Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah:

Beberapa Semakan Teliti Ke Atas Satu Penjelasan (Yang Didakwa) Rapi.
oleh
Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

Kata Pendahuluan

 

Ketika saya sedang menulis buku 36 Kritikan Ke Atas Buku Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya, saya teringat kepada sebuah lagi buku yang kandungannya menyelisihi manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Buku itu ditulis oleh – sebagaimana yang tertera di kulit depannya – al-Sheikh al-Hafiz Abu al-Fadl Abdullah al-Siddiq al-Ghumari (Ulama Ahli Sunnah Wal Jama‘ah, al-Asha‘irah) – dan telah diterjemahkan di Malaysia atas judul Makna Sebenar Bid’ah: Satu Penjelasan Rapi.

Buku ini memiliki dua edisi dari penerbit yang sama. Edisi pertama diterbitkan pada tahun 2005 dan saya memperolehinya dari seorang thalibul ‘ilm (penuntut ilmu agama) bernama Wan Mohd. Eazle bin Mohd. Saufi. Beliau membelinya pada 13 Disember 2005, ketika itu beliau merupakan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya.

Edisi kedua diterbitkan pada tahun 2007 dan saya membelinya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 9 April 2008. Ia lebih besar dan kemas serta memiliki beberapa bab tambahan di dalamnya.

Di kulit depan kedua-dua edisi, ditulis:

Disemak oleh

Dato’ Hj. Mohd Murtadza Hj. Ahmad
(Mufti Negeri Sembilan Darul Khusus)

 

Datuk Hj. Md. Hashim Hj. Yahya
(Bekas Mufti Wilayah Persekutuan/Pensyarah UIAM)

 

Dato’ Haji Saleh Haji Ahmad
(YDP Persatuan Ulama Malaysia/Pensyarah UIAM)

 

Dato’ Dr. Wan Zahidi Wan Teh
(Mufti Wilayah Persekutuan)

Setelah buku di atas diterbitkan, saya mendapat khabar bahawa sekian-sekian pendakwah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah di Malaysia akan menjawabnya. Akan tetapi sehingga lewat 2009, saya tidak mengetahui apa-apa jawapan yang telah mereka tulis dan terbitkan. Mungkin kerana sibuk dengan tugas-tugas lain, mereka tidak sempat menyiapkannya.

Maka mulai bulan November 2009 saya mulakan usaha menulis, yakni memberi catatan ke atas kesalahan dan kekeliruan yang terkandung dalam buku Makna Sebenar Bid’ah: Satu Penjelasan Rapi. Saya judulkan buku saya sebagai Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah: Beberapa Semakan Teliti Ke Atas Satu Penjelasan Yang (Di Dakwa) Rapi.

Pada asalnya bukanlah merupakan kegemaran atau hobi saya untuk menjawab buku yang ditulis oleh orang lain. Saya sendiri pada awalnya agak keberatan untuk memulakan penulisan sebab saya baru sahaja selesai – alhamdulillah – menulis buku 36 Kritikan yang merupakan jawapan ke atas buku Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya.

Namun saya teringat bahawa menjawab buku yang jelas terbukti salah dan keliru dari manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah adalah fardhu kifayah. Memandangkan sejak tahun ia diterbitkan (2005) sehingga kini (2009) buku tersebut masih belum dijawab, saya merasakan seolah-olah menjadi kewajipan saya untuk menjawabnya.

 

Dalam hal ini saya merujuk kepada kata-kata Ibn Taimiyyah rahimahullah:

…seperti imam-imam bid’ah dari kalangan para pemikir yang menyelisihi al-Kitab dan al-Sunnah atau ahli ibadat yang menyelisihi al-Kitab dan al-Sunnah, maka menjelaskan keadaan mereka dan memperingatkan umat berkenaan mereka hukumnya wajib berdasarkan kesepakatan kaum muslimin.

Sehinggakan dikatakan kepada Ahmad bin Hanbal: “Manakah yang lebih engkau suka, seseorang yang berpuasa, solat, dan melakukan iktikaf atau orang yang berbicara tentang (kesalahan) ahli bid’ah?” Beliau menjawab: “Apabila dia berdiri dan solat serta beriktikaf, maka (kebaikannya) tidak lain adalah untuk dirinya sendiri. Namun apabila dia berbicara tentang (kesalahan) ahli bid’ah maka (kebaikannya) tidak lain adalah untuk kaum muslimin, inilah yang lebih utama.”

Imam Ahmad menjelaskan bahawa manfaat dari hal ini (menjelaskan kesalahan ahli bid’ah) mencakupi kaum muslimin demi agama mereka dan ia termasuk salah satu bentuk berjihad di jalan Allah. Ini kerana pembersihan jalan Allah, agama-Nya, manhaj-Nya, syari’at-Nya dengan cara membantah kesalahan dan permusuhan mereka terhadap semua itu, hukumnya adalah fardhu kifayah berdasarkan kesepakatan kaum muslimin.

Sekiranya bukan kerana orang-orang yang Allah tegakkan untuk membantah bahaya mereka (ahli bid’ah), nescaya rosaklah agama ini dan kerosakan tersebut lebih parah berbanding kerosakan yang timbul akibat penjajahan musuh yang memerangi kaum muslimin. Ini kerana jika mereka menguasai kaum muslimin, mereka tidak merosakkan hati atau merosakkan agama kecuali pada kemudian hari. Adapun mereka (ahli bid’ah), maka mereka terus merosakkan hati dengan bid’ah (yang mereka lakukan).[1]

 

Di samping itu, kata-kata Shalih Alu al-Syaikh hafizahullah berikut ini menjadi rujukan:

Perhatian terhadap sunnah dan menyanggah ahli bid’ah, perkara ini sebagaimana kalian ketahui jelas sekali nampak pada sikap para imam agama ini. Kehidupan mereka penuh dengan bantahan terhadap ahli bid’ah dan mereka tidak menyibukkan diri untuk membantah orang-orang kafir tulen dari kalangan Yahudi dan Nasrani.

Jika engkau memperhatikan perkataan Imam Ahmad, Sufyan, Hammad bin Zaid, Hammad bin Salamah, Nu’aim, di mana mereka adalah para imam Ahl al-Sunnah, begitu juga al-Auza’e, Ishaq, ‘Ali bin al-Madini dan yang semisal mereka dari kalangan Ahl al-Sunnah, maka engkau dapati bahawa kebanyakan perkataan dan jihad mereka tertuju kepada sanggahan terhadap ahli bid’ah dalam rangka mematahkan landasan-landasan yang dijadikan pijakan oleh ahli bid’ah tersebut, meskipun ahli bid’ah tersebut masih tetap termasuk kaum muslimin.

Mereka tidak menyibukkan diri untuk membantah Yahudi, Nasrani dan agama lainnya, iaitu orang-orang kafir tulen. Hal ini disebabkan bahaya bid’ah tidak kelihatan oleh kaum muslimin sehingga dibimbangi mereka terkena bahaya tersebut. Adapun orang-orang kafir tulen dari kalangan Yahudi dan Nasrani, maka keburukan dan bahayanya jelas nampak bagi setiap muslim kerana Allah telah menjelaskan hal itu dalam al-Qur’an, ditambah lagi orang-orang kafir tersebut nampak jelas. Adapun ahli bid’ah, maka keburukan mereka banyak (tetapi sukar dikesan kerana tidak jelas).

Maka tidak baik jika dikatakan Ahl al-Sunnah kurang dalam membantah Yahudi dan Nasrani dan mereka sibuk membantah orang-orang Islam. Sebagaimana dilontarkan oleh orang-orang yang mengutamakan akal berbanding dalil dari kalangan al-Mu’tazilah dan lainnya: “Ahl al-Sunnah sibuk membantah orang-orang Islam dan tidak membantah orang-orang kafir dari kalangan Yahudi, Nasrani dan agama-agama lain.”[2]

Penyebabnya adalah sebagaimana yang telah saya jelaskan kepadamu, iaitu ahli bid’ah lebih besar bahayanya kerana mereka masuk dalam barisan kaum muslimin dengan nama Islam. Adapun orang-orang kafir tulen, maka hati kaum muslimin tidak menerima orang-orang Yahudi dan Nasrani. Maka jalan yang ditempoh oleh para imam kaum muslimin sangatlah fokus dalam membantah ahli bid’ah.

Namun ini tidaklah bererti kaum mukminin dari kalangan Ahl al-Sunnah tidak sibuk dalam membantah Yahudi dan Nasrani. Tidaklah demikian. Yang kami sebutkan di sini adalah keistimewaan yang terdapat pada para imam agama Islam dan tentunya membantah setiap orang yang menentang Islam dari kalangan orang-orang kafir tulen dan ahli bid’ah adalah wajib.

Akan tetapi sesiapa yang sibuk membantah ahli bid’ah, maka tidaklah dikatakan kepadanya: “Kenapa engkau meninggalkan Yahudi dan Nasrani? Engkau tidak membantah mereka dan menyibukkan diri dengan membantah ahli bid’ah.” Kita katakan bahawa itulah jalan yang dipilih oleh para imam yang terdahulu.

Oleh kerana itu masing-masing memberikan sanggahan sesuai dengan keahliannya. Di antara kita ada yang menyanggah Yahudi dan Nasrani dan ada juga yang menyanggah ahli bid’ah. Kita semua menjaga kejayaan Islam dari kerancuan yang disusupkan oleh orang-orang yang fikirannya rancu, dari bid’ahnya para ahli bid’ah, sekali gus dari kesesatan orang-orang kafir dari kalangan Yahudi, Nasrani dan selainnya.[3]

 

Seterusnya terdapat beberapa perkara yang ingin saya bawa ke perhatian para pembaca yang budiman sekalian:

 

Pertama:

Di pasaran terdapat beberapa buku yang membicara topik bid’ah dengan kefahaman yang menyelisihi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Namun buku-buku itu tiada yang layak diberi perhatian kerana dalil dan hujahnya amat lemah, tidak memiliki disiplin ilmu yang baik dan penyampaiannya amat tidak bermutu. Berbeza dengan buku Makna Sebenar Bid’ah: Satu Penjelasan Rapi, ia memiliki dalil dan hujah, disiplin ilmu kelihatan baik sementara penyampaiannya kemas. Dalil dan hujahnya lebih power berbanding buku yang lain kerana:

  1. Ia mengupas secara khusus hukum melakukan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

  2. Ia mengemukakan sejumlah dalil bagi membela pembahagian bid’ah kepada baik dan buruk, hasanah dan sayyi’ah.

  3. Ia berhujah dengan sejumlah tindakan para sahabat radhiallahu 'anhum yang memulakan amal ibadat tersendiri pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

  4. Ia berhujah dengan sejumlah riwayat yang menerangkan para sahabat radhiallahu 'anhum memulakan amal ibadat tersendiri selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

  5. Ia membenar dan membolehkan aqidah al-Quburi, iaitu keyakinan wujud keberkatan pada kubur sehingga boleh solat, beribadat dan membina masjid di perkuburan.

  6. Ia menyenaraikan sejumlah ulama’ rahimahumullah yang membolehkan penggunaan hadis dha‘if.

  7. Ia mengemukakan takhrij hadis-hadis yang dijadikan hujah sehingga memberi keyakinan kepada para pembaca bahawa pengarang ialah seorang ahli hadis.

Faktor-faktor di atas menyebabkan buku Makna Sebenar Bid’ah: Satu Penjelasan Rapi lebih patut diberi perhatian bagi menerangkan kesalahan dan kekeliruannya dari manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

 

Kedua:

Pengarang Makna Sebenar Bid’ah: Satu Penjelasan Rapi beberapa kali melancarkan kritikan ke atas seorang tokoh lain bernama al-Albani. Memang, Muhammad bin Nashr al-Din al-Albani rahimahullah adalah tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang tidak disenangi ramai disebabkan usaha gigihnya membanteras bid’ah.

Namun dalam mengusahakan penulisan ini, saya tidak menjawab kritikan-kritikan tersebut kerana saya teringat kepada salah satu pesanan al-Albani rahimahullah:

Kalian, wahai kaum muslimin yang tidak berilmu yang bukan termasuk Ahl al-Zikr (ulama’), yang wajib bagi kalian adalah bertanya kepada ulama’. Bukan kewajipan kalian untuk taksub kepada salah satu individu dari ulama’ tersebut kecuali taksub kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang telah disifati oleh Allah dengan penyifatan yang benar:

Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. [al-Najm 53:3-4]

Dalam kesempatan ini hendaklah kita saling mengingatkan bahawa seorang alim atau da’i atau siapapun jua orangnya, tidak mungkin kita katakan bahawa dia maksum (terjaga dari kesalahan), dan tidak mungkin kita nyatakan bahawa dia tidak akan mengikuti hawa nafsunya meskipun hanya dalam satu permasalahan.

