|
Menjawab Fitnah Keempat:
Allah Memiliki Arah
الجهة
Fitnah ini berpunca dari kenyataan Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyyah dalam tulisan-tulisannya yang
menetapkan sifat Maha Tinggi (al-‘Uluw) bagi
Allah di atas sekalian makhluk-Nya. Penetapan ini,
lanjut Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, merupakan
pegangan para imam Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah,
syari‘ah dan merupakan suatu ijma’.
Dalil-dalil bagi penetapan sifat al-‘Uluw ini
akan dijelaskan kemudian.
Akan tetapi sekelompok daripada al-Mutakallimin
menolak sifat al-‘Uluw bagi Allah dengan
alasan: “Ungkapan sedemikian (Allah Maha Tinggi di
atas makhluk-Nya) menunjukkan bahawa bagi Allah ada
sifat Arah. (Seolah-olah) Dia berada di satu tempat
yang diliputi dengan sekalian makhluk dan Dia
berjisim dari jenis jisim-jisim (sehingga dapat
berpindah mengosongkan satu ruang ke arah memenuhi
ruang yang lain). (Semua ini) bercanggah dengan apa
yang Dia sifatkan untuk dirinya:
Tiada ada
sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang
Maha Mendengar dan Maha Melihat
[al-Syura
42:11]”
Seterusnya, sesetengah orang awam daripada kalangan
umat Islam merasakan apa yang dinyatakan oleh
al-Mutakallimin tersebut adalah betul. Lantas
mereka menafikan bagi Allah sifat Maha Tinggi di
atas sekalian makhluk-Nya, bahawa Dia di atas
Arasy-Nya. Sifat sebegini dinafikan kerana mengikut
kefahaman mereka, ia menunjukkan bahawa Allah
memiliki sifat Arah.
Golongan yang menafikan mengemukakan dua dalil.
Pertama adalah dalil akal, bahawa sifat Maha Tinggi
Allah di atas sekalian makhluk-Nya menunjukkan
bahawa Allah dibatasi dan diliputi. Kedua adalah
dalil al-Qur’an, iaitu ayat 11 surah al-Syura yang
telah dikemukakan di atas. Marilah kita mengkaji
persoalan dan fitnah ini secara mendalam:
Pertama:
Ketahuilah bahawa perkataan “Allah memiliki sifat
Arah yang dengan itu Dia dibatasi dan diliputi”
tidak pernah diucapkan oleh Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah. Ia juga tidak berasal daripada mana-mana
tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Perkataan
tersebut hanyalah rekaan golongan yang menyangka
jika ditetapkan sifat Maha Tinggi bagi Allah (al-‘Uluw),
bererti Allah memiliki sifat Arah yang dengan itu
Dia dibatasi dan diliputi oleh makhluk-Nya.
Bahkan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah sebenarnya
telah membantah perkataan sedemikian. Beliau
berkata:
Sudah tetap lagi kukuh bahawa Allah, adalah Dia Maha
Tinggi, paling Tinggi (tiada apa-apa yang lebih tinggi daripada-Nya). Difahami dari kata-kata “Dia
di langit”, bahawa Dia pada sifat Ketinggian-Nya,
bahawa Dia di atas setiap sesuatu yang lain. Oleh
kerana itulah apabila seorang hamba ditanya (oleh
Rasulullah): “Di mana Allah?” Hamba itu menjawab:
“Di langit.”
Sesungguhnya yang dimaksudkan oleh hamba tersebut
ketika menjawab “Allah di langit” ialah sifat Maha
Tinggi (al-‘Uluw) bagi Allah di samping tidak
mengkhususkan Allah dengan jisim-jisim atau
keberadaan Allah dalam sesuatu jisim.
Apabila dikatakan: Maha Tinggi (al-‘Uluw),
maka ia mencakupi apa yang di atas sekalian makhluk.
Namun ini bukan bermaksud bahawa di sana terdapat
satu keadaan yang meliputi Dia kerana di atas alam
ini tidak ada sesuatu pun yang wujud kecuali Allah.
… Seterusnya sesiapa yang menimbulkan keraguan
berkenaan keadaan Allah di langit dengan makna
bahawa langit melingkungi-Nya atau meliputi-Nya,
maka dia dikira berdusta dan sesat. Seandainya
begitulah iktiqad dia terhadap Tuhannya. Tidaklah
kami mendengar bahawa ada seorang jua yang memiliki
kefahaman sedemikian dengan lafaz sedemikian. Dan
tidak juga kami melihat ada seorang jua yang
menaqalkannya daripada seseorang yang lain.
