Merangka Belanjawan dari Perspektif Islam

oleh:

Shabnam Mokhtar (querida_287@yahoo.com)

 

 

Pengenalan:

Teori ekonomi mengkaji bagaimana manusia membahagikan sumber kepada pelbagai kegunaan yang berpotensi. Pembahagian sumber ini dilakukan oleh tiga kumpulan pembuat keputusan ekonomi iaitu pengguna, pengeluar dan kerajaan. Antara keputusan ekonomi yang dilakukan oleh mereka adalah[1]:

Risalah ini insha’Allah akan memberi tumpuan kepada keputusan yang dilakukan oleh pengguna iaitu “consumption decision”. Penulis akan menggunakan perkataan “consumption” tanpa menterjemahkannya (menjadi “penggunaan”) sepanjang risalah ini. Risalah ini dibahagikan kepada beberapa bahagian. Pada bahagian pertama penulis akan menerangkan serba ringkas faktor-faktor yang mempengaruhi consumption dalam ekonomi hari ini (yakni faktor-faktor yang mempengaruhi galagat pengguna - “consumer behavior”). Kemudian penulis akan menerangkan bagaimana ajaran Islam akan mempengaruhi gelagat pengguna yakni faktor-faktor tambahan yang perlu diambil kira oleh seorang muslim dalam menjalankan aktiviti consumption. Akhir sekali penulis akan memberikan contoh belanjawan yang mengambil kira faktor yang telah diterangkan dalam bahagian kedua.

 

Pertama: Gelagat Pengguna

Consumption didefinisikan sebagai aktiviti menggunakan barangan dan perkhidmatan bagi memuaskan kehendak (wants) manusia.[2] Oleh kerana kehendak pengguna adalah tidak terbatas, manakala pendapatannya (sumbernya) adalah terbatas, maka pengguna perlu membuat pilihan. Terdapat beberapa faktor yang akan mempengaruhi gelagat pengguna dalam membuat pilihan, namun ia dapat diringkaskan kepada dua konsep utama[3]:

1.      Kekangan belanjawan (budget constrain):

Pengguna mempunyai jumlah pendapatan tertentu dan tidak boleh mempengaruhi harga barangan yang ingin dibeli. Maka harga barangan ini akan mempengaruhi kuantiti barangan yang dapat dibeli. Contohnya dengan jumlah wang RM 10 kita hendak membeli beberapa buku roti (RM2) dan beberapa batang pen (RM1). Kombinasi yang dapat dibeli akan terhad kepada jumlah wang yang kita ada. Kita tidak dapat misalnya membeli 4 buku roti (RM8) dan 5 batang pen (RM5) kerana jumlah harganya melebihi wang yang kita ada.

2.      Kesukaan (preference)

Jadi bagaimana kita akan menentukan kombinasi roti dan pen yang hendak dibeli? Tentunya berdasarkan kesukaan (likes and dislikes) kita. Ahli ekonomi menggunakan konsep utiliti untuk menerangkan keutamaan yang kita pilih. Utiliti adalah kepuasan yang diperolehi apabila menggunakan sesuatu barangan dan perkhidmatan. Dalam ekonomi, pengguna yang rasional[4] dijangkakan dapat membuat pilihan yang terbaik untuk memuaskan kehendaknya. Jadi pengguna yang rasional akan membandingkan kepuasan yang akan diperolehi (manfaat) dengan harga barangan tersebut (kos) dan membuat pilihan yang akan memaksimakan kepuasannya. Namun begitu utiliti adalah sesuatu yang tidak dapat diukur dan berbeza dari satu individu ke individu yang lain. 

Dapat diringkaskan bahawa 3 faktor utama yang mempengaruhi gelagat pengguna adalah jumlah pendapatan (income), harga barangan (price) dan kesukaan (preference – diukur dengan kepuasan) menggunakan barangan tersebut.[5] Faktor-faktor ini akan menentukan berapa banyak dan apa yang akan dibeli oleh pengguna. Selain faktor diatas, satu lagi pilihan yang akan dihadapi oleh pengguna adalah berapa banyak simpanan yang hendak dibuat. Adakah semua pendapatan perlu dibelanjakan sekarang (current consumption) atau sebahagian hendak disimpan untuk dibelanjakan dimasa hadapan (savings = future consumption)?

Maka dapat disimpulkan bahawa dua keputusan utama yang perlu ditentukan oleh pengguna adalah:

  1. Berapa banyak hendak dibelanjakan kini dan disimpan untuk masa hadapan (present vs future consumption)?
  2. Apa dan berapa banyak barang yang hendak dibeli (pilihan antara barang pengganti[6])

 

Kedua: Gelagat Pengguna dari perspektif Islam

Penulis tidak menafikan faktor-faktor di atas (kekangan belanjawan dan kesukaan) mempengaruhi gelagat pengguna namun ajaran Islam akan memberikan implikasi tambahan apabila seorang muslim berbelanja. Terdapat dua faktor tambahan yang akan mempengaruhi consumption seorang muslim[7]:

  1. Berbelanja di jalan Allah.
  2. Keutamaan dalam berbelanja (Islamic Concept of need)

 

Berbelanja di jalan Allah.

Dalam menentukan consumption, seorang muslim tidak hanya mementingkan kepuasan yang diperolehi apabila berbelanja keatas diri sendiri tetapi seharusnya kita menentukan bahagian dari pendapatan kita yang akan dibelanjakan untuk orang lain yang berhak menerimanya (spending not for one’s own immediate worldly benefit). Maka keputusan pertama yang harus ditentukan oleh pengguna dari perspektif Islam adalah:

q       Berapa banyak hendak dibelanjakan untuk keperluan diri sendiri (Penulis namakan dengan “X” )

q       Berapa banyak hendak dibelanjakan tidak untuk diri sendiri (Infaq fi Sabilillah – penulis namakan dengan “Y”)

Bagaimana harus kita tentukan pembahagian perbelanjaan antara X dan Y? Ada sekurang-kurangnya dua perkara yang akan mempengaruhi pembahagian Y iaitu:

  1. Zakat (sedekah wajib): Amaun minimum bagi Y adalah zakat (jika telah mencapai nisab dan haul). Maka sebagai seorang Muslim adalah menjadi kewajipan kita untuk mengambil tahu samada tahap pendapatan kita ini sudah sepatutnya dikeluarkan zakat atau tidak. Selain pendapatan, wang simpanan dan emas yang telah mencapai haul dan nisab juga akan dikenakan zakat. Bagi mendapatkan maklumat ini, kita boleh merujuk dengan Pusat Pungutan Zakat atau di website seperti http://www.e-zakat.com.my/kalkulator/pendapatan.asp
  2. Infaq (charity of surplus)[8]: Selain zakat, sedekah dan infaq amat digalakkan dalam Islam. Dalam memberikan sedekah adalah penting diperhatikan konsep Infaq al-Afw (charity of surplus). Konsep ini diterangkan dalam al-Qur’an: 

 “Dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah “(Dermakanlah apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya supaya kamu berfikir.” (Al-Baqarah 2: 219)

Mengenai ayat diatas, Ibn Abbas menyatakan bahawa ayat ini bermakna “apa yang melebihi keperluan keluarga kamu”. Ini juga merupakan pendapat Ibn Umar, Mujahid, ‘Ata’, Ikrimah, Sa’id bin Jubayr, Muhammad bin Ka’b, Al-Hassan, Qatadah, Al-Qasim, Salim,`Ata' Al-Khurasani dan Ar-Rabi` bin Anas.[9]

Selain itu, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam juga telah menerangkan konsep ini dalam sabda baginda yang bermaksud: “Tidak ada sedekah kecuali kelebihan dari keperluan.”[10]

Jika diperhatikan, Islam mengajar pengikutnya untuk memperbanyakkan sedekah tetapi tidak sehingga menzalimi diri sendiri dan keluarga dibawah tanggungannya. Seorang muslim dapat menjadikan nafkah kepada keluarga sebagai sarana untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mendapat balasan pahala sepertimana sabda Rasulullah kepada Sa’ad bin Abi Waqqas:

“Sesungguhnya kamu tidak menafkahkan dari suatu nafkah pun dengan mengharapkan redha Allah kecuali merupakan ibadah sadaqah bagimu sampai suapan yang kau masukkan ke mulut isterimu sekalipun.”[11]

Sabda Nabi saw lagi: “Satu dinar yang kamu nafkahkan dijalan Allah (jihad), satu dinar yang kamu nafkahkan untuk memerdekakan hamba sahaya, satu dinar yang kamu sedekahkan terhadap orang miskin, dan satu dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu, yang paling besar pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu.”[12]

Setelah memenuhi keperluan keluarga, kerabat lebih utama untuk diberi sedekah daripada orang lain kerana akan mendapat dua pahala (pahala sedekah dan pahala silaturrahim).[13] Firman Allah dalam surah Al-Baqarah 2: 215 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu: apakah yang akan mereka belanjakan? Katakanlah: “Apa jua hartabenda yang kamu belanjakan, maka berikanlah kepada: kedua ibubapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan”. Dan apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya.”

Maka dapat disimpulkan bahawa, Infaq Al-Afw bermakna memberi sedekah jika terdapat lebihan setelah memenuhi keperluan diri dan orang yang ditanggung. Konsep Infaq Al-Afw ini memainkan peranan yang amat penting supaya nafkah umum tidak melebihi nafkah peribadi sehingga terpaksa pula meminta-minta kepada orang lain dan menimbulkan penyesalan di kemudian hari. Ini tidak pula bermakna kita membelanjakan semua pendapatan kita keatas keluarga sahaja. Oleh itu amat penting untuk memahami keutamaan perbelanjaan dalam Islam (Islamic Concept of Need) yang akan penulis terangkan pada bahagian seterusnya.

Terdapat satu lagi konsep yang penting dalam menentukan berapa banyak kita hendak bersedekah yakni prinsip “itsaar”[14] (mendahulukan kepentingan orang lain dari kepentingan diri sendiri) sepertimana firman Allah:

“…dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Al-Hasyr 59:09)

Maka mereka mendahulukan hak nafkah umum atas hak nafkah peribadi kerana yakin dengan apa yang ada di sisi Allah dan mengharapkan pahala balasanNya dan penggantianNya. Inilah yang dilakukan oleh Abu Bakar r.a sebagaimana yang dikisahkan oleh Umar r.a:

Berkata Umar al-Khattab r.a, Rasulullah saw menyuruh kami bersedekah. Ini bertepatan dengan harta yang ada pada aku. Aku berkata “Jika satu hari aku akan menang diatas Abu Bakar, maka hari inilah aku akan menang atas beliau”.

Lalu aku datang dengan setengah harta aku, lalu Rasulullah bertanya: “Apa yang kamu tinggalkan untuk ahli keluarga kamu?” Aku menjawab “Sepertiga”.

Lalu datang pula Abu Bakar membawa seluruh harta yang ada padanya. Maka bertanya Rasulullah: “Wahai Abu Bakar, apa yang kamu tinggalkan untuk ahli keluarga engkau?” Abu Bakar menjawab: “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya”.

Berkata Umar : “Aku memang tidak akan menang di atas Abu Bakar sesuatupun selama-lamanya”[15]

Kedua-dua konsep ini (infaq al-afw dan itsaar) bukanlah sesuatu yang bercanggah antara satu sama lain tetapi lebih bergantung kepada tahap keimanan seseorang. Pada pendapat penulis, jika kita baru hendak berjinak-jinak dengan amalan bersedekah lebih baik kita mulakan dengan infaq al-afw. Kemudian kita bertahap-tahap cuba merancang perbelanjaan kita dan menambah amaun yang kita peruntukan untuk sedekah sedikit demi sedikit….Ini insha’Allah dapat membantu kita bergerak beransur-ansur menuju itsaar.

Terdapat dua manhaj yang digunakan dalam Al-Quran untuk menggalakkan umatnya bebelanja di jalan Allah, yakni manhaj positif dan negatif. Dalam manhaj positif Allah menjanjikan pahala berlipat ganda kepada orang yang bersedekah. Antaranya Allah umpamakan infaq fi sabilillah ini sebagai “perniagaan yang tidak merugikan” sepertimana firmannya:

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Faathir 35:29)

Balasan pahala yang Allah janjikan bagi orang yang berinfaq dijalan Allah mencapai hingga 700%[16] sepertimana firmanNya:

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan harta pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiap yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaanNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Al-Baqarah 2:261)

Sesungguhnya Allah mengembalikan apa yang telah dinafkahkan seseorang sebagaimana firmanNya: “…Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.” (Saba’ 34:39)[17]

Selain manhaj positif yang digunakan, Allah juga mencela mereka yang kedekut untuk mengeluarkan sedekah dan mengancam mereka dengan azab yang dahsyat di hari akhirat (manhaj negatif). Antaranya:

“Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak.” (Ali-Imran 3:180)

“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak itu dalam harta jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah apa yang kamu simpan itu.” (At-Taubah 9:34-35)

“Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia. Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahiim. Selain dari itu masukkanlah dia dalam rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta. Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah yang Maha Besar dan dia juga tidak menggalakkan memberikan makanan orang miskin. (An-Haaqqah 69:30-34)

Walaupun perbelanjaan dalam kategori Y dijanjikan pahala berlipat ganda dari Allah, seorang muslim tidak seharusnya melupakan bahagiannya di dunia ini. Islam melarang “ascetism[18], iaitu menghalang diri dari menikmati apa yang dihalalkan oleh Allah – makanan, kehidupan berkeluarga - kerana hendak mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh sesetengah penganut agama Hindu, Buddha atau Kristian.

Maka apabila berbelanja hendaklah kita pastikan kita nikmati hidup di dunia ini dengan membelanjakan harta keatas diri kita dan hendaklah kita pastikan hak orang lain di dalam harta kita juga dipenuhi sepertimana firman Allah:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian ni’matNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan” (Al-Qasas 28:77)

Oleh itu, seorang muslim sepatutnya mengambil jalan pertengahan (balancing rule) antara dua kategori ini (X dan Y) sesuai dengan firman Allah:

            “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu dilehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan” (Al-Israa’ 17: 29)

Jalan pertengahan ini amat penting agar tidak kita zalimi diri sendiri dengan memberi sedekah yang banyak tetapi menyesal dikemudian hari kerana keperluan diri dan keluarga tidak dipenuhi dan terpaksa pula meminta-minta dari orang lain….dan tidak pula terlalu bakhil untuk bersedekah kerana memuaskan kehendak nafsu kita apabila berbelanja.

Secara ringkasnya, dalam menentukan menentukan perbelanjaan di jalan Allah, seorang muslim perlu mengambil kira perkara-perkara berikut:

1.                  Adakah pendapatan kita telah mencapai zakat? Jika ya, asingkan amaun zakat agar tidak dibelanjakan.

2.                   Sama ada layak atau tidak membayar zakat, hendaklah kita  melaksanakan Infaq al-Afw yakni sedekah sesudah memenuhi keperluan diri dan keluarga yang ditanggung.

 

Keutamaan dalam berbelanja (Islamic Concept of need)

Keperluan di dalam Islam mempunyai tingkat keutamaan yang berbeza-beza dan ianya dapat dibahagikan kepada[19]:

i.        Al-Daruriyat: perkara mutlak yang diperlukan untuk kehidupan manusia (survival)

ii.       Al-Hajiyyat: perkara yang apabila ianya tiada maka kehidupan manusia akan menjadi sangat susah (avoid hardship)

iii.     Al-Tahsiniyyat: perkara pelengkap yang menjadi hiasan tambahan didalam kehidupan (provide comfort)

Tingkat keutamaan ini bertujuan untuk memelihara agama, jiwa, keturunan, akal dan harta benda (Maqasid al-shariah). Pada pendapat penulis tingkat keutamaan ini merupakan kualiti kehidupan yang semakin meningkat. Sebagai contoh, penulis mengambil kategori makanan. Makanan yang daruriyat adalah makanan yang dapat membantu kita terus hidup (i.e survival – contohnya nasi, roti dan lauk pauk dengan amaun dan kualiti yang amat minimum). Makanan yang hajiyat pula makanan yang dapat memberi kita tenaga tambahan untuk melaksanakan kerja dengan baik (contohnya daging, susu, vitamin dll). Makanan yang tahsiniyat pula merupakan makanan enak dan berkualiti (contohnya kek, nasi beriyani dll).

Ingin penulis ingatkan di sini bahawa tingkat keutamaan ini akan berubah mengikut kesesuaian hidup setiap individu dan peredaran zaman. Sebagai contoh kita menilai kenderaan yang digunakan sebagai pengangkutan. Mungkin 2 dekad yang lalu, kereta merupakan perkara tahsiniyat. Namun pada masa kini, kereta boleh jadi berada pada kategori hajiyat. Perjalanan jauh menjadi agak sukar tanpa mempunyai kereta.

Jika dahulu motorsikal mungkin dianggap sebagai perkara hajiyat atau tahsiniyat, hari ini ia boleh dikategorikan dalam perkara daruriyat yang mana ianya amat penting sebagai kenderaan bagi kebanyakan orang. Walaupun penulis mengkategorikan motorsikal sebagai daruriyat, ia haruslah dinilai juga berdasarkan kualiti motorsikal tersebut. Jika motorsikal biasa seperti Honda C90, EX5, Kriss, Yamaha SS dan lain-lain bolehlah dikategorikan sebagai daruriyat. Namun motorsikal berkuasa tinggi ataupun “easy-rider” seperti TZM, Fireblade dan Harley Davidson mungkin berada dalam kategori tahsiniyyat.

Ini tidak bermakna seorang tidak boleh membeli barang-barang hajiyat dan tahsiniyat kerana ketiga-tiga kategori ini masih berada dalam lingkungan perbelanjaan yang dibenarkan dalam Islam. Pengelasan perbelanjaan mengikut keutamaan ini amat penting agar kita dapat mengutamakan perkara daruriyat daripada perkara hajiyat dan tahsiniyat dalam berbelanja.

Pada hari ini asas keutamaan ini sangat rapuh. Umat Islam seperti terkeliru apa yang perlu diberi keutamaan. Contohnya dalam soal berumahtangga[20], bernikah merupakan perkara daruriyat kerana ia akan meneruskan keturunan dan memelihara diri dari maksiat. Mengadakan kenduri merupakan perkara hajiyat manakala hantaran dan pakaian pengantin yang indah merupakan perkara tahsiniyat. Tidak salah berpakaian pengantin yang indah jika ia dalam kemampuan kita. Namun kini ramai yang terpaksa menangguhkan pernikahan (daruriyat) hanya kerana ingin mengumpul wang untuk menyediakan hantaran dan pakaian pengantin (tahsiniyat). Di sinilah ramai pasangan dan ibubapa tersalah memberi keutamaan. Tahsiniyat lebih dipentingkan daripada daruriyat.

Contoh lain adalah hiburan dan kesenian (tahsiniyat) lebih diutamakan daripada urusan berkenaan ilmu pengetahuan dan pendidikan (daruriyat). Bandingkan sahaja bilangan “Reality Show” berbentuk hiburan dengan bilangan rancangan berunsur pendidikan dalam television. Pembangunan “shopping complex” dan stadium sukan bernilai berjuta-juta ringgit berbanding pembangunan perpustakaan. Ternyata rancangan hiburan, pembangunan shopping complex dan pusat sukan jauh berada di hadapan berbanding dengan usaha peningkatan ilmu pengetahuan.

Pada pendapat penulis, memahami tingkat keutamaan ini amat penting bagi membantu kita membuat keputusan berkaitan consumption dan keutamaan inilah yang memberi implikasi yang berbeza dalam teori gelagat pengguna dari perspektif Islam. Penulis berikan satu contoh di sini. Katakan kita mempunyai RM 100 untuk dibelanjakan. Kita sedang memilih antara membeli buku ataupun membeli minyak wangi misalnya yang harganya adalah sama kedua-duanya (RM100). Dari perspektif konvensional, seorang pengguna akan membuat keputusan untuk berbelanja mengikut kepuasannya. Jika diikutkan kepuasan, mungkin minyak wangi dapat memberikan lebih kepuasan (lebih disukai) kepada pengguna tersebut.

Manakala fiqh awlawiyat mengajar kita untuk menilai kedua barang tersebut menggunakan tingkat keutamaan tadi. Buku merupakan perkara daruriyat (kerana dapat menambah ilmu pengetahuan dan memelihara akal), manakala minyak wangi merupakan perkara tahsiniyat. Maka jelas bahawa perkara daruriyat perlu diberi keutamaan daripada perkara tahsiniyat.

Implikasi dari tingkat keutamaan ini akan menjadikan seorang Muslim sebagai pengguna yang “berfikir sebelum membeli”. Adakah barang yang kita hendak beli ini penting atau mungkin ada barang lain yang lebih penting? Tidaklah kita menjadi pengguna yang “buy as we go” iaitu membeli apa-apa sahaja yang berkenan di hati. Sekali lagi penulis mengingatkan tiada salahnya kita berbelanja atas barang tahisiniyat selagi tidak berlebih-lebihan kerana Islam menggalakkan umatnya mencapai kehidupan yang baik.

Selain tingkat keutamaan diatas, terdapat beberapa perkara lain yang akan mempengaruhi gelagat pengguna dari perspektif Islam:

a.      Batasan Islam tentang perbelanjaan:

Dr. Yusuf Qaradhawi menerangkan bahawa batasan Islam dalam perbelanjaan ada dua kriteria iaitu[21]:

                          i.      Batasan pada cara & sifat (kualiti perbelanjaan):

Batasan ini melihat pada apa harta itu dibelanjakan tanpa mengambil kira kuantitinya. Contohnya setiap perbelanjaan dalam hal-hal yang diharamkan seperti khamar, judi dan patung-patung adalah dilarang walaupun melibatkan amaun yang kecil.

Pada pendapat penulis, orang-orang yang hidup dalam kemewahan (mutraf)[22] juga termasuk dalam batasan ini sepertimana firman Allah yang bermakna:

 “Hingga apabila Kami timpakan azab kepada orang-orang yang mewah diantara mereka, maka dengan serta merta mereka menjerit meminta tolong.” (Al-Mu’minun 23:64)

Imam ar-Razi menjelaskan bahawa orang yang hidup mewah (mutraf) adalah penerima ni’mat yang sombong oleh kerana kenikmatan dan keluasan rezeki.[23]  Yang dikecam adalah sifat sombong pemilik harta tersebut dan kufur dengan nikmat yang diberikan Allah.

