BEBERAPA PERSOALAN SOLAT

 

MAKLUMAT BUKU : KANDUNGAN

 

 

3

 

CARA MEMBACA DOA IFTITAH

 

Membaca doa iftitah setelah takbirat al-Ihram merupakan satu tuntutan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Ianya merupakan satu bentuk pujian, sanjungan dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Terdapat sebegitu banyak hadis yang menunjukkan baginda shalallahu 'alaihi wasallam amat menitik beratkan pembacaan doa iftitah ini. Walaupun majoriti ulama’ menyatakan membaca doa iftitah ini hanyalah sunat dan tidak membatalkan solat sekiranya tidak dibaca, namun bagi kita yang benar-benar ingin mengikuti sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam serta mempraktikkan suruhannya sebagaimana sabdanya:"Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.[1] maka sewajarnya kita tidak meninggalkan doa iftitah ini. Apatah lagi memang telah ada dalil dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang menunjukkan bahawa doa iftitah ini adalah termasuk dalam perkara yang dapat menyempurnakan ibadah solat:

 

لاَ تَتِمُّ صَلاَةٌ لأَحَدٍ مِنْ النَّاسِ حَتَّى يَتَوَضَّأَ فَيَضَعَ الْوُضُوءَ يَعْنِي مَوَاضِعَهُ ثُمَّ يُكَبِّرُ وَيَحْمَدُ اللَّهَ جَلَّ

 

وَعَزَّ وَيُثْنِي عَلَيْهِ وَيَقْرَأُ بِمَا تَيَسَّرَ مِنْ الْقُرْآنِ.

 

Tidak sempurna solat seseorang sehingga dia menyempurnakan wuduknya

sebelum dia bertakbir, memuji Allah 'Azza wa Jalla, menyanjung-Nya,

dan membaca ayat-ayat al-Qur’an yang mudah baginya (dihafalnya)…[2]

 

 

Apa yang dapat kita fahami dari hadis di atas adalah, setelah kita bertakbir maka hendaklah kita memuji dan menyanjungi Allah 'Azza wa Jalla melalui pembacaan doa iftitah. Tanpanya maka tidak sempurnalah solat kita.

Kebiasaannya bagi umat Islam di Malaysia, doa iftitah yang diamalkan dalam solat adalah seperti berikut:

 

اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً

 

وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَالسَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ

 

حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ

 

إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

 

لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنْ الْمُسْلِمِينَ.

 

Allah yang Maha Besar dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku bagi Tuhan yang mencipta tujuh petala langit dan bumi, cenderung kepada penyerahan dan tidaklah aku daripada golongan orang yang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan itu (apabila) aku disuruh dan aku adalah tergolong dari golongan Islam.[3]

 

 

Namun begitu, setelah diteliti doa iftitah di atas, maka dapati tidak wujud satu hadispun yang sahih datangnya dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang menunjukkan baginda shalallahu 'alaihi wasallam mengajar cara pembacaan sedemikian rupa. Setakat kajian penulis, yang wujud hanyalah hadis-hadis yang seakan-akan sama dengan cara pembacaan di atas tetapi ianya terpisah-pisah dan diambil sekerat sahaja. Mari kita lihat hadis-hadis tersebut:[4]

 

Pertama:

Dari Ibn 'Umar, dia berkata: Sedang kami bersolat bersama Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, salah seorang dari kami mengucapkan:

 

اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً.

 

“Allah yang Maha Agung lagi Maha Besar

dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah pagi dan petang.” 

 

Bersabda Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam:  “Siapa yang telah mengucapkan kalimat begini dan begini?”

Salah seorang dari kami menjawab: “Saya, wahai Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam.”

Baginda berkata: “Ianya (ucapan tersebut) telah membangkitkan rasa ajaib kepada aku kerana pintu-pintu syurga telah terbuka disebabkan oleh ucapan itu.”

Ibn 'Umar berkata: “Aku tidak pernah meninggalkan ucapan tersebut semenjak mendengar Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam berkata begitu.”[5]

 

 

Kedua:

Dari Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh, dia berkata: “Bila Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam berdiri hendak mengerjakan solat, diucapkannya takbir kemudian dibacanya:

 

وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ

 

حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِين.َ

 

إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين.َ

 

لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنْ الْمُسْلِمِينَ.

 

اللَّهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَنْتَ رَبِّي

 

وَأَنَا عَبْدُكَ ظَلَمْتُ نَفْسِي

 

وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا

 

إِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ

 

وَاهْدِنِي لأَحْسَنِ الأَخْلاَقِ لاَ يَهْدِي لأَحْسَنِهَا إِلاَّ أَنْتَ

 

وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لاَ يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلاَّ أَنْتَ

 

لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ

 

أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ.

 

“Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang mencipta seluruh langit dan bumi, dengan sepenuh penyerahan dan bukanlah aku daripada golongan orang yang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam.

Tidak ada sekutu bagi-Nya. Demikianlah aku diperintah dan aku tergolong dari golongan Islam.

