|
Menjawab Fitnah Pertama:
Qidam al-‘Alam bi al-Nau’
قدم
العالم بالنوع
Tudahan pertama yang dilontarkan ke atas Syaikh
al-Islam Ibn Tamiyyah yang akan kita jawab dan
luruskan ialah kononnya beliau berkata alam ini
sedia kala pada jenisnya (قدم
العالم بالنوع) atau kewujudan bersifat
wajib pada zatnya (أنه
موجب بالذات). Sebelum menjawab tuduhan
ini, perlu diketahui bahawa jika dirujuk kepada
kitab-kitab para mutakallimin (ahli kalam)
dan muslimin (umat Islam) tentang hakikat alam, akan
ditemui bahawa mereka terbahagi kepada tiga pendapat.
Pendapat-pendapat tersebut ialah:
Pertama:
Alam ini ialah makhluk yang baru dicipta oleh Allah
Subhanahu wa Ta'ala setelah sebelumnya ia
tiada. Ini berdasarkan dalil al-Qur’an, hadis dan
ijma’ (kesepakatan) umat Islam.
Inilah juga pendapat yang dipegang oleh Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah. Bahkan beliau menganggap
apa-apa pendapat lain adalah palsu.
Kedua:
Pendapat yang dikemukakan oleh kaum kafir,
al-Dahriyyun
dan al-Mulahidah
bahawa alam ini bersifat qadim secara
sendirinya dan tiada pencipta. Pendapat ini memang
nyata kufur dan batil kerana bererti
menafikan kewujudan Allah dan keesaan-Nya. al-Qadhi
‘Iyadh
dalam al-Syifa’ bi Ta’rif Huquq al-Musthafa,
ms. 604 dan para ahli ilmu yang lain menyebut:
Yang jelas dalam bab ini ialah setiap kenyataan yang
menafikan kewujudan Allah (al-Rububiyyah) dan
keesaan-Nya (al-Wihdaniyyah), ibadah yang
ditujukan kepada selain Allah atau ibadah yang
menyekutukan Allah (semua itu) adalah kufur.
Terhadap pendapat kedua ini, Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah mengulas:
Sekiranya seorang mulhid berkata: “Alam yang
disaksikan ini qadim, ia wajib wujud secara
sendiri tanpa perlu ada pencipta”, maka sesungguhnya
dia (orang mulhid yang berkata sedemikian)
telah menetapkan sesuatu yang wajib secara
sendirinya lagi bersifat qadim dan azali
(bagi alam ini). (Seolah-olah alam) ini ialah satu
jisim yang boleh menanggung benda-benda lain untuk
bertukar arah, berdiri dengannya segala yang ada di
maya padanya, yang dipenuhi dengan kejadian–kejadian
dan pergerakan-pergerakan, baginya ada
bahagian-bahagian dan pecahan-pecahan.
Maka apa yang cuba dia lari darinya, iaitu dengan
menetapkan alam dan perkara-perkara yang berlaku di
dalamnya dan banyak lagi sebagai qadim,
keingkarannya itu tidak memberikan apa-apa faedah
(kepada dirinya) melainkan ingkar terhadap pencipta
(Allah), mendustakan Rasul-Rasul-Nya dan menyelisihi
apa yang jelas di sisi akal dan kesesatan yang
nyata. Semua ini adalah puncak kesesatan bagi
golongan yang sesat dan (puncak) kekufuran bagi
orang kafir.
Pendapat kedua ini sememangnya rosak dan kufur.
Ketiga:
Pendapat ini menyatakan bahawa alam ini qadim
tetapi adalah juga makhluk ciptaan Allah. Ini adalah
pendapat Ibn Sina
dan satu golongan daripada kalangan ahli falsafah
mutakhir. Walaubagaimana pun sebahagian orang yang
jahat lagi berdusta menyandarkannya kepada Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah. Ini adalah satu kedustaan
yang nyata kerana Syaikh al-Islam telah menolak
pendapat ini berulang kali dalam kitabnya dan
menjelaskan kerosakannya dari pelbagai sudut.
