak oleh dalil al-Qur’an dan/atau hadis
yang sahih. Setakat ini berdasarkan ulasan kepada syarat yang pertama
dan kedua, hendaklah setiap orang yang ingin beramal dengan hadis
dha‘if menyemak terlebih dahulu bahawa:
1. Hadis
yang ingin dijadikan sumber amalan memiliki rujukan dalam kitab yang
asal dan telah disemak bahawa ia sekurang-kurangnya memiliki darjat
kelemahan yang ringan.
2. Amalan
tersebut telah ditetapkan berdasarkan dalil al-Qur’an dan/atau hadis
yang sahih manakala hadis yang lulus syarat pertama di atas tidak lain
hanyalah untuk menerangkan keutamaan amalan tersebut.
TOP
Ulasan
kepada syarat ketiga
Apabila menggunakan
hadis dha‘if yang telah memenuhi dua syarat yang pertama di atas,
hendaklah diingati bahawa tidak boleh berkeyakinan hadis tersebut
adalah sabit daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
Berdasarkan syarat yang ketiga ini, para ahli hadis telah menetapkan
bahawa hadis yang dha‘if tidak boleh disandarkan sebutannya kepada
diri Rasulullah secara jelas tetapi perlu diisyaratkan kelemahannya.
Misalnya, tidak boleh berkata: “Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda bahawa……” tetapi
hendaklah berkata: “Dalam kitab Mu’jam al-Kabir oleh al-Imam
al-Thabarani, terdapat sebuah hadis dha‘if yang berbunyi ……” atau
apa-apa lain yang seumpama. Al-Imam al-Nawawi menjelaskan:
Berkata para ilmuan peneliti (al-Muhaqqiqun)
daripada kalangan ahli hadis dan selain mereka, apabila sebuah hadis
adalah dha‘if tidak boleh dikatakan terhadapnya “Telah bersabda
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam …” atau “Rasulullah
telah berbuat…” atau “Rasulullah telah memerintahkan…” atau
“Rasulullah telah melarang…” atau “Rasulullah telah menghukum…” dan
apa-apa lain yang menyerupainya daripada bentuk kalimah yang
menunjukkan kepastian.
Demikian juga, tidak boleh dikatakan terhadap (hadis
dha‘if tersebut) “Diriwayatkan oleh Abu Hurairah…” atau “Berkata Abu
Hurairah…” atau “Disebut oleh Abu Hurairah…” atau “Dikhabarkan oleh
Abu Hurairah…” atau “Dihadiskan oleh Abu Hurairah…” atau “Dinukil oleh
Abu Hurairah…” dan apa-apa lain yang menyerupainya. Demikian juga,
tidak boleh dikatakan yang seumpama terhadap para tabi’in dan
orang-orang sesudah mereka terhadap apa yang dha‘if. Tidak boleh
berkata terhadap apa jua riwayat yang dha‘if dengan kalimah yang
menunjukkan kepastian.
Sesungguhnya yang (boleh) dikatakan hanyalah “Diriwayatkan daripadanya…”
atau “Dinukil daripadanya…” atau “Dihikayatkan daripadanya…” atau
“Didatangkan daripadanya…” atau “Disampaikan daripadanya…” ……… dan apa
yang menyerupainya daripada kalimah yang menunjukkan kelemahan, tidak
daripada kalimah yang menunjukkan kepastian.
Mereka (para ilmuan peneliti) berkata, kalimah yang
menunjukkan kepastian ditujukan untuk hadis yang sahih atau hasan
manakala kalimah yang menunjukkan kelemahan ditujukan kepada apa yang
selain daripada kedua-dua (bukan hadis sahih dan bukan hadis hasan).
Amat penting untuk
mengisyaratkan kedha‘ifan hadis tersebut agar:
1. Orang
ramai dapat mengetahui bahawa si penyampai telah menyemak sumber dan
darjat hadis tersebut,
2. Orang
ramai tidak menganggapnya sebagai sebuah hadis yang sahih,
3. Orang
ramai tidak menetapkan hukum berdasarkan hadis tersebut,
4. Seandainya
wujud kemusykilan dalam maksud hadis tersebut, ia tidak mengelirukan
orang ramai kerana mereka tahu ia tidak sahih.
Jika syarat ketiga ini tidak diperhatikan,
orang ramai tidak akan dapat membezakan antara hadis yang sahih dan
tidak sahih. Akibatnya mereka akan mengamalkan hadis tersebut sebagai
sumber hukum dan menyebarkannya kepada masyarakat dengan anggapan ia
adalah benar dan baik. Akhirnya ia akan menjadi masyhur dan sebati di
dalam masyarakat dan menganggapnya sebahagian daripada syari‘at Islam.