Ya Allah, Engkaulah Tuhanku dan aku adalah hamba-Mu, aku telah membuat aniaya terhadap diriku dan mengakui kesalahanku, maka ampunilah dosaku kesemuanya, dan tiadalah yang dapat mengampuni dosa-dosaku itu melainkan Engkau.

Dan tunjukilah aku kepada akhlak terbaik, tak ada yang akan menuntun kepada akhlak yang terbaik itu kecuali Engkau; dan jauhkanlah aku dari akhlak yang jelek, tak ada yang dapat menjauhkan aku dari akhlak yang jelek itu melainkan engkau.

Aku penuhi panggilan-Mu ya Allah dan aku patuhi perintah-Mu.

Dan kebaikan itu seluruhnya berada dalam Tangan-Mu sedangkan kejahatan itu tak dapat dipergunakan untuk menghampirkan diri kepada-Mu.

Aku milik-Mu, kepada-Mu-lah yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi, aku meminta ampun dan bertaubat.[6]

 

 

Cara pembacaan yang lazimnya dibacakan di Malaysia adalah hasil penggabungan dan pemotongan kedua-dua hadis di atas. Sekiranya menggabungkan kedua-dua hadis di atas adalah baik untuk dibacakan sebagai doa iftitah dalam solat tentu Nabi shalallahu 'alaihi wasallam akan mengajar kita cara yang sedemikian rupa dan tentu juga para sahabat radhiallahu’anhum serta para tabi’ut at-Tabi’in yang paling awal sekali mengamalkan cara pembacaan tersebut. Namun hakikatnya ia tidak sedemikian rupa. Oleh itu sepatutnya kita berusaha untuk mengamalkan doa iftitah sebagaimana yang telah diajar oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dengan tidak merubahnya dengan penambahan atau pengurangan kepada bentuk pembacaan yang lain. Ini selari dengan perintah baginda shalallahu 'alaihi wasallam untuk mencontohi baginda sepenuhnya dalam tatacara bersolat sebagaimana sabdanya: "Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”[7]  Tambahan lagi Allah 'Azza wa Jalla juga berfirman:

           

Demi sesungguhnya,

adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,

iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah

dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).[8]

 

 

Oleh itu adakah wajar bagi kita untuk membelakangi cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam seorang manusia yang telah dijamin oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai contoh ikutan yang terbaik lantas memilih doa iftitah yang hanya direka cipta oleh insan lain yang tidak terpelihara dari kesalahan (tidak maksum)? Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (shalallahu 'alaihi wasallam)

kepada kamu maka terimalah serta amalkan

dan apa yang ditegah daripada kamu, hendaklah kamu jauhi.[9]

 

 

Selain dari dua cara pembacaan doa iftitah di atas, terdapat beberapa lagi bentuk bacaan yang telah diajar oleh baginda shalallahu 'alaihi wasallam yang antaranya adalah seperti berikut:[10]

 

 

Pertama:

 

Berkata Abu Hurairah: “Biasanya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam diam sejenak antara takbir dan bacaan (al-Fatihah).” Aku berkata: “Dengan bapa dan ibuku, wahai Rasulullah, diamnya engkau antara takbir dan bacaan, apakah yang engkau ucapkan?” Baginda bersabda: “Aku mengucapkan:

 

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ

 

كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ.

 

اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنْ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنْ الدَّنَسِ.

 

اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ.

 

“Ya Allah, jauhkanlah antara aku dengan kesalahan-kesalahanku sebagaimana Engkau menjauhkan antara timur dan barat.

Ya Allah, bersihkanlah diriku dari kesalahan-kesalahan sebagaimana pakaian putih dibersihkan dari noda.

Ya Allah, cucilah kesalahan-kesalahanku dengan air, salji dan air embun.”[11]

 

 

Kedua:

 

Dari Abdurrahman bin ‘Auf katanya: “Saya bertanya kepada ‘Aisyah doa apakah yang dibaca Nabi Allah shalallahu 'alaihi wasallam sebagai pembukaan solat bila dia melakukannya di waktu malam.” Jawab beliau: “Sebagai pembukaan bagi solatnya di waktu malam Nabi membaca:

 

اللَّهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ

 

عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ

 

أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

 

اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنْ الْحَقِّ

 

بِإِذْنِكَ إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

 

“Ya Allah, Tuhan Malaikat Jibril, Mikail dan Israfil, Tuhan pencipta langit dan bumi, Tuhan yang Maha Mengetahui semua yang ghaib dan nyata. Engkaulah yang akan menghakimi para hamba-Mu mengenai apa sahaja yang mereka perselisihkan. Dengan izin-Mu berilah aku petunjuk memilih kebenaran dari apa yang mereka perselisihkan. Engkaulah yang memberi petunjuk kepada siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.”[12]

 

 

Ketiga:

 

Dari Ibnu Abbas, katanya: “Bila Nabi shalallahu 'alaihi wasallam melakukan solat tahajjud di waktu malam, dia membaca:

 

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ

 

وَمَنْ فِيهِنَّ وَلَكَ الْحَمْدُ لَكَ مُلْكُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ

 

وَمَنْ فِيهِنَّ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ

 

وَمَنْ فِيهِنَّ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ مَلِكُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ

 

وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ الْحَقُّ وَوَعْدُكَ الْحَقُّ وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ

 

وَقَوْلُكَ حَقٌّ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ

 

وَمُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقٌّ وَالسَّاعَةُ حَقٌّ.

 

اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ

 

وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ وَبِكَ خَاصَمْتُ وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ

 

فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ

 

أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ

 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَوْ لاَ إِلَهَ غَيْرُكَ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ.

 

“Ya Allah, segala puji milik-Mu. Engkaulah Pemelihara seluruh langit dan bumi serta segenap makhluk yang ada padanya. Segala puji milik-Mu. Engkaulah Raja seluruh langit dan bumi serta segenap makhluk yang ada padanya. Segala puji milik-Mu. Engkaulah Nur seluruh langit dan bumi serta segenap makhluk yang ada padanya. Segala puji milik-Mu. Engkaulah Pemilik seluruh langit dan bumi serta segenap makhluk yang ada padanya. Segala puji milik-Mu, Engkaulah yang Maha Benar, janji-Mu benar, pertemuan dengan-Mu benar, firman-Mu benar, syurga itu benar, neraka itu benar, para nabi itu benar, dan Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam itu benar dan hari kiamat itu benar.

 

Ya Allah, hanya kepada-Mu aku berserah diri, dengan-Mu aku beriman dan kepada-Mu aku bertawakal. Hanya kepada-Mu aku bertaubat. Hanya kepada-Mu aku mengadu, dan kepada hukum-Mu aku berpedoman. Oleh kerana itu, ampunilah dosa-dosaku yang lalu dan yang akan datang, yang aku lakukan secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan. Engkaulah yang terdahulu dan Engkaulah yang terakhir. Tiada Tuhan kecuali Engkau (atau selain Engkau) dan tiada daya atau kekuatan kecuali hanya dengan pertolongan-Mu.)”[13]

 

 

Terdapat beberapa lagi bentuk doa iftitah yang pernah diamalkan oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam yang datang dari hadis-hadis baginda yang sahih.[14] Dengan kepelbagaian cara bacaan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam ini, maka tidak sepatutnya kita mempunyai ruang untuk memilih cara pembacaan doa iftitah yang tidak diketahui siapa yang mencipta kaedahnya atau daripada mana sumbernya. Malah al-Syafi’i rahimahullah juga tidak membaca doa iftitah sebagaimana yang lazimnya dibacakan di Malaysia yang mengaku mazhab rasminya adalah mazhab al-Syafi’i. Beliau dalam kitabnya al-Umm (Kitab Induk) telah menggunakan doa iftitah yang diriwayatkan daripada Ali radhiallahu’anh seperti yg telah saya paparkan di atas.[15] Telah berkata al-Syafi’i rahimahullah: “Kalau ditambah sesuatu padanya atau dikurangkan (pada bacaan doa iftitah tersebut – pen), nescaya aku memandangnya makruh.”[16] Sewajarnya bagi umat Islam di Malaysia yang mengaku bermazhab al-Syafi’i untuk akur dengan pendapat pembela sunnah (al-Nashir al-Sunnah) ini. Maka marilah kita sama-sama mengamalkan pembacaan doa iftitah dalam solat kita sebagaimana yang benar-benar diajar oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam selari dengan perintah baginda shalallahu 'alaihi wasallam melalui sabdanya:"Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. [17]

 

 

 


 

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.  631.

[2] Sahih: Sebahagian daripada hadis yang panjang yang dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no. 856.

[3] Ismail Kamus, Panduan Fardhu ‘Ain (At Tafkir Enterprise, Kuala Lumpur, 1997), ms. 57-58.

[4] Catitan Penyunting: Di sini hadis-hadis diringkaskan kecuali terhadap bacaan itu sendiri. Ini supaya para pembaca dapat mengamalkan terus bacaan-bacaan tersebut.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya, hadis no. 601.

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya, hadis no. 771.

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.  631.

[8] al-Ahzaab (33):21

[9] al-Hasyr (59): 7

[10] Catitan Penyunting: Di sini hadis-hadis diringkaskan kecuali terhadap bacaan itu sendiri. Ini supaya para pembaca dapat mengamalkan terus bacaan-bacaan tersebut.

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 744.

[12] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 770.

[13] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 1120.

[14] Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah dalam kitabnya Sifat Shalat Nabi shalallahu 'alaihi wasallam  telah menurunkan duabelas cara bacaan doa iftitah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam manakala Sayyid Sabiq rahimahullah dalam kitabnya Fikih Sunnah telah menurunkan tujuh contoh bacaan doa iftitah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam.

[15]  Shahih Muslim, hadis no. 771.

[16]  al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 252.

[17]  Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.  631.

 

Ke atas