|
Menjawab Fitnah
Keempatbelas:
Masalah-Masalah Aqidah Dan Persoalan Ijtihad
مسائل
العقيدة والاجتهاد
Orang-orang ada yang memfitnah Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah kerana beliau melakukan ijtihad dalam
masalah-masalah aqidah. Pemfitnah-pemfitnah tersebut
mendakwa tidak ada ijtihad dalam aqidah dan sesiapa
yang berijtihad, ia membawa kepada kekafiran.
Padahal Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berulang kali
menegaskan dalam kitab-kitabnya bahawa perbezaan
pendapat dalam masalah aqidah adalah sama seperti
perbezaan pendapat dalam masalah fiqh. Maka di
antaranya ada yang dibenarkan dan ada juga yang
diharamkan. Dakwaan yang mengkhususkan kekafiran
kepada (sesiapa yang berijtihad) dalam persoalan
aqidah serta (sesiapa yang ikut membicarakan)
perbezaan pendapat yang berlaku dalam persoalan
aqidah adalah dakwaan yang batil. Dakwaan demikian
dicedok dari kitab-kitab al-Mutakallimin.
Tidak diketahui di sisi generasi al-Salaf
al-Shalih pengkhususan sedemikian. Berkata
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Maka sesiapa saja di kalangan umat Islam yang
berijtihad untuk mencari kebenaran lalu silap, maka
Allah Subhanahu wa Ta'ala mengampunkan
kesalahannya, sekalipun apa jua keadaannya. Sama ada
yang melibatkan masalah-masalah kajian atau
‘ilmiyyah. Inilah pendirian sahabat-sahabat Nabi
dan jumhur para ilmuan Islam.
Tindakan membezakan atau memisahkan antara satu
jenis masalah dalam kategori tertentu dan satu jenis
masalah lain kepada kategori tertentu yang lain
adalah tindakan yang tiada asal usulnya. Contohnya
memisahkan antara masalah-masalah al-Ushul
(pokok)
dan menamakannya demikian, dengan masalah–masalah
yang dinamakan sebagai al-Furu' (cabang)
yang dianggap tidak menjadi kufur bagi sesiapa
mengingkarinya. Pembahagian dan perbezaan sebegini
tidak datang daripada para sahabat atau para
tabi’in, tidak juga daripada mana-mana tokoh
ilmuan tertentu. Ia diambil daripada aliran
al-Mu’tazilah dan yang semisal dengan mereka
daripada kalangan Ahl al-Bid‘ah. Seterusnya
daripada golongan inilah pula, para ahli fiqh
mengambilnya dan memasukkan ke dalam kitab-kitab
mereka.
Sekiranya dikemukakan pertanyaan: “Apakah had
sempadan bagi masalah al-Ushul yang dikira
kafir orang tersilap padanya? Dan apakah yang
memisahkannya dengan masalah al-Furu’?”
Sekiranya dikatakan oleh mereka: “Sesungguhnya
masalah-masalah al-Ushul ialah berkenaan
aqidah dan masalah-masalah al-Furu’ ialah
berkenaan amalan, maka bagaimana halnya dengan
peristiwa perselisihan yang berlaku di kalangan para
sahabat dalam masalah adakah Nabi shallallahu
'alaihi wasallam melihat Allah (pada malam Isra'
dan Mikraj)? Juga masalah adakah ‘Utsman ibn ‘Affan
lebih utama daripada ‘Ali bin Abi Thalib atau Ali
yang lebih utama?”
Seterusnya dalam masalah memahami beberapa ayat
al-Qur'an, mensahihkan beberapa riwayat hadis, ia
juga merupakan masalah-masalah aqidah yang berbentuk
‘ilmiyyah. Namun mengikut kesepakatan para
ilmuan, tiadalah seorang pun yang menjadi kafir
(jika tersilap apabila berijtihad) dalam masalah
sedemikian.
Perhatikan pula masalah wajib solat lima waktu,
puasa Ramadhan, zakat harta benda, ibadah haji,
pengharaman perkara-perkara keji dan arak. Semua ini
dari kumpulan masalah al-Furu’, yakni
‘amaliyyah, namun para ilmuan Islam bersepakat
bahawa sesiapa yang mengingkarinya akan menjadi
kafir. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menegaskan:
Pembahagian masalah-masalah kepada masalah
al-Ushul yang menjadi kafir bagi sesiapa yang
mengingkarinya dan masalah al-Furu’ yang
tidak menjadi kafir bagi sesiapa yang
mengingkarinya, tidaklah ia (pembahagian tersebut)
berasal daripada para sahabat, tidak daripada para
tabi’in dan tidak juga daripada para imam
umat Islam. Ia tidak lain dicedok daripada aliran
al-Mu’tazilah dan semisal mereka daripada para
pembesar Ahl al-Bid’ah.
Ketahuilah bahawa seorang muslim tidak akan menjadi
kafir kecuali apabila mendustakan atau mengingkari
hukum-hukum syari‘ah yang sudah diketahui dalam
agama secara pasti, jelas serta disepakati secara
yakin lagi meluas, baik dalam masalah aqidah,
mu‘amalat atau ibadah. Inilah dasar yang dipegang
oleh para ilmuan Islam yang terkemuka sepanjang
zaman sebagaimana telah saya jelaskan dalam risalah
khusus berjudul Ihkam al-Taqrir fi Masalah
al-Takfir.
Kenyataan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah di atas
bukan sahaja menepis fitnah orang-orang yang
mengkafirkan beliau kerana berijtihad dalam masalah
aqidah tetapi juga menjadi bukti bahawa sekali pun
beliau banyak menyelisihi al-Mutakallimin
dalam persoalan aqidah, beliau tidak mengkafirkan
mereka. Ada pun dakwaan bahawa beliau mengkafirkan
sekian-sekian orang yang menyelisihinya, semua itu
adalah pendustaan dan fitnah semata-mata.
kandungan
|