Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 17

Hadis A: Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

          Tidak halal sedekah bagi orang yang kaya, dan tidak bagi orang yang berkebolehan lagi normal (sihat dan kuat).[201]

            Hadis B: Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Setiap peminta (sedekah) mempunyai haknya, sekalipun dia datang dengan menunggang kuda.[202]

Di atas adalah sebuah lagi contoh dua hadis yang nampaknya bercanggah. Hadis A melarang sedekah kepada peminta yang memiliki harta dan berkemampuan fizikal. Hadis B pula menerangkan bahawa setiap peminta sedekah perlu kita layani, sekalipun dia berkenderaan mewah. Hadis B berlawanan dengan Hadis A kerana seorang peminta yang berkenderaan mewah termasuk dalam kategori peminta yang kaya dan berkemampuan fizikal.

Sebenarnya tidak ada percanggahan di antara dua hadis di atas, malah ia sebenarnya saling melengkap antara satu sama lain apabila kita memahami benar-benar maksud dan tujuan setiap hadis.

Islam pada dasarnya memang tidak menyukai amalan meminta-minta sedekah oleh umatnya yang berkemampuan fizikal. Islam menuntut agar mereka berkerja sekadar mampu dan berpuas hati dengan apa yang mereka perolehi sekalipun ia adalah perkerjaan yang dipandang rendah oleh manusia. Yang pentingnya, ia mulia di sisi Allah Tabaraka wa Ta‘ala. Dan pasti ini jauh lebih baik dan lebih mulia dari meminta-minta sedekah dari orang lain. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

           Sungguh seseorang di antara kalian mengambil tali, lalu dia pergi dengan mengikat (dan memikul) kayu bakar di belakangnya lalu dijual, maka dengan itu Allah menyelamatkan air mukanya, adalah lebih baik bagi dia daripada meminta-minta kepada manusia, sama ada dia diberi atau tidak diberi (sedekah).[203]

Jika seseorang itu memiliki kemampuan fizikal dan berkemampuan tetapi masih hendak meminta sedekah, maka Islam memberi peringatan tegas kepada mereka. Amaran Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Sesiapa meminta-minta kepada orang lain padahal tiada yang menghalangi dia atau keluarganya dengan kesusahan dan dia berkemampuan atas mereka, maka pada Hari Kiamat dia akan datang dengan wajah yang tanpa berdaging sedikitpun.[204]

Sesiapa meminta-minta kepada orang lain kerana ingin memperoleh lebih banyak padahal dia bercukupan, maka sesungguhnya dia memperbanyakan bara api (neraka) Jahanam. Lalu bertanya orang: Apakah yang dikatakan sebagai melebihi kecukupan ? Jawab Rasulullah: Keperluan makan sehingga malam.[205]

Salah seorang di antara kalian sentiasa meminta-minta (sedekah) sehingga dia bersua dengan Allah Azza wa Jalla (di Hari Akhirat kelak) sedang di mukanya tidak ada segumpal daging (yang tertinggal lagi).[206]

            Adapun hadis yang menyuruh kita memberi sedekah sekalipun kepada seorang peminta yang berkenderaan mewah (Hadis B), maka ia adalah menjadi petunjuk agar kita tidak menilai seseorang semata-mata berdasarkan apa yang zahir tentangnya. Kerana mungkin sahaja kelebihan yang dilihat pada diri peminta tersebut bukanlah sesuatu yang hakiki, dia mungkin menghadapi masalah lain yang tersangat berat yang terselindung di sebalik kelebihan yang kita nampak pada zahirnya.[207] Contohnya, mungkin kenderaan tersebut dipinjamnya dari seorang rakan dan bukan milik sendiri.

Perhatikan hadis berikut ini daripada Qabisah bin Mukhariq radiallahu ‘anhu:

Aku sedang menanggung sebuah beban (seperti hutang) lalu aku datang kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam untuk bertanya kepada baginda tentangnya. Rasulullah menjawab: “Tunggulah sehingga ada orang datang kepada kami memberi sedekah. Aku akan menyuruh mereka bersedekah kepada engkau.” Kemudian Rasulullah menyambung:

Wahai Qabisah, Sesugguhnya perkara ini (meminta sedekah), tidaklah ia halal kecuali terhadap salah satu dari tiga sebab berikut:

[1] Seseorang yang memikul beban yang berat, maka dihalalkan baginya meminta sedekah sehingga dia dapat mencukupi dirinya sendiri, kemudian dia berhenti (dari meminta).

[2] Dan seseorang yang ditimpa musibah yang menghabiskan hartanya, maka dihalalkan baginya menerima sedekah sehingga dia dapat mencukupi keperluan hidupnya.

[3] Dan seseorang yang ditimpa kesulitan sehingga dipersaksikan oleh 3 orang dari kaumnya: “Sungguh dia ditimpa kesulitan.” Maka dihalalkan baginya sedekah sehingga dapat mencukupinya.