Oleh kerana itu janganlah engkau wahai kaum muslimin mengikat jalan hidupmu dengan salah seorang individu dari ulama’ tersebut atau dengan salah seorang da’i kerana dua perkara:

1.     Merupakan perkara yang pasti berlaku kepada siapa saja selain Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam iaitu terjatuh ke dalam kesalahan.

2.     Masih menjadi kemungkinan iaitu ulama’ atau da’i tersebut telah mengetahui kebenaran namun dia mengikuti hawa nafsunya, maka dia berfatwa tanpa ilmu lalu menyelisihi kebenaran yang diketahuinya.

Oleh kerana itu tidak boleh bagi orang awam dari kaum muslimin untuk taksub kepada seorang da’i dalam rangka membantah da’i yang lain. Namun perkaranya sebagaimana firman Allah dalam al-Qur’an al-Karim yang dengan firman Allah ini saya menutup jawapan permasalahan ini, iaitu firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar. [al-Taubah 9:119][4]

 

Ketiga:

Dalam rangka menjawab buku Makna Sebenar Bid’ah: Satu Penjelasan Rapi, saya menempoh beberapa strategi dan cara, iaitu:

  1. Ketika merujuk kepada buku terbabit, saya menggunakan singkatan MSBSPR yang bermaksud Makna Sebenar Bid’ah: Satu Penjelasan Rapi.

  2. Saya tidak memberi fokus kepada siapa yang menulis tetapi kepada apa yang ditulis. Maka ketika menjawab sesuatu hujah, saya tidak menyebut nama Abdullah al-Siddiq al-Ghumari, sebaliknya hanya menyebut “Pengarang MSBSPR berkata……”.

  3. Apabila saya menulis “MSBSPR 34”, ia merujuk kepada edisi kedua buku Makna Sebenar Bid’ah: Satu Penjelasan Rapi, mukasurat 34. Para pembaca yang memiliki edisi pertama boleh juga menggunakan rujukan yang sama kerana perbezaan hanya melibatkan satu atau dua mukasurat.

  4. Apabila menukil perkataan pengarang MSBSPR, saya menggunakan font Times New Roman. Apabila menukil kata-kata tokoh dan ulama’, saya menggunakan font Comic Sans. Adapun perkataan saya sendiri, ia menggunakan font Verdana. Semua ini diharapkan dapat memudahkan para pembaca memahami buku ini.

  5. Saya tidak menjawab keseluruhan buku MSBSPR, sebaliknya hanya ke atas hujah-hujah yang membentuk dasarnya. Berdasarkan strategi ini, apabila hujah dasar telah diruntuhkan, maka runtuhlah juga hujah-hujah cabang yang mengikutinya. Ini adalah strategi sama yang saya gunakan untuk menjawab aliran Syi‘ah dan Anti-Hadis.

  6. Dalam rangka menjawab buku MSBSPR, saya menjawab apa yang ditulis oleh pengarangnya: Abdullah al-Siddiq al-Ghumari. Saya tidak menjawab penterjemahnya: Muhammad Ramzi Omar. Malah saya memuji beliau kerana berjaya menghasilkan kualiti terjemahan yang amat baik. Sama-sama kita ketahui bahawa bukanlah mudah untuk menterjemahkan bahasa arab kepada bahasa melayu. Atas nota yang sama, saya agak hairan mengapa nama beliau hanya dinyatakan dalam edisi pertama MSBSPR, tidak di dalam edisi kedua.

  7. Memandangkan buku MSBSPR ialah hasil terjemahan, maka saya juga memperbanyakkan rujukan dari sumber terjemahan. Ini saya sengajakan kerana (Pertama) ketepatan terjemahan bukan satu isu dalam buku MSBSPR dan (Kedua) untuk memberi keyakinan kepada para pembaca yang belum mahir dalam bahasa Arab bahawa rujukan dari sumber terjemahan adalah cukup untuk menjawab hujah para penyokong bid’ah.

  8. Penomboran bab buku ini adalah berdasarkan tarikh, merujuk kepada tarikh saya menulis bab tersebut. Apabila pulang dari tugas penerbangan saya akan memanfaatkan hari-hari rehat untuk mengkaji satu topik atau bab dalam buku MSBSPR, lalu kemudian memberi catatan atas kesalahan dan kekeliruan bab tersebut.