Kedua:
Sekumpulan al-Mutakallimin yang menafikan
sifat Maha Tinggi (al-‘Uluw) bagi Allah,
mereka bergantung semata-mata kepada hujah akal.
Seorang tokoh al-Mutakallimin yang lain, Imam
Ibn Rusyd telah membantah penafian tersebut dengan
berkata:
Berkaitan dengan sifat Arah (al-Jihhah), para
ilmuan sejak awal telah menetapkannya bagi Allah
Subhanahu wa Ta'ala sehinggalah (ke satu masa)
ia dinafikan oleh aliran al-Mu’tazilah.
Kemudian penafian itu diikuti oleh golongan mutakhir
daripada aliran al-Asya‘irah seperti Abu
al-Ma‘ali.
Padahal nas-nas syara’ secara nyata menunjukkan
kesabitan sifat Arah (al-Jihhah) bagi Allah,
seperti ayat-ayat:
-
(Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.
[Ta-Ha 20:05]
-
Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi.
[al-Baqarah 2:255]
-
Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan)
mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada
saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas
malaikat-malaikat yang mengawal itu.
[al-Haqqah 69:17]
-
(Allah) mentadbirkan urusan-urusan dari langit ke
bumi; kemudian (urusan itu) diangkat naik kepada-Nya
pada suatu masa yang kadarnya 1000 tahun menurut
perhitungan kamu.
[al-Sajdah 32:05]
-
Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan
yang pusat pemerintahan-Nya di langit itu:
menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu
bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan
kamu di bawahnya)?
[al-Mulk 67:16]
-
Para malaikat dan Jibril naik ke kepada-Nya pada
satu masa yang tempoh sehari yang kadarnya 50,000
tahun.
[al-Ma ‘arij 70:04]
Ayat-ayat sebegini, jika dipaksa menggunakan kaedah
takwil, nescaya menjadilah semua nas syara’ dalam
keadaan wajib ditakwil. Jika dikatakan ia
samar-samar (al-Mutasyabihat), nescaya
menjadilah semua nas syara’ dalam keadaan
samar-samar. (Semua ini tidak boleh) kerana syariat
keseluruhannya menerangkan bahawa Allah di langit,
dari langitlah turunnya malaikat dengan wahyu kepada
nabi-nabi, dari langit jugalah diturunkan kitab
(al-Qur’an) dan ke langitlah berlakunya peristiwa
Isra’ dan Mi’raj hingga Nabi dibawa menghampiri
Sidrah al-Muntaha.
Keseluruhan para ilmuan telah bersepakat bahawa
Allah dan para malaikat-Nya berada di langit.
Sebagaimana disepakati juga oleh keseluruhan para
ahli syara’ akan hal itu. Keraguan yang telah
membawa (satu) pihak (daripada al-Mutakallimin
sehingga) menafikan sifat Arah (al-Jihhah)
dengan penafian yang sekeras-kerasnya berlaku kerana
mereka beriktiqad jika ditetapkan sifat Arah,
bererti mewajibkan adanya tempat bagi Allah
sementara menetapkan sifat Tempat bererti mewajibkan
sifat jisim bagi Allah.
Maka kami (Ibn Rusyd dan al-Mutakallimin yang
sefaham dengannya) berkata: “Sesungguhnya perkataan
sebegitu bukanlah satu kelaziman kerana Arah (al-Jihhah)
tidak semestinya bererti adanya tempat.”
Ketiga:
Dalam kitab Dar’u Ta‘arudh, Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyyah telah meletakkan satu tajuk khusus
berkenaan beberapa pendapat yang dinaqalkan daripada
ulama’-ulama’ terkenal di kalangan umat ini dalam
menetapkan sifat bahawa Allah di atas Arasy. Berikut
dikemukakan sebahagian darinya:
-
Berkata Syaikh Abu Nashr al-Sijzi
dalam kitabnya al-Ibanah: “Para imam kami
seperti Sufyan al-Tsauri, Malik (bin Anas),
Sufyan bin ‘Uyainah, Hammad bin Salamah, Hammad
bin Zaid, ‘Abd Allah bin al-Mubarak, Fudhail bin
‘Iyadh, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahuyah
semuanya bersepakat mengatakan bahawa Allah pada
Zat-Nya di atas Arasy
(أن الله بذاته
فوق العرش).”
