Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

 

Kata Pengantar Penterjemah

 

 

Bismillahir rahmanir rahim,

 

Semenjak dari zaman persekolahan, saya sering mendengar pelbagai tohmahan dan kata-kata nista dilontarkan oleh pihak-pihak tertentu dalam masyarakat terhadap Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah. Oleh kerana saya masih di alam pengajian peringkat menengah, apa yang didengar, diterima antara percaya atau tidak. Namun saya berusaha meluaskan pembacaan untuk mengkaji dan menilai sendiri sejauh mana benar atau tidaknya tohmahan berkenaan. Saya masih ingat ketika sedang menuntut di sebuah sekolah agama berasrama penuh, rakan-rakan yang lebih senior sering menjadikan kata-kata Ibn Taimiyyah dari kitab beliau Al-Ubudiyyah sebagai rujukan. Senario sebegini menjadikan saya semakin teruja untuk mengetahui kedudukan sebenar perkara ini.

 

Apabila berpeluang menyambung pengajian ke salah sebuah universiti di Timur Tengah, saya menggunakan kesempatan ini untuk menelaah kitab-kitab karangan Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah bagi menilai dan mengukur sendiri segala apa yang telah didengar sebelum ini.  Akhirnya nyatalah kepada saya, segala tuduhan, tohmahan dan kata-kata nista yang ditujukan oleh golongan tertentu kepada Ibn Taimiyyah merupakan fitnah-fitnah jahat untuk memburukkan peribadi beliau agar kebenaran yang beliau cuba persembahkan terpadam dari kehidupan umat ini.

 

Golongan yang cuba memfitnah Syaikh Al-Islam tidak lain dan tidak bukan semata-mata mahu mempertahankan kebatilan dan penyelewengan yang menjadi pegangan mereka. Golongan berkenaan mungkin satu dari 3 yang berikut:

  1. Golongan bid'ah yang menyeleweng dari manhaj ahli sunnah yang sebenar seperti jahmiyyah, muktazilah, syi'ah dan sebagainya 

  2. Golongan Asya'irah yang menisbahkan diri mereka sebagai pengikut Abu Al-Hasan Al-Asy'ari – yang asalnya bermazhab muktazilah tetapi akhirnya kembali kepada aliran ahli sunnah yang sebenarnya,

  3. Golongan ahli sufi yang suka mereka-reka pelbagai amalan bid'ah melalui tariqat anutan mereka – walaupun tidak dinafikan ada juga ahli sufi yang berpegang kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah. 

Setiap satu dari golongan di atas mempunyai peranan masing-masing untuk menafikan usaha pemurniaan yang dijalankan Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah. Sebahagian dari tuduhan mereka tidak masuk akal. Contohnya Ibn Taimiyyah dituduh berpegang dengan akidah tajsim (menganggap Tuhan berjisim). Hakikatnya beliau sendiri menolak fahaman berkenaan dan menegaskan di dalam kitab-kitab karangan beliau tentang kesesatan dan kekufuran fahaman tajsim itu sendiri. 

 

Amat mendukacitakan, apabila sebahagian umat Islam di dunia ini menerima bulat-bulat tuduhan palsu yang sangat beracun ini, tanpa sebarang usul periksa dan kemahuan untuk mengkaji terlebih dahulu. Sikap terburu-buru dalam menilai dan menghukum seseorang apatah lagi individu yang hendak dinilai itu seorang yang terkenal sangat luasnya ilmunya, pasti mengundang kesan buruk yang bukan kepalang hebatnya.

 

Kita dapat melihat sendiri, dalam realiti masyarakat Islam di Malaysia yang sangat serasi dengan nama-nama tokoh dalam bidang tasawwuf seumpama Al-Imam Al-Ghazali Rahimahullah, masyarakat lantas menolak mentah-mentah segala pendapat Ibn Taimiyyah kerana dilihat antara beliau dan Imam Ghazali sering berlaku pertentangan dalam beberapa isu. Imam Ghazali dikenali sebagai seorang sufi dan ahli falsafah (filosof) manakala Ibn Taimiyyah sangat kuat mengkritik golongan berkenaan atas sebab faktor-faktor tertentu.