Ini sama-sama dapat kita perhatikan di negara kita sendiri masa kini.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah mengingatkan
tentang natijah buruk ini kira-kira 500 tahun yang lalu:
Sedia dikenali bahawa para ahli ilmu mempermudahkan
penerimaan hadis dalam bab keutamaan (al-Fadha’il) sekalipun di
dalamnya memiliki kelemahan selagi mana ia bukan hadis maudhu’. Namun
disyaratkan bagi orang yang mengamalkannya bahawa dia yakin hadis
tersebut adalah dha‘if dan dia tidak memasyhurkannya kerana
dibimbangi seseorang lain akan beramal dengan hadis yang dha‘if
tersebut (tanpa mengetahui ia adalah dha‘if) sehingga mensyari‘atkan
apa yang tidak disyari‘atkan atau dia meriwayatkannya kepada
sebahagian orang yang jahil sehingga disangkakan ia adalah sunnah yang
sahih.
Demikianlah ulasan
kepada tiga syarat penting yang perlu diperhatikan oleh setiap orang
yang ingin menggunakan hadis dha‘if. Apabila sesebuah hadis telah
lulus tiga syarat di atas, terdapat dua perkara tambahan yang perlu
diperhatikan, iaitu:
TOP
Memberi
prioriti kepada hadis sahih dan hasan
Jika di dalam sebuah bab
terdapat hadis-hadis yang sahih, hasan dan dha‘if, maka hendaklah
seseorang itu memberi prioriti kepada yang sahih dan hasan sahaja.
Sebabnya:
1. Hadis
yang sahih dan hasan adalah sabit daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam manakala hadis yang dha‘if masih terbuka kepada
kemungkinan benar dan salah. Maka berpegang kepada yang pasti adalah
lebih utama daripada yang diragui.
2. Menyibukkan
diri dengan hadis yang dha‘if lazimnya akan menyebabkan hadis yang
sahih dan hasan terpinggir. Ini kerana setiap individu memiliki
kemampuan yang terhad. Jika kemampuan itu dipenuhi dengan menyibukkan
diri dengan hadis dha‘if, maka hadis yang sahih dan hasan akan
tercicir daripada dirinya.
Poin kedua di atas pernah diulas oleh
al-Imam ‘Abd al-Rahman bin Mahdi rahimahullah (198H):
Tidaklah wajar seseorang itu menyibukkan dirinya dengan
menulis hadis-hadis yang dha‘if kerana kesibukannya itu akan
mengakibatkan tercicirnya hadis daripada para perawi yang thiqah
(terpercaya = hadis sahih) sebanyak hadis daripada perawi lemah yang
ditulisnya.
Izinkan penulis memberi satu contoh.
Setiap tahun ketika tibanya Nisfu Sya’ban, ada di antara kita yang
berpuasa, bersolat malam, membaca surah Yasin tiga kali dengan doa
tertentu di antaranya dan pelbagai lagi. Semua amalan ini sebenarnya
tidak pernah ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
Hadis-hadis yang menganjurkannya tidak ada yang sahih dan tidak boleh
dijadikan dasar bagi menetapkan sesuatu amalan. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi
hafizahullah menukil kata-kata al-Imam Ibn al-‘Arabi
rahimahullah (543H) dalam persoalan ini:
Tidak ada sebuah hadis jua yang dipercayai kesahihannya
mengenai keutamaan malam Nisfu Sya’ban. Jika kita (hendak) menerima
hadis-hadis yang menerangkan keutamaan malam Nisfu Sya’ban dan kita
hendak memperingatinya dengan amal kebajikan, maka hal ini tidak
pernah berasal daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
mahupun daripada para sahabat radhiallahu ‘anhum dan kaum
muslimin abad-abad pertama. Padahal mereka semua termasuk umat Islam
yang terbaik.
Daripada semua sumber tersebut tidak ada riwayat yang
menerangkan bahawa malam Nisfu Sya’ban diperingati dengan berkumpul di
masjid-masjid, membaca doa-doa tertentu dan melakukan solat-solat
khusus seperti yang kita saksikan di beberapa negeri kaum muslimin.
Bahkan di beberapa negeri sejumlah orang berkumpul sesudah solat
Maghrib di masjid-masjid lalu membaca surah Yasin, solat dua rakaat
dengan niat memohon panjang umur, ditambah dua rakaat lagi dengan doa
dijauhkan ketergantungan hidup daripada orang lain, kemudian mereka
membaca doa panjang lebar yang tidak berasal daripada seorang pun
daripada kalangan Salaf. Doa yang mereka baca itu pula
menyalahi nas-nas (al-Qur’an dan al-Sunnah) serta mengandungi hal-hal
yang saling berlawanan maksudnya.
Dalam kesibukan kita
membaca, menyebar dan mengamalkan hadis-hadis yang dha‘if berkenaan
malam Nisfu Sya’ban, kita telah keciciran sebuah hadis yang sahih
mengenainya. Hadis tersebut ialah: “Allah akan memperhatikan
semua makhluk pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia mengampuni semua
makhluknya kecuali orang musyrik dan yang bermusuhan (sesama sendiri).”
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Hibban, berkata Syaikh Syu‘aib
al-Arna’uth hafizahullah dalam semakannya ke atas Shahih Ibn
Hibban (Muassasah al-Risalah, Beirut 1997) jld. 12, ms. 481, no:
5665: “Hadis sahih bi syawahid.” Hadis ini juga dihimpun oleh al-Imam
al-Munziri rahimahullah (656H) dalam kitabnya al-Targhib wa
al-Tarhib (Dar Ibnu Katsir, Damsyik 1999), jld. 2, ms. 51, no:
1517. Berkata para penyemak: Shaikh Samir Ahmad al-‘Athar, Yusuf Ali
Badiwi & Muhyiddin Dibb Matsu: “Sahih bi syawahid.” Berkata Syaikh al-Albani
dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib (Maktabah al-Ma‘arif,
Riyadh 2000), jld. 1, ms. 597, no: 1026: “Hasan Sahih.”
Sama-sama kita bertanya
kepada diri kita, adakah kita mengetahui tentang hadis ini? Adakah
selama ini hadis di atas tersembunyi atau tercicir daripada
pengetahuan kita kerana selama ini kita sibuk dengan pelbagai hadis
lain, yang tidak satu jua yang sahih, berkenaan malam Nisfu Sya’ban?
Lebih jauh, sudahkah kita mengamalkan hadis ini?
Mengamalkan hadis ini
bukanlah dengan berpuasa, bersolat malam, berzikir, berdoa dan
sebagainya. Akan tetapi beramal dengannya ialah kita melayakkan diri
kita supaya memperoleh pengampunan Allah Subhanahu wa Ta‘ala
pada malam Nisfu Sya’ban. Terdapat dua syarat kelayakan, yang
pertama kita lulus, alhamdulillah. Yang kedua perlu kita
pastikan bahawa kita tidak bermusuhan dengan sesiapa di kalangan umat
Islam. Jika ada, mungkin saudara, jiran, rakan kerja dan sebagainya,
hendaklah kita bermaafan dan menghubungkan semula silraturahim. Inilah
cara “mengamalkan” hadis sahih di atas berkenaan malam Nisfu Sya’ban.
TOP
Hadis dha‘if tidak boleh
dijadikan ukuran nilai sesuatu amal
Kepentingan atau keburukan sesuatu amal
tidak boleh diukur berdasarkan hadis-hadis dha‘if sahaja. Sering kali
para penulis dan penceramah begitu ghairah menyampaikan hadis-hadis
dha‘if dalam memberi anjuran dan amaran tanpa disedari bahawa anjuran
dan amaran tersebut nilainya telah dilebih-lebihkan daripada apa yang
sepatutnya. Mereka menganggap hal ini akan memberi manfaat kepada umat
tetapi yang benar adalah di sebaliknya. Ganjaran yang dibesar-besarkan
kepada amalan yang kecil akan mengakibatkan seseorang itu meremehkan
agama, dengan anggapan memadailah dia membuat amalan yang sedikit
kerana ganjarannya sudah lebih dari mencukupi. Sedangkan amaran yang
dibesar-besarkan terhadap kesalahan yang kecil akan menyebabkan
seseorang itu menjauhkan diri daripada Allah dan merasa putus asa
daripada keampunan-Nya. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menerangkan hal ini
dengan lebih lanjut:
Hadis-hadis yang memberi anjuran dan amaran (al-Targhib
wa al-Tarhib), sekalipun tidak memuat hukum halal atau
haram, ia memuat sesuatu lain yang sangat penting dan berbahaya, iaitu
ia merosakkan nilai amal atau kewajiban yang telah ditentukan oleh
Pembuat syari'at Yang Maha Bijaksana. Setiap amal yang diperintahkan
ataupun dilarang memiliki “nilai” tertentu di sisi Pembuat syari'at
dalam kaitannya dengan amal-amal yang lain. Kita tidak boleh
melampaui had yang telah ditentukan oleh Pembuat syari'at sama ada
dengan menurun atau menaikkannya.