     

    Format penomboran ini saya sengajakan demi memberi motivasi kepada para pembaca yang minat untuk menulis, bahawa anda tidak semestinya menjadi penulis sepenuh masa atau memiliki jadual menulis tertentu untuk menghasilkan sebuah buku. Tulislah apabila anda berkesempatan di celah-celah kesibukan masa bekerja dan bersama keluarga.

  1. Sebahagian penomboran hadis saya tanda dengan huruf MS sesudahnya, umpama “hadis no: 1931MS”. Huruf MS merujuk kepada perisian Maktabah Syamilah, maka hadis no: 1931 adalah berdasar penomboran dalam perisian Maktabah Syamilah. Perisian ini memiliki tertib penomboran tersendiri yang berbeza dari edisi bercetak, maka saya merasakan perlu memberitahu perbezaan ini bagi memudahkan rujukan semula oleh para pembaca sekalian.

 

Akhir kata, saya berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar buku ini berjaya dalam misinya menjaga ketulenan agama Islam. Ini kerana antara tujuan utama Islam melarang bid’ah ialah supaya ketulenan agama sentiasa terjaga sehingga Hari Kiamat. Sementara tujuan utama para penyokong bid’ah – terlepas sama ada mereka menyedarinya atau tidak – ialah mencemari dan merosakkan ketulenan tersebut agar Islam selari dengan fikiran dan nafsu mereka.

Buku ini tentu saja tidak sepi dari kesalahan dan kekurangan. Maka apa-apa pembetulan dan teguran serta nasihat pembaikan dari pembaca sekalian amat dialu-alukan. Saya sedar bahawa dalam rangka menjawab buku MSBSPR, tidaklah bererti ilmu yang ada pada diri saya adalah sempurna lagi lengkap. Ia masih terbuka kepada pelbagai kelemahan dan kekurangan. Maka bantuan dari pembaca sekalian amat saya hargai dan semoga Allah membalasnya dengan ganjaran yang sebaik-baiknya.

Tidak dilupakan, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli keluarga yang memberi kemudahan dan kelapangan untuk saya mengkaji dan menulis. Juga kepada rakan-rakan yang sudi menyemak dan membaca pruf sehingga buku ini menjadi lebih baik dari apa yang asalnya saya tulis. Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala membalas segala usaha kalian.

 

Hafiz Firdaus bin Abdullah
4 Mac 2010

 

 


[1]  Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa, Kaherah, 2001), jld. 28, ms. 231-232.

[2] Ini adalah perkataan yang sama di kalangan sebahagian orang di Malaysia, di mana mereka menyindir: “Para pendakwah Ahl al-Sunnah lebih memberi tumpuan kepada bid’ah berbanding maksiat.” Kami berkata, maksiat dan bid’ah sama-sama salah. Akan tetapi maksiat umpama berzina, minum arak, makan yang tidak halal dan berjudi diketahui ramai dan orang yang melakukan maksiat mengetahui dia sedang melanggar perintah Allah. Berbeza dengan bid’ah, ia tersembunyi bahkan kelihatan seolah-olah termasuk dalam agama Islam sementara orang yang melakukannya tidak mengetahui bahawa dia sedang melanggar perintah Allah. Lebih dari itu maksiat hanya merosakkan pengamalnya manakala bid’ah merosakkan agama dan pengamalnya. Justeru sudah tentu bid’ah lebih penting untuk diberi perhatian berbanding maksiat.

[3] Dinukil dari buku Firanda Ibnu ‘Abidin berjudul Lerai Pertikaian, Sudahi Pemusuhan: Menyikapi Fenomena Hajr di Indonesia (Pustaka Cahaya Islam, Bogor, 2006), ms. 209-210 dengan beberapa suntingan bahasa dan penjelasan tambahan dalam kurungan. Rujukan ini seterusnya diringkaskan sebagai Lerai Pertikaian sahaja.

[4] Silsilah al-Huda wa al-Nur, kaset no: 779 yang dirakam pada 26 Januari 1994. Dinukil dari buku Lerai Pertikaian, ms. 236-237 dengan beberapa suntingan bahasa dan penjelasan tambahan dalam kurungan.