Sejak awal, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah
memperingatkan tentang amaran generasi awal (al-Salaf
al-Shalih): “Sesiapa yang mengatakan alam ini
qadim maka sesungguhnya dia telah ingkar kepada
Pencipta (Allah)”. Kemudian datanglah Ibn Sina dan
orang-orang yang sependapat dengannya yang berkata:
“Alam ini qadim tetapi juga makhluk Allah,
wajib bagi alam ini apa yang ada pada zat Allah”,
bermaksud alam ini turut memiliki sifat yang sama
dengan Allah (iaitu qadim).
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:
Oleh kerana itulah pengkaji-pengkaji terdahulu
berpendapat, setiap orang yang berkata alam ini
qadim, maka dia telah ingkar kepada Pencipta,
padahal mereka sendiri tidak mampu berfikir ketika
dikatakan: “Alam ini qadim dan ianya
diciptakan”.
Akan tetapi golongan terkemudian pula, apabila
mereka melihat ada golongan falsafah yang
mengatakan: “Alam ini dalam keadaan ada sebab dan
tidak wajib (bersifat qadim)”, mereka
menyebut pendapat ini dan membahaskannya bersama
sahabat-sahabatnya.
Seterusnya marilah kita mengkaji bantahan Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah ke atas pendapat yang
mengatakan alam ini qadim sebagaimana zat
Allah. Dalam kitabnya Dar’u al-Ta‘arudh,
beliau menulis:
Berkata (Imam) al-Ghazali
dalam kitabnya Tahafat al-Falasifah, manusia
terbahagi kepada dua kumpulan.
-
Kumpulan
Ahli al-Haq (yang benar). Mereka
berpendapat alam ini baru. Mereka mengetahui bahawa
sesuatu yang baru itu tidak wujud dengan sendirinya
tetapi memerlukan pencipta yang menciptakannya. Maka
diterima pendapat mereka yang meyakini adanya
pencipta.
-
Kumpulan
al-Dahriyyah. Mereka berpendapat
alam ini qadim kemudian ia sebagaimana yang
dilihat sekarang. Mereka tidak menetapkan adanya
pencipta bagi alam. Pegangan (iktikad) mereka dibina
di atas apa yang mereka fahami (berdasarkan logik
akal), sekali pun ada dalil yang menunjukkan
pendapat mereka adalah tidak benar. Adapun ahli
falsafah, mereka berpendapat alam ini qadim,
kemudian mereka tetapkan baginya pencipta.
Ibn Rusyd
pula berkata, sebagai membalas pendapat al-Ghazali:
“Bahkan mazhab ahli falsafah boleh difahami daripada
syahid (benda yang disaksikan) lebih banyak
dari dua mazhab tadi semua sekali”. Kemudian dia
berkata pula: “Alam ini bersifat baru daripada
pembuat (pencipta) yang bersifat qadim, maka
sesiapa yang perbuatannya qadim maka dia
adalah qadim. (Maka dikatakan): “Alam ini
bersifat baru daripada pencipta yang sentiasa
bersifat qadim”.
Demikian hujah al-Mutakallimin dalam
menetapkan bahawa alam ini adalah qadim.
Penetapan atau pandangan inilah yang dibantah oleh
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam pelbagai
tulisannya. Berikut dikemukakan lima daripadanya:
1. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Maka
renungilah wahai orang yang diberi petunjuk oleh
Allah percanggahan yang besar ini yang membawa
kepada jalan yang rosak yang telah dilalui oleh Ibnu
Sina dan pengikut-pengikutnya dalam menetapkan wajib
wujudnya (alam bersama zat Allah). Ahli kajian
mereka sendiri mengakui bahawa tiada sebarang dalil
untuk menetapkan wujud yang wajib dan tidak mungkin
juga dari sudut maksud lain. Sudah maklum bahawa
perkara ini berada di kemuncak kerosakan.
Ini kerana sesungguhnya membahagikan kewujudan
kepada (1) wajib wujud yang qadim lagi
azali dan (2) wujud yang mungkin baru
(diciptakan) selepas sebelumnya tidak wujud,
(pembahagian seperti ini adalah kerosakan) yang
sudah sedia maklum diketahui oleh semua orang yang
berakal lagi awam.
2. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Hujah ini menunjukkan bahawa selain Allah semuanya
bersifat baru, ia wujud setelah asalnya ia tiada dan
bahawasanya Allah Subhanahu wa Ta'ala Dialah
Pencipta bagi setiap sesuatu yang asalnya tiada.
Maha Suci Allah, hanya Dia sahaja bersifat baqa'
(kekal) dan qidam (sedia kala) dan
semestinyalah apa yang selain-Nya bersifat baru
kerana asalnya tiada. Dan ini adalah satu kalam
Arabi (penjelasan dalam bahasa Arab yang mudah,
lazim lagi nyata).
3. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Ahli-ahli falsafah menjadikan perkara ini satu hujah
tentang sifat qidam pada alam, maka mereka
berkata: “Kejadian yang berlaku tanpa sebab adalah
kejadian yang tak mungkin, maka mestilah ia bersifat
qadim dan terbit dari sesuatu yang wajib pada
zatnya.” (Ibn Taimiyyah mengulas): “Mereka ini lebih
sesat daripada puak al-Mu’tazilah dari
pelbagai sudut.”
4. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Perkara seperti ini adalah di antara perkara dasar
yang sangat besar yang masih dikelirui oleh
ketua-ketua pengkaji ahli falsafah dan ahli kalam.
Sesiapa yang melalui jalan Nubuwwah yang
mulia (dalam memahami masalah ini) nescaya tahulah
dia bahawa akal yang sihat pasti bertepatan dengan
dalil wahyu yang sahih. ……Dan bahawasanya Allah
Dia-lah pencipta bagi tiap sesuatu, Dia-lah Tuhan
dan Pemiliknya. Dan tidak menjadikan bersama Allah
sesuatu yang juga bersifat qadim, bahkan
semua perkara yang selain Allah adalah baru setelah
asalnya tiada.
5. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
…apa yang diperkatakan oleh al-Kitab (al-Qur’an) dan
Rasul-rasul adalah, bahawa Allah pencipta setiap
sesuatu. Apa yang selain Allah sama ada tempat
peredaran bintang di langit, para malaikat dan
sebagainya adalah makhluk yang bersifat baru
wujudnya selepas asalnya ia tiada. Ia didahului
dengan sifat tiada dan tiadalah bersama Allah
sesuatu pun yang bersifat qadim di alam ini
tanpa mengira ia tempat peredaran bintang di langit
mahu pun para malaikat. Sama ada ia dinamakan secara
logik pemikiran manusia atau pada zat benda itu
sendiri atau pun tidak dinamakan (langsung).
Demikian beberapa nukilan kata-kata Syaikh al-Islam
Ibn Taimiyyah yang menerangkan rosaknya pandangan
sebahagian al-Mutakallimin bahawa “Alam ini
makhluk dan ia juga qadim serta lazimlah ia
bersama sifat Allah dengan kelaziman yang azali.”
Kalau diperhatikan, nescaya ditemui bantahan Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah itu di lebih seratus tempat
dari bukunya. Bahkan ia berjilid-jilid tebalnya.
Satu perkara yang sangat menghairankan ialah
terdapat beberapa kitab yang menyandarkan pandangan
sesat ini kepada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah.
Beliau dituduh berkata: “Alam ini bersifat qadim
dan wajiblah ia wujud bersama Zat Allah.”
Ini adalah fitnah yang dapat ditolak dengan dua
cara:
-
Dengan merujuk kepada kitab-kitab Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah yang secara terang lagi
nyata mendustakan pandangan tersebut.
-
Dengan merujuk kepada sabda Nabi shallallahu
'alaihi wasallam:
لاَ تَجُوزُ شَهَادَةُ خَائِنٍ وَلاَ خَائِنَةٍ وَلاَ
زَانٍ وَلاَ زَانِيَةٍ وَلاَ ذِي غِمْرٍ عَلَى
أَخِيهِ.
