Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Menjawab Fitnah Ketujuh:

Allah Berkata-Kata

 

 كلام الله

 

 

Persoalan ini sebenarnya duduk dalam perbahasan perbuatan al-Ikhtiyariyyah, atau apa yang disebut oleh al-Mutakallimin sebagai “berlakunya perbuatan-perbuatan baru pada zat Allah” yang telah disentuh dalam bab sebelumnya. Dalam bab ini kita akan membahas apa yang dimaksudkan oleh generasi al-Salaf al-Shalih apabila mereka berkata: “al-Qur’an adalah kalamullah, ia bukan makhluk”.

Terdapat banyak pendapat yang dikemukakan oleh manusia dalam persoalan ini.[1] Secara umumnya umat Islam bersepakat Allah Subhanahu wa Ta'ala berkata-kata, hanya mereka berbeza pendapat tentang perinciannya kepada lima pendapat:

 

Pendapat Pertama:

Ia adalah pendapat aliran al-Mu’tazilah dan al-Jahmiyyah. Mereka berpendapat mencipta kata-kata pada sesuatu yang lain. Sebagai contoh, Allah mencipta kata-kata pada pokok ketika Dia berkata-kata dengan Nabi Musa.[2] Generasi al-Salaf bersepakat mengatakan bahawa pendapat seperti ini membawa kekufuran. Ini kerana apabila kata-kata itu terbit dari pokok maka ia adalah kata-kata pokok sehingga tidak mungkin pokok itu dapat berkata-kata:

Sesungguhnya Aku-lah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku. [Ta-Ha 20:14][3]

 

Pendapat kedua:

Ia adalah pendapat aliran al-Asya‘irah, Ibn Kulaib dan para pengikut mereka. Mereka berpendapat sifat Berkata-kata bagi Allah adalah qadim akan tetapi ia tanpa huruf, tanpa suara. Ini adalah pendapat yang salah juga.

 

Pendapat Ketiga:

Ia adalah pendapat Ibn Salim dan sekumpulan yang lain. Mereka berpendapat sifat Berkata-kata, suara dan huruf bagi Allah adalah qadim. Pendapat ini salah.

 

Pendapat Keempat:

Ia adalah pendapat Ibn Karram dan sekumpulan yang lain. Mereka berpendapat sifat Berkata-kata bagi Allah adalah sesuatu yang baru setelah sebelumnya Allah tidak Berkata-kata. Ini adalah pendapat yang salah.

 

Pendapat Kelima:

Ia adalah pendapat para imam Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, para ahli hadis dan al-Salaf al-Shalih. Mereka berpendapat bahawa Allah tetaplah Dia sentiasa Berkata-kata apabila Dia kehendaki. Apabila Dia kehendaki, Dia Berkata-kata dengan suara yang boleh didengar dan dia Berkata-kata dengan huruf.

Inilah pendapat yang benar dan juga merupakan pendapat Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah.[4]


 

 

 

 


[1] Disebabkan banyaknya pendapat ini, umat Islam tidak lagi dapat membezakan antara yang benar dan salah. Ini diburukkan lagi dengan situasi umat Islam masa kini yang berada jauh dari al-Qur’an, al-Sunnah dan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang dipegang oleh al-Salaf al-Shalih. Lalu ada yang berpegang kepada pendapat yang salah tetapi disangkanya benar. Kemudian apa yang disangkanya benar dijadikan hujah untuk memfitnah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, konon pendapat yang dipegang oleh beliau adalah salah.

[2]  Kisah ini disebut dalam al-Qur’an:

Dan sudahkah sampai kepadamu kisah (yang dialami oleh) Nabi Musa? Ketika dia melihat api, lalu berkatalah dia kepada isterinya: “Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalan.”

Maka apabila dia sampai ke tempat api itu (kedengaran) dia diseru: “Wahai Musa! Sesungguhnya Aku Tuhanmu. Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci. Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.” [Ta-Ha 20:9-13]

Orang-orang daripada aliran Al-Mu’tazilah dan Jahmiyyah berkata, yang menyeru Nabi Musa ‘alaihi salam dan berkata-kata kepadanya di Wadi Tuwa tersebut ialah sebatang pokok. Kononnya Allah telah menjadikan pokok itu berkata-kata kepada Nabi Musa.

[3] Jika dianggap pokok yang berkata-kata, maka bererti pokok adalah Allah dan pokok menyuruh Nabi Musa menyembahnya dan solat untuk mengingatinya. Sudah tentu ini mustahil, maka dengan itu tertolaklah pendapat Al-Mu’tazilah dan Jahmiyyah ini.

[4]  Ada pun dalil-dalilnya, maka ia seperti berikut:

·         Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya. [al-A’raaf 7:143] Ayat ini menjadi dalil Allah Subhanahu wa Ta'ala Berkata-kata apabila Dia kehendaki, yakni apabila Nabi Musa ‘alaihi salam telah datang pada waktu yang Allah tetapkan.

·         Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisi-Ku. [‘Ali Imran 3:55] Ayat ini menjadi dalil Allah Subhanahu wa Ta'ala Berkata-kata dengan huruf kerana perkataan yang merupakan ma’qul qaul (yang menyusul sesudah kata Qala) tersusun dari sejumlah huruf.

·         Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan Kami telah menyerunya (Nabi Musa) dari arah sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata-kata dengan Kami. [Maryam 19:52] Ayat ini menjadi dalil Allah Subhanahu wa Ta'ala Berkata-kata dengan suara kerana sesuatu seruan tidak mungkin dilakukan kecuali dengan penggunaan suara. [Syaikh Muhammad Bin Shalih al-Utsaimin – Fath Rabb al-Bariyyah bi Talkhish al-Hamawiyyah li Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, (edisi terjemahan oleh Abu Nabila atas judul Sifat-Sifat Allah Dalam Pandangan Ibnu Taimiyah; Pustaka Azzam, Jakarta, 2005), ms. 166] Rujukan ini seterusnya akan disebut sebagai Fath Rabb al-Bariyyah sahaja.

 

 

kandungan