K  a  e  d  a  h
Memahami Hadis-hadis 
M u s y k i l .

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman

Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4  || contoh 5 || contoh 6 || contoh 7 || contoh 8 || contoh 9 || contoh 10|| contoh 11 || contoh 12

 

D: Hadis-hadis musykil dari sudut logika dan norma-norma agama.

Contoh no: 2

Nabi Musa mandi bertelanjang.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Adalah kaum Bani Israil mereka mandi dalam keadaan bertelanjang sehingga sebahagian mereka dapat melihat sebahagian yang lain. Namun Musa ‘alaihi salam, beliau hanya mandi bersendirian.

Mereka (Bani Israil) berkata: “Demi Allah, tidaklah Musa hendak mandi bersama kami kecuali kerana dia menghadapi kecacatan pada kemaluannya.”

Maka di satu ketika Musa pergi untuk mandi, beliau meletakkan pakaiannya di atas batu lalu bergeraklah batu itu bersama pakaiannya. Maka Musa mengejar batu tersebut sambil berkata: “Pakaian aku wahai si-batu !” Di ketika itu kaum Bani Israil dapat melihat Musa (dalam keadaan telanjang) lalu berkata: “Demi Allah, tidaklah Musa menghadapi apa-apa kecacatan.”

Kemudian Musa mengambil semula pakaiannya dan lantas memukul batu tersebut.[1]

Kemusykilan:

Adalah sukar untuk menerima hadis ini kerana sangat tidak mungkin Nabi Musa ‘alaihi salam akan mandi secara bertelanjang sehingga kelihatan kemaluannya. Lebih dari itu bagaimana mungkin sebuah batu boleh bergerak ?

Penjelasan:

Kemusykilan di atas akan dijelaskan dalam dua bahagian:

Pertama: Hukum mandi bertelanjang.

Adalah menjadi sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan sekaligus tuntutan ke atas umatnya untuk mandi tidak bertelanjang di hadapan orang ramai. Dalam hadis-hadis diterangkan bahawa apabila Rasulullah mandi, salah seorang isterinya atau anaknya akan memegang kain sebagai pendinding.[2] Dalam sebuah hadisnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla adalah pemalu dan suka menutupi. Dia menyukai seseorang yang tahu malu dan menutupi dirinya. Oleh itu apabila seseorang daripada kamu mandi, bertutuplah (berlindunglah).[3]

Pernah seseorang bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, bolehkah seseorang itu menampakkan auratnya, yakni bertelanjang apabila dia berseorangan ? Rasulullah menjawab:

Allah lebih berhak untuk dimalui daripada manusia.[4]

Demikian adalah syari‘at bagi umat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam. Diperselisihkan sama ada syari‘at yang sama diturunkan kepada umat Nabi Musa ‘alaihi salam, khasnya dalam bab etika mandi. Ini adalah kerana bagi setiap umat ada syari‘atnya yang tertentu seperti firman Allah ‘Azza wa Jalla:

Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan satu syari‘at dan jalan agama. [al-Maidah 5:48]

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syari‘at yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan. [al-Hajj 22:67]

Hadis di atas: Adalah kaum Bani Israil mereka mandi dalam keadaan bertelanjang… menjadi petunjuk bahawa etika mandi bagi umat Nabi Musa ‘alaihi salam adalah berbeza dengan umat Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka tidak dituntut untuk melindungi diri mereka daripada dilihat oleh sesama mereka. Sekalipun demikian, Nabi Musa ‘alaihi salam sebagai seorang hamba pilihan dan pesuruh Allah tidak mandi bersama-sama di hadapan orang ramai.

Oleh itu etika mandi secara bertelanjang di hadapan orang ramai hanyalah memusykilkan bagi umat Nabi Muhammad dan tidak bagi umat Nabi Musa kerana ia tidak dituntut oleh syari‘at mereka.

Kedua: Bagaimana sebuah batu boleh bergerak ?

Hal ini sebenarnya termasuk salah satu kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala demi memelihara para Rasul, Nabi dan hamba-hamba pilihan-Nya. Allah Ta‘ala menerangkan hakikat ini dalam ayat-Nya:

 Kemudian Kami selamatkan Rasul Kami dan orang-orang yang beriman. Demikianlah juga sebagai kewajipan Kami, Kami selamatkan orang-orang yang beriman. [Yunus 10:103]

Pemeliharaan Allah Ta‘ala terhadap hamba-hamba pilihan-Nya boleh wujud dalam pelbagai bentuk dan cara, dan salah satu darinya dikisahkan dalam hadis di atas. Apakah cara terbaik untuk membersihkan tuduhan yang dilemparkan ke atas Nabi Musa ‘alahi salam oleh umatnya bahawa kononnya beliau menghadapi kecacatan pada kemaluannya melainkan dinampakkan terus supaya dapat mereka lihat dengan mata kepala sendiri ? Hal ini mungkin memusykilkan bagi kita umat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam tetapi sebagaimana yang telah diterangkan di atas, hal ini adalah satu kebiasaan bagi umat Nabi Musa ‘alaihi salam.

Adapun batu yang bergerak, ia adalah salah satu kekuasaan dan rancangan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam rangka membersihkan Nabi-Nya Musa ‘alaihi salam daripada tuduhan kaumnya. Menggerakkan batu adalah mudah sahaja bagi Allah sebagaimana firman-Nya:

 Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “Jadilah engkau !” Maka ia terus menjadi. [Yasin 36: 82]

Hal ini sebagaimana mudahnya Allah Ta‘ala memelihara Nabi Ibrahim ‘alaihi salam daripada kepanasan api yang digunakan oleh kaumnya untuk menghukumnya:

 (Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: “Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya !”

Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim !”. [al-‘Anbiyaa’ 21:68-69][5]


 

[1]              Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 279 (Kitab Ghusl, Bab Bab Mandi berseorangan dalam keadaan telanjang...............).

[2]              Lihat Sahih al-Bukhari – no: 280-281 (Kitab Ghusl, Bab Mendinding diri daripada orang ramai ketika mandi).

[3]              Sahih: Hadis daripada Ya’la bin Umaih radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Abu Daud, Al-Nasa’i, al-Hakim dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud – no: 4011 (Kitab al-Hamam, Bab Larangan untuk bertelanjang).

[4]              Hasan: Sebahagian dari hadis yang dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan Ibn Majah, juga oleh al-Bukhari secara mu’allaq, dinilai hasan oleh oleh Mahmud Muhammad Mahmud dalam Sunan Ibn Majah – no: 1920 (Kitab Nikah, Bab Melindung diri ketika bersetubuh).

[5]              Hadis-hadis dalam Contoh no: 1 & 2 di atas (Bahagian D) sengaja menjadi pilihan penulis bagi menjawab hujah Syiah bahawa kononnya dalam kitab Sahih al-Bukhari terdapat hadis-hadis maudhu’ yang berasal daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu. Tuduhan ini paling awal mereka kemukakan dalam buku (dialog) Peshawar Nights (1927M). Dengan penjelasan di atas maka terangkatlah tuduhan ini. Perbandingkan juga dengan keterangan Muhammad al-Ghazali dalam bukunya Sunnah Nabi: Antara Ahli Fiqah dan Ahli Hadis (terj: Ismail Ibrahim; Nurin, Kuala Lumpur 1990), ms 27-33.

 

 
 

Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis