Bab 1:Berkenalan Dengan al-Qur’an

 

1. Al-Qur’an adalah petunjuk kepada orang bertaqwa

 

2. Al-Qur’an adalah cahaya yang menerangi

 

3. Al-Qur’an adalah pembeza antara yang benar dan salah

 

4. Al-Qur’an adalah “Roh” yang memberi kehidupan

 

5. Al-Qur’an adalah kunci kemuliaan

 

6. Al-Qur’an memperkenalkan kita kepada Allah

 

 

 

 

Alhamdulillah, majoriti umat Islam menghormati al-Qur’an sebagai sebuah kitab suci. Akan tetapi sayang sekali boleh dikatakan bahawa penghormatan kepada al-Qur’an adalah sesuatu yang dilakukan tanpa menelaah kandungannya, jauh sekali daripada mempraktikkannya. Sejak kecil kita diajar untuk menghormati al-Qur’an semata-mata kerana ia adalah al-Qur’an, bukan kerana pengetahuan tentang apakah al-Qur’an dan peranannya kepada kita sebagai seorang Islam. Sekali-sekala kita mempraktikkan al-Qur’an, namun yang dipraktikkan bukanlah ajarannya tetapi ayat-ayatnya yang diperalatkan untuk tujuan tertentu seperti hiasan dalam rumah, menghalau gangguan makhluk ghaib, melariskan jualan, menyembuhkan penyakit, lulus peperiksaan, memagari rumah dan pelbagai lagi.

Sememangnya tidak salah untuk menghormati al-Qur’an kerana ia adalah al-Qur’an tetapi jika penghormatan ini didasarkan kepada sikap menelaah dan mempraktikkan kandungannya, ia akan lebih bermakna dan bermanfaat untuk kita semua. Lebih dari itu, dengan menelaah dan mempraktikkan kandungan al-Qur’an, kita sebenarnya mencapai tujuan asal al-Qur’an diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Para ilmuan telah menggariskan bahawa yang dituntut ke atas kita terhadap al-Qur’an adalah:

1. Beriman kepadanya.

2. Membacanya dengan disiplin tajwid sekadar mampu.[1]

3. Menelaahnya, yakni memerhati dan mengkaji kandungannya (tadabbur).

4. Mempraktikkannya dalam segala liku kehidupan.

5. Menyampaikannya sama ada untuk tujuan dakwah atau menegakkan hujah.

6. Membelanya daripada tuduhan orientalis dan penyelewengan segelintir umat Islam.

Daripada enam tuntutan ini, empat yang pertama dituntut ke atas semua umat Islam. Apabila seseorang itu telah menguasai empat yang pertama, maka dituntut ke atasnya dua yang selebihnya. Sehingga kini boleh dikatakan bahawa majoriti umat Islam telah menunaikan dua tuntutan yang pertama. Kita beriman kepada al-Qur’an dan belajar cara membacanya berdasarkan disiplin tajwid yang betul. Akan tetapi, sepertimana yang disebut di permulaan bab ini, kita masih jauh daripada menelaah kandungan al-Qur’an, apatah lagi mempraktikkannya.

Oleh itu melalui bab yang pertama ini, penulis akan cuba menarik perhatian para pembaca ke arah menelaah al-Qur’an sehingga kepada mempraktikkannya. Akan tetapi sebelum itu penulis ingin memperkenalkan al-Qur’an kepada para pembaca sekalian. Ini kerana tanpa berkenalan dengan al-Qur’an, kita tidak akan tahu apakah yang hendak ditelaah daripadanya. Tanpa mengetahui apa yang hendak ditelaah daripada al-Qur’an, kita tidak akan tahu apa yang hendak diamalkan daripadanya. Oleh itu marilah kita terlebih dahulu berkenalan dengan al-Qur’an dengan merujuk kepada al-Qur’an itu sendiri.

