BEBERAPA PERSOALAN SOLAT

 

MAKLUMAT BUKU : KANDUNGAN

 

 

8

 

MENGGERAKKAN JARI TELUNJUK
KETIKA TASYAHHUD (TAHIYAT)

 

Antara amalan sunnah dalam solat yang semakin dilupakan di Malaysia adalah menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika tasyahhud awal dan akhir. Kerana perbuatan tersebut begitu asing, maka ada di antara umat Islam di Malaysia yang menuduh amalan tersebut tidak dicontohkan daripada Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam malah boleh membatalkan solat kerana terdapat pergerakan lebih dari tiga kali.

Untuk kita meneliti sunnah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam yang sebenar dalam isu gerak atau tidak menggerakkan jari ketika tasyahhud ini, akan penulis paparkan beberapa hadis yang berkaitan.

 

عَنْ عَامِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الزُّبَيْرِ عَنْ أَبِيهِ:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا قَعَدَ فِي التَّشَهُّدِ

 

وَضَعَ كَفَّهُ الْيُسْرَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُسْرَى وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ

 

لاَ يُجَاوِزُ بَصَرُهُ إِشَارَتَهُ.

 

Daripada ‘Amir bin Abdullah bin al-Zubair, daripada ayahnya, (dia berkata), “Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam duduk tasyahud,

baginda meletakkan telapak tangan kirinya di atas paha kira baginda

dan jari telunjuk (tangan kanan) dihalakan (ke kiblat).

Mata baginda tidak terlepas daripada memandang ke arah ibu jarinya.”[1]

 

 

 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الزُّبَيْرِ

 

أَنَّهُ ذَكَرَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

كَانَ يُشِيرُ بِأُصْبُعِهِ إِذَا دَعَا وَلاَ يُحَرِّكُهَا.

 

Abdullah bin Zubair radhiallahu’anh berkata:

“Bahawasanya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam,

adalah baginda ketika berdoa (tasyahhud),

beliau mengisyaratkan dengan jarinya dan tidak menggerak-gerakkannya.”[2]

 

 

 

أَنَّ وَائِلَ بْنَ حُجْرٍ أَخْبَرَهُ قَالَ:قُلْتُ لأَنْظُرَنَّ إِلَى صَلاَةِ

 

رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَيْفَ يُصَلِّي فَنَظَرْتُ إِلَيْهِ

 

فَقَامَ فَكَبَّرَوَرَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى حَاذَتَا بِأُذُنَيْهِ ...

 

ثُمَّ قَبَضَ اثْنَتَيْنِ مِنْ أَصَابِعِهِ وَحَلَّقَ حَلْقَةً

 

ثُمَّ رَفَعَ إِصْبَعَهُ فَرَأَيْتُهُ يُحَرِّكُهَا يَدْعُو بِهَا.

 

Dari Wail bin Hujur dia berkata:

Sesungguhnya betul-betul aku telah melihat bagaimana caranya

Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam mendirikan solat.

Aku melihat baginda berdiri kemudian bertakbir sambil mengangkat kedua tangannya sehingga setentang dengan kedua telinganya.

Kemudian beliau duduk (tasyahhud), kemudian baginda membuat satu lingkaran bulat (dengan kedua-dua jarinya iaitu jari tengah dan ibu jarinya) kemudian baginda mengangkat jari telunjuknya, maka aku melihat baginda terus menggerak-gerakkan jarinya dan baginda berdoa dengannya.”[3]

 

 

 

عَنْ وَائِلِ بْنِ حُجْرٍ قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

قَدْ حَلَّقَ بِالإِبْهَامِ وَالْوُسْطَى وَرَفَعَ الَّتِي تَلِيهِمَا يَدْعُو بِهَا

 

فِي التَّشَهُّدِ.

