|
Menjawab Fitnah Kelima:
Allah Berjisim1
التجسم
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah turut difitnah sebagai
konon beriktikad Allah berjisim. Fitnah ini dapat
dijawab sebagai berikut:
Pertama:
Sebenarnya permasalahan jisim dan menjisimkan
disebut oleh sebahagian al-Mutakallimin
Muslimin dalam kitab-kitab mereka. Ia memiliki dua
pengertian di sisi mereka:
Pengertian Pertama:
Mereka mengatakan bahawa Allah menyerupai
makhluk-Nya dan mereka menyifatkan Allah dengan
sifat-sifat yang ada pada sesuatu jisim. Umat Islam
sepakat bahawa golongan yang berpendapat seperti ini
berpegang dengan pendapat yang salah dan batil.
Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Ada pun jenis golongan yang kedua, ia adalah
yang keterlaluan.
Diriwayatkan daripada mereka bahawa mereka
mengatakan: “Dia (Allah) berdaging dan bertulang dan
sebagainya. Maha Suci Allah dari apa yang mereka
katakan. Golongan sebegini, pendapat mereka tenyata
amat batil dan rosak. Kalaulah berdaging dan
bertulang seperti yang boleh difikir, nescaya
haruslah ke atas-Nya apa yang harus berlaku kepada
segala yang bersifat begitu. Inilah kesan dari
tindakan menyamakan (tamtsil) Allah dengan
yang lain padahal Allah telah menafikan semua itu
daripada zat-Nya.
Beliau menegaskan lagi:
Para al-Salaf dan imam (Ahl al-Sunnah wa
al-Jama'ah) bersepakat atas mengingkari golongan
al-Musyabbihah
yang berkata: “Penglihatan Allah seperti
penglihatanku, tangan-Nya seperti tanganku, kaki-Nya
seperti kakiku”.
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menegaskan lagi:
Bahkan pendapat yang mengatakan “Allah Azza wa
Jalla adalah seperti jisim yang sama dengan
jisim-jisim lain secara mutlak”, tidak pernah
dikatakan oleh seorang pun di kalangan kumpulan
terdahulu di kalangan umat Islam (generasi
al-Salaf al-Shalih).
Pengertian Kedua:
Mereka yang mengatakan Allah berjisim tetapi tidak
sama dengan jisim yang lain. Pendapat ini
dikemukakan oleh sekumpulan al-Mutakallimin,
seperti yang diulas oleh Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah:
Pandangan yang masyhur daripada puak al-Karramiah
dan selain mereka adalah Allah berjisim, tetapi
mereka menafsirkannya dengan makna Allah wujud atau
berdiri sendiri, bukan dengan makna murakkab
(Allah memerlukan kepada yang lain). Telah berlaku
kesepakatan di kalangan umat Islam bahawa sesiapa
yang mengatakan Allah berjisim, dan jika yang
dikehendaki dengan kata-kata ini hanya dari sudut
maknanya (seperti yang ditafsirkan di atas), maka
dia dikatakan betul dari sudut maknanya tetapi silap
dari sudut lafaznya.
Berdasarkan dua pengertian di atas, dapat diketahui
bahawa golongan
al-Mujassimah
terbahagi kepada dua kumpulan:
-
Mereka yang beriktikad Allah berjisim sebagaimana jisim-jisim yang lain.
-
Mereka yang beriktikad Allah berjisim tetapi tidak
seperti jisim-jisim yang lain. Dia berjisim
sebagaimana yang layak dengan sifat ketuhanan-Nya.
Terhadap kumpulan pertama, mereka kafir tanpa adanya
perselisihan pendapat. Ada pun kumpulan kedua, maka
diperselisihkan sama ada mereka kafir atau tidak.
Pandangan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah terhadap
kumpulan kedua adalah seperti berikut:
(Ada pun) meletakkan lafaz jisim sebagai hak Allah,
tidak terdapat sebarang dalil yang dapat dijadikan
dalil (untuk menetap atau menafikannya) dari
al-Qur’an mahu pun sunnah Rasul-Nya. Dan tidak
seorang pun daripada kalangan al-Salaf dan
para imam (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) yang
ada menyebutnya. Tidak ada seorang jua daripada
mereka yang pernah berkata: “Sesungguhnya Allah
berjisim, Allah berjirim atau Allah tidak berjisim,
Allah tidak berjirim”. Dan mereka juga tidak pernah
berkata: “Sesungguhnya Allah tidak dapat dikenali
melainkan dengan jalan jisim-jisim dan
partikel-partikel”, bahkan tidak seorang jua
daripada mereka yang pernah menggunakan cara
sedemikian untuk mengenal Allah.
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menegaskan di tempat
yang lain:
Ada pun perkataan jisim dan jirim, sama ada dalam
konteks menafikan atau menetapkan kedua-duanya, maka
ia adalah satu bid‘ah yang tidak memiliki asal usul
dalam al-Qur’an mahu pun al-Sunnah, dan tidak pernah
disebut oleh seorang jua daripada kalangan para imam
(Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) dan generasi
al-Salaf, sama ada untuk menafikannya atau
menetapkannya.
Kesimpulannya, lafaz jisim atau apa-apa istilah yang
seumpamanya yang mengandungi pengertian hak atau
batil, secara sahihnya daripada Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah adalah bahawa beliau tidak pernah
menetapkannya dan tidak juga menafikannya. Apa yang
dimaksudkan oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah
adalah jelas, bahawa beliau tidak menetapkan sesuatu
melainkan apa yang telah ditetapkan oleh al-Qur’an
dan al-Sunnah. Beliau juga tidak menafikan sesuatu
melainkan apa yang dinafikan oleh al-Qur’an dan
al-Sunnah.
Ini kerana al-Qur’an dan al-Sunnah adalah neraca
untuk menilai segala bentuk istilah-istilah (jisim,
jirim dan sebagainya) yang digunapakai dalam
persoalan ini. Segala istilah tersebut bukanlah
rujukan sebenar bagi permasalahan ini, sebaliknya
rujukan sebenar ialah al-Qur’an dan al-Sunnah yang
berperanan sebagai hakim.
Seterusnya Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:
Seandainya mereka semua (golongan
al-Mutakallimun, al-Musyabbihah dan
al-Mujassimah) berpegang dengan al-Qur’an dan
al-Sunnah, nescaya mereka bersepakat dan bersatu
sebagaimana persepakatan yang terbina di kalangan
Ahl al-Sunnah dan Ahl al-Hadis.
Sesungguhnya para imam Ahl al-Sunnah dan
Ahl al-Hadis tidak pernah berselisih sedikit pun
dari perkara yang menjadi usul dalam hal agama.
Justeru tidak seorang jua di kalangan mereka yang
pernah berkata: “Allah berjisim” atau mengatakan:
“Allah tidak berjisim”.
Beliau melanjutkan:
Apa yang dimaksudkan di sini bahawa semua imam-imam
yang besar menegah dari menggunakan lafaz-lafaz
berbentuk umum yang direka-reka (untuk disandarkan
kepada Allah), lantaran ia akan menimbulkan keraguan
antara yang hak dengan yang batil. Ini kerana
perkara sedemikian sudah pasti mencetuskan pelbagai
keraguan, perselisihan dan fitnah. Hal sebegini
tidak berlaku jika lafaz-lafaz yang digunakan ialah
lafaz-lafaz yang ma’thur dan lafaz yang nyata
serta jelas makna-maknanya.
Kedua:
Sebagaimana yang dikemukakan dalam nukilan terakhir
di atas, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah memberi
peringatan bahawa istilah-istilah ini (yang
direka-reka mengenai Allah dan sifat-sifat-Nya)
telah mendorong kepada berlakunya kezaliman dan
perbuatan mengada-adakan pendustaan ke atas kaum
yang tiada kena mengena dengan permasalahan yang
sedang berlaku. Anda dapat melihat bahawa sebahagian
al-Mutakallimin telah menamakan golongan yang
menetapkan bagi Allah sifat-sifat yang sabit dalam
al-Quran dan al-Sunnah sebagai golongan yang
menjisimkan Allah. Ini adalah satu pendustaan dan
pemalsuan.
Ketiga:
Jika dikaji keseluruhan kupasan Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah berkenaan jisim, ia dapat diringkaskan
sebagai berikut:
-
Lafaz jisim yang diguna secara mutlak ke atas
Allah. Ini bukan dari agama Islam dan adalah
satu bid‘ah yang tertolak.
-
Lafaz jisim yang diguna secara makna dan ini
meliputi yang hak dan batil. Yang batil ialah
menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya atau
menyamakan Allah dengan sesuatu yang berjisim.
-
Lafaz jisim disandarkan kepada orang yang
menetapkan sifat-sifat Allah seperti Mendengar,
Melihat, Berkata-kata, Murka, Redha dan
sebagainya. Ini adalah sandaran yang silap dan
orang yang menetapkan sifat-sifat Allah tidak
pernah menganggap penetapan tersebut bererti
menetapkan jisim bagi Allah.
kandungan
|