Di antara hal yang sangat berbahaya ialah memberi nilai
sebahagian amalan lebih besar dan banyak daripada ukurannya yang
sebenar dengan membesar-besarkan pahalanya sehingga mengalahkan amalan
lain yang lebih penting dan lebih tinggi derajatnya dalam pandangan
agama. Demikian juga memberikan kepentingan kepada amalan yang
dilarang dengan membesar-besarkan seksanya sehingga mengalahkan amalan
lainnya.
Membesar-besarkan dan melebih-lebihkan janji pahala dan
ancaman siksa akan mengakibatkan rosaknya gambaran agama di mata
sebahagian orang karena mereka akan menyandarkan apa yang mereka
dengar atau baca tersebut kepada agama padahal agama itu sendiri bebas
dari semua itu. Seringkali tindakan melebih-lebihkan, terutama dalam
soal ancaman, akan menimbulkan akibat yang sebaliknya dan kegoncangan
jiwa. Bahkan seringkali orang yang berlebih-lebihan itu akan
menjauhkan diri mereka daripada-Nya (kerana putus asa dan merasa tidak
layak memperoleh keampunan Allah ke atas kesalahan-kesalahan yang
dilakukan)
Kita wajib menjaga amal perbuatan sesuai dengan
tingkatan-tingkatannya yang telah digariskan oleh syari‘at tanpa
terjerumus ke dalam tindakan melebih-lebihkan. Ini hanya akan membawa
kita kepada salah satu dari dua bentuk pelampauan, sama ada yang
menambah atau mengurang, sebagaimana yang dikatakan oleh ‘Ali bin Abu
Thalib radhiallahu 'anh: “Kalian harus mengambil sikap
pertengahan, yang kepadanya orang tertinggal harus disusulkan dan
kepadanya pula orang yang berlebihan harus dikembalikan.
Berdasarkan tiga syarat
pengamalan hadis dha‘if dan dua perkara tambahan yang perlu
diperhatikan, sama-sama dapat diambil iktibar bahawa menggunakan hadis
dha‘if tidaklah semudah yang disangka. Hadis-hadis Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam adalah salah satu sumber syari‘at di
sisi al-Qur’an al-Karim. Maka kita perlu berinteraksi dengannya
melalui disiplin-disiplin yang telah digariskan oleh para ahli hadis.
Apa yang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sabdakan
berkenaan agama tidak lain adalah wahyu Allah. Apabila kita bersikap
leka dalam berinteraksi dengan hadis-hadis baginda, kita bukan sahaja
mendedahkan diri kepada kemungkinan berdusta di atas nama Rasulullah
tetapi juga berdusta di atas nama Allah.
Oleh itu hendaklah
setiap individu memberi perhatian khusus dalam bab ini. Jangan
menerima sebarang hadis sekalipun yang menyampaikannya adalah orang
yang masyhur di mata masyarakat. Pastikan bahawa setiap hadis yang
disampaikan mematuhi syarat-syarat di atas. Apabila membaca buku-buku
agama, pastikan setiap hadis diberikan rujukan, lengkap dengan nombor
hadis dan bab. Jangan berpuas hati dengan catitan “Hadis riwayat al-Bukhari”
atau “HR Muslim” kerana terdapat sebahagian penulis yang berbuat
demikian padahal hadis tersebut tidak wujud di dalam kitab Shahih
al-Bukhari dan Shahih Muslim.
Apabila mendengar
khutbah, kuliah, ceramah dan sebagainya, jangan segan-segan bertanya
kepada penyampainya: “Ustaz, hadis yang ustaz sebut itu siapa yang
meriwayatkannya dan apa darjatnya?” atau apa-apa lain yang seumpama.
Setiap mukmin yang bertanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya
berhak untuk bertanya dan setiap penyampai yang bertanggungjawab
terhadap Allah dan Rasul-Nya tidak boleh merasa ego untuk menjawab.
Akan tetapi jika penyampai tersebut tidak ingat pada saat itu, berilah
dia tempoh untuk menyemak semula agar dia dapat menjelaskannya pada
masa yang akan datang.
Tanpa berlebih-lebihan,
penulis menganjurkan para pembaca sekalian meninggalkan mana-mana
penulis dan penyampai agama yang tidak berdisiplin dalam mengemukakan
hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Kita perlu
bertegas dalam hal ini, bukan sahaja supaya amalan kita sentiasa
berada di atas ukuran yang benar tetapi supaya para penulis dan
penyampai tersebut tidak mengambil mudah perkara ini.
Risalah 3:
Bagaimana kita menyambut Ramadhan?