Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah

Syaikh Murad Syukri ~ (Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman.)

 

 
   

 

Menjawab Fitnah Keduabelas:

Keaslian Taurat dan Injil


تبديل التوراة والإنجيل
1

 

 

Sebahagian pihak mendakwa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan: “Sesungguhnya Taurat dan Injil tidak ditukar lafaznya, yang ditukar hanyalah maknanya”.

Dakwaan ini dapat diluruskan seperti berikut, bahawa para ilmuan Islam termasuk Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah menerangkan bahawa tidak semua lafaz dalam Taurat dan Injil yang telah ditukar oleh tokoh-tokoh agama mereka. Lafaz yang ditukar hanya sedikit manakala yang banyak ditukar ialah makna lafaz-lafaz tersebut melalui penakwilan dan penafsiran yang berbeza.

 

Pendapat ini bukan sesuatu yang aneh atau salah. al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani[2] juga telah mengemukakannya sebagai salah satu dari empat pendapat yang ada dalam bab ini:

Berlakunya padanya sedikit (sahaja) penukaran, manakala sebahagian besar darinya masih kekal dalam keadaannya yang asal. Turut menyokong pendapat ini ialah Syaikh Taqiuddin Ibn Taimiyyah di dalam kitabnya ar-Radd al-Shahih ‘ala Man Baddala Din al-Masih.[3]

 

Maka nyatalah kepada kita bahawa pihak yang membuat dakwaan ini sejak awal ingin mengadakan pendustaan ke atas Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Padahal mereka sendiri jahil sehingga tidak tahu kedudukan sebenar perkara ini.[4]

 

 

 

 

 


[1]  Antara yang melontar fitnah ini ialah Zamihan Mat Zin al-Ghari dalam Salafiyah Wahabiyah Suatu Penilaian, ms. 117.

[2]  Beliau ialah Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad al-Kinani, lahir di Kaherah pada tahun 773H. Seorang mujtahid yang terkenal dalam Mazhab al-Shafi‘e, paling terkenal dengan kitabnya Fath al-Bari yang merupakan syarah kepada kitab Sahih al-Bukhari. Beliau meninggal dunia pada tahun 852H.

[3]  Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari, jld. 15, ms. 505 (syarah kepada Kitab al-Tauhid, Bab firman Allah dalam surah al-Buruj: بل هو قرآن مجيد (21) في لوح محفوظ (22) ).

al-Hafiz Ibn Hajar mengemukakan empat pandangan tentang keadaan kitab Taurat dan Injil sama ada ia telah ditukar kesemuanya atau sebahagiannya dan sama ada yang ditukar ialah lafaznya atau maknanya. Sila rujuk penjelasan beliau untuk maklumat lanjut.

[4]  Umat Islam secara umumnya amat jahil tentang agama lain sebagaimana mereka jahil tentang agama Islam mereka sendiri. Kejahilan ini menyebabkan mereka terus melompat membuat fitnah ke atas Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah apabila sahaja mendengar pandangan beliau bahawa hanya sedikit lafaz Taurat dan Injil yang telah ditukar, sedangkan yang banyak ditukar ialah maknanya.

Padahal orang yang mereka fitnah ialah seorang yang pakar dalam agama-agama lain, termasuklah agama Yahudi dan Kristian. Kepakaran Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dapat dilihat melalui karyanya ar-Radd al-Shahih ‘ala Man Baddala Din al-Masih (Bantahan yang sahih ke atas orang yang menukar agama Nabi ‘Isa – Kristian). Ia setebal enam jilid besar dan diterbitkan oleh Dar al-Ashimah, Riyadh, 1999. Cuba dihitung, dalam masa lebih 1400 tahun ini, berapa ramai ilmuan Islam yang pernah menulis kitab besar untuk membantah kesalahan agama Yahudi dan Kristian?

Jika kita mengkaji kitab Taurat dan Injil, akan ditemui banyak bukti tentang aqidah yang sahih seperti tuhan hanya satu – iaitu Allah, ‘Isa bukan anak tuhan tetapi seorang Rasul, ajaran ‘Isa akan diganti oleh seorang Rasul yang lain – iaitu Muhammad dan pelbagai lagi. Semua ini menunjukkan bahawa kebanyakan lafaz dalam Taurat dan Injil masih asli. Hanya maksudnya sahaja yang telah ditukar oleh para tokoh Yahudi dan Kristian melalui penakwilan dan penafsiran yang batil.

Lebih lanjut sila rujuk buku Christianity Through The Lens Of Christian And Muslim Scholars (Book 1 & 2) karangan sahabat saya Muhammad Amin Yaacob yang diterbitkan oleh Jahabersa, Johor Bahru.

 

 

kandungan