Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

Kenapakah wujud hadis-hadis yang nampak seolah-olah bercanggah ?

Setelah merujuk kepada dalil-dalil al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di atas, jelas kepada kita bahawa tidak mungkin wujud hadis-hadis yang saling bercanggah antara satu sama lain. Timbul pula persoalan – jika benar demikian, kenapakah wujud hadis-hadis yang nampak seolah-olah bercanggah antara satu sama lain?

           Faktor utama yang menyebabkan hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kelihatan seolah-olah bercanggah ialah kerana kecetekan ilmu orang yang mendakwa sedemikian. Yang mendakwa sebenarnya tidak tahu membezakan antara hadis sahih dan daif, hadis yang sah dan yang telah dibatalkan, kaedah-kaedah tarjih dan maksud sebenar sesuatu hadis.

Abu Bakar al-Shairafi [37] menukil daripada Muhammad bin Idris al-Shafi‘i [38] bahawa: Selama tidak akan mungkin terjadi percanggahan antara dua hadis yang sahih – salah satu meniadakan yang lainnya baik dalam bentuk ‘am (umum maksudnya) – khasnya (khusus maksudnya) dan ijmal – tafsirnya. Kecuali dalam bentuk nasikh – mansukh apabila dapat diketahui masa datangnya.[39]

Ibn Hazm berkata [40] Tidak akan terjadi percanggahan sedikitpun dalam al-Qur’an dan hadis. Percanggahan hanya terjadi kerana keterbatasan ilmu pengetahuan kita.[41]

Abu Ishaq al-Syatibi [42] berkata: Perselisihan tersebut (antara dalil-dalil syara’) timbul kerana kelemahan mereka dalam memahami dan menemukan tujuan-tujuan Allah yang terkandung dalam nas-nas-Nya, Ia bukan kerana adanya percanggahan dalam dalil-dalil syara’ sendiri secara hakiki.[43]

Ibn al-Qayyim berkata [44]: Sekelompok orang menduga bahawa ada hadis-hadis Nabi yang berlawanan dengan hadis-hadis lainnya, saling menggugur dan bertentangan. Kami berpendapat bahawa tidak akan ada pertentangan antara hadis-hadis sahih.

Apabila terjadi pertentangan, mungkin salah satunya bukan bersumber daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Sesetengah perawi boleh sahaja berbuat silap dalam hal ini. Jika dia bersifat terpercaya (yakni isnadnya kuat-P), mungkin salah satu hadis menasakh hadis lainnya jika memang ia dapat dinasakhkan, atau mungkin pertentangan tersebut hanya menurut pemahaman para rawi hadis (orang yang mendengarnya-P), bukan kerana sabda Nabi itu sendiri.

Tiga kemungkinan inilah yang dapat terjadi. Apabila terdapat dua hadis sahih yang saling bercanggah dalam seluruh seginya (dan) salah satu darinya dapat menasakh yang lainnya, maka ini tidak perlu diselaraskan (kerana percanggahan telah dihilangkan).

Tidak ada ucapan yang keluar dari bibir baginda (Rasulullah) kecuali ucapan yang benar. Kesalahan terjadi kerana kelemahan kita dalam mengetahui sesuatu dalil, atau kelemahan kita untuk membezakan hadis sahih dan tidak sahih, atau kerana kelemahan kita dalam memahami maksud (tujuan) sabda Nabi, atau pemahaman kita yang tidak selari dengan kehendak beliau.[45]

           Muhammad Wafa [46] menulis: Jelas bagi kita bahawa pertentangan mutlak tidak mungkin terjadi secara hakiki di antara dalil syara’ kerana semuanya bersumber daripada Allah yang Maha Bijaksana. Tidak mungkin daripada-Nya datang dua dalil yang saling  bertentangan melibatkan waktu, objek dan pelaku yang sama. Ini sangatlah kontradiktif. Pertentangan merupakan tanda kejahilan dan kelemahan. Allah tidak mungkin bersikap demikian. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa tidak ada pertentangan antara dalil-dalil qath‘i (yang jelas) dan antara dalil-dalil zanni (samar-samar), juga antara firman Allah sendiri dengan sabda Nabi kerana sabda Nabi adalah termasuk wahyu Allah.