 

Fenomena ini menatijahkan ketidakadilan di sisi masyarakat dalam menilai dan menghukum individu yang tidak sehaluan dengan pemikiran mereka. Apa yang datang dari Ibn Taimiyyah sering dilihat dari sudut yang negatif walaupun terbukti kebenarannya. Justeru apabila masyarakat didatangi suara-suara sumbang yang memfitnah Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah, mereka serta merta mempercayainya seratus peratus. Mereka seolah-olah lupa dengan pesanan Allah Subhanahu Wa Taala di dalam Al-Qur'an :

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. Al-Hujurat  [49:6].

 

Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah telah mengarang kitab Minhaj As-Sunnah dalam rangka menjawab bermacam penyelewengan puak Syi'ah dan segala bentuk kesesatan yang berlaku di kalangan mereka. Puak Syi'ah pula tak semena-mena menuduh Syaikh Al-Islam seorang yang anti ahlil bait.

 

Di zaman mutakhir ini, sepatutnya kita mengambil sikap yang bijak dan berfikiran matang apabila berhadapan dengan kegawatan pelbagai isu berkenaan kehidupan umat Islam. Setiap permasalahan perlu dilihat dari sudut yang lebih terbuka dan atas keinginan untuk mencari kebenaran. Seandainya terdapat di kalangan umat Islam Malaysia yang mendakwa mereka bermazhab Imam Syafie, kemudian secara mentah-mentah menolak pandangan dan ilmu yang disampaikan oleh ulamak lain yang bukan dari kalangan Mazhab Syafie, keadaan seperti ini hanya mampu diungkapkan dengan istilah "buta minda" atau "pemikiran sempit". 

 

Justeru itu, walaupun Syaikh Al Islam Ibn Taimiyyah bukan dari kalangan tokoh ulamak As Syafieyyah, maka umat Islam di Malaysia khususnya yang bermazhab Imam Syafie sepatutnya menaruh sangkaan baik terhadap Ibn Taimiyyah dan juga mana-mana tokoh ulamak lain yang bukan dari aliran mazhab Syafie apabila mereka terdengar sesuatu yang belum diketahui kesahihan khabar berita itu. Seeloknya buatlah kajian, semakan dan bertanyalah kepada pihak yang mengetahui kedudukan masalah ini beserta dengan fakta-fakta dan bahan rujukannya. 

 

Untuk makluman pihak pembaca, teks asal buku "Menjawab 17 Fitnah Terhadap Ibn Taimiyyah" karya Syaikh Murad Syukri adalah merupakan sebuah buku yang sangat sukar untuk difahami gaya bahasanya. Khususnya perbincangan yang berkaitan dengan istilah-istilah ahli falsafah. Atas persetujuan bersama dengan pihak penyunting (Hafiz Firdaus) penterjemahan tidak dilakukan sepenuhnya secara harifiyyah tetapi lebih banyak kepada bentuk mengambil pengertiannya (mengambil maksud dari kitab asal tanpa terikat dengan gaya bahasa asal sepenuhnya).

 

Manakala contoh-contoh yang dikemukakan tidak diambil secara keseluruhannya. Memadai diambil beberapa contoh untuk setiap tajuk. Mesej yang terkandung di dalam tajuk berkenaanlah yang lebih utama untuk difahami oleh pihak pembaca. Nasihat saya kepada para pembaca, sekiranya anda terjumpa di dalam mana-mana bahan bacaan berbentuk buku, majalah, risalah atau artikel sebarang fakta yang berbentuk mencaci, mentohmah, mencerca dan menghina Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah, pastikan kesahihannya terlebih dahulu. Cuba selidiki latar belakang pihak yang menulisnya.  Jangan mudah mempercayainya sehinggalah anda menyiasatnya terlebih dahulu. Kajilah dan bacalah buku-buku karangan Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah. Apa yang benar datangnya dari Allah, jadi berlaku adillah walau kepada sesiapa pun.   

 

Selamat Membaca.     

 

 

 

kandungan