|
Menjawab Fitnah
Keenambelas:
Masalah Tawasul
التوسل
Ada yang memfitnah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah
bahawa konon beliau melarang tawasul (al-Tawassul).
Fitnah ini dapat kita luruskan dengan beberapa
langkah berikut:
Pertama:
Bentuk tawasul yang dilarang oleh Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyyah ialah tawasul dengan zat Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam (batang tubuh
baginda) sama ada ketika baginda masih hidup atau
sesudah kewafatannya. Contohnya tawasul yang
dimaksudkan ialah: (اللهم
إني أسألك بنبيك) “Ya Allah! Aku
memohon kepada-Mu dengan Nabi-Mu…”.
Sebenarnya tawasul dengan zat bukan perkara yang
muktamad dalam urusan syara' dan bukan juga perkara
yang sudah diketahui secara mendasar dari urusan
agama. Ia juga bukan perkara yang menjadi
kesepakatan seluruh umat dari segi penafian mahu pun
pengisbatannya. Justeru dianjurkan kepada para
penuntut ilmu untuk mempelajari (mengkaji)
dalil-dalil daripada kedua-dua belah pihak (sama ada
yang membolehkannya atau melarang). Seterusnya
bolehlah dia menguatkan mana-mana pendapat yang
lebih dicenderungi oleh keyakinan hatinya tanpa
sebarang rasa taksub dan kebutaan dari melihat
kebenaran yang hakiki.
Telah termaktub satu ketetapan daripada para ilmuan
Islam bahawa di dalam masalah ijtihad, tiada
sebarang kemudharatan ke atas seseorang mujtahid
untuk mengkaji dan menguatkan mana-mana pendapat
yang dia kehendaki. Kemudian, sama ada dia tersilap
di dalam ijtihad itu atau pun sebaliknya, dia tetap
diberi pahala dalam kedua-dua keadaan. Ada pun bagi
golongan yang menyempitkan apa yang telah diberikan
kelapangan dan keluasan oleh Allah ‘Azza wa Jalla,
maka kami katakan kepadanya: “Jangan kamu bawa
keluasan Islam ini mengikut selera dadamu yang
sempit.”
Kedua:
Berdoa tanpa bertawasul dengan zat makhluk, maka ia
adalah cara berdoa yang sudah memenuhi sebahagian
dari kandungan al-Qur'an itu sendiri. Begitu juga
dengan doa yang dipanjatkan oleh para Nabi dan
pengikut-pengikut mereka. Bahkan dalil-dalil secara
mutawatir dari sunnah menunjukkan Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam berdoa tanpa
bertawasul dengan zatnya sendiri atau dengan zat
makhluk yang lain. Demikian juga para sahabat dan
golongan tabi‘in, semuanya berdoa tanpa
bertawasul dengan seseorang daripada makhluk Allah.
Perkara ini sudah maklum dan nyata sekali.
Ketiga:
Ada pun hadis “orang buta” yang lazim dijadikan
dalil membolehkan tawasul dengan zat makhluk, maka
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam beberapa
karangannya telah menerangkan bahawa hadis itu
hanyalah menerangkan kebolehan meminta Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam mendoakan bagi
pihak lain.
kandungan
|