|
Menjawab Fitnah
Ketujuhbelas:
Masalah Ziarah Kubur Nabi
شد
الرحل إلى قبره النبي
Fitnah terakhir yang akan kami jawab dalam buku ini
ialah berkenaan hukum ziarah kubur Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam. Para pemfitnah
mendakwa, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah melarang
ziarah ke kubur Nabi! Benarkah sedemikian? Soalan
atau fitnah ini dapat dijawab seperti berikut:
Pertama:
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah tidak melarang amalan
ziarah kubur, termasuklah kubur Nabi shallallahu
'alaihi wasallam. Ini kerana ia adalah amalan
sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam sendiri. Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah menjelaskan:
Berkata kebanyakan (ilmuan),
ziarah kubur orang-orang mukmin adalah dianjurkan
untuk mendoakan (kebaikan) bagi yang telah mati di
samping mengucapkan salam ke atas mereka. Ini
sebagaimana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam
yang pernah keluar ke perkuburan Baqi' dan mendoakan
(kebaikan) untuk mereka. Demikian juga sabit dalam
hadis Shahih al-Bukhari dan Muslim
bahawa baginda keluar ke perkuburan Syuhada' Uhud
dan mensolatkan mereka seperti solatnya ke atas
orang–orang yang meninggal dunia.
Kedua:
Larangan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah hanyalah
kepada amalan mengadakan satu perjalanan yang khusus
ke kubur Nabi shallallahu 'alaihi wasallam
atau kubur orang-orang shalih.
Ini kerana di kalangan ahli ibadah ada yang berkata:
“Kami tidak bermaksud menziarahi masjid (Nabawi),
maksud kami ialah ke kubur baginda sahaja.”
Larangan ini tidak berasal daripada Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyyah sahaja, tetapi juga para ilmuan yang
lain. Beliau menjelaskan hakikat ini dengan berkata:
Sedia dimaklumi bahawa pendapat ini dipegang oleh
sejumlah besar para ilmuan zaman awal seperti Malik
dan kebanyakan sahabatnya, al-Juwaini Abu Muhammad
serta selainnya daripada para sahabat al-Syafi‘e dan
kebanyakan para sahabat awal Ahmad (bin Hanbal).
Ketiga:
Pandangan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah ini memiliki
dalil di sebaliknya dan beliau tidak berseorangan
dalam berpandangan sedemikian. Seandainya para
pembuat fitnah mengkaji masalah ini dengan adil,
nescaya mereka akan dapati pandangan beliau tidak
terkeluar dari peraturan para ahli ilmu beserta
kaedah penghujahan dan pendalilan mereka.
kandungan
|