 

1) Al-Qur’an adalah petunjuk kepada orang bertaqwa:

Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. [al-Baqarah 2:1-2]

Dalam ayat di atas yang merupakan antara ayat pertama di dalam al-Qur’an, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan bahawa al-Qur’an adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Kepentingan peranan “petunjuk” yang dimainkan oleh al-Qur’an boleh kita umpamakan sebagai seseorang yang mencari-cari jalan di dalam kesesakan bandar. Terdapat pelbagai jalan, di antaranya ada yang mudah dan sukar, ada yang pendek dan panjang, ada yang lurus dan berliku-liku, ada yang selamat dan merbahaya. Maka di dalam kepelbagaian ini, dia sangat-sangat memerlukan petunjuk untuk menunjuknya jalan yang paling mudah, pendek, lurus dan selamat. Yang penting ia menunjuk kepada jalan yang dapat membawa kepada destinasi yang sebenar.

Demikianlah peranan al-Qur’an. Ia adalah petunjuk yang menunjuk kita ke jalan yang mudah, pendek, lurus dan selamat daripada segala kesesakan, cabaran dan liku-liku kehidupan. Tanpa petunjuk al-Qur’an, kita mudah tersesat ke pelbagai jalan yang lain.

Perhatikan juga dalam ayat di atas, Allah menerangkan bahawa al-Qur’an adalah petunjuk bagi “orang-orang yang hendak bertaqwa”. Ringkasnya bertaqwa adalah takut kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ketakutan kita kepada Allah bukan menyebabkan kita menjauhi-Nya. Sebaliknya takut kepada Allah menyebabkan kita menghampiri-Nya dengan mentaati perintah-larangan-Nya, berusaha mencari keredhaan-Nya dan menjauhi kemurkaan-Nya. Semua ini dapat kita capai apabila kita jadikan al-Qur’an sebagai petunjuk.

 

 

TOP

  

 

2) Al-Qur’an adalah cahaya yang menerangi: 

Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi. [an-Nisa’ 4:174]

 

Peranan al-Qur’an sebagai cahaya yang menerangi adalah untuk: 

Dia-lah yang menurunkan kepada hamba-Nya (Nabi Muhammad) keterangan-keterangan al-Quran yang terang nyata, kerana Dia hendak mengeluarkan kamu dari gelap-gelita kepada cahaya yang terang-benderang. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Belas, lagi Maha Mengasihani, terhadap kamu. [al-Hadid 57:09]

 

Oleh itu al-Qur’an adalah petunjuk yang menerangi ke arah jalan yang lurus dan selamat: 

Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya, dan (dengan al-Qur’an Allah) keluarkan mereka dari gelap-gelita kepada cahaya yang terang-benderang dengan izin-Nya; dan (dengan al-Qur’an Allah) menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. [al-Maidah 5:15-16]

Kegelapan adalah suasana kehidupan yang tidak menentu, tidak terarah dan tidak terurus. Ia umpama orang yang berjalan tidak menentu di dalam bilik yang gelap tanpa mengetahui hala tujuannya, dan meraba-raba itu dan ini tanpa mengetahui sama ada ia bermanfaat atau tidak untuk dirinya. Al-Qur’an adalah cahaya yang menerangi sehingga orang yang menggunakan “suluhan” al-Qur’an sebagai petunjuk akan memiliki kehidupan yang bermatlamat, terarah lagi terurus.

 

TOP

 

 

3) Al-Qur’an adalah pembeza antara yang benar dan salah: 

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk (tersebut) dan (al-Furqan, iaitu menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. [al-Baqarah 2:185]

Kehidupan ini tidak pernah sepi daripada suasana yang menimbulkan pertanyaan kepada diri kita, yang manakah yang benar dan bagaimanakah kita membezakan sama ada ia adalah benar atau salah? Maka sekali lagi jawapan bagi persoalan di atas ialah al-Qur’an di mana ia bukan sahaja menunjuk dan menjelaskan kepada kita apa yang benar, tetapi ia juga berperanan menjelaskan kepada kita kaedah untuk membezakan sesuatu perkara antara yang benar dan salah. Ini dijelaskan dalam ayat yang lain:

 

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah) - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [al-Nisa 4:59]

 

 

TOP

 

 

4) Al-Qur’an adalah “Roh” yang memberi kehidupan:

 

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Roh daripada perintah Kami. [as-Syura 42:52]

Terdapat beberapa tafsiran terhadap perkataan “Roh” dalam ayat di atas. Kebanyakan ilmuan menafsirkannya sebagai sesuatu yang memberi kehidupan kepada rohani manusia. Sama-sama diketahui bahawa manusia terbahagi kepada dua unsur, jasmani dan rohani. Jika yang menghidupkan jasmani adalah perkara-perkara materialistik maka yang menghidupkan rohani adalah al-Qur’an. Jika yang mengubati jasmani yang sakit adalah ubat maka yang mengubati rohani yang sakit adalah al-Qur’an. Ini sebagaimana yang disebut dalam ayat lain: 

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. [Yunus 10:57]

Rohani yang hidup adalah sesuatu yang dicari-cari oleh manusia masa kini. Setelah sekian lama memberi tumpuan kepada kehidupan jasmani, mereka sedar bahawa ia sebenarnya tidak memberi kehidupan kepada rohani. Tanpa rohani yang hidup, jasmani terasa sakit, malah seolah-olah mati, sekalipun ia dihiasi dengan pelbagai keindahan materialistik.

Untuk menyembuh dan menghidupkan rohani, manusia mencipta berjenis-jenis kaedah. Namun kaedah yang mereka cipta memiliki pelbagai kekurangan di dalamnya. Ia mungkin berkesan untuk sebahagian individu tetapi tidak kepada yang lain, berkesan untuk sebahagian keadaan tetapi tidak untuk yang lain dan berkesan untuk satu tempoh masa tertentu, tidak berpanjangan. Lebih memburukkan, kaedah-kaedah yang dicipta adalah berdasarkan konsep “cuba dan lihat” (trial and error).

Terlepas dari semua itu, kaedah-kaedah tersebut adakalanya dicipta semata-mata kerana mencari kedudukan duniawi dan ia kembali kepada nilai materialistik semata-mata. Ini kerana apabila seseorang individu itu berjaya mencipta satu kaedah yang didakwanya dapat “mengubat dan menghidupkan” rohani, dia akan menjadi tumpuan orang ramai. Hal ini dapat kita perhatikan dalam pelbagai aliran penyembuhan rohani (healing of the soul) masa kini. Orang ramai akan merujuk kepada guru aliran tersebut, menyerahkan diri kepadanya, menyanjungnya dan menghadiahkannya dengan pelbagai pulangan materialistik.

Faktor utama yang menyebabkan kekurangan ini adalah kerana yang mencipta cara-cara tersebut adalah manusia itu sendiri yang sedang sakit dan kematian rohaninya. Tidak ada ubat yang mujarab melainkan apa yang dikurniakan oleh Allah yang telah mencipta rohani manusia itu sendiri. Hanya dengan al-Qur’an rohani manusia akan hidup dan terus hidup dengan sihat.

 

 

TOP

 

 

5) Al-Qur’an adalah kunci kemuliaan: 

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi kemuliaan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya? [al-Anbiya’ 21:10]

 

Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan kemuliaan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan). [az-Zukhruf 43:44]

Perkataan (ذكر) dalam kedua-dua ayat di atas ditafsirkan oleh ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh  sebagai kemuliaan dan ini dipersetujui oleh al-Imam Ibn Jarir al-Tabari rahimahullah (310H). Berdasarkan dua ayat di atas, jelas kepada kita bahawa al-Qur’an adalah kunci kepada kemuliaan. Ini terbukti melalui sejarah bangsa Arab di mana sebelum diturunkan al-Qur’an, mereka adalah satu bangsa yang hina lagi tidak dikenali oleh dunia. Akan tetapi setelah diturunkan al-Qur’an, mereka berpegang dan mempraktikkan seluruh ajarannya sehingga bangkitlah mereka menjadi bangsa yang mulia, mengalahi bangsa-bangsa lain khasnya Rom dan Parsi, dua tamadun yang agung pada saat itu.

Apabila Islam berkembang kepada bangsa-bangsa yang lain, mereka turut berpegang teguh kepada ajaran al-Qur’an dan mempraktikkannya dalam seluruh urusan kehidupan. Berdasarkan sikap ini, mereka – yakni umat Islam – bangkit menjadi umat yang mulia dari timur hingga barat. Umat Islam menjadi umat yang disegani, dicontohi dan dihormati.

Sayang sekali beberapa kurun kemudian umat Islam mula mengabaikan ajaran al-Qur’an kepada ajaran-ajaran yang lain. Atas sikap ini keadaan mereka berubah ke arah kehinaan sebagaimana yang dapat diperhatikan sekarang ini. Benarlah sabda Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ.

Sesungguhnya Allah mengangkat kedudukan satu kaum dengan kitab ini (al-Qur’an) dan merendahkan kedudukan satu kaum yang lain (dengan al-Qur’an).[2] Maksudnya, seseorang itu akan dapat memperoleh kemuliaan jika dia menggunakan al-Qur’an dan memperoleh kehinaan jika dia mengabaikan al-Qur’an.

Sesuatu yang lebih menyedihkan, umat Islam masa kini bukan sahaja mengabaikan al-Qur’an sebagai kunci kejayaan tetapi mereka mencari kunci tersebut daripada orang-orang bukan Islam. Umat Islam masa kini mencari kemuliaan di sisi orang bukan Islam. Umat Islam meniru bulat-bulat apa sahaja yang berasal daripada orang bukan Islam, malah menggunakan skala ukuran orang bukan Islam untuk menilai dan membezakan antara kemuliaan dan kehinaan. Umat Islam masa kini lupa atau tidak tahu bahawa skala ukuran yang sebenar bagi kemuliaan ialah apa yang ada di sisi Allah Azza wa Jalla:

Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah jualah segala kemuliaan. [Fatir 35:10]

Kemuliaan yang hendak dicari di sisi Allah ialah dengan menggunakan al-Qur’an. Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam menerangkan bahawa:

إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنْ النَّاسِ. قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ؟ قَالَ: هُمْ أَهْلُ الْقُرْآنِ أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ.

“Sesungguhnya bagi Allah ada orang yang istimewa daripada kalangan manusia.” Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Siapakah mereka?” Rasulullah menjawab: “Mereka adalah Ahl al-Qur’an, merekalah orang yang istimewa di sisi Allah dan khusus di sisi-Nya.”[3]

Adapun menjadikan orang bukan Islam sebagai kunci dan skala kemuliaan, maka ia adalah salah satu daripada ciri-ciri munafik[4] yang wajib dihindari. Allah Subhanahu wa Ta'ala mengingatkan: 

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (Iaitu) mereka yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu kerana sesungguhnya kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah (sahaja). [an-Nisa’ 4:138-139]

 

 

TOP

 

 

6) Al-Qur’an memperkenalkan kita kepada Allah:

Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran. [Lukman 31:20]

Sekalipun disenaraikan sebagai yang terakhir, ini adalah peranan al-Qur’an yang paling penting. Dalam ayat di atas, diterangkan bahawa terdapat manusia yang saling berbantah tentang Allah tanpa pengetahuan, petunjuk mahupun sebuah kitab yang dapat menerangi persoalan tersebut. Maksud yang dapat ditangkap di sebaliknya adalah, perbincangan tentang Allah hendaklah berdasarkan pengetahuan, petunjuk dan kitab yang menerangi. Al-Qur’an menepati ketiga-tiga ciri di atas.

Berikut dikemukakan beberapa contoh bagaimana al-Qur’an memperkenalkan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala:

  •    Melalui al-Qur’an kita dapat mentauhidkan Allah dengan cara yang sebenar:

Katakanlah: “(Tuhanku) ialah Allah Yang Satu, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya". [al-Ikhlas 112:1-4]

 

  •    Melalui al-Qur’an kita dapat mengenal Nama-nama dan Sifat-sifat Allah, yang dengan itu kita dapat memperoleh sedikit gambaran tentang cara Allah mentadbir urusan-Nya. Pada waktu yang sama melalui al-Qur’an kita mengetahui bahawa Nama dan Sifat Allah hanyalah sama dari sudut istilah dan makna, tidak dari sudut bentuk dan tatacaranya. Sebagai contoh Allah memiliki sifat Melihat dan Mendengar, akan tetapi penglihatan Allah bukanlah dengan mata dan cahaya, dan pendengaran Allah bukanlah dengan telinga dan gelombang bunyi sebagaimana makhluk. Ini kerana Allah Maha Suci daripada memiliki apa-apa kesamaan dengan makhluk-Nya:

Tiada sesuatupun yang seumpama dengan (Zat-Nya, Sifat-sifat-Nya dan Pentadbiran-Nya) dan Dia-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. [asy-Syura 42:11]

 

  •    Melalui al-Qur’an kita dapat mengenal bahawa Allah menerima doa-doa kita secara terus tanpa memerlukan perantaraan (wasilah). Melalui al-Qur’an juga kita dapat mengenal bahawa Allah akan mengabulkan doa-doa kita sesuai dengan kebijaksanaan-Nya. Dengan pengenalan ini, kita tidak perlu berdoa kepada sesama makhluk atau melalui perantaraan makhluk. Pada waktu yang sama kita tidak bergantung kepada makhluk untuk mengharapkan doa kita dimakbulkan:

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [al-Mu’min 40:60]

  •    Melalui al-Qur’an kita dapat mengenal Allah sebagai Tuhan yang Maha Pemberi Rahmat dan Maha Pengasih terhadap para hamba-Nya, lagi Maha Pengampun. Dengan pengenalan ini, hendaklah kita semua jangan berputus asa daripada rahmat, kasih sayang dan pengampunan Allah tanpa mengira sebesar atau sebanyak mana kesalahan yang pernah kita lakukan:

Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia-lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [az-Zumar 39:53][5]

         

  •    Melalui al-Qur’an kita dapat mengenal Allah sebagai Tuhan yang hanya akan mengubah nasib sesuatu kaum apabila kaum itu sendiri yang terlebih dahulu menghendaki perubahan tersebut dan bertindak ke arahnya. Dengan pengenalan ini, kita dapat mengetahui bahawa sikap (attitude) dan usaha (effort) memainkan peranan penting untuk memperoleh pertolongan Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. [ar-Ra’d 13:11]

 

  •     Melalui al-Qur’an kita dapat mengenali bahawa Allah melarang seseorang itu daripada melanggar perintah-larangan-Nya. Melalui al-Qur’an juga kita dapat mengetahui bahawa sebesar-besar larangan ialah mengatakan sesuatu tentang Allah tanpa ilmu.

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhan-Ku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.” [al-A’raaf 7:33]

 

 

Berdasarkan pengenalan ini, kita tidak akan berani mereka-cipta sesuatu ibadah yang baru di dalam agama (bid‘ah) lalu menghalalkannya dengan alasan “Apa salah, bukankah ia sesuatu yang baik?” atau “Allah dan Rasul-Nya tidak mensyari‘atkannya, tetapi Allah dan Rasul-Nya juga tidak melarangnya” atau apa-apa lain yang seumpama. Ini kerana ibadah adalah hak Allah dan hanya Allah yang berhak menetapkan bagaimana cara Dia menghendaki para hamba-Nya beribadah kepada-Nya. Apabila seseorang itu mereka-cipta ibadah tersendiri lalu menganggap ianya halal dan baik, dia sebenarnya telah merampas hak Allah dan mengatakan sesuatu tentang Allah tanpa ilmu. Tidak ada satu insan yang tergamak mereka-cipta sesuatu ibadah melainkan dia benar-benar tidak kenal Tuhan yang sedang dia persembahkan ibadah tersebut.

 

Enam contoh di atas adalah sekadar apa yang dikemukakan tentang bagaimana al-Qur’an memperkenalkan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sudah tentu pengenalan kepada Allah tidak terhad kepada enam contoh di atas sahaja. Boleh dikatakan hampir keseluruhan al-Qur’an memperkenalkan kita kepada Allah, sama ada dari sudut mentauhidkan-Nya, Nama-nama dan Sifat-sifat-Nya, Pentadbiran-Nya, hak beribadah kepada-Nya dan cara menjalani kehidupan ini di bawah keredhaan-Nya. Kerana itu sebelum ini penulis menyebut bahawa sekalipun pengenalan ini disenaraikan sebagai yang terakhir, ini adalah pengenalan yang terpenting terhadap peranan al-Qur’an.

 

Demikianlah beberapa ciri dan peranan yang sempat penulis senaraikan dalam rangka memperkenalkan al-Qur’an kepada para pembaca sekalian. Ciri dan peranan yang telah dapat kita kenali di atas tidak akan memberi apa-apa manfaat jika kita sendiri tidak berusaha untuk menelaah al-Qur’an secara keseluruhannya dan mempraktikkannya dalam segala liku kehidupan kita. Semoga dengan pengenalan yang ringkas ini, ia dapat menarik perhatian kepada menelaah al-Qur’an. Terdapat beberapa garis panduan atau tips untuk menelaah al-qur’an dan ini akan dikupas dalam perbincangan seterusnya insya-Allah.

 

Bab 2: Sembilan Tips Menelaah al-Qur’an

 

 


[1]           Penulis menggunakan perkataan “sekadar mampu” berdasarkan hadis berikut yang bermaksud: “Orang yang membaca al-Qur’an dan dia mahir dengan bacaannya itu, maka dia beserta para malaikat yang mulia lagi taat. Sedangkan orang yang membaca al-Qur’an dengan tersekat-sekat dan terasa sukar baginya maka dia mendapat dua pahala.” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, rujuk Riyadhus-Shalihin oleh al-Nawawi (diteliti dan disemak hadisnya oleh Syu ‘aib al-Arna’uth, Dar al-Ma’mun, Riyadh 1996) – hadis no: 994.]

Hadis ini adalah penting untuk membetulkan salah faham masyarakat yang amat takut membaca al-Qur’an dengan alasan tajwid mereka tidak sempurna dan bacaan tidak lancar. Yang benar, asalkan seseorang itu berusaha dan berlatih membaca al-Qur’an maka Allah akan memberinya dua pahala, satu kerana membaca dan kedua kerana berusaha untuk memperbetulkan bacaannya. Selagi seseorang itu tidak berusaha dan berlatih maka selagi itulah dia tidak akan dapat membaca al-Qur’an dengan betul dan lancar.

[2]           Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 817 (Kitab solat orang musafir dan mengqasarkannya, Bab keutamaan orang yang bertindak berdasarkan al-Qur’an dan mengajarnya)]

[3]           Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh Mahmud Muhammad Mahmud dalam semakannya ke atas kitab Sunan Ibn Majah – hadis no: 215 (Muqaddimah, Bab keutamaan belajar al-Qur’an dan mengajarkannya).

[4]           Perlu dibezakan antara orang munafik dan ciri-ciri munafik. Orang munafik ialah mereka yang berpura-pura menampakkan keislaman secara zahir mereka padahal hati mereka kafir terhadap Islam. Di sebalik Islam yang mereka zahirkan, terserlah perbuatan munafik. Ciri-ciri munafik ialah orang yang memiliki sebahagian daripada perbuatan munafik pada zahirnya tetapi hati mereka beriman kepada Islam. Perbuatan munafik tersebut wujud mungkin kerana kejahilannya, salah fahamnya atau sesuatu yang tidak disengajainya. Walaubagaimanapun perbuatan munafik tersebut wajib dihindarinya secepat mungkin kerana dibimbangi ia akan mempengaruhi hatinya satu hari nanti.

Orang munafik secara pasti memiliki ciri-ciri munafik tetapi orang yang memiliki ciri-ciri munafik tidak secara pasti merupakan orang munafik.

[5]           Lebih lanjut, rujuk risalah penulis yang berjudul Tuhan Islam Kejam? yang termuat dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3) terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2005.

 

:: Al-Firdaus :: Indeks ::