K  a  e  d  a  h
Memahami Hadis-hadis 
M u s y k i l .

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman

Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4

 

A: Hadis-hadis musykil dari sudut ilmu Sains.

Contoh 4:

Orang kafir memiliki 7 usus.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Orang mukmin makan dengan satu usus manakala orang kafir makan dengan tujuh usus.[1]

Kemusykilan:

Disepakati oleh semua doktor bahawa semua manusia, tanpa mengira Muslim atau Kafir, memiliki sistem usus yang sama. Maka bagaimana mungkin hadis di atas menerangkan bahawa orang Islam ada satu usus manakala orang kafir ada 7 usus ?

Penjelasan:

Hadis ini asalnya disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ketika seorang bukan Islam yang hadir atas jemputan baginda dihidang dengan perahan susu kambing. Tetamu tersebut minum perahan itu lalu meminta tambah, lalu diperahkan lagi untuknya. Dia minum dan meminta tambah lagi, begitulah seterusnya sehingga perahan ke tujuh. Pada keesokan harinya dia memeluk Islam lalu Rasulullah menjamu dia dengan perahan susu kambing. Dia minum sehingga habis namun apabila di jamu dengan perahan kedua, dia tidak meminumnya. Melihat itu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Orang mukmin makan dengan satu usus manakala orang kafir makan dengan 7 usus.[2]

Kisah di atas tidaklah membatasi maksud hadis kerana mengikut kaedah, sesuatu hadis yang memiliki lafaz umum tidak terikat dengan sebab-sebab yang melahirkannya. Justeru sabda Rasulullah: Orang mukmin, dia makan dengan satu usus manakala orang kafir dia makan dengan 7 usus tidaklah terikat kepada tetamu yang minum 7 perahan susu kambing di atas.

Maksud Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membezakan antara satu dan tujuh usus bukanlah bertujuan memberi pengertian dari sudut sains biologi tetapi adalah satu kiasan (majaz) bahawa orang Islam makan sedikit manakala orang bukan Islam makan banyak.

Angka tujuh atau tujuh puluh lazimnya digunakan oleh masyarakat Arab bagi menunjukkan satu jumlah yang banyak. Perhatikan tiga contoh berikut dari al-Qur’an:

 Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. [al-Baqarah 2:261]

 Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [Luqman 31:27] 

(Orang-orang munafik itu) sama sahaja (sama ada) engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka; yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan Rasul-Nya; dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik. [al-Taubah 9:80]

Oleh itu hadis di atas bukanlah bermaksud bahawa orang bukan Islam memiliki tujuh buah usus tetapi ia bermaksud bahawa orang bukan Islam makan dan minum dalam jumlah yang banyak. Berbeza halnya dengan orang mukmin, mereka makan dan minum dengan penuh hemat dan disiplin. Mereka makan hanya apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Mereka juga memberi keutamaan untuk berkongsi makanan dan tidak mengadu akan apa-apa yang tidak mereka suka selain berdiam sahaja.

Berikut dua buah ayat al-Qur’an tentang adab-adab pemakanan:

 Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. [al-A’raaf 7:31]

Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh - ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka. [Muhammad 47:12]

 


 

[1]              Sahih: Hadis daripada ‘Abdullah ibn ‘Umar, Abu Musa dan Abu Hurairah radiallahu ‘anhum, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5393 (Kitab Makanan, Bab Seorang mukmin dia makan.......).

[2]              Sahih: Ringkasan hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim, al-Tirmizi dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2063 (Kitab Minuman, Bab Seorang mukmin dia makan.......).

 
 

 

Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis