Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Menjawab Fitnah Kelimabelas:

Masalah Talak

 

الطلاق

 

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah pernah memberi fatwa bahawa apabila seorang suami menceraikan isterinya dengan  berkata: “Aku ceraikan engkau dengan talak tiga”, maka yang jatuh hanyalah satu. Fatwa ini dijadikan sumber fitnah kerana ia bertentangan dengan pendapat jumhur yang mengatakan apabila seorang suami menceraikan isterinya dengan  berkata: “Aku ceraikan engkau dengan talak tiga”, maka yang jatuh ialah talak tiga.

 

Pihak yang menfitnah hanya memfitnah tanpa memerhatikan hujah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah.[1] Oleh itu marilah kita melihat sejauh mana kebenaran fitnah ini.

 

Pertama:

Perkara pertama yang perlu kita lihat ialah, adakah masalah ini sesuatu yang sudah disepakati oleh para ilmuan Islam atau sesuatu yang mereka perselisihkan? Jika ia sesuatu yang disepakati, maka pihak yang memfitnah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah memiliki alasan[2]. Jika ia sesuatu yang diperselisihkan, maka pihak yang memfitnah tidak memiliki alasan untuk memfitnah kerana seorang mujtahid bebas mengkaji sehingga menguatkan satu pendapat di antara beberapa pendapat dalam masalah yang diperselisihkan itu.

Dalam masalah talak tiga, adakah jatuh satu atau tiga, maka ia adalah masalah yang diperselisihkan. Berkata Imam al-Nawawi[3] dalam Syarh Shahih Muslim, jld. 10, ms. 70:

Sesungguhnya para ilmuan berbeza pendapat dalam masalah seorang yang mengatakan kepada isterinya: “Engkau aku jatuhkan talak tiga”. Pendapat al-Syafi‘e, Malik, Ahmad dan Abu Hanifah dan jumhur ilmuan daripada kalangan al-Salaf dan al-Khalaf  ialah jatuh tiga talak. Manakala Tawus[4] dan sebahagian Ahl al-Zahir mengatakan hanya jatuh talak satu sahaja. Pendapat ini juga merupakan satu riwayat daripada Hajjaj bin Artah[5] dan Muhammad bin Ishaq[6]. Pendapat yang masyhur daripada al-Hajjaj bin Artah bahawa tidak ada apa-apa talak dalam kes sedemikian.  

 

 

Kedua:

Apabila sudah jelas kepada kita bahawa masalah ini adalah masalah yang diperselisihkan, maka ketahuilah bahawa antara yang berpegang kepada pendapat tidak jatuh talak tiga melainkan satu ialah Abu Bakar dan ‘Umar pada zaman pemerintahan mereka, juga ‘Abd Allah ibn ‘Abbas dan Imam Malik sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Timsilani. Demikian dijelaskan oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa, jld. 33, ms. 83.[7]

 

 

Ketiga:

Dalilnya ialah apa yang diterangkan oleh ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma:

 

كَانَ الطَّلاَقُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَسَنَتَيْنِ مِنْ خِلاَفَةِ

 

عُمَرَ طَلاَقُ الثَّلاَثِ وَاحِدَةً. فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ: إِنَّ النَّاسَ قَدْ اسْتَعْجَلُوا فِي أَمْرٍ قَدْ

 

كَانَتْ لَهُمْ فِيهِ أَنَاةٌ فَلَوْ أَمْضَيْنَاهُ عَلَيْهِمْ فَأَمْضَاهُ عَلَيْهِمْ.

 

Hukum talak pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, Abu Bakar dan dua tahun (pertama daripada zaman pemerintahan) ‘Umar ialah talak tiga hanya jatuh satu sahaja.

‘Umar bin al-Khaththab berkata: “Sesungguhnya orang ramai tergesa-gesa dalam urusan (talak) padahal mereka sepatutnya berhati-hati[8], kalau kami tetapkan ketentuan hukum ke atas mereka, maka nescaya kami tetapkannya ke atas mereka.[9]

 

Hadis ini menjadi dalil jelas yang memperkuatkan pendapat Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Ini ditambah dengan ketiadaan dalil lain yang sabit daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menunjukkan orang yang melafaz talak tiga sekali gus, jatuh talak tiga.[10]


 

 

 

 


[1] Hujah-hujah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah boleh dirujuk dari permulaan jilid 33 daripada kitab Majmu’ al-Fatawanya.

[2] Walaubagaimana pun alasan tersebut tidaklah semestinya benar kerana adakalanya sesuatu yang dianggap telah disepakati sebenarnya masih diperselisihkan. Juga, sesuatu yang disepakati adakalanya boleh dibuka untuk kajian semula kerana penemuan dalil-dalil yang sebelum itu mungkin terselindung. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah pernah mengeluarkan fatwa yang berbeza dalam masalah yang sudah disepakati. Dr. Sa‘id ‘Abd al-Azhim dalam bukunya Ibn Taimiyyah: al-Tajdidi al-Salafi wa Da’wah al-Ishlahiyyah (Dar al-Iman, Iskandariyyah, tanpa tahun) telah membahagikan fatwa-fatwa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam persoalan fiqh yang dikatakan berbeza kepada lima kategori:

1.     Fatwa yang berbeza dengan jumhur secara keseluruhan.

2.     Fatwa yang berbeza dengan pandangan empat mazhab.

3.     Fatwa yang sama dengan satu mazhab tetapi berbeza dengan tiga mazhab.

4.     Fatwa yang sama dengan sebahagian mazhab tetapi berbeza dengan sebahagian mazhab yang lain.

5.     Fatwa yang berada di pertengahan antara pendapat-pendapat mazhab.

Selain itu rujuk juga buku Dr. Muhammad Amin Suma yang berjudul Ijtihad Ibnu Taimiyyah Dalam Fiqih Islam (Pustaka Firdaus, Jakarta, 2002).

[3] Beliau ialah Abu Zakariyya Muyhi al-Din al-Nawawi, seorang mujtahid yang masyhur dalam Mazhab al-Shafi‘e. Sayang sekali beliau meninggal dunia pada tahun 676H dalam umur yang masih agak muda, iaitu 45 tahun. Antara karya beliau yang masyhur ialah Hadis 40, al-Adzkar dan Riyadh al-Salihin.

[4]  Beliau ialah Abu ‘Abd al-Rahman Thawus bin Kaisan al-Yamani. Seorang tokoh tabi‘in yang masyhur, banyak meriwayatkan hadis dan pendapat para sahabat radhiallahu 'anhum. Meninggal dunia pada tahun 106H.

[5]  Beliau ialah Abu Artha’ Hajjaj bin Artah bin Tsur al-Nakha‘e, seorang tokoh tabi tabi‘in. Hadis-hadisnya banyak diriwayatkan dalam kitab-kitab Sunan, hanya saja beliau sering tersilap dalam periwayatannya. Beliau meninggal dunia pada tahun 145H.

[6]  Beliau ialah Abu Bakr Muhammad bin Ishaq bin Yasar. Seorang ahli sejarah yang terkenal, namun riwayat-riwayatnya perlu diperhatikan jika ia memiliki kaitan dengan aliran Syi‘ah. Meninggal dunia pada tahun 150H.

[7]  al-Syaukani menyebut bahawa ia adalah juga pendapat beberapa tokoh al-Salaf al-Shalih, termasuklah para sahabat. Di antaranya ialah Abu Musa, ‘Ali, ‘Abd Allah ibn Mas ‘ud, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, Zubair, Thawus, ‘Atho’, Jabir bin Zaid, al-Hadi, al-Qasim, al-Baqir, al-Nashir, Ahmad bin ‘Isa, ‘Abd Allah bin Musa, Zaid bin ‘Ali. [Nail al-Authar min Asrar Muntaqa al-Akhbar (Dar al-Kitab al-‘Arabi, Beirut, 2000), jld. 4, ms. 324]

[8] Perkataan (أناة) dalam bahasa Arab bermaksud lemah lembut, berlambat-lambatan, perlahan-lahan. Maka yang dimaksudkan oleh ‘Umar ialah urusan talak perlu berhati-hati dan mengikut tahap-tahapnya. Tahap yang dimaksudkan ialah menjatuhkan talak pertama. Kemudian apabila habis waktu ‘iddah pertama, dijatuhkan talak kedua. Kemudian apabila habis waktu ‘iddah kedua, dijatuhkan talak ketiga. Setelah habis waktu ‘iddah ketiga, terputuslah pernikahan secara mutlak. Ada pun sebelum itu, suami masih berpeluang merujuk kembali kepada isterinya.

Ada pun menjatuhkan talak tiga sekali gus, ia menggambarkan sifat gopoh dan terburu-buru yang berkesudahan dengan rasa penyesalan. Akan tetapi memandangkan orang ramai tetap melakukannya (talak tiga sekali gus), ‘Umar al-Khaththab membenarkannya dan ini dipersetujui oleh para sahabat yang lain. Bahkan Ibn ‘Abbas sendiri apabila ditanya masalah ini, dia juga berfatwa jatuhnya talak tiga bagi orang yang mengucapkan talak tiga sekali gus.

[9] Sahih : Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1472 (Kitab al-Thalaq, Bab talak tiga).

[10]  Dalam bab ini terdapat beberapa hadis sahih berkenaan talak tiga, seperti hadis berikut:

 

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَجُلاً طَلَّقَ امْرَأَتَهُ ثَلاَثًا فَتَزَوَّجَتْ فَطَلَّقَ فَسُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَحِلُّ لِلأَوَّلِ؟ قَالَ: لاَ حَتَّى يَذُوقَ عُسَيْلَتَهَا كَمَا ذَاقَ الأَوَّلُ.

Daripada A’isyah (radhiallahu 'anha, beliau menerangkan) bahawa seorang lelaki menceraikan isterinya tiga kali lalu isterinya itu menikahi lelaki lain yang kemudian turut menceraikannya. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ditanya (oleh isteri itu) sama ada bolehkah dia menikah kembali suaminya yang pertama? Nabi menjawab: “Tidak, melainkan suaminya (yang kedua) telah menggaulinya sebagaimana suaminya yang awal.” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 5261 (Kitab al-Thalaq, Bab orang yang berpendapat boleh talak tiga)].

Dalam hadis di atas, diterangkan bahawa si-suami menceraikan isterinya tiga kali sehingga membolehkan isterinya menikah lelaki lain. Hadis ini dan lain-lain yang seumpama dijadikan dalil oleh pihak yang berpendapat jatuhnya talak tiga bagi orang yang melafazkan talak tiga sekali gus.

Akan tetapi pendalilan ini dipersoalkan kerana hadis di atas dan lain-lain yang seumpama hanya menerangkan talak yang dilakukan tiga kali. Ia tidak menerangkan sama ada talak itu dilakukan sekali gus atau mengikut tahap-tahapnya. Tahap yang dimaksudkan ialah menjatuhkan talak pertama. Kemudian apabila habis waktu ‘iddah pertama, dijatuhkan talak kedua. Kemudian apabila habis waktu ‘iddah kedua, dijatuhkan talak ketiga. Setelah habis waktu ‘iddah ketiga, terputuslah pernikahan secara mutlak. Ada pun sebelum itu, suami masih berpeluang merujuk kembali kepada isterinya.

Sekali pun berbeza dengan pendapat jumhur, kebanyakan peneliti mutakhir cenderung kepada pendapat Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, bahawa talak tiga yang dijatuhkan sekali gus, yang jatuh hanya talak satu. Dr. Muhammad Amin Suma menerangkan:

Banyak ulama’ yang menilai pendapat Ibn Taimiyyah di atas sebagai menyalahi pendapat umumnya umat Islam, bahkan lebih dari itu konon ada yang menuduhnya keluar dari ijma’. Namun di balik itu sesungguhnya tidak sedikit pula ulama’ Islam yang menganggap pendapat Ibn Taimiyyah justeru lebih kuat daripada pendapat jumhur, seperti yang dinyatakan oleh al-Syaukani, Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Ibn Hajar al-‘Asqalani dan Muhammad bin Isma’il al-Kahlani.