Selain sifat sombong, Islam juga telah mengharamkan beberapa perkara yang dianggap contoh yang menonjol bagi kemewahan, di antaranya bejana emas dan perak, hamparan yang dibuat dari bahan campuran sutera atau dari kain sutera murni serta perhiasan emas dan pakaian sutera bagi lelaki.[24]

 

                         ii.      Batasan pada kuantiti & ukuran

Termasuk dalam batasan kedua adalah berbelanja berlebih-lebihan yakni melampaui batasan (israaf)[25] mahupun dalam perkara yang dihalalkan sepertimana firman Allah:

“Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampui batas.” (Al-Araaf 7:31)

 

Terang Dr. Yusuf Qaradhawi, termasuk dalam israaf adalah pemborosan (tabdzir) yakni menghambur-hamburkan harta tanpa faedah (sia-sia) sepertimana firman Allah:

“Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur pada Tuhannya.” (Al-Israa’ 17:26-27)

 

Termasuk dalam menyia-nyiakan harta adalah membiarkan buah-buahan busuk dimakan ulat, menyalakan lampu di siang hari tanpa perlu, membiarkan pancuran air terbuka tanpa perlu, membuang makanan, membuang pakaian hanya kerana terdapat robekan kecil padanya dan membiarkan tanah yang subur tanpa ditanami.[26]

 

Berkaitan dengan pelarangan dan penyia-nyiaan harta, Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam melarang keras orang-orang yang membiarkan kambing yang mati dan tidak memanfaatkan kulitnya. Telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas bahawa Rasululah melewati kambing yang mati, lalu bersabda:

“Apakah kamu tidak memanfaatkan kulitnya?” Mereka berkata, “Ia adalah haiwan yang mati (bangkai)!” Bersabdalah baginda: “Sesungguhnya ia hanyalah diharamkan untuk memakannya.”[27]

 

Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam pernah melewati Sa’ad bin Abi Waqqash ketika ia sedang berwudu’ lalu bersabda padanya:

“Janganlah kamu berlaku boros.” Sa’ad bertanya, “Apakah dalam (pemakaian) air ada tindakan pemborosan, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Ya, meskipun kamu berada pada sungai yang mengalir.”[28]

 

Mengenai adab makan pula Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Anas r.a:

“Jika satu suap di antara kamu sekalian jatuh, maka hendaklah ia membersihkan kotorannya dan (setelah itu) hendaklah memakannya dan tidak membiarkannya untuk syaitan.” Anas berkata, “Dan baginda memerintahkan kita untuk menghabiskan makanan dari piring.” Baginda juga bersabda, “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui di makanan manakah adanya keberkatan.”[29]

 

Di samping melarang sikap israaf, Islam juga melarang sifat kedekut sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah:

“Hindarilah olehmu sifat kedekut, kerana sesungguhnya umat sebelum kamu telah binasa kerana sifat kedekut ini: dengan sebabnya mereka saling memutuskan hubungan silaturrahim, menjadi bakhil dan melakukan tindakan kezaliman.”[30]

 

Oleh yang demikian, apabila kita berbelanja hendaklah kita mengambil jalan pertengahan; tidak terlalu boros dan tidak pula terlalu kedekut sepertimana firman Allah:

“Dan juga mereka yang apabila membelanjakan hartanya tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara itu.” (Al-Furqaan 25:67)

      

b.      Budaya berhutang bukan budaya hidup Muslim

Seorang Muslim harus merancang perbelanjaannya agar tidak melebihi pendapatannya sehingga terpaksa berhutang. Islam telah mengingatkan orang yang berhutang dengan pelbagai cara. Antaranya sabda Nabi:

“Bagi orang yang mati syahid akan diampuni dosa-dosanya kecuali hutang”[31]

Dari Muhammad bin Abdullah bin Jahsy, ia berkata, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sedang duduk ketika jenazah (para syuhada’) diletakkan (di liang lahad). Lalu, baginda mengangkat kepalanya ke langit kemudian menundukkan pandangan dan meletakkan tangannya di atas dahinya seraya mengatakan: “Subhanallah, subhanallah! Betapa telah diturunkan hukum yang memberatkan!”

Abdullah berkata, Kami lalu mengetahui dan terdiam. Sampai esok harinya aku bertanya pada Rasulullah dan mengatakan: “Apakah pemberatan yang telah diturunkan itu?”

Baginda bersabda “Tentang hutang. Demi Tuhan yang jiwaku berada ditangan-Nya, kalau seandainya seseorang terbunuh di jalan Allah, kemudian hidup lagi dan terbunuh lagi, kemudian hidup lagi dan terbunuh lagi sedangkan ada tanggungan hutang padanya maka dia tidak akan masuk syurga sampai dia melunasi hutangnya.”[32]

 

Pentingnya peringatan ini sehingga orang yang mati syahid; cita-cita tertinggi yang dicari oleh mu’min pun tidak dapat menghapuskan hutangnya kepada orang lain.

 

Muhammad Akram Khan dalam bukunya Introduction to Islamic Economics menerangkan bahawa Rasulullah tidak menghapuskan riba dalam masa sehari. Pengharaman riba berlaku berperingkat-peringkat (tadarruj). Pertama sekali Rasulullah mengharamkan riba dalam pertukaran (riba al-fadl). Ini telah menyempitkan jalan-jalan menuju riba pinjaman. Pada masa yang sama Baginda menggalakkan umat Islam supaya hidup bersederhana. Mereka berbelanja mengikut pendapatan mereka dan apabila terdapat harta rampasan perang yang diagihkan, dalam pendapatan mereka terdapat lebihan. Jadi permintaan untuk pinjaman berkurangan.

 

Bagi tujuan perniagaan pula, perlu diberikan modal bukannya pinjaman. Pemodal akan berkongsi untung dan rugi. Ini semakin mengurangkan permintaan untuk pinjaman. Kalau ada pun hutang hanya dalam bentuk jual beli secara kredit.  Jadi apabila Rasulullah mengharamkan riba atas pinjaman semasa hari terakhir haji wida’ (10H), hati umat Islam telah bersedia menerima hukum tersebut dan aktiviti kehidupan yang bersederhana serta tidak bergantung pada hutang memudahkan perlaksanaan hukum tersebut.[33]

Kita sebagai Muslim pada hari ini juga perlu meminimumkan hutang kita. Jika kita hendak membeli sesuatu yang memerlukan jumlah wang yang agak banyak buatlah perancangan dari awal dan buatlah peruntukan bulanan sebagai persediaan.

 

Salah satu cara berhutang yang mudah hari ini adalah dengan penggunaan kad kredit. Kad kredit hanya merupakan sarana (tool) untuk menggantikan wang tunai. Kepentingan kad kredit tidak dapat dinafikan terutamanya jika kita banyak bertandang ke luar negara, sering melakukan pembelian secara “online” dan menggantikan membawa wang tunai yang banyak atas tujuan keselamatan. Namun begitu “wang plastik” ini boleh membawa padah jika disalahgunakan. Kadangkala kita membeli tanpa memikirkan adakah mampu membayar semula hutang tersebut.

 

Pada tahun 2004 seramai 1,397 pemegang kad kredit telah diisytiharkan muflis. Jumlah ini meningkat sebanyak 450 orang berbanding 1,152 orang pada 2003.[34] Had kredit yang hampir dua kali ganda pendapatan bulanan sesetengah kita amat “menggoda” supaya kita berbelanja lebih dari kemampuan kita, yang akhirnya akan mengheret kita ke dalam belitan hutang. Pelbagai iklan yang menawarkan pembelian menggunakan kad kredit menambahkan lagi keinginan untuk memiliki aksesori yang tidak terlintas sebelum ini. Tidak salah menggunakan kad kredit sebagai alternatif kepada wang tunai namun jika kita menggunakannya sebagai sumber hutang untuk membeli pelbagai barangan melebihi kemampuan kita, maka hendaklah kita fikir-fikirkan semula fungsi sebenar “wang plastik” tersebut dan adakah kita benar-benar memerlukannya.

 

c.      Beberapa perkara yang perlu diutamakan

Penulis akan menyenaraikan beberapa perkara dalam Fiqh Awlawiyat yang memberikan implikasi keatas consumption seorang muslim:

                          i.            Amal perbuatan yang berkesinambungan walaupun sedikit lebih utama daripada amal yang banyak tetapi terputus.[35] Contohnya dalam membudayakan bersedekah, mulakanlah dengan amaun yang kecil tetapi konsisten dilakukan setiap bulan.

