Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah:

Beberapa Semakan Teliti Ke Atas Satu Penjelasan (Yang Didakwa) Rapi.
oleh
Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

13 Jan 2010:

al-Nawawi, Imam Yang Dihormati

 

 

 

Dalam kupasan sebelum ini, telah dijelaskan bahawa istilah-istilah al-Qur’an dan al-Sunnah memiliki perincian, pembatasan dan pengkhususan. Seterusnya, perkara penting yang perlu diperhatikan ialah menentukan serta membezakan apakah sesuatu istilah itu memiliki perincian atau pembatasan atau pengkhususan.

Antara yang perlu diperhatikan ialah hadis berikut:

 

فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ

 

وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ.

 

Maka sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitab Allah (al-Qur’an) sementara sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad. Seburuk-buruk urusan ialah perkara yang baru diada-adakan dan setiap bid’ah adalah sesat.[1]

 

al-Nawawi rahimahullah (676H) berpendapat sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam “…setiap bid’ah adalah sesat” adalah istilah umum yang memiliki pengkhususan. Beliau berkata, sebagaimana yang dinukil oleh pengarang MSBSPR 14-15:

 

Sabda baginda s.a.w. yang menyebutkan “Setiap yang bid‘ah adalah sesat”, merupakan perkataan yang umum dan dikhususkan (melalui tafsiran oleh sumber syarak yang lain). Yang dimaksudkan dengan bid’ah yang sesat dalam hadith ini ialah secara kebiasaannya. Ahli bahasa arab menyebutkan: Bid’ah (dari sudut bahasa) bermaksud setiap perkara yang dilakukan tanpa dipedomani kepada contoh yang sebelumnya. Para ulama menyebutkan: Bid’ah terbahagi kepada lima bahagian, iaitu;

 

Wajib:

Antara contoh bid’ah yang wajib ialah: Menyusun dalil-dalil oleh ulama kalam usaha menolak hujah-hujah yang dikemukakan oleh golongan mulhid (mengingkari ketuhanan), ahli bid‘ah dan golongan yang seumpama mereka.

 

Sunat:

Contoh bid‘ah yang sunat ialah seperti mengarang kitab-kitab ilmu, membina sekolah, kem-kem tentera dan selainnya.

 

Harus:

Contoh bid‘ah yang harus seperti menikmati pelbagai jenis makanan serta lainnya.

 

Haram & Makruh:

Bid‘ah yang haram dan makruh adalah jelas. Berdasarkan apa yang telah disebutkan, dapatlah diketahui bahawa hadis yang menyentuh tentang bid’ah ini merupakan hadis yang umum dan perlu dikhususkan. Begitu juga hadith-hadith lain yang seumpamanya. Hal ini ditegaskan lagi melalui kata-kata Umar r.a:

نِعْمَتِ الْبِدْعَةُ هَذِهِ

Maksudnya:

Sebaik-baik bid’ah ialah yang ini.

 

Walaupun hadis terbabit disebutkan dalam bentuk penegasan melalui perkataan كل (semua/setiap) namun tidak ada halangan untuk mengatakan hadith tersebut adalah hadith yang umum dan dikhususkan oleh nas-nas yang lain. Malah dengan kewujudan perkataan terbabit (kesemua) hadith terbabit mempunyai ruang untuk dikhususkan. Contohnya seperti firman Allah yang menyebutkan:

Maksudnya:

Yang menghancur leburkan segala-galanya…… (al-Ahqaf: 25)

 

(Walaupun ayat menyebutkan setiap sesuatu dibinasakan namun masih terdapat benda-benda lain yang tidak binasa, dan benda yang tidak binasa itulah dimaksudkan sebagai perkara yang dikhususkan (dikecualikan) daripada keumuman nas terbabit -penterjemah-).[2]

 

Sekalipun al-Nawawi ialah imam yang kita hormati, tidaklah bererti pendapatnya tidak boleh kita analisa dan kritik. Pendapat beliau di atas, bahawa hadis “…setiap bid’ah adalah sesat” adalah istilah umum yang memiliki pengkhususan telah dibantah oleh al-Syathibi rahimahullah (790H). Setelah mengemukakan pelbagai ayat al-Qur’an, hadis-hadis dan atsar tokoh al-Salaf al-Shalih, al-Syathibi berhujah:

 

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku yang disayangi Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dalil-dalil yang telah dikemukakan adalah bukti umum pencelaan terhadap bid’ah dari beberapa segi:

 

Pertama:

Dalil-dalil yang berjumlah sangat banyak datang dalam bentuk mutlak lagi umum yang tidak terdapat pengecualian sehingga di dalamnya tidak ada sesuatu yang menunjukkan bahawa sebahagian bid’ah termasuk mendapatkan petunjuk. Juga tidak ada keterangan atau ungkapan yang menunjukkan (pengecualian, seperti): “Setiap bid’ah adalah sesat kecuali ini dan ini…” atau ungkapan-ungkapan lain yang seumpama itu.

Seandainya pada sesuatu yang dibuat-buat (bid’ah) ada yang dianggap memiliki sisi kebaikan atau boleh dimasukkan ke dalam syari’at, maka hal itu pasti disebut dalam al-Qur’an atau hadis. Namun pada kenyataannya tidak demikian. Justeru maka yang dimaksudkan (oleh nas-nas melarang bid’ah) adalah seluruhnya; hakikat yang jelas lagi umum yang tidak meninggalkan satu sisi jua dari bahagiannya (untuk ditafsirkan sebagai memiliki pengecualian atau pengkhususan).

 

Kedua:

Telah ditetapkan pada dasar-dasar ilmiah bahawa setiap kaedah umum atau dalil syari’at yang umum, apabila diulang-ulang dalam bentuk yang banyak dan memiliki penguat berdasarkan makna dasar dan cabangnya, kemudian hal tersebut tidak memiliki apa-apa bentuk batasan atau pengkhususan dengan cara mengulang atau mengembalikannya, maka ia menunjukkan bahawa dalil itu tetap sebagaimana lafaznya yang umum, seperti ungkapan dalam firman Allah, “Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan apa yang diusahakannya.” (al-Najm 53: 38-39] dan ayat lain yang sepertinya.

Untuk menguatkan hal tersebut dengan cara memaparkan dalil-dalil bukanlah termasuk wilayah kami, namun ia telah banyak disebutkan dalam hadis dan telah diulang-ulang penyebutannya yang disesuaikan dengan suasana dan waktu yang berbeza, misalnya: Setiap bid’ah adalah sesat dan setiap hal yang baru dalam agama adalah bid’ah, serta ungkapan lain seumpamanya. (Semua ini) menyatakan bahawa setiap bid’ah adalah tercela sehingga kita tidak menemui satu ayat atau hadis jua yang membatasi dan mengkhususkannya ke bentuk yang lain, yang difahami sebagai menyelisihi keumuman tersebut. Dengan itu, ini merupakan hujah yang jelas bahawa ia tetap bermakna sebagaimana lafaz dan susunan kalimahnya yang umum dan mutlak.

 

Ketiga:

Ijma’ al-Salaf al-Shalih daripada para sahabat, tabi’in dan para ulama’ setelah mereka atas tercelanya bid’ah dan kewajipan untuk tidak mengikuti perbuatan bid’ah serta menjauhkan diri dari orang yang memiliki kaitan dengan bid’ah. Pada (kesepakatan ini) tidak ada pembatasan atau pengecualian, sebab ia adalah ijma’ yang sabit (kesepakatan yang tetap). Jadi, tiada satu jua bid’ah yang benar melainkan semuanya batil.

 

Keempat:

Sesungguhnya orang yang menjadi pelopor munculnya bid’ah adalah orang yang (melakukan sesuatu yang) tidak bersesuaian dengan jiwanya, kerana bid’ah adalah bahagian dari hal yang melanggar ketentuan pembuat syari’at (Allah) atau yang mengenepikan syari’at (padahal syari’at yang tulen ini sentiasa bersesuaian dengan jiwa yang sihat). Justeru mustahil bid’ah terbahagi menjadi hal yang baik dan buruk atau terpuji dan tercela kerana menurut akal dan dalil dari al-Qur’an serta hadis, tidak sah membuat sesuatu yang menjadi kerosakan bagi syari’at menjadi sesuatu yang baik. Hal ini telah diterangkan dalam bab kedua (kitab al-I’tisham).