 

Dari Wail bin Hujur, dia berkata: “Aku melihat

Nabi shalallahu 'alaihi wasallam melingkarkan ibu jari dan jari tengahnya,

dia mengangkat (jari telunjuk) yang dekat keduanya,

baginda berdoa dengannya pada waktu tasyahhud.”[4]

 

 

 

فَقَالَ أَبُو حُمَيْدٍ أَنَا أَعْلَمُكُمْ بِصَلاَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَلَسَ يَعْنِي لِلتَّشَهُّدِ

 

فَافْتَرَشَ رِجْلَهُ الْيُسْرَى وَأَقْبَلَ بِصَدْرِ الْيُمْنَى عَلَى قِبْلَتِهِ

 

وَوَضَعَ كَفَّهُ الْيُمْنَى عَلَى رُكْبَتِهِ الْيُمْنَى

 

وَكَفَّهُ الْيُسْرَى عَلَى رُكْبَتِهِ الْيُسْرَى وَأَشَارَ بِأُصْبُعِهِ يَعْنِي السَّبَّابَةَ.

 

Abu Humaid radhiallahu’anh berkata: “Akulah orang yang paling tahu di antara kalian tentang cara solat Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, (kemudian dia menerangkan), sesungguhnya Rasulullah duduk

(untuk tasyahhud) baginda hamparkan kaki kirinya,

dan baginda hadapkan kaki kanan ke arah kiblatnya,

dan baginda letak telapak kanannya di lutut kanan

dan telapak kirinya di lutut kiri,

lalu baginda berisyarat dengan jarinya yakni jari telunjuk.”[5]

 

 

Ini adalah beberapa contoh sifat Nabi shalallahu 'alaihi wasallam ketika bertasyahhud. Ternyata ada hadis yang menunjukkan baginda hanya menunjuk dengan jari telunjuknya tanpa menggerakannya dan ada juga hadis yang menunjukkan beliau menggerak-gerakkannya secara berterusan sehingga memberi salam.

Hadis riwayat Abdullah bin Zubair radhiallahu’anh secara jelas menyatakan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam hanya menunjuk dengan jari telunjuknya tanpa menggerakkannya sebagaimana lafaz hadis tersebut beliau mengisyaratkan dengan jarinya dan tidak menggerak-gerakkanya.

Manakala tentang Hadis dari Wail bin Hujur radhiallahu’anh, Abu Ubaidah menyatakan:

Inilah riwayat sahih yang menerangkan tentang pergerakan jari telunjuk ketika solat (dalam tasyahhud – pen). Di dalam hadis di atas disebutkan bahawa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam “Yuharriku ashaabi’ahu (terus menggerak-gerakkan jarinya)”. Kata Yuharriku di atas menggunakan fi’il mudhaari’ (kata kerja yang digunakan untuk masa sekarang dan akan datang). Dalam kaedah tatabahasa arab, fi’il mudhaari’ memiliki pengertian istimrar, iaitu perbuatan yang dilakukan secara terus-menerus. Jadi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam telah menggerakkan jarinya secara terus-menerus hingga beliau melakukan salam.[6]

 

Manakala hadis-hadis yang menyatakan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam berdoa dengan jari telunjuknya dan berisyarat dengan jari telunjuknya maka ada ulama’ yang menafsirkan ia sebagai tidak menggerakkan dan ada juga ulama’ yang menafsirkan sebagai menggerak-gerakkan jari telunjuk. al-Albani rahimahullah umpamanya telah berpendapat bahawa hadis-hadis tentang tasyahhud yang menyatakan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam berisyarat dengan jari telunjuknya membuktikan baginda shalallahu 'alaihi wasallam menggerak-gerakkannya. Beliau telah menyatakan:

Isyarat yang diterangkan oleh riwayat-riwayat ini bukanlah nas (dalil) yang meniadakan tahrik (menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika tasyahhud), kerana menurut dari segi bahasa, kelaziman isyarat itu disertai gerakan. Misalnya, seseorang akan memberi isyarat: ‘Dekatlah kepadaku’ (dengan menggunakan tangan – pen) kepada seseorang yang jauh. Dan memberi isyarat ‘duduklah’ (dengan menunjuk ke tempat duduk – pen) kepada orang yang sedang berdiri. Pada ilustrasi di atas, tidak seorangpun memahami bahawa orang (yang memberi isyarat – pen) di atas tidak menggerakkan tangannya. Mengapa kita perlu pergi begitu jauh. Contoh yang paling baik yang akan kami sampaikan kepada pembaca ialah hadis dari ‘Aisyah mengenai solat para sahabat di belakang Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sambil berdiri. Sedangkan baginda duduk. Beliau memberi isyarat ‘Duduklah’ kepada para para sahabat. Hadis ini disepakati kesahihannya.[7]  Setiap orang yang berakal tentu tahu bahawa isyarat Nabi tidak sekadar mengangkat tangan seperti ketika Nabi menjawab salam kaum Ansar dan beliau sedang solat. Isyarat ini tentu disertai gerakan tangan. Kerana itu, tidak selayaknya kita memahami bahawa riwayat-riwayat ini bertentangan dengan riwayat tahrik, tetapi justeru ada kesesuaian.[8]

 

Tambah al-Albani rahimahullah lagi:

Di antara riwayat yang menguatkan pendapat di atas adalah hadis sahih mengenai isyarat Nabi dengan jari telunjuknya dalam khutbah Jumaat sebagaimana diriwayatkan oleh Muslim dan yang lainnya dan ditakhrij dalam al-Irwa’ (II/77). Adalah satu kelaziman bahawa Nabi menggerakkan telunjuknya sebagai isyarat ketauhidan, bukan sekadar isyarat tanpa menggerakkan telunjuk. Hal ini disaksikan oleh riwayat Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya (II/35) dengan sanad dha’if (lemah) dari Sahl bin Saad, seperti hadis Imarah dengan lafaz:

 

وَاَشَارَ بأُصْبُعِهِ السَّبَّابَةِ يُحَرِّكُهَا.

 

Dan Nabi memberi isyarat dengan jari telunjuknya sambil menggerakkannya.

 

Ibnu Khuzaimah mentafsirkan hadis Imarah ini dengan menyatakan: “Bab Isyarat khatib di atas mimbar dengan telunjuk ketika berada dalam khutbahnya dan menggerakkannya ketika memberi isyarat itu.[9]

 

Tentu ramai yang tertanya-tanya mengenai amalan kebiasaan umat Islam di Malaysia ketika tasyahhud yang hanya mengangkat jari telunjuk ketika إِلاَّ اللَّهُ   illallah (dari kalimah  لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُlaa ilaaha illallah) ketika bersyahadah. Sebenarnya amalan ini tidak ada contohnya dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, para sahabat, tabi’in dan tabi’ut at-Tabi’in malah amalan ini juga bukannya ajaran al-Syafi’i rahimahullah atau mana-mana ulama’ bermazhab Syafi’i sebelum kurun ke 5 hijrah. al-Syafi’i rahimahullah di dalam kitabnya al-Umm berpendapat jari telunjuk diangkat secara terus-menerus dari awal hingga akhir tasyahhud:

Dia menghamparkan tangannya yang kiri atas pahanya yang kiri. Dia menggenggam anak jari tangannya yang kanan atas pahanya yang kanan, selain telunjuk dan ibu jari. Dan dia menunjukkan (mengisyaratkan) dengan telunjuk.[10]

 

Al-Syafi’i rahimahullah juga membawa riwayat dari Ibnu Umar radhiallahu’anhuma lalu beliau berkata:

Adalah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam  apabila beliau duduk dalam solat (ketika tahiyat – pen), beliau meletakkan telapak tangannya yang kanan atas pahanya yang kanan. Beliau menggenggam seluruh anak jarinya dan beliau mengisyaratkan dengan anak jarinya yang mengiringi ibu jari (telunjuk). Dan beliau meletakkan telapak tangannya yang kiri di atas pahanya yang kiri.[11]

 