                         ii.            Amal yang manfaatnya untuk orang lain hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya hanya untuk diri sendiri. Contohnya daripada mengerjakan haji sunat atau umrah yang kedua, ketiga dan seterusnya, adalah lebih awla jika duit itu digunakan untuk membantu orang miskin lain menunaikan haji wajib mereka, menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin atau Iraq yang berjihad, memberikan sumbangan dalam menghalang usaha-usaha memurtadkan orang Islam atau menanggung pembiayaan pendidikan anak-anak orang miskin dan anak yatim. Ini merupakan satu perkara yang harus diberi perhatian kerana setiap tahun hanya 15% daripada jumlah jemaah haji merupakan mereka yang melaksanakan haji wajib[36]. Bayangkan jika baki 85% jemaah haji ini menghulurkan wang yang diperuntukkan untuk haji tadi bagi manfaat orang ramai. Penulis beberapa ketika yang lalu terharu melihat pasangan yang mengeluarkan wang tabung haji mereka sebanyak RM 18,000 untuk diberikan kepada Tabung Bersamamu TV3 bagi membantu golongan yang memerlukan. Inilah pelaburan Islam yang pahalanya berlipat ganda seperti dijanjikan Allah dalam surah al-Baqarah 2:261.

                       iii.            Keutamaan hak-hak manusia keatas semata-mata hak Allah. Apabila menunaikan haji itu wajib dan membayar hutang itu wajib, maka membayar hutang mesti lebih diutamakan, sebab seorang muslim tidak boleh mendahulukan haji sebelum ia menjelaskan semua hutang-hutangnya melainkan apabila si pemiutang memberikan izin baginya menunaikan haji.[37]

                      iv.            Antara perkara wajib dan sunat, fardhu ain dan fardhu kifayah, perkara wajib dan fardhu ain mesti diutamakan. Contohnya antara membayar hutang and memberi sedekah, pembayaran hutang mesti didahulukan.[38]

                        v.            Keutamaan amal yang lebih lama dan panjang kegunaan dan manfaatnya. Contohnya seperti memberi sedekah kambing yang telah mengandung supaya haiwan tersebut boleh memberikan susu untuk jangka masa yang agak lama.[39] Pada masa kini, jika kita mempunyai lebihan wang, bolehlah digunakan untuk memberikan modal kepada orang yang ingin memulakan perniagaan dan berkongsi keuntungan yang diperolehi. Jika kita sendiri telah mempunyai perniagaan dan rasa keberatan untuk memberikan modal begitu sahaja, kita boleh memberikan “apprentice training” kepada anak-anak muda di kampung yang kebanyakan berhijrah ke bandar untuk bekerja di kilang. Dengan melaksanakan program sebegini kita mengajar mereka menangkap ikan daripada hanya memberikan mereka ikan setiap hari.

Sebagai kesimpulan, berikut merupakan keputusan-keputusan yang dilakukan oleh pengguna dari perspektif Islam[40]:

q       Berapa banyak hendak dibelanjakan untuk diri sendiri dan keluarga (X) dan berapa banyak diperuntukkan untuk orang lain yang berhak (Y)

q       Berapa banyak hendak dibelanjakan kini dan disimpan untuk masa hadapan (present vs future consumption)? Ingin penulis ingatkan di sini simpanan yang tidak digunakan untuk sebarang tujuan akan tunduk kepada zakat jika telah mencapai nisab dan haulnya.

q       Apa dan berapa banyak barang yang hendak dibeli (berdasarkan tingkat keutamaan yakni daruriyat, hajiyat dan tahsiniyat)

 

Ketiga: Merangka Belanjawan dari Perspektif Islam

Bagi melaksanakan poin-poin yang telah diterangkan dalam bahagian kedua di atas, adalah penting untuk kita merangka belanjawan (budget). Belanjawan ini bukan sahaja dapat memaksa kita merancang sebelum berbelanja malahan dapat digunakan sebagai mekanisma kawalan perbelanjaan kita. Maknanya setiap bulan kita dapat membandingkan berapa perbelanjaan yang dirancang dengan perbelanjaan yang sebenar. Jika ada perbezaan yang besar, sebab berlaku perbezaan ini perlu dikenalpasti dan langkah-langkah yang sepatutnya perlu diambil. Inilah yang dipanggil analisis varians (variance = actual – budget).

Berikut merupakan langkah-langkah untuk merangka belanjawan[41]:

  1. Kenalpasti semua sumber pendapatan bulanan kita.
  2. Kenalpasti semua perbelanjaan bulanan kita. Buat anggaran untuk perbelanjaan bulanan berdasarkan pengalaman lepas atau dengan merujuk bil-bil lepas.
  3. Bagi setiap perbelanjaan ini kenalpasti samada:

a.      Ia merupakan perbelanjaan yang wajib dibayar setiap bulan (mandatory) atau “optional

b.      Kenalpasti tingkat keutamaan perbelanjaan tersebut: daruriyat, hajiyat, tahsiniyat

  1. Pastikan pendapatan kita dikenakan zakat atau tidak.
  2. Dapatkan baki pendapatan kita yang masih ada selepas ditolak semua perbelanjaan.
  3. Daripada baki ini peruntukkan sebahagian untuk simpanan dan sebahagian lagi untuk sedekah. Jika kita baru hendak mula untuk melakukan sedekah, mulakan dengan amaun yang kita rasakan boleh beristiqamah menderma setiap bulan.

 

Contoh Belanjawan:

1.      Gaji bulanan = RM 2,400.

2.      Senarai perbelanjaan:

q       Bagi keluarga penulis, kami menetapkan dana bulanan yang disumbangkan oleh setiap ahli keluarga bagi menyediakan peruntukan untuk persediaan raya. Dana seperti ini boleh digunakan oleh pembaca bagi merancang perbelanjaan jangka panjang.

q       Penulis juga memperuntukkan dana untuk kecemasan dan “leisure”- termasuk sebarang aktiviti/pembelian untuk kegunaan peribadi.

3.      Adakah perbelanjaan:

q       Wajib bayar setiap bulan (obligation): M= Mandatory, O = Optional

Bagi kolum “Obligation” penulis hanya menentukan samada perbelanjaan ini sesuatu yang penulis mesti peruntukan setiap bulan atau penulis mempunyai pilihan untuk tidak memperuntukkannya. Sebagai contoh walaupun penulis ada peruntukkan bagi leisure, buku dan kelas jahitan, ia merupakan perbelanjaan yang mana penulis boleh memilih untuk tidak membelanjakannya.

q       Tingkat keutamaan: D = Daruriyat, H = Hajiyat, T= Tahsiniyat

Dalam kolum “Category” penulis menentukan tingkat keutamaan setiap perbelanjaan. Dana Hari Raya umpamanya merupakan kategori tahsiniyat kerana ia lebih bertujuan memberi keselesaan apabila kami melakukan perbelanjaan untuk Hari Raya setiap tahun. Manakala peruntukkan bagi kecemasan, telefon bimbit dan kelas jahitan penulis kategorikan sebagai hajiyat kerana ini lebih bertujuan untuk mengurangkan kesukaran. Begitu juga peruntukkan untuk membeli buku. Walaupun membaca merupakan sesuatu yang amat penting, tapi sumber bacaan tidak semestinya dibeli sahaja. Terdapat banyak sumber lain seperti perpustakaan dan bahan bacaan online. Namun jika terdapat buku sendiri ia dapat memudahkan pembacaan, maka penulis kategorikannya sebagai hajiyat.

Kereta bagi penulis merupakan hajiyat kerana ia memudahkan perjalanan. Namun oleh kerana bayaran bulanan kereta (hutang), servis dan perbelanjaan lain merupakan perbelanjaan yang perlu penulis keluarkan setiap bulan, maka penulis memasukkannya dalam kategori daruriyat. Penulis juga memperuntukkan elaun bulanan untuk membuat bayaran cukai jalan dan insuran apabila tamat tempohnya. Dengan cara ini, beban pembayaran tidak begitu terasa apabila tiba masanya. Oleh itu, perbelanjaan-perbelanjaan ini termasuk dalam kategori daruriyat/hajiyat.

Pembaca bebas memasukkan apa sahaja perbelanjaan yang dirasakan perlu. Apa yang perlu dibuat untuk setiap perbelanjaan adalah menentukan “obligation” dan juga kategorinya.

 

 Perbelanjaan

Budget

Obligation

Category

Dana Raya

35

M

T

Emergency

100

M

H

Household

100

M

D

Servis Kereta

100

M

D/H

Tol

100

M

D/H

Minyak

450

M

D/H

Road Tax & ins

100

M

D/H

Handphone

80

M

H

Leisure

100

O

T

Makan

100

M

D

Jahitan

80

O

H

Buku

100

O

H

Kereta

485

M

D/H

Bills:

 

 

 

Telekom

150

M

D

TM Net

20

M

D

TNB

100

M

D

Indah Water & Cukai Pintu

13

M

D

 

  1. Setelah mengira dengan calculator zakat di www.e-zakat.com.my, penulis mengganggarkan bayaran zakat setahun adalah lebih kurang RM 700. Setelah dibahagi dengan 12 bulan, penulis memperuntukkan RM60 setiap bulan untuk bayaran zakat.
  2. Setelah mendapatkan amaun zakat, penulis menyusun perbelanjaan tersebut mengikut obligation dan kategorinya. Setelah mendapatkan baki pendapatan, penulis memperuntukkan sebahagian untuk simpanan dan sebahagian lagi untuk sedekah. Contoh belanjawan lengkap ditunjukkan dalam Jadual 1.
  3. Jika tiada baki lebihan pendapatan, maka pembaca boleh mengurangkan sedikit peruntukkan bermula dengan OptionalTahsiniyat & Hajiyat. Kemudian kepada MandatoryTahsiniyat. Inilah gunanya membuat belanjawan yang mengambil kira tingkat keutamaan, supaya mudah untuk kita mengenalpasti perbelanjaan mana yang boleh dikurangkan atau perlu ditambah. Jika masih tiada baki, cuba peruntukkan amaun yang sangat kecil RM 5 misalnya untuk sedekah setiap bulan. Insha’Allah amaun ini sudah mencukupi sebagai permulaan. Yang penting, kita beristiqamah dan cuba sedikit demi sedikit meningkatkan amaun yang diperuntukkan untuk sedekah.

Penulis biasa membuat belanjawan untuk kegunaan peribadi sebelum ini, tetapi tidak pernah menjadikan sedekah itu satu kategori yang formal dalam belanjawan penulis. Setelah merangka belanjawan dengan kategori formal untuk sedekah, penulis merasakan lebih mudah untuk menghulurkan sedekah. Tidaklah menghulurkan sedekah dengan hati yang antara hendak atau tidak. Inilah perbezaan yang paling ketara dapat penulis rasakan. Sebagai seorang muslim, kita semua sepatutnya mewujudkan satu kategori formal untuk sedekah. Bagaimana hendak kita salurkan dan kepada siapa, terpulang pada kita menentukannnya. Beberapa keutamaan dalam perbelanjaan yang telah penulis terangkan pada bahagian dua boleh juga menjadi saluran untuk kita memberikan derma.

Ingin penulis berkongsi sedikit pengalaman dalam melaksanakan belanjawan yang telah dirancang. Belanjawan ini sekadar panduan untuk berbelanja. Jangan terlalu ketat apabila melaksanakannya lebih-lebih lagi jika kita baru pertama kali membuat belanjawan. Buat 2 atau 3 bulan pertama pasti berlaku perbezaan dari apa yang kita rancang. Biasanya akan terlebih belanja. Beri diri dan keluarga anda sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Jadikan agenda belanjawan ini agenda keluarga. Jika anda dapat berbincang dengan ahli keluarga dalam merangka belanjawan tersebut adalah lebih baik kerana ini dapat mewujudkan rasa “milik bersama”.

Setiap ahli keluarga boleh saling ingat mengingatkan apabila berbelanja. Dengan cara ini anda akan lebih bermotivasi untuk mengikut apa yang dirancang. Jika berlaku perbelanjaan yang diluar jangkaan, cuba buat perubahan yang perlu pada belanjawan anda. Jadikan belanjawan ini sesuatu yang fleksible dan seronok bukannya sesuatu yang sangat “rigid” dan membosankan. Jangan pula dalam rangka kita bersemangat hendak bersedekah, kita “ketatkan” perbelanjaan keluarga sehingga ahli keluarga rasa tertekan. Ingat nafkah pada keluarga juga boleh menjadikan sarana untuk kita mendapat balasan pahala dari Allah.

Jadikan budaya bersedekah ini budaya keluarga. Anda boleh mewujudkan “Secret Sadaqah Box (SSB)” di mana setiap ahli keluarga menderma apabila tiada orang melihat. Setiap bulan amaun dari SSB boleh diserahkan kepada masjid, rumah anak yatim, Tabung BersamaMu TV3 atau sesiapa yang memerlukan. Latih anak-anak untuk biasa bersedekah. Sebagai contoh, jika anda biasa ke masjid atau surau bersama anak, berikan mereka sedikit duit untuk dimasukkan dalam tabung masjid. Kebiasaan ini insha’Allah akan menjadi sebati dengan jiwa mereka apabila membesar.[42]

Bermula dengan aktiviti demikian di rumah, kita boleh seterusnya menyarankan idea-idea tersebut di surau tempat tinggal kita atau juga di pejabat. Bagi jemaah di surau atau masjid tertentu, selain meningkatkan kemudahan, derma yang dikumpul boleh digunakan untuk memberi biasiswa kepada anak-anak jemaah yang kurang berkemampuan misalnya.

Islamic Center di Urbana-Champaign, Illinois tempat penulis melanjutkan pelajaran dahulu, menyediakan saluran bagi individu yang berkemampuan untuk memberi biasiswa kepada pelajar di UIUC ataupun kolej komuniti berdekatan. Individu tersebut pula boleh menetapkan pelajar program apa yang ingin dibiayainya (undang-undang, kejuruteraan, perniagaan dll). AJK Islamic Center tersebut menjadi pemegang amanah tabung tersebut dan memilih pelajar yang layak menerima biasiswa. Jika ini dapat diterapkan di institusi keagamaan di sini, insha’Allah akan membawa kesan yang amat positif untuk pembangunan jemaah setempat.

Suka penulis mengingatkan, dalam menjalankan aktiviti begini kita sepatutnya lebih pro-aktif bukannya reaktif. Dengan kata lain, pemegang amanah tersebut perlulah pergi mencari siapa yang berkelayakan menerima biasiswa tersebut, tidak hanya menanti di pejabat menunggu calon datang mengisi borang permohanan.

Selain menganjurkan majlis ilmu (islah), jemaah juga boleh menganjurkan lawatan ke hospital, rumah orang tua, orang-orang kurang upaya dan rumah anak-anak yatim. Aspek kebajikan orang lain inilah yang kurang diberi perhatian oleh umat Islam hari ini. Apabila kita membuat lawatan ketempat-tempat begini jangan hanya ditumpukan kepada orang Islam sahaja sebaliknya tumpukan kepada semua bangsa yang ada di hospital. Ini dapat menjadi salah satu dari usaha dakwah kepada orang bukan Islam.

Bagi pelajar univeristi yang tidak mampu membuat sumbangan kewangan pula, mungkin boleh menganjurkan kelas Matematik, Bahasa Inggeris atau Sains secara percuma atau dengan bayaran minimum bagi membantu pelajar-pelajar sekolah (rendah mahupun menengah) di kawasan surau berdekatan. Dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti sebegini barulah masjid dan surau memainkan peranan yang aktif dalam pembangunan ummah secara syumul insha’Allah.

Setelah siap belanjawan, langkah seterusnya adalah untuk menyimpan rekod bagi perbelanjaan sebenar yang kita lakukan. Cuba simpan rekod setiap perbelanjaan yang anda lakukan. Cadangan penulis, simpan resit perbelanjaan dan jumlahkan pada setiap hujung minggu. Sediakan juga satu buku nota kecil untuk mencatat perbelanjaan kecil-kecilan yang tiada resit. Catatan belanjawan ini boleh dibuat samada pada satu buku atau menggunakan excel file.

Pada hujung bulan bandingkan belanjawan anda dengan jumlah perbelanjaan sebenar. Adakah berlaku sebarang perbezaan (Varians = Budget – Actual)? Adakah anda terlebih belanja (mendapat nombor negatif pada kiraan varians anda) atau terkurang belanja (mendapat nombor positif pada varians anda)? Jika perbezaan yang berlaku hanya kecil, maka tidak perlu risau. Namun jika perbezaan yang berlaku melebihi RM 50 atau RM 100 misalnya anda perlu mengenalpasti sebab berlaku perbezaan ini. Adakah perbezaan tersebut kerana perbelanjaan di luar jangka atau kerana anda terlebih belanja misalnya. Setelah sebab dikenalpasti, langkah pembaikan boleh diambil samada anda membuat perubahan pada belanjawan jika perlu atau membuat perubahan dalam cara anda berbelanja.

 

 

Jadual 1: Contoh Belanjawan

 

Essential: Must pay                                                                                                         

Daruriyat:                                                                                                                           

Zakat                                                                            60                                                   

Makan                                                                        100                                                   

Household                                                                100                                                   

Bills:                                                                                                                                     

                               Telekom                                     150                                                   

                               TM Net                                          20                                                   

                               TNB                                             100                                                   

                               Indah Water & Cukai Pintu       13                                                   

Kereta                                                                        485                                                   

Servis Kereta                                                            100                                                   

Tol                                                                              100                                                   

Minyak                                                                       450                                                   

Road Tax & ins                                                         100                                                   

                                                                                                                 1778                   

Hajiyat                                                                                                                                 

Handphone                                                                80                                                   

Emergency                                                               100                                                   

                                                                                                                   180                   

Tahsiniyat                                                                                                                           

Dana Raya                                                                35                                                     

                                                                                                                     35

                                                                                                                                               1993

Non-Essential: Optional expenditure                                                                         

Hajiyat                                                                                                                                 

Jahitan                                                                       80                                                    

Buku                                                                           100                                                   

                                                                                                                   180

Tahsiniyat                                                                                                                           

Leisure                                                                      100                                                   

                                                                                                                   100

                                                                                                                                                 280

Jumlah Belanjawan                                                                                                          2273

Gaji                                                                                                                                       2400

Baki                                                                                                                                         127

Simpanan                                                                                                                                75

Sedekah                                                                                                                                  52

 

 

Penutup:

Apa yang penulis terangkan dalam artikel ini bukanlah sesuatu yang ada dalam diri setiap kita secara fitrah. Ia merupakan sesuatu yang perlu kita pelajari dan laksanakan secara berperingkat-peringkat. Kadangkala terasa sukar untuk bersedekah kerana pendapatan kita terasa sedikit. Tidak dinafikan dengan keperluan kehidupan yang semakin meningkat hari ini, pendapatan terasa amat terhad. Pada pandangan penulis, rezeki yang terhad ini boleh jadi mencukupi sekiranya terdapat dua elemen didalamnya:

 

Pertama: Adanya elemen barakah dalam rezeki kita.

Barakah ini berkait rapat dengan takwa sepertimana firman Allah yang bermaksud:

“…Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan jalan keluar. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya. (At-Talaq 65:2-3)

 

Selain takwa rezeki yang halal juga mengandungi barakah sepertimana firman Allah dalam surah al-Baqarah 2:276 yang bermaksud:

“Allah susutkan riba dan Dia pula mengembangkan sedekah dan zakat.”

 

Rezeki yang haram walaupun zahirnya kelihatan banyak tapi sekelip mata akan hilang entah ke mana. Bak kata pepatah Inggeris “Easy come easy go”. Manakala sedekah dan zakat walaupun pada zahirnya kelihatan seperti menyusut, tapi dengan adanya elemen barakah tadi insha’Allah akan sentiasa bertambah rezeki kita.

Pada pemerhatian penulis, persoalan takwa ini semakin pudar dari pemikiran kita. Apabila tidak ada rasa keterikatan pada Allah, maka kita tidak kisah halal haram sumber rezeki kita. Kita mungkin tidak terlibat secara langsung dalam pekerjaan yang haram, namun kita mungkin “tidak sedar” apabila kita sambil lewa melaksanakan kerja dipejabat. Budaya masuk lambat balik awal seumpama mencuri waktu kerja sedangkan kita dibayar gaji untuk jumlah waktu tertentu.

Dr. Yusuf Qaradhawi memberikan contoh orang yang melaksanakan solat malam dan kemudian ke kerja dengan tenaga dan semangat yang kurang kerana keletihan dan akhirnya tidak dapat melaksanakan kerja dengan sempurna, umpama orang yang “memakan harta orang lain dengan cara batil”; iaitu gaji dan upah yang diterimanya setiap bulan tidak setimpal dengan kerja yang dilakukannya.[43]

Contoh di atas merupakan orang yang sambil lewa bekerja kerana letih beribadat sepanjang malam, bagaimana pula kita yang lambat masuk office selepas makan tengahari kerana pergi membeli belah di shopping complex?

 

Selain itu al-Qur’an juga mengaitkan antara istighfar dan rezeki, sepertimana firman Allah yang bermaksud:

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonlah ampun (istaghfiru) kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai.” (Nuh 71:10-12)

 

Dalam sebuah hadith diriwayatkan bahawa: “Barangsiapa memperbanyak istighfar, maka Allah akan memberikan kelapangan dalam setiap kesulitan dan memberikan jalan keluar bagi setiap kesempitan, serta memberikan rezeki yang tidak diduga-duga.”[44]

Elemen barakah ini penulis kategorikan sebagai bantuan dari Allah. Sementara itu elemen yang kedua melibatkan usaha kita bagi memastikan rezeki yang dikurniakan kepada kita digunakan sebaik mungkin yakni dengan merancang perbelanjaan kita.

 

Kedua: Merancang perbelanjaan.

Mencukupi atau tidak adalah merupakan sesuatu yang relatif (berubah mengikut kayu ukur yang kita gunakan). Jika kita berbelanja mengikut kehendak nafsu tanpa melihat keutamaan dalam perbelanjaan tersebut, sudah pasti pendapatan kita tidak mencukupi. Sejarah Perancis pada tahun 1786 membuktikan perkara ini apabila Permaisurinya Marie Antoinette membelanjakan USD 11 juta[45] setahun untuk pakaian dan Menteri Kewangannya sudah tidak mampu untuk menampung perbelanjaan tersebut dan terpaksa meminta bantuan Parlimen Perancis untuk menampung defisit tersebut.[46] Akan tetapi jika kita berbelanja mengikut keperluan (need) dan keperluan ini pula diutamakan perkara yang daruriyat daripada perkara hajiyat dan tahsiniyat, insha’Allah pendapatan kita mencukupi untuk diri dan keluarga serta boleh membantu orang lain yang memerlukan.

Semoga apa yang penulis sampaikan dalam risalah ini dapat membantu pembaca memahami keutamaan dalam berbelanja. Walaupun consumption merupakan persoalan ekonomi, ia tidak dapat lari daripada hubungan kita dengan Allah. Setiap yang kita belanjakan di dunia ini akan dicatat dan dibentangkan pada hari akhirat. Hati yang sedar bahawa Penciptanya sedang memerhatikannya (takwa) dan hati yang sedar akan tanggungjawabnya untuk menjawab pada Penciptanya pada hari kebangkitan semula akan sentiasa memerhatikan sumber rezekinya dan ke mana ia membelanjakan rezekinya. Persoalan iman inilah yang akan memandu kita dalam membuat consumption decision. Wallahu ta’ala a’lam.


[1]               Parkin, Micheal, Microeconomics, 3rd Ed, Addison Wesley, 1996, ms 18

[2]               Sloman, John, Economics 3rd Ed, Prentice Hall, 1997, ms 1 (Consumption is the act of using goods and services to satisfy wants. This will normally involve purchasing the goods and services)

[3]               Parkin, Micheal, Microeconomics, 3rd Ed, Addison Wesley, 1996, ms 147

[4]               Sloman, John, Economics, 3rd Ed, Prentice Hall, 1997, ms 102

[5]               Parkin, Micheal, Microeconomics, 3rd Ed, Addison Wesley, 1996, ms 179.

Terdapat faktor lain yang diterangkan oleh Keynes model misalnya seperti harta yang dimiliki (lebih banyak harta, lebih tinggi consumption), cukai (lebih tinggi cukai, lebih rendah pendapatan dan lebih rendah consumption), jangkaan harga akan datang (jika harga dijangka naik, pengguna akan membeli barang yang tahan lama lebih cepat, sebelum harga naik) dll. Penulis hanya meringkaskan faktor utama dalam risalah ini. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Sloman, John, Economics 3rd Ed, Prentice Hall, 1997, ms 496 –498.

[6]               Barang pengganti adalah barang yang boleh saling ganti mengganti antara satu sama lain. Contohnya kita boleh memilih hendak membeli mentega atau majerin? Kopi atau teh? Selalunya harga barang ini akan mempengaruhi kuantiti pembeliannya. Misalnya jika harga mentega naik, dan harga majerin kekal, mungkin lebih ramai yang akan membeli majerin. Inilah yang dimaksudkan dengan barang pengganti i.e “Jika harga barang A meningkat, kuantiti barang B yang dibeli akan meningkat kerana barang B boleh menggantikan barang A dengan harga yang lebih murah.”

[7]               Khan, Fahim, “Theory of Consumer Behavior from Islamic Perspective” dalam Essays in Islamic Economics, The Islamic Foundation, 1995, ms 29

[8]               Rahman, Afzalur, Economic Doctrines of Islam, Vol II, Muslim Educational Trust, London, 1980, ms 77-82

[9]               http://www.tafsir.com/default.asp?sid=2&tid=5792

[10]             Sahih: Hadis diriwayatkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad – no 7155. Dinukil dari Hafiz Firdaus Abdullah, Kaedah Memahami Hadis-hadis Yang Saling Bercanggah, Jahabersa, 2002, ms 80

[11]             Sahih: Hadith diriwayatkan oleh Bukhari (3/132) dan Muslim (1628), dinukil dari Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 224.

[12]             Sahih: Hadith diriwayatkan oleh Muslim (995), dinukil dari Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 226. Terdapat banyak lagi hadith yang menerangkan keutamaan memenuhi nafkah keluarga. Untuk bacaan lanjut sila rujuk buku Yusuf Qaradawi tersebut ms 218 –227.

[13]             Dr. Mahmud Ahmad Sa’id Al-Athrasy, Kewajiban Orang Kaya Terhadap Orang Miskin, Edisi Terjemahan, Cendekia Sentra Muslim, 2004, ms 73

[14]             Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 217

[15]             Hasan: Hadith diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi- no 3675 dan Abdul Salam bin Muhammad bin Umar dalam al-Mustadrak – no 1550, dinukil dari Hafiz Firdaus Abdullah, Kaedah Memahami Hadis-hadis Yang Saling Bercanggah, Jahabersa, 2002, ms 81

[16]             (7 tangkai X 100 biji)  X 100

                         1 biji benih

[17]             Terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menjanjikan pahala, kemenangan dan keampunan untuk orang-orang yang bersedekah. Untuk bacaan lanjut, sila rujuk Rahman, Afzalur, Economic Doctrines of Islam, Vol II, Muslim Educational Trust, London, 1980, ms 83-102

[18]             al-Zarqa, Muhammad Anas, “A Partial Relationship In A Muslim’s Utuliti Function” dalam Readings in Microeconomics: An Islamic perspective, Longman Malaysia, 1992, ms 107

[19]             Yusuf Qaradhawi, Fiqh Keutamaan, Thinker’s Library, Cetakan Keenam 2003, ms26

[20]             Contoh ini dicadangkan oleh akhi Hafiz Firdaus dan penulis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau.

[21]             Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 259-262

[22]             Mutraf : living in ease and luxury. Arabic-English Dictionary, The Hans Wehr Dictionary of Moderrn Written Arabic, 4th Ed, 1994, ms 113

[23]             At-Tafsir Al-Kabir oleh ar-Razi (XVIII/75) dinukil dari Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 249

[24]             Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 249-253

[25]             asrafa-musrifun-israafun: to exceed all bounds; be  immoderate; be excessive; be extravagant; to waste. Arabic-English Dictionary, The Hans Wehr Dictionary of Moderrn Written Arabic, 4th Ed, 1994 ms475

[26]             Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 257

[27]             Sahih: Muttafaq ‘alaih, al Lu’lu’ wal Marjan (205) dinukil dari Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 258

[28]             Hadith riwayat Ibn Majah (425) dan dalam sanadnya ada kelemahan, namun dikuatkan dengan hadith sebelumnya (424) dari Ibnu Umar, tersebut didalamnya: “Janganlah kamu berlaku boros, Janganlah kamu berlaku boros!” dinukil dari Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 236

[29]             Sahih: Hadith riwayat Muslim (2034) dinukil dari Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 238

[30]             Sahih: Hadith riwayat Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud (1697).

[31]             Sahih: Diriwayatkan oleh Muslim (6/34) dan Ahmad (2/20), dinukil dari Muhammad Nashiruddin al-Albani, Islam Mengentas Kemiskinan, Tinjauan Kritis, Analisis Tentang Hadith Ekonomi, Pustaka Azzam, 2002, ms 75

[32]             Hasan: Hadith riwayat an-Nasaa’i (VII/314-315), at-Thabarani dalam al-Ausath (IV/128), al-Hakim dan disahihkannya serta disepakati oleh adz-Zdahabi (II/25). Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’ ash-Shaghir (3600), dinukil dari Yusuf Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 2001, ms 240

[33]             Muhammad Akram Khan, An Introduction to Islamic Economics, IIIT, 1994, ms 25-26.

[34]             Majalah Nur, “Eksekutif Muflis, Bahaya Kuasa Sekeping Kad”, Karangkraf, Edisi Ogos 2005, ms 14

[35]             Yusuf Qaradhawi, Fiqh Keutamaan, Thinker’s Library, Cetakan Keenam 2003, ms 114

[36]             Yusuf Qaradhawi, Fiqh Keutamaan, Thinker’s Library, Cetakan Keenam 2003, ms 15

[37]             Yusuf Qaradhawi, Fiqh Keutamaan, Thinker’s Library, Cetakan Keenam 2003, ms 160

[38]             Yusuf Qaradhawi, Fiqh Keutamaan, Thinker’s Library, Cetakan Keenam 2003, ms 300

[39]             Yusuf Qaradhawi, Fiqh Keutamaan, Thinker’s Library, Cetakan Keenam 2003, ms 122

[40]             Khan, Fahim, “Theory of Consumer Behavior from Islamic Perspective” dalam Essays in Islamic Economics, The Islamic Foundation, 1995, ms 39-40

[41]             Bagi bacaan lanjut dan contoh lain, pembaca boleh merujuk http://www.soundvision.com/Info/life/pfplan.asp. Bagi contoh belanjawan keluarga, pembca boleh merujuk http://www.soundvision.com/Info/life/fbudget.asp

[42]             Untuk beberapa panduan lain sila rujuk http://www.soundvision.com/Info/life/18.asp dan http://www.soundvision.com/Info/life/20kids.asp

[43]             Yusuf Qaradhawi, Fiqh Keutamaan, Thinker’s Library, Cetakan Keenam 2003, ms 153

[44]             Dhaif: Hadith riwayat Ibnu Majah, di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang tidak dikenali (majhul). Ia dinilai dhaif oleh al-Albani dalam Dhaif Sunan Ibnu Majah – hadith no: 3819. Dikemukakan selari dengan syarat-syarat al-Targhib wa al-Tarhib.

[45]             Beliau membelanjakan 272,000 livre (matawand perancis pada zaman tersebut) = 60 juta francs = USD 11 juta

[46]             Dr Ravi Batra, Surviving The Great Depression of 1990, Dell Publishing, Nov 1989, ms 15

 

            Sebelumnya                                                     Kandungan                                                        Seterusnya