Tidak diperbolehkan saksi orang yang khianat sama
ada lelaki atau perempuan, tidak juga daripada orang
yang berzina sama ada lelaki atau perempuan, dan
tidak juga saksi daripada orang yang iri hati
terhadap saudaranya.
Maksud (ذي غمر)
ialah iri hari, iaitu iri hati yang menyebabkan
penolakan kepada kebenaran sekali pun jelas
terpampang di hadapan mata. Demikianlah sikap musuh
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, mereka mengetahui
bahawa beliau berulang kali dalam pelbagai kitabnya
membantah pandangan (atau penetapan) bahawa alam ini
adalah qidam. Akan tetapi mereka tetap
memfitnah beliau dengan pandangan tersebut!
Menarik untuk diperbandingkan, orang-orang yang iri
hati kepada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah
melemparkan fitnah Qidam al-‘Alam terhadap
beliau tetapi mendiamkan pula tokoh-tokoh sealiran
dengan mereka yang sememangnya berpandangan
sedemikian. Salah seorang daripada tokoh yang
dimaksudkan ialah Imam al-Fakr al-Razi.
Beliau menyatakan dalam Syarh Isyarat Ibn Sina:
Tidak berlaku kufur kepada sesiapa yang
mengatakan alam ini bersifat qadim mengikut
cara ahli falsafah di samping menetapkan adanya
pencipta. Alam ini makhluk yang bersifat qadim,
satu sifat yang sememangnya sama dengan zat Allah,
bahkan mereka tidak menganggap ianya di antara
permasalahan ilmu tauhid selagi mana semua pihak
bersepakat mengatakan bahawa Allah – hanya Dia-lah –
pencipta bagi tiap sesuatu. Adakah kamu
menyesatkannya atau mengkafirkannya?
Beliau menyatakan lagi dalam Syarh Isyarat Ibn
Sina, jld. 1, ms. 42-43
Ada pun golongan yang mengatakan bahawa yang
wajib wujud itu hanya satu, mereka berpecah
kepada dua pendapat. Pertama: Di kalangan
mereka ada yang mengatakan bahawa Allah tidaklah Dia
dikira sebagai pembuat sejak dari azali, kemudian
jadilah Dia pembuat pada perkara masih wujud.
Kedua: Sesungguhnya Dia sejak dari azali lagi
dikira pembuat. Mereka adalah golongan falsafah.
Kemudian dia (Imam al-Fakr al-Razi) mengatakan
selepas beberapa baris:
“Maka sabitlah bahawa tiada kaitan antara masalah
qidam dan kejadian baru dengan masalah tauhid”.
Imam al-Fakr al-Razi mengakui bahawa tiada hubung
kait antara sifat qidam pada alam dan
segala kejadian yang baharu – selepas mana
dia menetapkan bahawa Allah sebagai pencipta alam –
dengan persoalan tauhid. Maka apakah
pandangan kamu wahai sekalian orang yang membuat
kajian perkara ini pada zaman sekarang? Perlu
diketahui bahawa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah
menyanggah pendapat Imam al-Fakr al-Razi dengan
pelbagai cara dan mentarjihkan yang sahih,
tetapi saya pindahkan untuk anda semua pandangan
(mereka) dalam hal ini agar anda tahu bahawa umat
manusia – pada zaman dahulu hingga zaman seterusnya
– tidak mengetahui pokok pangkal perbahasan masalah
ini. Hanya Allah yang memberi petunjuk.
Dengan ini nyatalah kepada anda, wahai orang yang
mencari kebenaran, dengan hujah yang boleh
mengubati, bahawa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah
telah difitnah dengan dakwaan palsu yang sengaja
diada-adakan, pendapat-pendapat yang dia tidak
pernah mengatakannya dalam masalah sifat qidam
pada alam. Bahkan saya tidak tahu seorang pun selain
beliau yang bersungguh-sungguh menentang dan
menyanggah pendapat ini (bahawa alam bersifat
qadim). Semoga Allah merahmati beliau dengan
rahmat yang luas.
kandungan
|