|
Menjawab Fitnah
Kesembilan:
Pergerakan Bagi Allah
الحركة
Sebahagian orang masa kini ada yang membuat fitnah
ke atas Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dengan
mendakwa beliau menetapkan sifat bergerak atau
pergerakan (al-Harakah) bagi Allah
Subhanahu wa Ta'ala. Untuk menjawab fitnah ini,
marilah kita lihat apa perkataan sebenar Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah. Dalam kitabnya Dar‘u
Ta‘arudh, beliau menulis:
Para imam al-Sunnah dan al-Hadis
menetapkan dua jenis sifat bagi Allah (iaitu sifat
Zatiyyah dan sifat al-Ikhtiyariyyah).
Inilah yang dinukil daripada mereka berkenaan
pandangan mereka, seperti Harb bin al-Kirmani,
‘Utsman bin Sa‘id al-Darimi
dan selain mereka. Mereka secara nyata menyebut
lafaz Pergerakan. Ini menjadi pandangan para imam
al-Sunnah dan al-Hadis dahulu dan kini.
Harb al-Kirmani menyebut bahawa ini adalah pendapat
orang-orang yang beliau jumpai daripada kalangan
para imam al-Sunnah seperti Ahmad bin Hanbal,
Ishaq bin Ruhuyah,
‘Abd Allah bin al-Zubair al-Humaidi
dan Sa‘id bin Manshur. Berkata ‘Utsman bin Sa‘id: Pergerakan adalah
sebahagian perkara lazim dalam kehidupan dan setiap
yang hidup pasti bergerak. Hanya golongan
al-Jahmiyyah yang menafikan perkara ini, padahal
golongan al-Salaf dan para imam bersepakat
akan kesesatan dan kebid‘ahan mereka.
Sementara itu sekumpulan lain daripada kalangan
al-Salaf seperti Nu‘aim bin Hammad al-Khuza‘e,
al-Bukhari
– pengarang kitab al-Shahih, Abu Bakar bin
Khuzaimah
dan selain mereka seperti ‘Amr bin ‘Abd al-Barr dan
semisalnya, mereka menetapkan makna bagi apa yang
ditetapkan oleh kumpulan (yang menetapkan
al-Harakah secara lafaz) dan mereka menyebutnya
sebagai perbuatan. Namun sebahagian daripada
kalangan mereka menegah dari penggunaan lafaz
al-Harakah kerana ia tidak bersumber dari
riwayat (hadis).
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga menulis dalam
sebuah kitab yang lain:
Demikianlah lafaz al-Harakah telah ditetapkan
oleh sekumpulan daripada kalangan Ahl al-Sunnah
wa al-Hadits, dan inilah yang disebut oleh Harb
bin Ismail al-Kirmani dalam kitab al-Sunnah
berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada
beberapa orang yang ditemuinya seperti al-Humaidi
dan Ahmad bin Hanbal. ……Namun ada juga sekumpulan
yang menafikan (lafaz al-Harakah) seperti Abu
al-Hasan al-Tamimi
dan Abu Sulaiman al-Khaththabi.
……Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad mengingkari
penafian sedemikian, akan tetapi tidak sabit
daripada beliau bahawa beliau menetapkan lafaz
al-Harakah…Justeru apabila beliau mendengar
seseorang meriwayatkan hadis al-Nuzul
dan berkata: “Turun dengan tiada pergerakan, tiada
perpindahan dan tidak juga dengan apa saja keadaan”,
Ahmad mengingkarinya. Beliau berkata: “Katakanlah
sebagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam telah berkata. Baginda lebih
bersungguh-sungguh daripada kamu dalam urusan
berkaitan dengan Allah.”
Berdasarkan nukilan di atas, amatlah nyata bahawa:
-
Di kalangan al-Salaf al-Shalih
terdapat
sekumpulan yang tidak menetapkan lafaz al-Harakah
bagi Allah. Ini kerana lafaz
tersebut tidak berasal dari al-Qur’an dan
al-Sunnah. Mereka hanya menetapkan lafaz yang
ada asalnya dari al-Qur’an dan al-Sunnah seperti
Kedatangan Allah,
Turun (al-Nuzul) dan sebagainya.
-
Di kalangan
al-Salaf al-Shalih terdapat
sekumpulan yang menetapkan lafaz al-Harakah
bagi Allah, dengan makna Allah Datang dan
Turun sebagaimana Dia sifatkan diri-Nya. Ia
adalah sifat yang khas bagi Allah sebagaimana
yang layak bagi-Nya, bukan seperti pergerakan
manusia. Al-Harakah hanya satu lafaz
sementara penafsiran atau maknanya ialah apa
yang sabit daripada Allah (melalui al-Qur’an dan
hadis Rasul-Nya).
Semua ini menunjukkan perselisihan hanyalah dari
sudut lafaz (sama ada “al-Harakah” patut
digunakan atau tidak) sedangkan mereka semua
mengetahui bahawa lafaz tersebut tidak berasal dari
mana-mana nas al-Qur’an mahu pun al-Sunnah. Cuma
mereka menggunakan lafaz al-Harakah sebagai
satu cara penafsiran terhadap sifat-sifat Allah yang
sabit dalam al-Qur'an dan al-Sunnah.
-
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menukil dua
pendapat, kedua-duanya dengan makna yang sama
sekali tidak timbul darinya sebarang kesamaran
berlakunya penyerupaan antara Allah dan makhluk.
-
Orang-orang yang memfitnah Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah dengan aqidah al-Harakah,
mereka sebenarnya tidak tahu asal usul
permasalahan. Padahal adalah haram bagi
seseorang menyibukkan diri dalam sesuatu
permasalahan yang tidak diketahuinya lalu
membuat fitnah, sekali pun dalam bidang kimia.
Apatah lagi jika ia dalam bidang agama dan
melibatkan pendapat para ilmuan kaum Muslimin.
-
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tidak memiliki
aqidah al-Harakah. Beliau hanya menukil
pendapat para ilmuan terdahulu dan
membicarakannya.
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَىَ
كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَىَ السَّمَاءِ الدُّنْيَا.
حِينَ يَبْقَىَ ثُلُثُ اللَّيْلِ الاَخِرُ،
فَيَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ
لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ
يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرُ لَهُ.
Dan Tuhanmu pun datang, sedang
malaikat berbaris-baris (siap sedia
menjalankan perintah)
[al-Fajr 89:22]
kandungan
|