Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

Penjelasan Tambahan Contoh 12:

Apabila seseorang itu berinteraksi dengan sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam, ada beberapa perkara yang sangat-sangat perlu dia perhati dan bezakan, iaitu:

[1]        Membezakan antara apa yang dibentuk oleh hadis-hadis berdasarkan ‘illah (inti hadis, sebab dan tujuannya) sementara apabila terhapusnya ‘illah maka terhapuslah juga hadis tersebut dan begitu juga sebaliknya.

[2]        Membezakan antara apa yang dibentuk oleh hadis-hadis yang berdasarkan ‘uruf (adat kebiasaan setempat, semasa) yang berubah dengan berubahnya tempat dan masa dan yang sebaliknya.

[3]        Membezakan antara apa yang umum daripada satu hadis kepada setiap mukallaf (orang yang dibebani hukum) dengan apa yang khusus bagi sesuatu keadaan dan kaum tertentu.

[4]        Membezakan antara apa yang dinyatakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam sebagai seorang pemimpin negara dengan apa yang dinyatakan oleh baginda sebagai seorang penyampai risalah Allah Azza wa Jalla.[145]

Hadis A dan B dalam Contoh no: 12 di atas adalah antara kes terbaik untuk memahami sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam kerana ia melibatkan pertimbangan ‘illah dan suasana. Jika dicermati hadis-hadis tersebut akan didapati bahawa ‘illahnya adalah pada memelihara kemaslahatan dan mengelakkan kemudaratan para muslimah ketika mereka bermusafir. ‘Illah ini adalah merupakan suatu sifat yang unggul dalam syari‘at Islam di mana jika kita renungi semua hukum-hukum syari‘at Islam, akan didapati tujuan dan objektifnya hanyalah pada memelihara kemaslahatan dan mengelakkan kemudaratan umat sejagat.

Berkata Ibn al-Qayyim: Sesungguhnya dasar dan asas syari‘at adalah kebijaksanaan-kebijaksanaan dan kebaikan untuk umat manusia dalam kehidupan dunia ini dan kehidupan yang akan datang. Syari‘at membawa keadilan, rahmat dan kemaslahatan bagi semuanya sehingga setiap masalah yang keluar dari keadilan menuju kesesatan, dari rahmat menuju yang sebaliknya, dan dari kemaslahatan menuju kepada kerosakan, serta dari hikmah menuju kekacauan, maka yang sedemikian tidaklah dikira sebagai syari‘at sekalipun melalui takwil (penafsiran).[146]

Apabila berubahnya suasana sekeliling maka ketetapan hukum juga berubah manakala tujuan penetapan hukum adalah tetap sama. Kerana pada hakikatnya hukum-hukum yang dibangunkan di atas landasan kemaslahatan tertentu tetap diakui asalkan kandungan maslahat tersebut masih ada, yang merupakan kerangka dan sumber hukum itu sendiri. Namun jika kemaslahatan tidak ada lagi maka hukumnya wajib berubah sesuai dengan taraf kemaslahatannya. Kerana wujudnya sesuatu hukum itu harus sentiasa berdampingan dengan alasan dan tujuannya.[147]

Maka atas dasar inilah di kalangan para mujtahid, ada yang membenarkan wanita untuk bermusafir sekalipun tanpa mahramnya dan melebihi perjalanan tiga hari, asalkan wanita tersebut dapat memastikan musafirnya adalah selamat, seperti bermusafir bersama sekumpulan orang yang amanah dan sebagainya.[148]

             Banyak bencana yang menimpa umat Islam masa kini kerana mereka, termasuk tokoh-tokoh agama, tidak faham akan cara-cara yang sebenar untuk berinteraksi dengan syari‘at Islam, sesuai dengan peredaran zaman dan peradaban umat. Rata-rata kita dapati umat terbahagi kepada dua, yang pertama adalah mereka yang mengongkongkan diri dengan zahir syari‘at manakala yang kedua adalah mereka yang membebaskan diri dari keseluruhan syari‘at. Hanya segelintir yang berada di pertengahan antara dua kelompok di atas, iaitu mereka yang menggunakan syari‘at sebagai pengurus dan pengendali, demi mencapai kemaslahatan dan menolak kemudaratan. Semoga kita semua termasuk dalam kelompok pertengahan ini, insya-Allah.[149]

 

 

===========================

[145]       Bagi setiap kategori ini, lihat penjelasannya oleh Yusuf al-Qaradhawi dalam Pelaksanaan Syari‘ah Islam: Sesuai pada setiap tempat dan masa, ms 140-165.

[146]        I’lam al-Muwaqi‘in, ms 459 (jld 3, bab pertama).

[147]        Yusuf al-Qaradhawi – Fikih Taisir: Metode Praktis Mempelajari Fikih, ms 93.

[148]        Khasnya para mujtahid Mazhab Shafi‘i, lihat mana-mana kitab fiqh mereka dalam bab Haji dan Umrah, hukum bagi seorang wanita menunaikan Haji dan Umrah tanpa mahram.

[149]        Tiada cara mudah melainkan dengan menuntut ilmu, disyorkan untuk membaca buku-buku Yusuf al-Qaradhawi dalam bab ini, antaranya: al-Makdhal li Dirasat al-Syari’ah Islamiyah dan al-Siyasah al-Syar‘iyyah fi Dhau‘i Nushuh al-Syari’ah wa Maqashiduha. Kedua-duanya telah diterjemahkan sebagai Membumikan Syari‘at Islam dan Pedoman Bernegara dalam Perspektif Islam.

 

 
:: laman utama