Membongkar Aliran Islam Liberal

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Kata Pengantar

 

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره,

ونعوذ باالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا,

من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له.

ونشهد أن لا إله الا الله وحده لاشريك له ونشهد أن محمدا عبده ورسوله.

 

Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya

dan kami memohon keampunan-Nya,

dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami.

Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.

 

Sejak tahun 2004 saya menulis beberapa risalah (artikel) untuk membongkar aliran Islam Liberal. Risalah-risalah tersebut menerangkan ciri-ciri aliran Islam Liberal dan menjawab hujah-hujah mereka dalam persoalan aqidah, fiqh, akhlak dan sebagainya.

Kebanyakan dari risalah tersebut disiarkan dalam majalah i terbitan Karangkraf. Sebahagian lain saya sebarkan secara bebas di beberapa forum di internet. Risalah-risalah tersebut juga saya bukukan dalam siri Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah, buku satu hingga buku lima. Ia diterbitkan oleh Jahabersa, Johor Bahru.

Baru-baru ini sahabat saya Mohd. Yaakub bin Mohd. Yunus mencadangkan agar saya menghimpun semula risalah-risalah tersebut ke dalam sebuah buku yang khusus. Dengan cara ini, para pembaca akan dapat mengkaji aliran Islam Liberal dengan cara yang lebih fokus dan sistematik. Saya menerima baik cadangan tersebut memandangkan siri buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah memuatkan risalah dalam pelbagai subjek yang rambang. Ia tidak khusus dalam subjek Islam Liberal sahaja.

Maka dengan itu terbitlah buku ini yang memuatkan 13 risalah berkenaan aliran Islam Liberal. Ia saya bahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian A memuatkan sebuah risalah berkaitan maksud Islam Liberal, asal usulnya dan ciri-ciri aliran mereka. Bahagian B memuatkan 11 risalah yang merupakan jawapan saya kepada beberapa asas Islam Liberal dalam persoalan aqidah, fiqh, akhlak dan sebagainya. Bahagian C, merangkap kata penutup, memuatkan sebuah risalah berkaitan ancaman lain di sebalik aliran Islam Liberal.

Saya berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar buku ini dapat memberi manfaat kepada umat Islam seluruhnya. Pada waktu yang sama saya akui bahawa buku ini memiliki beberapa kekurangan. Oleh itu dialu-alukan menghubungi saya untuk memberi nasihat pembaikan dan pembetulan.

 

Sekian, wassalamu’alaikum warahmatullah.

 

Hafiz Firdaus bin Abdullah

13 Ogos 2007

 

 

kandungan