Demikianlah pendapat sebenar al-Syafi’i rahimahullah dalam hal ini. Pendapat beliau ini juga disokong oleh fuqaha’ Syafi’iyyah seperti al-Baihaqi, al-Mawarzi dan al-Mawardi rahimahumullah. Malah al-Mawardi (dilahirkan di Basrah pada tahun 364 H) menyatakan dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir Syarah Mukhtasar al-Muzani (jld. 2, ms. 132-133) bahawa fuqaha’ Syafi’iyyah pada zamannya mengamalkan kedua-dua pendapat iaitu menggerak-gerakkan jari telunjuk dan tidak menggerakkannya secara terus dari awal sehingga salam. Tidak ada pendapat bahawa mereka mengangkat jari hanya ketika menyebut kalimah إِلاَّ اللَّهُ  illallah dalam tasyahhud.[12] Semoga dengan pendedahan ini umat Islam di Malaysia akan kembali kepada mazhab al-Syafi’i rahimahullah yang sebenar, yang sentiasa tegar atas sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sesuai dengan gelaran beliau sebagai al-Nashir al-Sunnah (pembela sunnah). Umat Islam di Malaysia harus membuang sikap taklid buta terhadap amalan yang mereka warisi secara turun-temurun dan sepatutnya melakukan usaha yang gigih untuk meneliti sunnah-sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Amalan hanya bertaklid buta kepada amalan nenek moyang ini telah dicela dengan keras oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firmannya:

 

Dan apabila dikatakan kepada mereka:

"Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran)

dan kepada Rasul-Nya (yang menyampaikannya)", mereka menjawab:

"Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya". Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?[13]

 

Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taklid buta);

Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran,

melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama

dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja. Rasul itu berkata: Adakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun aku membawa kepada kamu agama yang lebih jelas hidayah petunjuknya daripada jalan agama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya? Mereka menjawab:

Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya. Lalu Kami balas keingkaran mereka dengan azab yang membinasakan;

maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.[14]

 

 

Tentang dakwaan mereka bahawa menggerak-gerakkan jari telunjuk secara berterusan dalam tasyahhud boleh membatalkan solat kerana terdapat pergerakkan lebih dari tiga kali, berkata al-Nawawi rahimahullah dalam Syarh al-Muhadzdzab (jld. 3, ms. 454):

Haram hukumnya menggerak-gerakkan jari ketika solat. Jika tetap menggerakkannya maka solatnya menjadi batal. Pendapat ini diceritakan dari Abu Ali ibn Abu Hurairah. Namun pendapat tersebut dianggap syadz (bertentangan dengan dalil yang lebih sahih) dan dha’if (lemah).[15]

 

Kemudian al-Nawawi berkata lagi:

Disunnahkan menggerakkan jari ketika solat. Hal ini diceritakan oleh Syaikh Abu Hamid, al-Bandaniji dan al-Qadhi Abu al-Thayyib serta beberapa ulama’ lainnya. Pendapat ini didasarkan pada hadis Wail bin Hujur: “kemudian beliau mengangkat jari telunjuknya, maka aku melihat baginda terus menggerak-gerakkan jarinya dan beliau berdoa dengannya.” Hadis riwayat al-Baihaqi dengan sanad yang sahih.[16]

 

Maka menurut al-Nawawi, dakwaan terbatalnya solat dengan gerakan sebanyak tiga kali itu tidak ada dasarnya dari hadis Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dan sepatutnya kita menolak dakwaan semacam ini. Jadi telah jelaslah bagi kita bahawa amalan tahrik ini memang ada dasarnya melalui hadis-hadis dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Berkata al-Albani rahimahullah:

Menggerakkan jari telunjuk dalam tasyahhud merupakan perbuatan yang sah dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam, dilakukan oleh Ahmad dan imam-imam Ahl al-Hadis yang lainnya. Oleh kerana itu, hendaklah takut kepada Allah bagi orang yang beranggapan bahawa perbuatan ini sia-sia, tidak patut dilakukan dalam solat. Kerana anggapan itu mereka tidak mahu menggerakkan telunjuknya dalam solat, padahal mereka tahu riwayatnya sah. Mereka mencari-cari alasan untuk mentakwilnya (memberi tafsiran lain – pen) dengan menyalahi ketentuan bahasa Arab dan pengertian yang difahami para imam.[17]

