K  a  e  d  a  h
Memahami Hadis-hadis 
M u s y k i l .

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman

Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4  || contoh 5 || contoh 6 || contoH 7

 

B: Hadis-hadis musykil dari sudut ilmu perubatan moden.

Pengenalan dan kaedah memahaminya.

Terdapat banyak hadis yang menerangkan kaedah perubatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi pada masa kini sesetengah kaedah perubatan tersebut dipandang sebagai tidak sesuai malah boleh mengakibatkan mudarat kepada pesakitnya.

Ketahuilah bahawa kemusykilan terhadap kaedah perubatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dapat dijawab dengan memerhatikan beberapa hal berikut:

[1]      Adakah hadis-hadis yang menerangkan kaedah perubatan tersebut benar-benar berasal daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ? Adakah hadis yang mengkhabarkannya bertaraf sahih ?

[2]     Kaedah perubatan adalah sesuatu yang sentiasa berubah-ubah mengikut tamadun manusia. Ada kaedah perubatan yang tepat di zaman dahulu tetapi dianggap salah di masa kini dan ada kaedah perubatan yang dianggap tepat pada masa kini mungkin akan dianggap aneh di masa akan datang.

Kaedah perubatan yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam adalah sesuatu yang sesuai dengan suasana masyarakat di zamannya. Ia adalah sesuatu yang diterima dan terbukti berkesan. Setakat ini tidak kita temui sebuah hadis sahih yang menerangkan kes kematian pesakit hasil diagnosa Rasulullah. Hal ini jauh berbeza dengan kaedah perubatan masa kini di mana penggunaan beberapa jenis ubat yang berasaskan steroid dan rawatan tertentu yang banyak memberi kesan sampingan yang negatif termasuk kematian.

Oleh itu sangat perlu dipertimbangkan semula kaedah perubatan siapakah yang memusykilkan ?

[3]     Adakah hadis-hadis tersebut diterjemah dan difahami dengan tepat sebagaimana yang seharusnya?

[4]     Menjadi perbincangan di kalangan ilmuan adakah kaedah perubatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersumber dari wahyu atau ijtihad baginda sendiri ? Penulis berpendapat, kaedah perubatan Rasulullah adalah merupakan ijtihad baginda sendiri di bawah pengawasan wahyu. Antara bukti terkuat dalam hal ini ialah hadis berikut:

Sa‘ad bin Abi Waqas radiallahu ‘anhu berkata, saya pernah terkena sakit yang berat, lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam datang menziarah aku. Baginda meletakkan tangannya di dada aku sehingga terasa kesejukan sehingga ke hatiku. Kemudian baginda bersabda:

Sesungguhnya engkau seorang lelaki yang dihinggap penyakit dada, pergilah kepada al-Harith bin Khaldah, saudara Thaqif. Dia seorang yang boleh mengubati (kamu). [1]

Diperselisihkan sama ada al-Harith bin Khaldah telah masuk Islam atau tidak ketika Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengutuskan beliau sebagai doktor.[2] Namun hadis ini menjadi dalil bahawa Rasulullah tidak diutuskan Allah kepada umat sebagai doktor kerana jika inilah halnya, pasti baginda sendiri yang akan merawat Sa‘ad bin Abi Waqas tanpa mengutus orang lain.

Berikut dikemukakan beberapa hadis tentang prinsip dan kaedah perubatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang dianggap memusykilkan.


 

[1]              Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud (3727) dari jalan Mujahid, daripada Sa‘id bin Abi Waqas, bahawa........ Isnad ini terputus kerana Mujahid tidak pernah mendengar daripada Sa‘id bin Abi Waqas. Berkata Abu Hatim al-Razi, Mujahid sebenarnya menerima hadis ini daripada Mas‘ab bin Sa‘id, daripada Sa‘id bin Abi Waqas. Demikian ulas al-Munziri sebagaimana nukil Syamsul Haq Abadi dalam Aunul Ma’bud Syarah Sunan Abu Daud (Dar al-Fikr, Beirut 1995), jld 10, ms 276.  Justeru isnad hadis ini dinilai baik (jayyid) oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam Zaad al-Ma‘ad (Maktabah al-‘Asriyyah, Beirut 2000), jld 6, ms 144 manakala dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh 2000) – no: 3876 (Kitab Tibb, Bab Tentang kurma Ajwa).

[2]              Antara lain lihat Ibn Abi Hatim al-Razi – Jarh wa al-Ta’dil (Dar al-Fikr, Beirut 1952) – no: 401; Ibn Abd al-Bar – al-Isti‘ab fi Ma’rifat al-Ashab (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995) – no: 404 dan Ibn Hajar al-Asqalani – al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995) – no: 1480.

 

 
 

Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis