Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah

(Buku 5) 

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

Selangkah Ke Arah Memahami al-Sunnah

Dua Langkah Ke Arah Akhlak Yang Menepati al-Sunnah[1]

 

 

 

Satu arus mutakhir yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa jua yang bersikap jujur terhadap dirinya adalah arus kesungguhan umat Islam untuk mempelajari dan mempraktikkan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebut sahaja tentang wudhu’, mandi, sembahyang, puasa, Hari Raya, zikir dan lain-lain, umat Islam tanah air bersungguh-sungguh ingin mengetahui apa dan bagaimana sunnah Rasulullah terhadapnya, kemudian mereka berlumba-lumba untuk mempraktikkannya.

 

Kesungguhan ini tidak terbatas kepada amal ibadah sahaja. Mereka memperluaskannya kepada pelbagai disiplin ilmu yang berkaitan dengan sunnah Rasulullah, seperti ilmu hadis bagi membezakan antara sunnah yang sahih dan yang tidak sahih, ilmu usul fiqh bagi membezakan antara sunnah yang termasuk dalam syari‘at Islam dan yang tidak termasuk dalam syari‘at Islam serta ilmu bagi membezakan antara sunnah dan bid‘ah.

 

Memang, sekali sekala timbul kecaman daripada pihak atau individu tertentu untuk menghalang atau mengubah haluan arus al-Sunnah ini. Namun kecaman mereka tidak lain hanya menderaskan arus ini, sebegitu deras sehingga akhirnya menenggelamkan kecaman-kecaman tersebut.

 

 

Sesuatu Yang Tertinggal Daripada Arus al-Sunnah Mutakhir.

Merujuk kepada arus yang sedang mengalir pantas di tanah air mutakhir ini, pada pengamatan saya terdapat satu bab daripada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang tertinggal, atau sekurang-kurangnya jarang diberi perhatian. Bab tersebut adalah akhlak yang mulia.

 

Saya perhatikan:

 

  • Ada yang sembahyangnya menepati Sifat Solat Nabi Dari Takbir Hingga Salam, tetapi kerja di pejabat menepati sifat orang malas dari lapan pagi hingga lima petang.

  • Ada yang selepas sembahyang zikirnya dengan suara yang perlahan, tetapi dalam bilik kuliah suaranya paling kuat menyebarkan gosip berkenaan pensyarah dan pelajar.

  • Ada yang berdisplin menjaga waktu ketika berpuasa, iaitu mengakhirkan waktu sahur dan mengawalkan waktu berbuka, tetapi tidak berdisiplin dalam menjaga waktu temujanji.

  • Ada yang terang-terangan memberi peringatan tentang kesalahan riba, tetapi sengaja melengahkan pembayaran, atau pura-pura lupa, apabila berhutang tanpa riba daripada rakan perniagaannya.

  • Ada yang tegas dengan hanya menerima hadis daripada para perawi yang jujur lagi dipercayai, tetapi dia sendiri tidak jujur dan tidak boleh dipercayai apabila berinteraksi dengan orang lain.

  • Ada yang bersungguh-sungguh mempelajari ilmu berkaitan al-Sunnah, tetapi tidak tahu sunnah-sunnah Rasulullah apabila menjadi tetamu atau tuan rumah.

  • Ada yang mulutnya tidak pernah kering daripada perbincangan sunnah dan bid‘ah, tetapi ibubapanya dibiarkan kekeringan di kampung.

 

 

Sebenarnya akhlak yang mulia memiliki kedudukan yang amat penting dalam Islam secara umum dan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam secara khusus. Keutamaan memiliki akhlak yang mulia terserlah apabila Allah Subhanahu wa Ta‘ala menonjolkan kemuliaan akhlak Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan menyuruh sesiapa yang menginginkan keredhaan Allah dan balasan baik pada Hari Akhirat agar meneladani akhlak tersebut. Allah menonjolkan akhlak Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, berdasarkan ayat:

 

وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ.

 

Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.[2]

 

 

Allah menyuruh kita meneladani akhlak Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan ayat:

 

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا.

 

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).[3]

 

 

Tidak sekadar itu, Rasulullah juga menerangkan bahawa antara tujuan utama baginda diutus ialah untuk menyempurnakan manusia dengan akhlak yang shalih. Baginda bersabda:

 

إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ صَالِحَ الأَخْلاَقِ.

 

Sesungguhnya aku diutus tidak lain untuk menyempurnakan akhlak yang shalih.[4]

 

 

Oleh kerana itu dalam banyak hadis-hadisnya, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam amat memberi penekanan kepada akhlak yang mulia. Antaranya, akhlak yang mulia mencerminkan kesempurnaan iman:

 

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا.

 

Mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya.[5]

 

 

Akhlak yang mulia merupakan ibadah yang paling memberatkan timbangan amal:

 

مَا مِنْ شَيْءٍ أَثْقَلُ فِي الْمِيزَانِ مِنْ حُسْنِ الْخُلُقِ.

 

Tiada sesuatu yang lebih memberatkan timbangan (pada Hari Akhirat) berbanding akhlak yang baik.[6]

 

 

Orang yang memiliki akhlak yang mulia menjadi orang yang dicintai oleh Allah:

 

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الأَمْرِ كُلِّهِ.

 

Sesungguhnya Allah menyukai sikap lemah lembut dalam segala urusan.[7]

 

 

Dalam riwayat yang lain, para sahabat radhiallahu anhu pernah bertanya:

 

“Siapakah orang yang paling dicintai oleh Allah?” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Orang yang paling baik akhlaknya.”[8]

 

 

Orang yang memiliki akhlak yang mulia juga menjadi orang yang dicintai oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan menduduki tempat yang hampir dengan baginda di Hari Akhirat:

 

إِنَّ مِنْ أَحَبِّكُمْ إِلَيَّ وَأَقْرَبِكُمْ مِنِّي مَجْلِسًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَحَاسِنَكُمْ أَخْلاَقًا وَإِنَّ أَبْغَضَكُمْ إِلَيَّ وَأَبْعَدَكُمْ

 

مِنِّي مَجْلِسًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ الثَّرْثَارُونَ وَالْمُتَشَدِّقُونَ وَالْمُتَفَيْهِقُونَ.

 

Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kalian dan yang paling hampir tempat duduknya dengan aku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya. Dan sesungguhnya orang yang paling tidak aku sukai dan paling jauh tempat duduknya dari aku pada Hari Kiamat adalah orang yang banyak berbicara, bermulut besar dan sombong.[9]

 

 

Akhlak yang mulia menghiasi seseorang:

 

إِنَّ الرِّفْقَ لاَ يَكُونُ فِي شَيْءٍ إِلاَّ زَانَهُ وَلاَ يُنْزَعُ مِنْ شَيْءٍ إِلاَّ شَانَهُ.

 

Sesungguhnya tidaklah sikap lemah lembut terdapat pada sesuatu melainkan ia menghiasinya dan tidaklah ia (sikap lemah lembut) tercabut dari sesuatu melainkan ia memburukkannya.[10]

 

 

Akhlak yang mulia merupakan salah satu faktor untuk memperoleh kejayaan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

إِنَّ اللَّهَ رَفِيقٌ يُحِبُّ الرِّفْقَ وَيُعْطِي عَلَى الرِّفْقِ مَا لاَ يُعْطِي عَلَى الْعُنْفِ وَمَا لاَ يُعْطِي عَلَى مَا سِوَاهُ.

 

Sesungguhnya Allah Maha Pelembut dan menyukai sikap lemah lembut, Dia memberi terhadap kelembutan apa yang tidak diberi terhadap kekasaran dan tidak memberi apa jua (terhadap sikap yang menyelisihi kelembutan).[11]

 

 

 

Jika hadis-hadis di atas hanya menerangkan keutamaan akhlak yang mulia secara umum, berikut dikemukakan beberapa hadis yang bersifat khusus:

 

  • Akhlak kepada ibubapa:

Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ.

 

Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.[12]

 

 

  • Akhlak kepada jiran:

Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لاَ يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ.

 

Tidak akan masuk syurga sesiapa yang jirannya tidak aman dari gangguannya.[13]

 

 

  • Akhlak kepada sesama umat:

 

Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

لاَ تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ.

 

Jangan sekali-kali meremehkan sesuatu kebaikan walau pun sekadar bermuka manis apabila bertemu dengan saudara kamu.[14]

 

 

  • Akhlak dalam mengajar agama:

 

Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

إِنَّ اللهَ تَعَالَى رَضِيَ لِهَذِهِ اْلأُمَّةِ اْليُسْرَ وَكَرَهَ لَهَا اْلعُسْرَ.

 

Sesungguhnya Allah Ta‘ala meredhai kemudahan untuk umat ini dan membenci kesukaran untuknya.[15]

 

 

Sehubungan dengan ini, dalam sebuah hadisnya yang masyhur baginda berpesan, maksudnya:

 “Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan menakutkan.”[16]

 

 

  • Akhlak dalam kerjaya:

 

Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

إِنَّ اللهَ تَعَالَى يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهُ.

 

Sesungguhnya Allah Ta‘ala menyukai apabila seseorang kalian bekerja, dia bekerja dengan cemerlang.[17]

 

 

  • Akhlak dalam berbicara:

 

Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ.

 

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata-kata yang baik atau diam.[18]

 

 

  • Akhlak dalam berjual beli:

 

Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

رَحِمَ اللَّهُ رَجُلا ًسَمْحًا إِذَا بَاعَ وَإِذَا اشْتَرَى وَإِذَا اقْتَضَى.

 

Semoga Allah merahmati orang yang berlebih kurang apabila menjual, apabila membeli dan apabila meminta bayaran hutang.[19]

 

 

 

Demikian tujuh contoh hadis-hadis berkaitan akhlak mulia yang secara khusus merujuk kepada sesuatu perhubungan. Dua perkara yang perlu dicatitkan:

 

  1. Perhatikan bahawa hadis-hadis di atas mengaitkan akhlak yang mulia dengan keredhaan Allah, kesempurnaan iman dan balasan pada Hari Akhirat. Semua ini menunjukkan bahawa akhlak yang mulia bukan sesuatu yang memiliki kedudukan “biasa-biasa” dalam Islam, melainkan kedudukan amat penting sehingga ke tahap mempengaruhi kedudukan seseorang di sisi Allah, Islam dan Hari Akhirat.

  2. Setiap satu daripada tujuh contoh di atas memiliki perbincangan yang amat luas. Para ilmuan Islam telah menulis karya-karya khusus mengenainya. Ada yang khusus mengenai akhlak terhadap ibubapa, khusus mengenai hubungan dengan jiran, khusus mengenai adab sesama manusia sama ada Islam, bukan Islam tetapi neutral dan yang memusuhi Islam, adab-adab berdakwah, akhlak di tempat kerja, adab-adab lisan dan seterusnya. Sebahagian daripada karya-karya ini amat tebal lagi besar, menandingi karya dalam bab solat atau puasa. Semua ini menunjukkan bahawa akhlak adalah salah satu jurusan tersendiri dalam Islam yang perlu diraih ilmunya, teori dan praktikal, oleh kita semua.

 

 

 

Cara Meraih Akhlak Mulia.

Berdasarkan hadis-hadis di atas, maka menjadi satu keperluan agar umat Islam yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari dan mempraktikkan al-Sunnah memberi perhatian yang sewajarnya kepada bab akhlak. Tidaklah sempurna ikutan seseorang kepada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam jika dia mengabaikan bab akhlak. Terdapat beberapa cara untuk mempelajari dan mempraktikkan akhlak yang mulia. Berikut dijelaskan cara-cara tersebut.

 

 

 

Pertama:

Akhlak yang mulia bukanlah sesuatu yang terjadi secara tersendiri. Ia memerlukan ilmu dan latihan. Oleh itu sebagaimana kita meluangkan masa dan tenaga untuk mempelajari wudhu, sembahyang dan puasa, kita juga perlu meluangkan masa dan tenaga untuk mempelajari akhlak yang mulia.

 

Selain itu akhlak yang mulia bukanlah teori semata-mata, ia adalah amalan praktikal. Maka akhlak mulia yang dipelajari perlu dipraktikan melalui latihan dan penerapan yang bertahap-tahap.

 

Tidak perlu menyertai mana-mana tareqat atau mendalami jurusan tasawuf untuk belajar dan berlatih meraih akhlak yang mulia. Ini kerana, sejauh pengamatan saya, tidak ada tareqat atau jurusan tasawuf pada masa kini yang berjaya mendidik dan melatih anak muridnya dengan akhlak yang mulia. Mungkin ada yang berjaya, tetapi ia amat terpencil dan belum saya temui.[20]

 

 

 

Kedua:

Melazimkan diri bersahabat dengan orang yang berakhlak mulia sangat membantu untuk kita belajar dan melatih diri dengan akhlak tersebut. Pengaruh sahabat kepada diri seseorang amatlah besar dan ini digambarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai berikut:

 

إِنَّمَا مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ

 

يُحْذِيَكَ وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ وَإِمَّا أَنْ

 

تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً.

 

Sesungguhnya perumpamaan teman yang salih dan teman yang buruk hanyalah seumpama pembawa minyak wangi dan peniup tungku api seorang tukang besi. Bagi pembawa minyak wangi, boleh jadi sama ada dia memberinya kepada kamu (minyak wangi) atau kamu membeli daripadanya (minyak wangi) atau kamu mendapat bau harum daripadanya. Bagi peniup tungku api seorang tukang besi, boleh jadi sama ada ia akan membakar pakaian kamu (kerana kesan tiupan api) atau kamu mendapat bau yang tidak sedap daripadanya (bau besi).[21]

 

 

 

Ketiga:

Poin di atas tidaklah bererti kita mengabaikan sahabat-sahabat lain seandainya mereka memiliki akhlak yang kurang baik. Ini kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berpesan:

 

الْمُؤْمِنُ الَّذِي يُخَالِطُ النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنْ الَّذِي لاَ يُخَالِطُهُمْ وَلاَ يَصْبِرُ عَلَى

 

أَذَاهُمْ.

 

Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar terhadap perbuatan mereka yang menyakitkan lebih besar pahalanya berbanding orang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak bersabar terhadap perbuatan mereka yang menyakitkan.[22]

 

 

Oleh itu hendaklah kita menjadi sahabat yang seumpama “pembawa minyak wangi” apabila berinteraksi dengan sahabat-sahabat yang kurang baik akhlaknya. Semoga dengan itu mereka sedikit sebanyak dapat menerima bau harum daripada kita.

 

Sikap yang sama, iaitu akhlak yang baik, hendaklah ditonjolkan apabila berinteraksi dengan orang yang bukan sahaja memiliki akhlak yang kurang baik, tetapi memusuhi kita dengan akhlak yang menggerunkan. Maka sikap kita adalah sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat berikut:

 

وَلاَ تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلاَ السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ

 

حَمِيمٌ.

 

Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.[23]

 

 

 

Keempat:

Akhlak yang mulia adalah seumpama sesuatu yang hidup. Adakalanya ia menyerlah, adakalanya ia tersembunyi dan adakalanya terlepas lari. Justeru sekali pun kita cuba beriltizam dengan akhlak yang mulia, kita tidak boleh nafikan hakikat bahawa adakalanya ia bersembunyi sehingga kita terlupa tentangnya atau ia terlepas sehingga kita bertindak dengan sesuatu yang tidak menepati ciri akhlak mulia. Oleh itu hendaklah kita sentiasa mengukur pembawaan diri dan membetulkannya seandai akhlak yang mulia tersebut bersembunyi atau terlepas.

 

Jika hal di atas dapat berlaku kepada kita, maka ia juga dapat berlaku kepada orang lain. Maka maafkanlah mereka dan perbetulkanlah mereka dengan cara yang baik lagi hikmah.

 

Kedua-dua perkara ini, iaitu membetul diri sendiri dan memaafkan orang lain disebut oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam firman-Nya:

 

 

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
 

(133) الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنْ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ

 

الْمُحْسِنِينَ (134) وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ

 

يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ (135) أُوْلَئِكَ جَزَاؤُهُمْ مَغْفِرَةٌ مِنْ

 

رَبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ (136).

 

 

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

 

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

 

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

 

Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.[24]

 

 

 

Kelima:

Semua usaha tidak akan sempurna tanpa doa dan usaha untuk mempelajari serta mempratikkan akhlak mulia juga tidak akan sempurna tanpa doa. Terdapat beberapa hadis yang mengajar doa meraih akhlak yang mulia, satu daripadanya yang ringkas tetapi padat adalah:

 

اللَّهُمَّ أَحْسَنْتَ خَلْقِي فَأَحْسِنْ خُلُقِي.

 

Ya Allah! Engkaulah sebaik-baik pencipta, maka perbaikilah akhlak aku.[25]

 

 

 

Selangkah Ke Arah Memahami al-Sunnah, Dua Langkah Ke Arah Akhlak Yang Menepati al-Sunnah.

 

Usaha untuk memahami al-Sunnah tidak boleh meminggirkan usaha untuk mempelajari dan mempraktikkan akhlak yang mulia. Paling kurang terdapat tiga sebab yang utama:

 

  1. Akhlak yang mulia merupakan sebahagian daripada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Meminggirkan bab akhlak bererti mengambil sebahagian sunnah dan meninggalkan sebahagian yang lain. Ini sinonim dengan tindakan Ahl al-Bid‘ah dan orang-orang yang enggan mengikuti sunnah, iaitu mengambil sunnah sekadar yang menepati citarasa mereka dan meninggalkan sunnah yang selainnya.

  2. Akhlak yang menepati sunnah Rasulullah lebih jelas terserlah kepada orang awam daripada ibadah yang menepati sunnah Rasulullah. Hakikat ini menyebabkan orang awam yang sebelum ini belum mengenali sunnah baginda berubah kepada ingin mengenali, mempelajari dan mempraktikkannya. Ini tidak terhad kepada bab akhlak sahaja tetapi meluas kepada bab lain seperti aqidah, ibadah, muamalah dan sebagainya.

 

Justeru akhlak yang mulia adalah daya penarik kepada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ia secara tidak langsung menjadi sumber petunjuk yang diseru oleh seseorang, sebagaimana hadis berikut:

 

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا.

 

Sesiapa yang menyeru kepada petunjuk maka baginya pahala sepertimana pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa dikurangi sedikit jua pahala mereka.[26]

 

 

  1. Jika akhlak yang baik menjadi penyebab kepada orang awam untuk mendekati sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka demikian juga sebaliknya. Akhlak yang buruk daripada orang-orang yang mendakwa dirinya “pengikut sunnah” akan menyebabkan orang awam menjauhkan diri daripada sunnah, sama ada dalam bab akhlak mahu pun selainnya seperti aqidah, ibadah dan muamalah. Ini berlaku bukan kerana mereka membenci sunnah Rasulullah, tetapi benci kepada orang yang menjadi “agen” kepada sunnah Rasulullah.

 

Betapa ramai orang yang pada asalnya belum mengenali sunnah Rasulullah, berubah menjadi orang yang menjauhinya kerana terkesan dengan akhlak buruk sebahagian para “pengikut sunnah”. Di sini akhlak yang buruk daripada sebahagian para “pengikut sunnah” secara tidak langsung menjadi penyeru kepada kesesatan:

 

وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الأِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا.

 

Sesiapa yang menyeru kepada kesesatan maka ke atasnya dosa sepertimana dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa dikurangi sedikit jua dosa mereka.[27]

 

 

Poin kedua dan ketiga di atas menyebabkan kita, sebagai orang-orang yang berusaha untuk memahami al-Sunnah, perlu memberi perhatian yang lebih kepada bab akhlak berbanding bab yang lain. Sehinggakan jika dikatakan “selangkah” untuk memahami al-Sunnah, maka “dua langkah” diperlukan untuk mempelajari dan mempraktikkan akhlak yang menepati al-Sunnah.

 


 


[1] Tulisan ini merupakan kertas kerja sisipan kepada seminar Selangkah Ke Arah Memahami al-Sunnah yang diadakan pada 3 Disember 2006 bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya.

[2] al-Qalam 68:04

[3] al-Ahzab 33:21

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad (Muassasah al-Rayyan, Beirut, 2004), hadis no: 273.

[5] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 2000) – hadis no: 1162.

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 2000) – hadis no: 4799.

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya (diteliti oleh Fu‘ad ‘Abd al-Baqi; edisi cdrom Mausu‘ah al-Hadits al-Syarif v2.1, www.harf.com) – hadis no: 2165.

[8] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dan dikemukakan oleh al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma al-Zawa‘id dan beliau berkata: “Riwayat al-Thabarani dan para perawinya adalah perawi yang sahih.” Rujuk Bughyah al-Ra‘id fi Tahqiq Majma’ al-Zawa‘id wa Manba’ al-Fawa‘id (diteliti oleh ‘Abd Allah Muhammad al-Darwish; Dar al-Fikr, Beirut, 1994) – hadis no: 12691. Sebelum itu ia juga dikemukakan oleh al-Hafiz al-Dimyathi dalam al-Matjar al-Rabih dan beliau berkata: “Riwayat al-Thabarani dengan isnad yang menepati syarat sahih.” Hadis ini juga disahihkan oleh Zakaria bin Ghulam al-Pakistani, peneliti kitab al-Matjar al-Rabih. Rujuk Shahih al-Matjar al-Rabih fi Tsawab al-‘Amal al-Shalih (Dar Ibn Hazm, Beirut, 2001) – hadis no: 908.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2018.

[10]  Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2594.

[11]  Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2593.

[12] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 1995) – hadis no: 515.

[13] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 46.

[14] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2626.

[15] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dan dikemuka serta disahihkan oleh al-Sayuthi dalam al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 1742. Ia juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1988) – hadis no: 1769.

[16] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya (diteliti oleh Fu‘ad ‘Abd al-Baqi; edisi cdrom Mausu‘ah al-Hadits al-Syarif v2.1, www.harf.com) – hadis no: 69.

[17] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan dinilai sahih oleh Mokhtar Ahmad Nadwi dalam semakannya ke atas Syu‘ab al-Iman (Dar al-Salafiyyah, Bombay, 1988) – hadis no: 4930.

[18] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 47.

[19] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2076.

[20] Kenyataan di atas berdasarkan interaksi saya bersama ratusan orang yang menyandarkan diri kepada tareqat dan tasawuf, tetapi pada waktu yang sama merupakan orang yang paling biadap terhadap Allah, Rasul-Nya dan sesama manusia. Saya tidak memusuhi tasawuf mahu pun membenci para tokohnya, tetapi sekadar mencerminkan hakikat sebenar tasawuf pada masa kini. Bezakan, bahawa musuh sebenar bagi tasawuf bukanlah para pengkritiknya, tetapi orang-orang yang mencipta pelbagai bid‘ah dan kurafat lalu menyandarkannya kepada ilmu tasawuf atau sesuatu tareqat.

[21] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2628.

[22] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna‘uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad (Muassasah al-Risalah, Beirut, 1996) – hadis no: 5022.

[23] al-Fussilat 41:34

[24] Ali Imran 3:133-136

[25] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna‘uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad (Muassasah al-Risalah, Beirut, 2001) – hadis no: 24392.

[26] Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2674.

[27] Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2674.

 

 

 

 

Indeks