Kata Penutup

 

Setiap kali kita membeli sebuah alat elektronik, syarikat yang membuatnya (manufacturer) pasti menyertakan sebuah buku Panduan Pengguna atau Operations Manual. Di dalamnya diterangkan cara-cara menggunakan alat elektronik tersebut dengan cara yang selamat, betul dan efisyen.

Sekalipun disertakan buku Panduan Pengguna, sebahagian kita terus menggunakan alat elektronik tersebut tanpa merujuk kepadanya. Kita menggunakan alat tersebut berdasarkan pengalaman serta “cuba dan lihat”. Adakalanya kita berjaya atau sangka kita berjaya, tanpa dibezakan adakah cara penggunaan kita adalah selamat, betul dan efisyen.

Demikianlah juga dengan kehidupan kita di dunia ini. Yang mencipta manusia, yakni Allah Subhanahu wa Ta‘ala, telah menyertakan sebuah buku panduan iaitu kitab al-Qur’an. Tidak sekadar itu, Allah juga telah mengutus seorang yang menjelaskan buku panduan tersebut dan mengajar bagaimana mempraktikkannya dalam kehidupan sehari-harian. Pengajar tersebut ialah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Bersama kitab al-Qur’an dan sunnah Rasulullah, manusia akan dapat menjalani kehidupannya di dunia dengan selamat, efisyen dan betul.

Sayang sekali terdapat sebahagian manusia yang menjalani kehidupan dunia tanpa merujuk kepada buku panduannya dan guru yang diutus bersamanya. Mereka menjalani kehidupan berdasarkan pengalaman serta “cuba dan lihat”. Mereka sangka mereka mampu memperoleh kejayaan dengan cara ini. Akan tetapi yang benar mereka sendiri masih tercari-cari apakah maksud kejayaan yang sebenar dan bagaimana memperolehnya dengan selamat, betul dan efisyen.

      Selagi mana pencarian tersebut ditujukan daripada kalangan manusia, selagi itulah jawapan yang diperolehnya adalah tidak tepat, malah adakalanya tersasar jauh. Yang benar, pencarian tersebut hendaklah ditujukan kepada yang mencipta manusia itu sendiri, yakni Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh itu marilah kita memberi keutamaan kepada buku panduan dan guru yang diutus oleh pencipta manusia, yakni kitab al-Qur’an dan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

 

:: Al-Firdaus :: Indeks ::