            Apabila terjadi pertentangan antara dalil-dalil syara’, maka itu hanyalah menurut pandangan dan pemikiran para mujtahid sahaja. Ini kerana perbezaan penemuan dan kekuatan pemahaman yang dimilikinya. Ini adalah pertentangan bersifat fiktif yang timbul menurut pandangan dan pemikiran para mujtahid sahaja, kerana ketidaktahuan mereka terhadap masa datangnya dua dalil yang saling bertentangan tersebut, atau kerana kesalahan mereka dalam memahami maksud dan tujuan dalil-dalil tersebut, atau kerana ketidaktahuan mereka terhadap cara-cara tarjih dan menyelaras dalil-dalil yang saling bertentangan tersebut.[47]

 

===========================

[37]         Beliau ialah Imam Muhammad ibn Abdillah al-Shairafi, seorang tokoh besar yang paling alim dalam bidang usul selepas al-Shafi‘i. Antara karyanya yang unggul ialah al-Bayan fi Dalail al I’lam ‘ala Usul al-Ahkam fi Usul al-Fiqh dan Syarh al-Risalah li al-Shafi‘i. Meninggal dunia pada tahun 330H.  

[38]        Beliau terkenal dengan gelaran Imam al-Shafi‘i, kepada beliau disandarkan Mazhab Shafi‘i. Dilahirkan di Gizza, Palastin dan berhijrah ke Mekah, Madinah, Baghdad, Yaman, Mesir dan banyak lagi untuk menuntut dan menyampaikan ilmu. Meninggal dunia di Mesir pada tahun 204H.

[39]         Diutarakan oleh al-Syaukani dalam Irsyad al-Fuhul, ms 275; dikemukakan oleh M. Wafaa dalam Metode Tarjih, ms 53.

[40]           Beliau ialah Imam ‘Ali bin Ahmad bin Said bin Hazm, seorang tokoh besar dunia Islam yang berasal dari Cordova, Sepanyol. Karya-karyanya menjadi bahan kajian dan perbandingan oleh lain-lain tokoh Islam sepanjang zaman dari pelbagai mazhab. Meninggal dunia pada tahun 456H.

[41]          al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, jld 2, ms 204-205; dikemukakan oleh M. Wafaa dalam Metode Tarjih, ms 55-56.

[42]         Beliau ialah Imam Ibrahim bin Musa bin Muhammad al-Lakhmi al-Gharmati, seorang tokoh besar dunia Islam yang berasal dari Kardova, Sepanyol. Antara karya beliau yang masyhur ialah al-Muwafaqat fi Usul al-Syari‘ah di mana beliau membincangkan usul-usul syari‘at dari sudut maksud, tujuan dan objektifnya. Apa yang diusulkan oleh beliau kini menjadi perhatian para mujthid, ilmuan dan pemikiran Islam bagi memecahkan belenggu kebuntuan fiqh semasa. Namun masih ada segelintir yang enggan menerima apa yang diusulkan oleh al-Syatibi semata-mata kerana beliau ialah seorang tokoh dalam Mazhab Maliki manakala mereka pula (yang enggan) adalah dari Mazhab lain. Semoga Allah memecahkan sikap primitif dan tembok-tembok taksub yang masih mengongkong minda kumpulan yang segelintir ini. al-Syatibi meninggal dunia pada tahun 790H.

[43]         al-Muwafaqat fi Usul al-Syari‘ah, jld 4, ms 123-131; dikemukakan oleh M. Wafaa dalam Metode Tarjih, ms 62.

[44]          Beliau ialah Imam Shamsuddin Muhammad bin Abu Bakar bin Ayub al-Dimisqi, seorang tokoh besar Islam di kurun ke 8 hijrah, anak murid kepada Ibn Taimiyah (728H), penyusun puluhan buah kitab dan risalah. Lahir dan meninggal dunia di Damaskus pada tahun 751H.

[45]           Zaad al-Ma‘ad , jld 3, ms 112; dikemukakan oleh M. Wafaa dalam Metode Tarjih, ms 53

[46]         Beliau ialah seorang pensyarah di Universiti Asyouth, Kaherah, Mesir dalam Fakulti Syari‘ah. Antara ahli fiqh yang ulung masa kini, telah mengarang buku-buku usul fiqh setebal 4 jilid, yang pertama khas tentang dasar-dasar syari‘at, iaitu al-Qur‘an dan al-Sunnah (Dilalat al-Awamir wa al-Nawahi fi al-Kitab wa al-Sunnah), kedua tentang dasar-dasar penetapan hukum syari‘at (Dilalat al-Kitab al-Syar‘i ‘ala al-Hukmi: al-Manthuq wa al-Mafhum), ketiga tentang bab Nasikh dan Mansukh (Ahkam al-Naskhi fi al-Syari‘at al-Islamiyah) dan keempat tentang kaedah menyelaras antara dalil-dalil yang bercanggah (Ta‘arudh al-‘Adillati al-Syari‘at min al-Kitab wa al-Sunnah wa al-Tarjih Bainaha). Buku keempat ini telah diterjemahkan sebagai Metode Tarjih atas Kontradiksi Dalil-dalil Syara’

[47]           Metode Tarjih, ms 66-67.

 

 

 
:: laman utama