-
Berkata Syaikh Abu ‘Umar al-Thalamanki (الطلمنكي)
dalam kitabnya al-Wushul ila Ma’rifat
al-Ushul: “Telah bersepakat umat Islam
daripada kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah
atas firman Allah:
Dan Allah tetap bersama-sama kamu di mana sahaja
kamu berada.
[al-Hadid 57:04] dan ayat lain yang seumpama, bahawa
ia bermaksud ilmu-Nya (dan bukan Zat-Nya). Allah di
atas langit dengan Zat-Nya, istawa’ di atas
Arasy dengan cara yang layak bagi-Nya.
Dan berkata para tokoh Ahl al-Sunnah wa
al-Jama'ah terhadap firman-Nya:
(Allah)
Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.
[Ta-Ha 20:05], bahawa Allah istawa’ di atas
Arasy secara hakikat dan bukan kiasan.
-
Berkata Syaikh Nashr al-Maqdisi
dalam kitabnya al-Hujjah ‘ala Taraka
al-Mahajjah, sekiranya ada orang bertanya:
“Sesungguhnya anda menyebut bahawa yang wajib ke
atas umat Islam ialah mengikuti al-Qur’an dan
Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam serta apa yang menjadi kesepakatan
para imam dan ulama sehingga menjadi dasar
Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Maka sebutlah
mazhab mereka umat Islam dan apa yang telah
mereka sepakati dalam perkara aqidah dan apa
yang patut kita ikuti berdasarkan kesepakatan
mereka.”
Maka jawapannya: “Apa yang telah saya terima
daripada para ilmuan dan orang yang saya temui dan
orang yang saya ambil (riwayat) daripada mereka
ialah (maka dia menyebut sejumlah dasar Ahl
al-Sunnah wa al-Jama'ah…di antaranya)
sesungguhnya Allah istawa’ di atas Arasy-Nya,
terpisah daripada makhluk-Nya.
Pendapat seperti ini turut dinaqalkan oleh Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah daripada al-Syaikh al-‘Arif
Ma’mar bin Ahmad al-Ashbahani,
demikian juga daripada ‘Abd al-Rahman bin Abi Hatim,
bahawa dia bertanya kepada bapanya dan Abu Zur’ah
daripada beberapa ulama’ pada masa itu, demikian
juga Syaikh Abi Muhammad al-Maqdisi dan Abi Abdillah
al-Qurtubi al-Maliki (pengarang kitab Tafsir
al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an), dan juga dengan
sanad-sanad yang berasal daripada para imam
al-Salaf seperti Ishaq bin Rahuyah, Sa‘id bin
‘Umar al-Dhuba‘iy, ‘Abd al-Rahman bin Mahdi, ‘Abd
bin al-Awam al-Wasith, ‘Ali bin ‘Ashim, Hammad bin
Zaid dan Malik bin Anas. Demikian juga sebuah
riwayat daripada al-Auza‘iy yang dikemukakan oleh
al-Baihaqi dengan sanad yang baik lagi masyhur
(semuanya menetapkan): “Adalah kami – para tabiin
dan seluruhnya – mengatakan bahawa Allah di atas
Arasy-Nya dan kami beriman kepada sifat-sifat-Nya
sebagaimana yang dikhabarkan oleh al-Sunnah.”
Keempat:
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah menerangkan
bahawa wujud perbezaan pendapat tentang penggunaan
istilah Arah (al-Jihhah). Lebih lanjut beliau
menerangkan bahawa perbezaan tersebut hanya dari
sudut lafaz (sama ada ia boleh digunakan atau
tidak). Di sebalik perbezaan tersebut, semua
golongan yang menetapkan sifat Maha Tinggi (al-‘Uluw)
bagi Allah menafikan sifat Arah (al-Jihhah)
jika ia difahami mengikut definisi segolongan
al-Mutakallimin. Mereka (Ahl al-Sunnah wa
al-Jama'ah) menetapkan bahawa Allah di atas
Arasy tanpa mengira sama ada untuk menggunakan
istilah Arah (al-Jihhah) atau tidak. Jadi ia
hanyalah perbezaan dari sudut lafaz, bukan makna.
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menerangkan:
Manusia terbahagi kepada tiga kelompok tentang
penggunaan istilah Arah (al-Jihhah), satu
kelompok menafikannya, satu kelompok menetapkannya
dan satu kelompok lagi memperincikannya.
Apa yang penting, Allah di atas Arasy. Begitu banyak
ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis yang
menerangkannya. Bahkan ia menjadi pegangan para imam
umat Islam keseluruhannya (daripada kalangan Ahl
al-Sunnah wa al-Jama'ah).
kandungan
|