|
Menjawab Fitnah Ketiga:
Allah Memiliki Batasan
الحد
Salah satu fitnah kepada Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah ialah konon beliau menetapkan batasan (al-Had)
kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ini sudah
tentu menimbulkan kehairanan kepada orang
ramai…..bagaimana mungkin Allah memiliki batasan?
Adakah sifat ini seumpama dinding yang membatas
penghuni rumah dan pagar yang membatasi pengunjung
taman?
Ketahuilah, bahawa asal usul kepada fitnah ini
adalah satu riwayat daripada Imam ‘Abd Allah bin
al-Mubarak
yang menetapkan sifat batasan (al-Had) kepada
Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dalam riwayat
tersebut, Imam ‘Abd Allah bin al-Mubarak pernah
ditanya: “Bagaimana kamu mengenali Tuhan kita
‘Azza wa Jalla?” Beliau menjawab: “Di langit
yang ke tujuh, di atas Arasy-Nya dengan batasan (al-Had).”
Kemudian Imam Ahmad bin Hanbal
pula ditanya tentang jawapan Imam ‘Abd Allah bin
al-Mubarak tersebut. Beliau menjawab: “Demikianlah
juga di sisi kami.”
Berikut tiga poin untuk menjelaskan masalah dan
fitnah berkenaan “batasan” ini:
Pertama:
Batasan atau al-Had yang dimaksudkan bukanlah
sebagai salah satu sifat Allah Subhanahu wa
Ta'ala. Sebelum ini memang ada pihak yang
menetapkan sifat batasan bagi Allah. Penetapan ini
telah dibantah oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
……jika dia mengatakan: “Sesungguhnya bagi Allah
sifat batasan (al-Had)”, perkataan seumpama
ini tidak pernah diungkapkan oleh sesiapa pun, tidak
juga oleh (orang yang memiliki) akal (yang sihat).
Kata-kata sebegini tiada memiliki kebenaran
langsung. Yang mana sifat (al-Had) ini tiada
pada mana-mana sifat yang disifatkan ia pada sesuatu
seperti sifat Tangan dan Ilmu.
Kedua:
Ada pun penggunaan istilah batasan, ia hanya sebagai
ungkapan bagi membezakan antara sifat Allah dengan
sifat makhluk-Nya. Pembezaan ini adalah perlu bagi
menangkis fahaman aliran al-Jahmiyyah yang
menafikan sifat ketinggian (al-‘Uluw) Allah
di atas makhluk-Nya. Bahkan mereka menetapkan bahawa
Allah berada pada setiap tempat. Berkata Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah:
Oleh kerana di antara fahaman al-Jahmiyyah
ialah Pencipta (Allah) tidak berbeza daripada
makhluk, maka mereka mengingkari sifat-sifat-Nya
yang dengan itu Dia berbeza … bahkan mereka
menjadikan Allah dalam keadaan turut bersama dengan
makhuk.
Maka (untuk menangkis fahaman ini) Imam ‘Abd Allah
bin Al-Mubarak telah menerangkan bahawa Allah
Subhanahu wa Ta'ala di atas Arasy-Nya, tiadalah
Dia bersama dengan mahkluk-Nya, bahkan terpisah
daripada makhluk-Nya.
Lalu (‘Abd Allah bin Al-Mubarak) menyebut adanya
batasan (bagi membezakan antara Allah dan
makhluk-Nya) kerana puak al-Jahmiyyah
mengatakan: “Tiadalah bagi Allah batasan. Tanpa
batasan tersebut maka tidaklah Dia terasing daripada
makhluk. Tidaklah juga Dia di atas alam kerana
fahaman sedemikian menetapkan bagi-Nya batasan.”
Justeru apabila mereka bertanya kepada Imam ‘Abd
Allah bin Al-Mubarak: “Dengan apakah kita
mengenali-Nya (Allah)?” Beliau menjawab: “Bahawa Dia
di atas langit-Nya, di atas Arasy-Nya, terpisah
daripada makhluk-Nya.”
Ketiga
:
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah bukanlah orang yang
pertama menggunakan istilah batasan (al-Had)
terhadap Allah Subhanahu wa Ta'ala. Istilah
tersebut berasal daripada para tokoh al-Salaf
al-Shalih dan beliau hanya berusaha untuk
menjelaskannya.
(Akhir kata), tiadalah bagi Allah sifat batasan (al-Had).
Ia hanyalah satu ungkapan untuk membezakan Allah
daripada yang selain-Nya pada sifat-Nya,
keistimewaan yang khusus bagi-Nya, Maha Tinggilah
Dia di atas Arasy-Nya, terpisah Dia daripada
makhluk-Nya.
kandungan
|