Selain yang tiga ini, jika seseorang meminta sedekah, wahai Qabisah, adalah haram, peminta tersebut sama dengan orang yang memakan barang haram.[208]

            Dari hadis di atas, jelas kepada kita bahawa dihalalkan sedekah kepada peminta yang berkemampuan fizikal atau nampak bercukupan. Ini adalah kerana di sebalik yang zahir dari diri peminta tersebut, dia mungkin menghadapi masalah yang berat seperti baru ditimpa kemalangan yang menghancurkan rumah kediaman dan segala isinya kerana banjir, tanah runtuh, kebakaran dan berbagai lagi.

Oleh itu apabila dikatakan setiap peminta sedekah ada haknya, yang dimaksudkan ialah setiap peminta itu ada hak untuk diberi pertimbangan yang sewajarnya sama ada dia layak atau tidak untuk menjadi peminta. Kita tidak boleh menolak seseorang peminta sedekah semata-mata kerana pengamatan kita dari sudut zahir peminta tersebut. Sebaiknya hendaklah kita menuntut 3 orang saksi bagi membenarkan tindakan peminta sedekah tersebut. Jika ini tidak tercapai, maka paling minimum hendaklah kita selidiki apakah masalahnya yang sebenar.

Jika dia benar-benar menghadapi masalah, maka dia layak untuk menjadi peminta sedekah. Jika dia tidak menghadapi masalah kecuali sifat malas, mengambil kesempatan dan salah faham terhadap konsep sedekah dalam agama, maka dia layak – malah wajib – diberi nasihat dan kata dua.

Memang memberatkan hati apabila kita melihat sikap segelintir umat masa kini yang memiliki segala kemampuan fizikal tetapi tidak mahu berusaha dan bekerja. Mereka mencari kesempatan dengan menadah tangan kepada orang ramai mengharapkan sedekah.  Kita umat Islam harus menangani masalah ini dengan penuh kebijaksanaan dan hikmah. Jika kita memiliki kekuatan, hendaklah kita duduk berbicara dengan mereka dan menasihati mereka dengan sebaik-baiknya. Jika tidak, maka memadailah ucapan salam dengan disertai senyuman di muka.

Berbeza halnya dengan peminta sedekah yang memiliki kecukupan fizikal tetapi tidak memiliki kekuatan diri dan bekalan ilmu untuk berusaha dan berkerja. Mereka ini adalah orang-orang yang meminta sedekah dengan menjual beberapa barangan ringan seperti tikar, sejadah, buku agama, rantai tasbih, perkakas ringan dan sebagainya. Maka mereka adalah orang-orang yang layak menerima sedekah. Malah, sekalipun barangan yang mereka jual tidak menjadi keperluan kita, hendaklah kita tetap menghulurkan sedekah tanpa mengambil barangan yang mereka jual. Barangan tersebut kita sedekahkan kembali kepada mereka.     

 

 

===========================

[201]        Sahih: Hadis daripada ‘Abd Allah ibn ‘Umar dan Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Darimi, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban, al-Hakim, al-Baihaqi dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud – no: 1634 (Kitab Zakat, Bab yang berhak menerima zakat dan batas kekayaan).

[202]       Sanad Sahih: Hadis daripada ‘Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh  Malik, Ahmad, Abu Daud, Ibn Khuzaimah, al-Baihaqi, Abu Ya’la dan al-Thabarani, sanadnya dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad – no: 1730. (Musnad Ahli Bait, Hadathana Husain bin ‘Ali radiallahu ‘anhu). Dalam sanadnya ada perbincangan lanjut, perbandingkan dengan keterangan Mustafa Azami dalam semakannya ke atas Sahih Ibn Khuzaimah – no: 2468 dan Husain Salim Asad dalam Musnad Abu Ya’la – no: 6784.

[203]      Sahih: Hadis daripada Zubair bin Awam radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Ibn Majah dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no:1471 (Kitab Zakat, Bab ke-50).

[204]      Hasan: Hadis daripada ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ibn Jarir dan al-Baihaqi (Shu‘abu al-Iman),dinukil oleh al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib – no: 1178 & 1179 (Kitab Sedekah, Bab Ancaman dari bersifat tamak dalam meminta-minta ......) dan dinilai hasan oleh Samir Ahmad al-‘Atar dan rakan-rakan.

[205]       Hasan: Hadis daripada 'Ali bin Abi Talib radiallahu 'anhu, dikeluarkan oleh 'Abd Allah bin Ahmad (Ziyadatul Musnad) dan al-Thabarani (al-Mu'jam al-Ausath), dinukil oleh al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib - no: 1188. (Kitab Sedekah, Bab Ancaman dari bersifat tamak dalam meminta-minta ......) dan dinilai hasan oleh Samir Ahmad al-'Atar dan rakan-rakan.

[206]       Sahih: Hadis daripada 'Abd Allah ibn 'Umar radiallahu 'anhuma, dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, lihat Sahih Muslim - no: 1040. (Kitab Zakat, Bab Larangan meminta-minta dari manusia).

[207]        Lebih lanjut lihat keterangan Syamsul Haq Abadi dalam Aun al-Ma'bud Syarh Sunan Abu Daud, jld 5, ms 63.

[208]        Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Muslim, Abu Daud, al-Nasa'i dan lain-lain, lihat Sahih Muslim - no: 1044. (Kitab Zakat, Bab Siapa yang dibolehkan dalam masalah meminta sedekah).

 

 

 
:: laman utama