FIQH HARTA: SATU PENGENALAN

 

Bahagian A:

Fiqh Hutang-Piutang Harta

 

Fiqh Hutang-Piutang Harta

Pertama: Tidak Digalakkan Berhutang.

Pada dasarnya kita umat Islam tidak digalakkan berhutang. Ini merujuk kepada sikap Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang keberatan melaksanakan solat jenazah bagi mayat yang masih memiliki tanggungan hutang. Lebih dari itu baginda pernah menyatakan:

يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلاَّ الدَّيْنَ.

Diampunkan bagi seorang (yang mati) syahid semua dosanya kecuali hutang.[1]

 

Pada ketika yang lain baginda bersabda:

 

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ

 

لَوْ أَنَّ رَجُلاً قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ أُحْيِيَ

 

ثُمَّ قُتِلَ ثُمَّ أُحْيِيَ

 

ثُمَّ قُتِلَ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ

 

مَا دَخَلَ الْجَنَّةَ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ دَيْنُهُ.

 

Demi nyawaku yang berada di tangan-Nya,

bahawa seseorang yang terbunuh di jalan Allah lalu hidup,

kemudian terbunuh lagi lalu hidup,

kemudian terbunuh lagi lalu hidup (mati syahid tiga kali) padahal dia memiliki tanggungan hutang,

dia tidak akan memasuki syurga sehinggalah hutang itu dibayar.[2]

 

 

Baginda menyatakan sedemikian sekalipun mati syahid adalah ganjaran paling besar yang mampu diperoleh seseorang. Bukti lain Islam tidak menggalakkan hutang ialah doa yang lazim dibaca oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ

 

وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ.

 

Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada kesusahan, kesedihan,

kelemahan, kemalasan, (sikap) kedekut, (sikap) pengecut, lilitan hutang dan dikuasai oleh orang lain.[3]

 

 

Tidaklah baginda meminta perlindungan daripada sesuatu melainkan perkara itu memiliki keburukan di dunia dan akhirat. Termasuk keburukan yang baginda minta perlindungan darinya, sepertimana hadis di atas, ialah hutang. A’isyah radhiallahu 'anha pernah menerangkan:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلاَةِ:

 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

 

وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

 

وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ,

 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ.

 

فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ: مَا أَكْثَرَ مَا تَسْتَعِيذُ مِنْ الْمَغْرَمِ؟

 

فَقَالَ: إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ.

 

Bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazimnya berdoa di dalam solat:

“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari azab kubur,

aku berlindung kepada Engkau dari fitnah al-Masih al-Dajjal,

aku berlindung kepada Engkau dari fitnah kehidupan dan fitnah kematian.

Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari dosa dan hutang.”

 

Lalu seseorang bertanya: “Apa yang menyebabkan anda banyak berlindung dari hutang?”

Baginda menjawab: “Sesungguhnya seorang yang berhutang (lazimnya)

apabila berbicara dia berdusta dan apabila berjanji dia memungkirinya.”[4]

 

 

Pada masa kini terdapat satu bentuk jual-beli secara berhutang yang berlaku secara meluas, iaitu jual beli melalui kad kredit. Jual-beli cara ini menyebabkan banyak orang berhutang dalam jumlah yang tinggi dan tidak dapat membayarnya. Ini sebagaimana yang lazim dilaporkan dalam berita tempatan. Justeru minimumkanlah penggunaan kad kredit kepada suasana yang benar-benar perlu sahaja.

 

 

Kedua: Tidak Melibatkan Riba.

Hutang-piutang dalam Islam tidak boleh melibatkan riba. Sebelum ini dalam Bahagian A: Fiqh Mencari Harta, telah diterangkan kesalahan besar riba. Berikut perincian tentang riba dari sudut hutang-piutang:

 

  1. Riba bermaksud tambahan sebagaimana yang dapat diperhatikan dalam ayat berikut:

Iaitu masing-masing menderhaka kepada Rasul (yang diutuskan oleh) Tuhan mereka,

lalu Allah menyeksa mereka dengan azab yang sentiasa bertambah (riba).

[al-Haqqah 69:10]

 

  1. Riba dalam pinjaman ialah apa-apa lebihan, sama ada sedikit atau banyak, yang diambil di atas harta pokok di dalam satu hutang-piutang. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu.

[al-Baqarah 2:279]

 

Oleh itu apabila Anuar meminjamkan RM500.00 kepada Zaid, tidak boleh mensyaratkan bayaran balik RM700.00 kerana tambahan RM200.00 ialah riba. Bayaran balik tetap harta pokok, iaitu RM500.00

 

  1. Riba mungkin disyaratkan oleh pemiutang, penghutang atau kedua-duanya. Contoh:

  • Kamarul meminjamkan RM100.00 kepada Azmi dan mensyaratkan Azmi membayar balik RM120.00. Tambahan RM20.00 ialah riba.

  • Jamal meminjam RM200.00 daripada Zainal dan berjanji akan membayar balik dalam masa enam bulan. Apabila sampai tempoh matang (enam bulan), Jamal tidak dapat membayar pinjamannya. Lalu dia meminta Zainal melanjutkan tempoh dengan tawaran akan membayar Zainal RM300.00. Tambahan RM100.00 yang ditawarkan ialah riba.

  • Aishah meminjamkan Norasyikin RM1200.00 dan pinjaman ini akan dibayar secara ansuran bulanan RM110.00 selama 12 bulan. Tambahan RM10.00 setiap bulan ialah riba.

  1. Tidak dibezakan sama ada tambahan yang diambil di atas harta pokok adalah banyak atau sedikit. Jika Sakinah meminjamkan Maryam RM350.00, dia tidak boleh mensyaratkan bayaran balik RM350.01. Tambahan satu sen tetap merupakan riba yang diharamkan.

 

Sebahagian pihak beranggapan riba hanyalah tambahan berganda-ganda di atas harta pokok. Jika tambahan hanya sedikit dan memadai, maka ia bukan riba. Anggapan ini disandarkan kepada ayat:

 

Wahai orang-orang yang beriman!

Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda,

dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.

[‘Ali Imran 3:130]

 

Perkataan berlipat-lipat ganda difahami sebagai tambahan yang banyak. Justeru tambahan yang sedikit dibolehkan.

 

Anggapan atau fahaman ini adalah salah. Ini kerana berlipat-lipat ganda yang dimaksudkan ialah riba yang asalnya kecil kemudian menjadi semakin besar tahun demi tahun kerana kegagalan peminjam membayar kepada penghutang. Perkara ini akan dapat kita fahami dengan tepat dengan merujuk kepada praktik riba pada zaman ayat di atas diturunkan. Zaid bin Aslam radhiallahu 'anh menerangkan, sebagaimana yang diriwayatkan oleh anaknya:

 

Sesungguhnya riba pada zaman jahiliyah merupakan gandaan di atas gandaan umur haiwan.[5] Ketika sampai tempoh matang, pemiutang akan berkata kepada penghutang: “Bayarlah aku atau tambahkan nilai hutang.” Maka jika penghutang memiliki sesuatu, dia akan membayarnya. Jika tidak, ditambah umur haiwan yang akan dibayar.

 

…demikianlah juga terhadap hutang harta, jika penghutang tidak dapat membayar, ia digandakan. Jika penghutang masih tidak dapat membayar, ia akan digandakan daripada seratus kepada dua ratus dan jika dia masih tidak dapat membayar, ia digandakan lagi menjadi empat ratus. Begitulah ia digandakan setiap tahun.[6]

 

Oleh itu riba yang berlipat-lipat ganda bukanlah tambahan RM1000.00 di atas pinjaman RM500.00 tetapi apa jua tambahan, sekalipun sedikit, yang akan semakin bertambah kadarnya tahun demi tahun. Ayat 130 surah Ali Imran tidak terpisah dari ayat 279 surah al-Baqarah: Maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. Kedua-duanya saling berkaitan dengan pengharamkan riba, sama ada sedikit atau berlipat ganda. Pemiutang hanya boleh mengambil balik harta pokoknya tanpa sebarang tambahan.

 

  1. Tujuan diharamkan riba ialah kerana ia menzalimi penghutang dan pemiutang. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah meninggalkan riba),

maka ketahuilah kamu akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya.

Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu.

(Dengan yang demikian) kamu tidak menzalimi dan tidak dizalimi.

[al-Baqarah 2:279]

 

Kamu tidak menzalimi… bererti pemiutang tidak menzalimi penghutang kerana jika pemiutang mensyaratkan riba, dia sebenarnya menyusutkan kedudukan kewangan penghutang yang pada saat itu dalam keadaan kekurangan.

 

 “…dan tidak dizalimi bererti penghutang tidak menzalimi pemiutang kerana jika penghutang setuju mengambil riba, dia sebenarnya menyusutkan harta pemiutang yang pada saat itu dalam keadaan berlebihan. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

Allah susutkan (harta yang diperoleh melalui) riba

dan Dia mengembangkan (harta yang dikeluarkan melalui) sedekah.

[al-Baqarah 2:276]

 

 

  1. Pinjaman tanpa riba, yang disebut sebagai Qardh Hasan, ditujukan kepada orang yang tidak berharta atau kepada orang yang ingin membina asas kehidupan seperti yuran pelajaran, belanja perkahwinan, membeli rumah pertama, membeli kereta pertama dan membayar kos perubatan. Allah Subhanahu wa Ta'ala mengumpamakan Qadr Hasan sebagai:

 

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah

sebagai pinjaman yang baik – Qardh Hasan – supaya Allah melipatgandakan (bayaran) kepadanya

dengan berganda-ganda banyaknya?

Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan

(pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.

[al-Baqarah 2:245]

 

 

Bagi orang berharta yang ingin berhutang atas sebab-sebab tertentu yang tidak berkaitan dengan asas kehidupan, maka Islam memiliki kaedah-kaedah pembiayaan tersendiri yang bebas daripada riba. 

 

  1. Semua orang yang terlibat dalam hutang-piutang riba dianggap memakan riba. Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh menerangkan:

 

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا

 

وَمُؤْكِلَهُ

 

وَكَاتِبَهُ

 

وَشَاهِدَيْهِ

 

وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ.

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaknat orang yang mengambil (hutang secara) riba,

yang memberi (hutang secara) riba,

yang menulis (perjanjian hutang piutang itu)

dan yang menjadi saksi (perjanjian hutang piutang itu).

Baginda menyatakan mereka semua sama sahaja.[7]

 

 

Ketiga: Mencatit Rekod Hutang.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

Wahai orang-orang yang beriman!

Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang

yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis

(hutang dan masa bayarannya) itu.

 

Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)

dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.

Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan

(isi surat hutang itu dengan jelas).

 

Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya,

dan janganlah dia mengurangkan sesuatupun dari hutang itu.

Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah

atau dia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu),

maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar.

 

Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu.

Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki,

maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi,

supaya jika seorang dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu lupa

maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.

 

Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.

Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu,

sama ada kecil atau besar jumlahnya.

Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi,

dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.

 

Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri,

maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya.

Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli.

Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan.

 

Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu),

maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu.

Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah;

dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu;

dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

 

Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang),

sedang kamu tidak mendapati jurutulis,

maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang

(oleh orang yang memberi hutang).

 

Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang

(dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian),

maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu

menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya

dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya.

 

Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi)

menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu.

Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya.

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

[al-Baqarah 2:282-283]

 

 

Beberapa pengajaran penting daripada ayat di atas:

  1. Hendaklah dicatit atau ditulis rekod antara pemiutang dan penghutang: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.

  2. Janganlah menjadi jemu atau menganggap remeh urusan mencatit hutang-piutang. Hendaklah dicatit sekalipun terhadap hutang-piutang yang kecil jumlahnya:Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya.

  3. Disamping mencatit, hendaklah hadir dua lelaki yang menjadi saksi bagi urusan hutang-piutang. Jika tidak ada lelaki, maka digantikan dengan dua orang perempuan bagi setiap seorang lelaki: Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi.

Menggantikan seorang saksi lelaki dengan dua orang saksi perempuan bukanlah bererti Islam mensetengahkan kedudukan perempuan berbanding lelaki akan tetapi demi memudahkan peranan perempuan sebagai saksi: supaya jika seorang dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu lupa maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.

 

Ini sebagaimana solat Zohor empat rakaat dipendekkan menjadi dua rakaat ketika musafir (qasar), ia tidaklah bererti mensetengahkan kedudukan solat fardhu akan tetapi demi memudahkan orang yang sedang dalam perjalanan.

 

  1. Jika hutang-piutang tidak dapat ditulis, seperti ketika dalam keadaan musafir, maka hendaklah penghutang memberikan barang gadaian kepada pemiutang: Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang).

  2. Pengecualian diberikan kepada pemiutang dan penghutang yang saling amanah antara satu sama lain:Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya.

 


 

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1886 (Kitab al-Imarah, Bab sesiapa yang terbunuh di jalan Allah dihapuskan segala kesalahannya kecuali hutang).

[2] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Nasa‘i dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa‘i, hadis no: 4698 (Kitab al-Buyu’ Bab penegasan berkenaan hutang).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6363 (Kitab al-Du‘awat, Bab memohon perlindungan daripada dikuasai oleh orang lain).

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 832 (Kitab al-Azan, Bab doa sebelum memberi salam).

[5] Yakni apabila meminjam haiwan ternak yang kecil umurnya, hendaklah dibayar dengan haiwan ternak yang lebih dewasa umurnya.

[6] Dikeluarkan oleh Ibn Jarir al-Thabari dalam Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Qur’an (Dar al-Fikr, Beirut, 1999), riwayat no: 6206.

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1598 (Kitab al-Musaqat, Bab dilaknat orang yang mengambil riba…)