 

Kesimpulannya, dalam bertasyahhud, Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam menggerak-gerakkan jari telunjuknya secara berterusan dan sesekali beliau hanya menunjuk jari telunjuknya ke arah kiblat tanpa menggeraknya dari awal hingga salam. Oleh itu kedua-duanya mempunyai dalil yang sahih dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Maka bebas bagi umat Islam memilih untuk beramal antara kedua-duanya tanpa ragu-ragu. Manakala amalan mengangkat jari telunjuk ketika إِلاَّ اللَّهُ   illallah (dari kalimah  لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُlaa ilaaha illallah) ketika bersyahadah sememangnya tidak memiliki dalil yang sahih serta ianya bukan dari ajaran al-Syafi’i rahimahullah. Maka sewajarnya pembaca-pembaca yang budiman melakukan penilaian semula ke atas amalan tersebut.

 

 


 

[1] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, hadis no. 1275.

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, hadis no. 989 dan berkata al-Nawawi dalam Al-Majmu’, jld. 3, ms. 435: “Sanadnya sahih.” Lebih lanjut tentang darjat hadis ini, rujuk buku saya Kaedah Memahami Hadis-Hadis Yang Saling Bercanggah (Jahabersa, Johor Bahru, 2002), ms. 118.

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, hadis no. 889. Berkata al-Nawawi dalam Al-Majmu’, jld. 3, ms. 435: “Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan sanad yang sahih.”

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no. 912.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih”, juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no. 293.

[6] Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 168.

[7] Hadis yang dimaksudkan oleh al-Albani adalah seperti berikut:

 

            صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَيْتِهِ وَهُوَ شَاكٍ فَصَلَّى جَالِسًا وَصَلَّى وَرَاءَهُ قَوْمٌ قِيَامًا فَأَشَارَ إِلَيْهِمْ أَنْ اجْلِسُوا.

Rasulullah solat di rumahnya, baginda di dalam keadaan kesulitan, maka baginda solat duduk, para sahabat solat di belakangnya berdiri, maka baginda memberi isyarat kepada mereka (untuk solat) duduk. (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 688)

[8] Muhammad Nashiruddin al-Albani, Tamamul Minnah, jld.1, ms. 268.

[9] Muhammad Nashiruddin al-Albani, Tamamul Minnah, jld.1, ms. 268.

[10] Al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 277.

[11] Al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 277.

[12] Untuk melihat perbahasan yang bermanfaat tentang hal ini sila rujuk kupasan yang begitu baik dari Saudara Hafiz Firdaus Abdullah dalam bukunya Kaedah Memahami Hadis-Hadis Yang Saling Bercanggah, ms. 124-129.

[13] al-Maaidah (5): 104

[14] al-Zukhruf (43): 23-25

[15] Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 172.

[16] Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 172.

                Catitan penyunting: Walaubagaimanapun perlu diketahui bahawa pendapat yang dikuatkan oleh al-Nawawi ialah tidak menggerakkannya. Beliau berkata: “Yang benar adalah apa yang diputuskan oleh jumhur bahawa ia tidak digerak-gerakkan. Jika digerakkan maka ia adalah makruh namun tidak membatalkan solat disebabkan ia adalah perbuatan yang kecil/sedikit.” Adapun riwayat Wail bin Hujur berkenaan digerak-gerakkan jari telunjuk, maka al-Nawawi cenderung kepada takwilan al-Baihaqi bahawa yang dimaksudkan adalah isyarat dan bukannya pergerakan berulang-ulang.” Rujuk Al-Majmu’, jld. 3, ms. 435.

[17] Muhammad Nashiruddin al-Abani, Sifat Shalat Nabi, ms. 196.

 

Ke atas