K  a  e  d  a  h
Memahami Hadis-hadis 
M u s y k i l .

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman

Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4  || contoh 5

 

C: Hadis-hadis musykil tentang wanita

Pengenalan dan kaedah memahaminya.

Yang dimaksudkan sebagai hadis-hadis musykil tentang wanita ialah beberapa hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang pada zahirnya kelihatan seolah-olah merendah-rendahkan dan menghina wanita. Hadis-hadis seperti ini masyhur digunakan oleh para orientalis untuk mengkritik Islam dan oleh para modernis untuk mengkritik institusi hadis Nabawiyah secara sebahagian atau keseluruhan.

Penulis tidak bercadang untuk membahas kedudukan wanita dalam Islam kerana telah banyak bahan-bahan bertulis yang sedia ada tentangnya[1]. Di sini penulis hanya akan memberikan tumpuan kepada hadis-hadis yang dianggap musykil tentang wanita. Kemusykilan hadis-hadis ini dapat dihilangkan dengan:

[1]      Mengkaji isnad hadis tersebut, adakah ianya sahih atau dha‘if. Sebahagian besar hadis-hadis yang musykil tentang wanita adalah sangat dha‘if, palsu atau tidak memiliki asal usulnya, seperti:

(a)      Kalau bukan kerana wanita nescaya Allah disembah dengan sebenar-benarnya.[2]

(b)      Bermusyawarahlah kalian (lelaki) dengan mereka (wanita) dan (kemudian) tentanglah pendapat mereka.[3]

(c)      Tentanglah oleh kamu pendapat kaum wanita kerana dalam menentang pendapat mereka terdapat keberkatan.[4]

(d)      Mematuhi wanita bererti penyelasalan.[5]

(e)      Celakalah kaum lelaki ketika mereka mentaati kaum wanita.[6]

(f)      Tidak boleh kahwin dengan wanita kecuali yang sedarjat.[7]

(g)      Janganlah kamu kahwin dengan wanita yang bodoh kerana berkahwin dengannya adalah satu bala manakala anak keturunannya adalah sia-sia.[8]

(h)      Memandang ke wajah wanita yang cantik dan sesuatu yang hijau akan menambah kesegaran mata.[9]

(i)       Jika tidak kerana wanita kaum lelaki pasti masuk syurga.[10]

(j)      Janganlah kamu memberi tempat kepada mereka (wanita) di dalam kamar-kamar dan jangan kamu ajar mereka menulis, tetapi ajarlah mereka bagaimana memintal benang dan surah al-Nur.[11]

[2]     Menggandingkan hadis tersebut dengan lain-lain hadis sehingga dapat difahami apakah maksud sebenar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

[3]     Mengkaji latar belakang dan suasana persekitaran Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ketika menyampaikannya sehingga dapat dikenal pasti adakah hadis tersebut umum untuk semua sepanjang zaman atau khusus untuk seseorang individu pada satu ketika.

Berikut dikemukakan beberapa hadis muyskil yang masyhur dipersoalkan.


 

[1]              Antara yang penulis syorkan ialah:

[1]           Wanita Sempurna Menurut Pandangan Islam oleh Muhammad Imran (terj: Fathilah M. Alipiah; Dar al-Alami, Kuala Lumpur 1993).

[2]           Women in Shari‘ah (Islamic Law) oleh ‘Abdul Rahman I. Doi (A.S. Noordeen, Kuala Lumpur 1990).

[3]           Woman in Islamic Syari‘ah oleh Wahiduddin Khan (The Islamic Centre, Delhi 1995).

[4]           Jatidiri Wanita Muslimah oleh M. ‘Ali al-Hasyimy (terj: ‘Abdul Ghoffar; al-Kautsar, Jakarta 2000).

[5]           Menggugat Sejarah Perempuan: Mewujudkan Idealisme Gender Sesuai Tuntutan Islam oleh Fatima ‘Umar Nasif (terj: B. Wirasubrata & Kundan Nuryakien; Cendekia Sentra Muslim, Jakarta 2001).

[6]           Kebebasan Wanita oleh ‘Abdul Halim Abu Syuqqah (terj: Chairul Halim; Gema Insani, Jakarta 1997). Telah juga diterbit di Malaysia oleh Jahabersa, lihat http://www.jahabersa.com.my/store/My/productdetail.asp?ISBN=983-077-430-9

[7]           Wanita Menurut Syari‘at Islam dan Peradaban Moden oleh Mustafa al-Sibai’ (terj: Halimuddin; Pustaka Antara 1986).

[2]              Lihat Nasr al-Din al-Albani – Silsilah Hadits Dha‘if dan Maudhu’(terj: A.M. Basalamah; Gema Insani, Jakarta 1995) – no: 56.

[3]              Ibid – mo: 430.

[4]              Ibid – no: 430.

[5]              Ibid – no: 435.

[6]              Ibid – no: 436.

[7]              Lihat A. Yazid dan Qasim Koho – Himpunan Hadits-hadits Lemah dan Palsu (Bina Ilmu, Surabaya 2000) – no: 317.

[8]              Ibid – no: 318.

[9]              Ibid – no: 440.

[10]             Ibid – no: 513.

[11]             Ibid – no: 514.

 

 
 

Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis