Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah

(Buku 3)

 

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah

 

Indeks

 

Maklumat Buku

 

Kata Pengantar

 

Tajuk 1

 

Tajuk 2

 

Tajuk 3

 

Tajuk 4

 

Tajuk 5

 

Tajuk 6

 

Tajuk 7

 

Tajuk 8

 

Tajuk 9

 

Tajuk 10

 

 

 

 

Tsunami!

oleh: Hafiz Firdaus Abdullah

 

“All aircraft this is Medan Control. We just had an earthquake.

All systems seems to be normal and Medan airport is still open.”

 

Demikianlah kata-kata pengawal lalulintas udara pada lebih kurang pukul lapan setengah pagi pada 26 Disember 2004. Pada ketika itu penulis sedang berada pada ketinggian 36,000 kaki di ruang udara kawalan Medan Control dalam penerbangan daripada Kuala Lumpur ke Istanbul.

 

Mengganggap ia hanyalah gempa bumi yang kecil, perkara tersebut terlepas daripada ingatan penulis sehingga esok hari ketika menonton BBC World News di bilik hotel di Istanbul. Jelas bahawa anggapan penulis adalah salah. Gempa bumi tersebut yang sebenarnya berpusat di dasar lautan di sebelah Barat kepulauan Sumatra sebenarnya telah melahirkan ombak besar “Tsunami” yang menghempas tebing hampir semua negara di sekeliling Lautan India. Malah ombak besar ini juga mencecah ke tebing negara Somalia di pantai Timur benua Afrika.

 

 

Pesanan ringkas (SMS) dari Malaysia

Jumlah kehilangan nyawa amatlah besar sehingga mencapai lebih 100,000. Dalam suasana memikirkan kedahsyatan malapetaka tersebut, tiba-tiba talifon bimbit penulis berbunyi, menandakan ada sebuah pesanan ringkas (SMS):

 

Al-Qur’an, surah Mayram, ayat 88-91: “Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah (Tsunami 26 Disember), serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak (Hari Natal 25 Disember).” Sila sebarkan kepada orang ramai.

 

Penulis tersentak seketika. Dalam suasana manusia seluruh dunia sedang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa ombak besar, ada umat Islam yang sibuk mencari ayat sebagai “dalil” bagi peristiwa tersebut. Dalam suasana manusia seluruh dunia bergegas mensedekahkan harta membantu mangsa, ada umat Islam yang bergegas mencari ayat untuk menjustifikasikan peristiwa tersebut.

 

Penulis menjawab balik pesanan ringkas tersebut:

 

Tuhan menunggu lebih 1400 tahun untuk melaksanakan ayat-Nya. Namun apabila dilaksanakan, Tuhan terlepas satu hari! Sila sebarkan kepada orang ramai agar kita sama-sama ketawa.

 

 

Maksud penulis dalam pesanan ringkas di atas, seandainya benar Allah Subhanahu wa Ta‘ala ingin menurunkan azab-Nya kepada orang-orang yang menyambut Hari Natal pada 25 Disember, nescaya Allah akan melakukannya lama dahulu, tidak pada tahun 2004. Lebih dari itu Allah dengan segala kekuasaan-Nya akan menurunkan azab tersebut tepat pada harinya dan tepat pada sasaran. Maha Suci Allah daripada terlepas satu hari dan tersalah sasaran! Dikatakan terlepas satu hari kerana Hari Natal disambut pada 25 Disember dan bukannya 26 Disember. Dikatakan tersalah sasaran kerana majoriti manusia yang terkesan dengan bencana Tsunami tidak menyambut Hari Natal.

 

Sebenarnya pesanan ringkas yang penulis terima di atas bukanlah perkara yang terpencil. Terdapat sebahagian umat Islam yang memiliki sifat angkuh di dalam diri mereka di mana dengan keangkuhan tersebut mereka berkata “padan muka” kepada mana-mana kaum yang ditimpa musibah, sekalipun kaum tersebut seagama dengan mereka. Tidak sekadar itu, mereka juga dengan sendirinya melantik diri mereka menjadi “Jurucakap Tuhan” untuk menerangkan kenapa Allah menurunkan azab tersebut.

 

 

Menjadi “Jurucakap Tuhan”

Sebagai seorang yang angkuh dan “Jurucakap Tuhan”, mereka mencipta pelbagai alasan untuk menjustifikasikan sesuatu azab yang berlaku ke atas sesuatu kaum. Sebagai contoh, sebelum ini apabila berlaku banjir besar di Bangladesh, penulis pernah mendengar di antara umat Islam ada yang berkata:

 

“Itulah azab Allah yang melanda. Orang Bangla tu banyak yang tak betul Islam mereka!”

 

 

Apabila berlaku gempa bumi di bandar Bam di Iran yang mengorbankan puluhan ribu nyawa, ada di antara umat Islam yang berkata:

 

“Azab Allah turun kerana mereka itu orang Syi‘ah yang sesat!” 

 

Seandainya sesuatu musibah berlaku pada zaman para sahabat radhiallahu 'anhum, mereka akan menangguh diri daripada sebarang komentar sehinggalah berkesempatan untuk bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “Kenapakah ia berlaku?” Rasulullah sendiri tidak akan memberi apa-apa jawapan sehingga memperoleh wahyu daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ini kerana sekalipun kita beriman bahawa setiap yang berlaku adalah dengan kehendak Allah, menjadi satu kesalahan yang besar apabila kita membuat andaian sendiri kenapa Allah melakukannya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberi amaran keras tentang hal ini:

 

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan:

  1. Perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi;

  2. Dan perbuatan dosa;

  3. Dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar;

  4. Dan kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya);

  5. Dan kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. [al-A’raaf 7:33]

 

Diingatkan bahawa faktor “kenapa” Allah melakukan sesuatu perkara tidak sama dengan “kenapa” yang diandaikan oleh akal manusia. Malah adakalanya ketidaksamaan tersebut benar-benar bertolak belakang. Firman Allah:

 

Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.

Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu),

sedang kamu tidak mengetahuinya. [al-Baqarah 2:216][1]

 

 

Sikap yang sebenar

Sebagai umat Islam, sikap kita yang benar bukanlah menjadi jurucakap Allah, tetapi menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah kerana terselamat daripada apa-apa bencana. Kesyukuran tersebut hendaklah dibuktikan dengan membantu sedaya mungkin orang-orang yang terkesan dengan musibah.

 

Marilah kita membanding diri kita dengan umat-umat daripada agama selain Islam. Dalam suasana kita berkata: “Itulah kaum yang diturunkan azab Allah”, umat-umat agama lain berkata: “Itulah kaum yang sangat-sangat memerlukan pertolongan”. Dalam suasana kita berkata: “Demikianlah kesalahan yang dilakukan oleh satu kaum sehingga layak ditimpa musibah”, umat-umat agama lain berkata: “Demikianlah musibah yang menimpa satu kaum sehingga mereka layak menerima bantuan kita”. Dalam suasana kita sibuk mencari ayat untuk menjustifikasikan musibah yang menimpa satu kaum, umat-umat agama lain sibuk mencari peralatan Search and Rescue untuk dibawa bersama dalam misi penyelamat. Dalam suasana kita merasa selesa mengingati diri yang terselamat daripada musibah, umat-umat agama lain merasa berat mengingati mereka yang ditimpa musibah. Sungguh, sangat berbeza sikap umat Islam berbanding umat-umat agama lain.

 

Marilah dari saat ini kita berubah sikap. Berubah bukan sahaja ke tahap yang menyamai umat-umat lain tetapi  melebihi mereka sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

[al-Baqarah 2:148]

 

Dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.

[al-Maidah 5:48]

 

TOP
 


[1] Lebih dari itu Allah tidak sewenang-wenangnya menghukum dan menjatuhkan azab ke atas sesuatu kaum, sekalipun mereka itu orang bukan Islam. Rujuk semula risalah Tuhan Islam Kejam? dalam buku ini.