Tidak boleh dibayangkan seandainya di dalam al-Qur’an dan hadis ada sebahagian nas yang menjadikan sebahagian dari bid’ah itu benar atau menghindarkan sebahagian bid’ah dari celaan (sehingga ia menjadi terpuji), sebab bid’ah adalah suatu perkara yang menyerupai syari’at namun ia bukan syari’at. Jika pembuat syari’at (Allah) menganggapnya sebagai satu kebaikan, maka hal itu menunjukkan bahawa bid’ah adalah bahagian dari syari’at (sehingga tidak perlu digelar bid’ah). Jika pembuat syari’at mengatakan bahawa pembaharuan yang dilakukan oleh si-fulan adalah baik, maka pembaharuan itu secara terus menjadi syari’at (sehingga tidak perlu digelar bid’ah).[3]

 

Ringkasnya apa yang diperhujahkan oleh al-Syathibi adalah, dalil-dalil yang melarang serta mencela bid’ah semuanya dalam bentuk yang umum lagi mutlak. Pada waktu yang sama tidak wujud dalil-dalil yang membatas atau mengecualikan dalil-dalil itu. Maka tidaklah tepat untuk dikatakan bahawa wujud pembatasan atau pengecualian ke atas dalil-dalil bid’ah sehingga ia dapat dibahagikan kepada beberapa kategori umpama wajib, haram, terpuji, tercela dan seterusnya.

Jika sesuatu perkara yang dilakukan itu memiliki dalil atau sandaran dari al-Qur’an dan/atau al-Sunnah serta dalil-dalil syari’at yang lain seperti al-Qiyas, al-Ijma dan sebagainya, maka ia tidak digelar sebagai bid’ah, tidak duduk dalam kupasan bid’ah dan tidak dimasukkan dalam kategori bid’ah. Misalnya menyusun dalil bagi membantah golongan mulhid yang mengingkari ketuhanan, ia tidak digelar sebagai bid’ah wajib kerana sedia memiliki dalil dan sandaran, iaitu firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah. [al-Nahl 16:125]

 

Adapun menulis kitab-kitab ilmu, maka ia tidak digelar sebagai bid’ah sunat kerana sedia memiliki dalil dan sandaran, iaitu hadis berikut daripada ‘Abd Allah bin ‘Amr radhiallahu ‘anh:

Aku biasa menulis segala yang aku dengar daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk aku hafalkan. Lalu kaum Quraish menegahku dengan berkata:

“Apakah kamu menulis segala sesuatu padahal Rasulullah seorang manusia yang berbicara pada waktu marah dan tenang?”

Maka aku berhenti sebentar dari menulis sehingga aku menyebutkan hal ini kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda memberi isyarat kepada mulutnya lalu bersabda:

 

اكْتُبْ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا يَخْرُجُ مِنْهُ إِلاَّ حَقٌّ.

 

Tulislah! Demi Dzat yang jiwaku berada di Tangan-Nya, tiadalah yang keluar dari (mulut ini) kecuali yang hak (yakni yang benar). [4]

 

Sementara memakan pelbagai jenis makanan, maka ia tidak digelar sebagai bid’ah harus kerana sedia memiliki dalil dan sandaran, iaitu hadis berikut yang telah dikemukakan sebelum ini:

Khalid bin al-Walid radhiallahu 'anh menerangkan:

 

أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِضَبٍّ مَشْوِيٍّ فَأَهْوَى إِلَيْهِ لِيَأْكُلَ

 

فَقِيلَ لَهُ: إِنَّهُ ضَبٌّ. فَأَمْسَكَ يَدَهُ فَقَالَ خَالِدٌ: أَحَرَامٌ هُوَ؟

 

قَالَ: لاَ وَلَكِنَّهُ لاَ يَكُونُ بِأَرْضِ قَوْمِي فَأَجِدُنِي أَعَافُهُ.

 

فَأَكَلَ خَالِدٌ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْظُرُ.

 

Dihidangkan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dhab yang dipanggang. Maka baginda menghulurkan tangan kepadanya untuk dimakan, lalu dikatakan kepada baginda: “Sesungguhnya ia adalah dhab.” Lalu baginda menarik tangannya, maka berkata Khalid: “Apakah ia haram?”

Rasulullah menjawab: “Tidak, akan tetapi ia tidak terdapat di tempat kaumku dan aku mendapati diriku tidak berselera terhadapnya.”

Maka Khalid makan (dhab itu) sementara Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memerhatikannya.[5]

 

Merujuk kepada kata-kata ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu ‘anh: “Sebaik-baik bid’ah ialah yang ini”, penjelasan Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah berikut ini menjadi kajian:

Sebahagian ulama’ menjawab, bahawa jenis bid’ah yang beliau ucapkan ialah bid’ah secara bahasa, bukan secara syar’i. Akan tetapi jawapan ini (menurut saya) kurang tepat. Bagaimana mungkin dikatakan bid’ah secara bahasa padahal yang beliau maksudkan ialah solat?

Yang benar, ia bid’ah nisbiyyah (menghubungkan), yakni dihubungkan kepada (satu tempoh waktu sebelum itu di mana) telah ditinggalkannya amalan solat Tarawih dengan satu imam. (Ia tidak dikatakan bid’ah secara mutlak) disebabkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan orang pertama yang mensunnahkan solat Tarawih dengan satu imam. Baginda pernah solat (Tarawih) bersama para sahabatnya selama tiga hari pada bulan Ramadhan, kemudian baginda tidak melakukannya lagi kerana bimbang ia dianggap wajib. Akhirnya sunnah ini ditinggalkan sehingga para sahabat ke masjid solat bersendirian, berdua, bertiga, secara berkelompok (dengan imam masing-masing).

Melihat keadaan ini, ‘Umar radhiallahu ‘anh dengan kepimpinannya yang cerdas berkeinginan mengembalikan mereka kepada sunnah pertama. Iaitu solat Tarawih dengan satu imam (kerana tidak ada lagi kebimbangan akan dijadikan wajib). Lalu beliau mengumpulkan mereka (jamaah-jamaah di masjid) dengan melantik Tamim al-Dari dan ‘Ubay bin Ka’ab radhiallahu ‘anhuma sebagai imam. Beliau memerintahkan mereka berdua untuk mengimami (solat Tarawih secara) berjamaah dengan sebelas rakaat (Musannaf Ibn Abi Syaibah, no: 7671). Ini sebagaimana amalan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang tidak melakukannya lebih dari sebelas rakaat, baik pada bulan Ramadhan mahupun selainnya (Shahih al-Bukhari, no: 736).

Maka makna perkataan ‘Umar: “Sebaik-baik bid’ah ialah yang ini” ialah bid’ah nisbiyyah, ertinya dihubungkan kepada tempoh masa apabila telah ditinggalkannya sunnah ini, iaitu dari masa akhir hidup Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, masa pemerintahan Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh sehinggalah awal dari masa ‘Umar radhiallahu ‘anh. Kami katakan seperti ini sebab kami yakin bahawa setiap bid’ah adalah kesesatan.[6]

 

Secara mudah, bid’ah ialah melakukan sesuatu yang tidak ada contoh sebelumnya dari dalil-dalil syari’at. Bid’ah nisbiyyah ialah melakukan sesuatu yang memiliki contoh sebelumnya dari dalil-dalil syari’at tetapi telah ditinggalkan pengamalannya untuk satu tempoh tertentu. Maka bid’ah nisbiyyah tidak termasuk dalam kategori bid’ah dan ia juga bukan hujah untuk membahagikan bid’ah kepada yang baik dan buruk, tercela dan terpuji.

Sebagai contoh, apabila seorang imam di Malaysia mengajar zikir kepada makmum sebaik sahaja selepas solat fardhu sebagai berikut:

 

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ, أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ‏,أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ‏, اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ

 

وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ‏.

 

ia boleh disebut sebagai bid’ah nisbiyyah. Ia bukan bid’ah kerana zikir di atas sabit melalui hadis yang sahih, sebagaimana yang telah dikemukakan sebelum ini. Namun oleh kerana ia telah ditinggalkan pengamalannya oleh orang ramai untuk satu tempoh tertentu, ia disebut sebagai bid’ah nisbiyyah.

Terakhir dalam kita menganalisa pendapat al-Nawawi rahimahullah ialah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Yang menghancur leburkan segala-galanya… [al-Ahqaf 46:25]

 

Ayat ini bukanlah contoh yang baik untuk membuktikan bahawa nas-nas yang melarang dan mencela bid’ah memiliki pembatasan dan pengecualian. Ini kerana nas-nas tersebut sememangnya tidak memiliki pembatasan dan pengecualian sementara ayat 25 surah al-Ahqaf di atas memilikinya, iaitu dengan merujuk kepada keseluruhan ayat:

Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya". (Setelah azab itu menimpa mereka) maka menjadilah mereka (punah-ranah), tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa. [al-Ahqaf 46:25]

 

Perkataan كل telah dikecualikan oleh perkataan إلا dalam ayat itu sendiri, bererti segala-galanya hancur lebur dengan pengecualian tempat-tempat tinggal mereka. Kesan-kesan tempat tinggal mereka sengaja Allah biarkan agar dapat dijadikan sumber iktibar oleh orang yang melihat kawasan itu.

Adapun nas-nas yang melarang dan mencela bid’ah, tidak ditemui petunjuk (qarinah) yang secara jelas lagi padu (qath’e) membataskannya atau mengecualikannya. Pengarang MSBSPR dalam penulisan beliau seterusnya ada mengemukakan beberapa hadis yang dianggapnya membatas dan mengecualikan keumuman nas bid’ah. Hadis-hadis itu akan kita kaji dalam kupasan akan datang insya-Allah.

 

 

Catatan Tambahan.

Terkenal di kalangan para penyokong bid’ah dalam rangka mereka ingin mendakwa perkataan كل tidak bermasuk “setiap”, mereka mengemukakan ayat berikut:

Tiap-tiap diri akan merasai mati. [al-Anbiya’ 21:35 dan al-Ankabut 29:57]

 

Berdasarkan ayat ini, mereka mendakwa seandainya كل bermaksud “setiap”, nescaya Allah juga akan merasa mati. Ini mustahil, maka mereka menjadikan kes ini sebagai hujah bahawa كل tidak semestinya bererti “setiap”.

Dakwaan ini dapat dijawab sebagai berikut:

 

Pertama:

Ayat 35 surah al-Anbiya’ dan ayat 57 surah al-Ankabut tidak merujuk kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana kedua-dua ayat menggunakan perkataan “nafs” yang bererti jiwa. Ia sebenarnya merujuk kepada manusia kerana manusia memiliki jiwa sementara Maha Suci Allah dari memiliki sifat umpama manusia.

 

Kedua:

Jika dirujuk kepada keseluruhan ayat, akan juga difahami bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak termasuk dalam “setiap” yang akan merasai mati kerana sambungan ayat menerangkan bahawa setiap jiwa itu akan dikembalikan kepada-Nya. Bererti Allah tidak termasuk dalam perbicaraan ayat. Berikut dikemukakan keseluruhan ayat:

Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. [al-Anbiya’ 21:35]

Tiap-tiap diri akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami. [al-Ankabut 29:57]

 

Ketiga:

Seandainya dikatakan “nafs” dalam ayat 35 surah al-Anbiya’ dan ayat 57 surah al-Ankabut boleh merujuk kepada Allah, maka ayat-ayat berikut mengecualikan Allah dari turut serta dalam maksud “setiap” itu:

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya. [al-Baqarah 2:255]

Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa, Dan akan kekallah Wajah Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan. [al-Rahman 55:26-27]

 

Tiga jawapan di atas mematahkan hujah para penyokong bid’ah yang cuba membuat tafsiran tersendiri terhadap perkataan كل. Apa yang benar adalah, perkataan كل bermaksud “setiap” melainkan wujud nas lain yang secara tepat mengecualikannya.


 

 


[1] Sahih: Sebahagian dari hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 867 (Kitab al-Jumu’ah, Bab meringankan solat dan khutbah).

[2] Terdapat beberapa peringkasan dalam nukilan ini. Saya tidak pasti sama ada ia diringkaskan oleh pengarang atau penterjemah. Namun tidak ada perubahan maksud atau hukum. Sila rujuk al-Minhaj Syarh Shahih Muslim bin al-Hajjaj, jld. 4, ms. 177, syarah untuk hadis no: 867.

[3]  al-I’tisham (edisi terjemahan oleh Shalahuddin Sabki dan rakan-rakan atas judul yang sama; Pustaka Azzam, Jakarta, 2006), ms. 151-153 dengan beberapa suntingan bahasa dan penjelasan tambahan dalam kurungan. Bagi edisi arab, rujuk al-I’tisham (tahqiq: Ahmad ‘Abd al-Syafi, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut), ms. 104-105 (Bab ketiga, berkenaan dicelanya bid’ah dan perkara baru secara umum…). Sengaja dikemukakan nukilan dari edisi terjemahan untuk memperkenalkan para pembaca yang kurang mahir dalam bahasa arab kepada kitab yang amat bernilai ini.

[4]  Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3646 (Kitab al-‘Ilm, Bab menulis ilmu).

[5]  Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 5400 (Kitab al-Ath‘imah, Bab daging panggang dan firman Allah…).

[6]  Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah (edisi terjemahan oleh Sirojuddin Hasan Bashri atas judul Syarah Hadits Arba’in; Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta, 2008), ms. 427-428 dengan beberapa suntingan bahasa dan penjelasan tambahan dalam kurungan.