Keempat-empat ulama’ terkenal ini tampak sependirian dalam membantah pendapat yang menyatakan penjatuhan tiga talak sekali gus hukumnya jatuh tiga menurut ijma’ kaum muslimin kerana menurut mereka sejak pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sampai sekarang, selalu saja ada ulama’ yang tetap memfatwakan penjatuhan tiga talak sekali gus hukumnya hanya jatuh satu. [Ijtihad Ibnu Taimiyyah Dalam Fiqih Islam, ms. 183]

Selain daripada dalil-dalil yang telah dikemukakan dalam bab ini, mereka juga berhujah dengan realiti kehidupan. Betapa banyak pasangan yang bercerai dengan talak tiga sekali gus terfikir untuk kembali bersama? Betapa banyak pasangan yang bercerai dengan talak tiga sekali gus terfikir semula bahawa faktor-faktor yang menyebabkan mereka bercerai sebenarnya adalah kecil dan boleh diatasi secara bersama? Akan tetapi mereka tidak dapat berpatah balik kerana disangkakan talak tiga sekali gus yang telah dilafaz adalah penceraian yang memutuskan pernikahan secara mutlak. 

Sebenarnya kaedah penceraian dalam Islam adalah:

Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. Dan isteri-isteri yang ditalak itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).

Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa ‘iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Talak (seperti di atas berulang) dua kali. Sesudah itu (talak yang ketiga) bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. [al-Baqarah 2:227-229]

Berdasarkan ayat di atas:

1.     Firman Allah: “Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak…”. Bagi suami yang ingin menceraikan isterinya, hendaklah menjatuhkan talak.

2.     Firman Allah: “Dan isteri-isteri yang ditalak itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).” Bagi isteri yang ditalak, dia berada dalam waktu ‘iddah yang tempohnya tiga kali suci dari putaran haid.

3.     Firman Allah: “Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa ‘iddah mereka …”. Dalam tempoh ‘iddah tersebut, pasangan suami isteri memiliki peluang untuk berbaik-baik kembali dan menyelesaikan pergeseran yang berlaku di antara mereka. Jika mereka ingin tetap hidup bersama, maka suami rujuk kembali kepada isterinya.

4.     Firman Allah: “Talak (seperti di atas berulang) dua kali. Sesudah itu (talak yang ketiga)…” Tahap atau langkah 1, 2 dan 3 di atas berulang sebanyak tiga kali. Tiga kali yang dimaksudkan ialah dengan setiap talak itu memiliki waktu ‘iddahnya. Ia bukan tiga kali dengan satu waktu ‘iddah. Misalnya, apabila kita disunnahkan berzikir Astaghfirullah tiga kali selepas solat fardu, ia tidak bermaksud menyebut “Astaghfirullah 3 kali” tetapi “Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah.”

Di antara hikmah diadakan waktu ‘iddah ialah supaya pasangan yang ingin bercerai memiliki ruang waktu yang cukup untuk berfikir sedalam-dalamnya sama ada keputusan mereka adalah matang atau tidak. Bandingkan, jika satu pasangan itu memiliki ruang waktu yang luas untuk berfikir sebelum bernikah, apakah mereka tidak patut diberi ruang waktu juga untuk berfikir sebelum bercerai? Lebih-lebih lagi apabila penceraian itu sendiri lazimnya dilakukan secara tergesa-gesa lagi beremosi. Pensyari‘atan talak dalam tiga waktu yang berasingan dengan waktu ‘iddah di antara setiap talak membolehkan kedua-dua pasangan berfikir secara mendalam: apakah mereka benar-benar ingin bercerai atau masih ada ruang untuk kembali bersama?

Pihak yang memfitnah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam masalah talak ini, fokus mereka ialah membuat fitnah semata-mata. Mereka tidak memikirkan masalah umat, realiti kehidupan dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pasangan yang bercerai dengan talak tiga sekali gus. Bagi mereka itu semua tidak penting. Yang penting ialah mencari fatwa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang menyelisihi jumhur dan kemudian membesar-besarkannya sebagai satu fitnah ke atas beliau.

 

 

kandungan