|
Menjawab Fitnah Kedua:
Al-Hawadits Allati La Awwala Laha
الحوادث
التي لا أول لها
Fitnah kedua adalah berkenaan masalah benda-benda
baru yang tidak memiliki permulaan baginya (الحوادث
التي لا أول لها), juga masalah sifat
sesuatu yang berterusan
(تسلسل الآثار). Sudah diketahui di sisi ahli ilmu bahawa setiap
istilah perlu dirujuk tafsirannya kepada orang yang
ahli dalam jurusan tersebut. Merupakan satu
kebatilan dan kesalahan yang menimbulkan suasana
huru-hara apabila seseorang itu membahas sesuatu
istilah dengan tafsiran sesuka hati.
Maka dengan itu, yang dimaksudkan dengan
“benda-benda baru yang tidak memiliki permulaan
baginya” ialah menjelaskan bahawa Allah adalah
pembuat (pencipta) dan merupakan pembuat (pencipta)
sejak azali lagi. (Ada pun maksud “sesuatu
yang berterusan”) ialah bahawa adalah setiap benda
baru yang sebelumnya, adalah dikira benda baru yang
seterusnya hingga tiada kesudahannya. Setiap sesuatu
yang baru didahului dengan sesuatu baru yang lain,
setiap yang baru didahului dengan ketidakwujudannya.
Keseluruhan benda-benda baru ini yang dikira tiada
kesudahan (sehinggalah Hari Kiamat), semuanya
didahului dengan Allah sebagai pencipta bagi
segalanya.
Oleh itu apabila Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah
menyatakan pandangannya bahawa “benda-benda baru
yang tidak memiliki permulaan baginya”, ia bererti
bahawa Allah tetaplah Dia melakukan perbuatan-Nya
atas kehendak-Nya. Sifat-Nya adalah sifat azali
yang melazimi zat-Nya dengan sempurna. Ini adalah
pandangan jumhur ahli hadis, sebahagian
al-Mutakallimin
dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Imam Ibn
‘Abd al-Barr
dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi, jld.
1, ms. 10 berkata:
Apa yang menjadi pegangan Ahl al-Sunnah wa
al-Jama'ah adalah bahawa Allah Ta‘ala
sentiasa dengan sifat-sifat-Nya dan nama-nama-Nya,
tiadalah diawali sifat dan nama itu oleh permulaan,
dan tiadalah diakhiri dengan satu kesudahan. Dan Dia
di atas Arasy istawa’.
Demikianlah juga pandangan Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah sebagaimana yang dapat dilihat dalam
tulisan-tulisannya. Berikut dikemukakan sebahagian
darinya:
1. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Inilah pendapat bagi golongan yang menetapkan bagi
Allah sifat mencipta dan membentuk sejak azali. Sekali pun makhluk yang diciptakan itu bersifat
baru. Inilah pendapat sekumpulan daripada para
ilmuan mazhab Abu Hanifah , al-Syafie , Ahmad, ahli
kalam dan golongan Sufi.
2. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Berhubung dengan berdirinya perbuatan–perbuatan
ikhtiariyyah (pilihan) dan berdirinya
sifat-sifat bagi Allah Ta‘ala, maka ianya adalah
pendapat umat dan para imam terdahulu (salaf al
ummah wa immatiha) yang mereka ambil daripada
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Inilah pendapat yang dibawa dalam Taurat dan Injil.
Pendapat ini dibuktikan dengan akal yang jelas dan
terang lagi bertepatan dengan dalil naqli yang
sahih.
Ketika itu, tahulah kita dengan hukum akal yang
jelas bahawa alam adalah makhluk yang bersifat baru
(bukan qadim) sebagaimana dikhabarkan oleh
Rasul-rasul, di samping Tuhan itu bersifat,
sentiasalah Dia bersifat dengan sifat-sifat
kesempurnaan. Bukanlah Dia dikira asalnya
tidak berkuasa, kemudian selepas itu berkuasa atau
asalnya dikira tidak berkata-kata, kemudian boleh
berkata-kata, atau asalnya tidak bersifat dengan
sifat sebagai pencipta yang membuat, kemudian boleh
mencipta dan boleh membuat.
3. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Sudah diketahui di kalangan orang yang mengetahui
al-Kitab (al-Qur’an), al-Sunnah dan
pendapat-pendapat salaf bahawa tiada dalam kitab dan
sunnah sedikit pun yang menunjukkan bahawa Tuhan:
perbuatan-Nya tidak bersifat pasti sejak dari azali,
atau perbuatan dan kalam-Nya tidaklah bersifat pasti
sejak azali, atau sentiasalah Dia terhalang dari
perbuatan atau dihalang dari perbuatan dan
berkata-kata, kemudian setelah itu barulah Dia
menjadi berkuasa, boleh melakukan dan berkata-kata
setelah sebelumnya bukan begitu keadaan-Nya.
4. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Sesungguhnya Rabb (Allah), tetaplah Dia dan
sentiasalah Dia bersifat dengan sifat-sifat
kesempurnaan sebagaimana para ilmuan (ahli) sunnah
mensifatkan Dia sentiasa bersifat berkata-kata
apabila Dia kehendaki. Sentiasalah Dia bersifat Maha
Hidup, pembuat bagi perbuatan-perbuatan yang berdiri
pada Zat-Nya. Sentiasalah dia bersifat Maha Kuasa
dan setiap apa yang selain-Nya adalah makhluk lagi
baru. Sifat baru sesuatu makhluk berlaku sedikit
demi sedikit. Maka tiada sesuatu yang bersama-Nya
atau sebanding-Nya walau dengan dengan apa jua
keadaan.
5. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Sesungguhnya telah nyata bahawa di samping pendapat
yang mengatakan harus kejadian-kejadian baru
yang tiada permulaan baginya, bahkan bersamanya
pendapat yang mewajibkan perkara itu (kejadian baru)
maka tertolaklah sifat qidam pada alam atau
sesuatu pun dari alam. Telah nyata perbezaan antara
yang bersifat berterusan lagi wajib pada diri-Nya
yang bersifat qadim, tiada berhajat kepada
sesuatu, dan di antara berterusan perbuatan-Nya dan
apa yang dibuat-Nya dan sifat qidam-Nya. Maka
yang terawal adalah Allah Subhanahu wa Ta'ala,
qadim pada zat-Nya, wajib Maha Kaya, dan
perbuatan-Nya sesuatu demi sesuatu (tahap demi
tahap).
Demikian lima nukilan kata-kata Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah yang secara terang lagi nyata membuktikan
pandangan beliau yang menetapkan sifat-sifat Allah
adalah qadim sebagaimana qadimnya zat
Allah itu sendiri. Justeru janganlah anda terpedaya
dengan sesetengah pendusta atau pemutar belit yang
mengatakan (Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah
berpendapat) bahawa Allah bersifat Maha Pencipta
tetapi Dia tidak menciptakan apa-apa.
Kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berikut ini
menjadi tirai penutup dalam bab ini:
Dan dikatakan kepada mereka (al-Mutakallimin):
Tujuan kamu pada awalnya ialah untuk menolong agama
Islam dan menolak puak yang menyanggahinya. Pada hal
(tindakan kamu itu) tiada langsung sandarannya
terhadap Kitab Allah, Sunnah Rasul-Nya dan juga
daripada sesiapa di kalangan generasi terawal (al-Salaf
al-Shalih). Dan kamu jadikan pendapat kamu ini
sebagai perkara dasar dalam agama.
Tiadalah boleh diterima bahawa Tuhan yang masih
tetap wujud namun Dia tidak boleh melakukan apa-apa
dan tidak juga bercakap apa-apa. Adalah tidak
mungkin semua itu. Kemudian selepas dibuat ketentuan
bahawa masa itu tiada kesudahan, baginya ada
perbuatan dan percakapan, dan bahawasanya ianya
berkemampuan melakukan perbuatan dan percakapan
sesudah ia pada awalnya tiada berkemampuan melakukan
seumpama itu.
Bahkan al-Qur'an dan al-Sunnah, ucapan para sahabat
dan tabiin bertentangan dengan apa yang kamu
nyatakan. Sebenarnya apa yang kamu ada-adakan dari
ucapan yang kamu dakwa ia adalah asas agama jelas
bercanggah dengan dalil yang didengar dan hujah
akal. Selepas itu orang-orang yang meniru kamu pula memindahkan daripada kaum Muslimin dan Yahudi serta
Nasrani bahawa ini adalah pendapat mereka.
Kerana tidaklah diketahui pendapat sebegini daripada
sesiapa pun di kalangan para anbiya'
(nabi-nabi) atau sahabat-sahabat mereka. Bahkan apa
yang diketahui daripada mereka memang bertentangan
sama sekali dengan apa yang kamu katakan.
Hakikat yang sabit daripada para anbiya'
ialah setiap sesuatu selain Allah adalah makhluk
yang bersifat baru selepas asalnya ia bersifat
tiada. (Hakikat) ini sememangnya bercanggah dengan
pendapat golongan falsafah yang mengatakan: “Bahawa
cakerawala, akal fikiran dan jiwa yang bernyawa atau
apa-apa saja yang selain Allah juga bersifat
qadim, azali, tetap wujud dan tidak
lenyap.
Beberapa Peringatan
Hasil dari jawapan yang dikemukakan untuk menjawab
fitnah “alam ini sedia kala pada jenisnya” (قدم
العالم بالنوع) dan fitnah “benda-benda baru yang tidak memiliki permulaan baginya” (الحوادث
التي لا أول لها), ingin saya kemukakan
beberapa renungan dan peringatan kepada para pembaca
sekalian.
Peringatan Pertama :
Sesetengah golongan pada zaman sekarang menyangka
bahawa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan alam
ini bersifat qidam! Mereka menulis risalah
untuk menjelaskan perkara itu. Padahal tidaklah saya
mengkajinya melainkan mendapati ia penuh dengan
pendustaan, bermula dari tajuknya sehinggalah
penutup risalah itu.
Bahkan sesetengah ungkapan bahasa daripada Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah tidak difahami langsung oleh
golongan jahil ini! Saya bersumpah dengan nama Allah
yang Maha Agung, bahawa golongan penjenayah yang
jahil itu tidaklah mereka pernah mendengar sama
sekali istilah-istilah seumpama ini. Dan tidak pernah istilah itu memasuki lubang telinga mereka.
Anda boleh melihat sendiri di depan anda kitab-kitab
yang ditulis oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah.
Maka cuba datangkan satu sahaja bukti bahawa beliau
berpegang dengan pendapat alam ini qidam.
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah menerangkan
sejelas-jelasnya dengan keterangan tambahan, bahawa
segala kejadian atau apa saja bahagian sepertinya
didahului dengan adanya pembuat. Pembuat itu ialah
Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Peringatan Kedua:
Ada yang mengkritik
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah bahawa beliau
menyelisihi atau menolak hadis berikut:
كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ.
Adalah Allah dan tiadalah sesuatu selain-Nya.
Kritikan ini dijawab, bahawa Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah bukan menolak hadis di atas, tetapi
menguatkan hadis lain yang semaksud tetapi dengan
lafaz yang lain, iaitu:
كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ قَبْلَهُ.
Adalah Allah dan tiadalah sesuatu pun sebelum-Nya.
Ini kerana lafaz
“sebelum-Nya”
di atas
dikuatkan oleh hadis berikut:
اللَّهُمَّ أَنْتَ الأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ
شَيْءٌ.
Ya Allah! Engkaulah yang terawal, maka tiadalah
sebelum Engkau sesuatu jua.
Hadis inilah yang memperkuatkan hadis dengan lafaz
“sebelum-Nya”
dalam Shahih
al-Bukhari. Inilah dia ijtihad dan ilmu. Dakwaan
bahawa boleh dihimpun semua riwayat dengan alasan
berlainan sebab asal usul hadis (Asbab al-Wurud)
adalah tidak benar kerana hadis di atas hanya
berlaku sekali dan Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam hanya melafazkan satu lafaz sahaja.
Peringatan Ketiga:
Ada yang mengkritik
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah bahawa beliau telah
menolak sebuah ijma’ yang disebut oleh Ibn
Hazm
dalam kitabnya Maratib al-Ijma’. Dalam kitab
tersebut beliau (Ibn Hazm) berkata:
Mereka bersepakat bahawa Allah itu Maha Esa dan
tiada sekutu bagi-Nya , Dia-lah pencipta setiap
sesuatu selain-Nya, dan bahawa Dia sentiasalah Maha
Esa dan tiada suatu pun selain-Nya yang bersama-Nya.
Kemudian Dia menciptakan apa jua benda, semuanya
sebagaimana yang Dia kehendaki.
Manakala apa yang ditolak oleh Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah adalah seperti berikut:
Saya merasa hairan berhubung penceritaannya tentang
ijma' bahawa menjadi kufur sesiapa yang
membantah pandangan bahawa Allah sentiasa Maha Esa
dan tiada sesuatu selain-Nya bersama-Nya. Kemudian Dia menciptakan apa-apa jua benda sebagaimana yang
Dia kehendaki.
kandungan
|