FIQH HARTA: SATU PENGENALAN

 

Bahagian B:

Fiqh Jual-Beli Harta

 

Cara jual-beli yang diharamkan

Selain akhlak yang mulia, penjual dan pembeli muslim dilarang daripada melakukan interaksi urusniaga (business transaction) dengan cara yang diharamkan oleh Islam. Antara cara yang dimaksudkan ialah:

 

1. Dua Perjanjian Jual-Beli Dalam Satu Urusniaga.

Maksudnya, Ahmad menjual rumah kepada Jamal melalui kaedah bayaran bertahap-tahap selama sepuluh tahun dengan harga RM100,000.00 (perjanjian jual-beli pertama). Kemudian Ahmad membeli semula rumah yang sama daripada Jamal melalui kaedah bayaran terus dengan harga RM70,000.00 (perjanjian jual-beli kedua). Jual-beli seperti ini dilarang kerana ia adalah satu bentuk riba. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

مَنْ بَاعَ بَيْعَتَيْنِ فِي بَيْعَةٍ

 

فَلَهُ أَوْكَسُهُمَا أَوْ الرِّبَا.

 

Sesiapa menjual dengan dua perjanjian terhadap satu urusniaga,

maka baginya harga yang paling rendah, jika tidak ia adalah riba.[1]

 

 

2. Jualan Di Atas Jualan.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

لاَ يَبِيعُ الرَّجُلُ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ

 

حَتَّى يَبْتَاعَ أَوْ يَذَرَ.

 

Janganlah seseorang itu menjual di atas jualan saudaranya

sehinggalah pembeli melakukan pembelian atau dia meninggalkannya.[2]

 

 

Sebagai contoh, jika Sakinah sedang menjual buku kepada Khatijah, tidak boleh ada orang lain datang pada saat itu juga untuk menjualkan buku kepada Khatijah. Dari sudut yang lain, tidak boleh ada orang lain yang datang pada saat itu juga untuk membeli buku yang sedang dijual oleh Sakinah kepada Khatijah. Mereka hanya boleh melakukannya setelah urusan antara Sakinah dan Khatijah selesai, tanpa dibezakan sama ada Khatijah membeli buku tersebut atau tidak.

 

Pengecualian diberi kepada bentuk urusniaga yang sememangnya dilaksanakan secara persaingan, seperti lelong dan pengeluaran tender projek.

 

 

3. Orang Tengah.

Konsep “orang tengah” adalah sesuatu yang lazim berlaku pada masa kini. Biasanya orang tengah membeli daripada pengusaha yang lazimnya ialah orang luar bandar, dengan harga yang amat rendah lalu menjualnya kepada orang bandar dengan harga yang amat tinggi. Di sini berlaku kezaliman kepada kedua-dua pihak, orang luar bandar dan orang bandar. Atas sebab inilah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarangnya:

 

لاَ يَبِعْ حَاضِرٌ لِبَادٍ

 

دَعُوا النَّاسَ يَرْزُقْ اللَّهُ بَعْضَهُمْ مِنْ بَعْضٍ.

 

Janganlah orang bandar menjualkan barangan orang luar bandar.

Biarkanlah manusia, Allah akan merezekikan mereka (melalui urusniaga) di antara satu sama lain.[3]

 

 

Apabila orang luar bandar dalam perjalanan ke bandar untuk menjual barangannya, tidak boleh memintasnya di separuh jalan dan membeli barangannya terlebih dahulu. Ini kerana orang luar bandar itu tidak tahu harga pasaran yang sebenar di bandar sehingga dia mungkin dizalimi oleh orang yang membelinya di separuh jalan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegaskan:

 

لاَ تَلَقَّوْا الْجَلَبَ فَمَنْ تَلَقَّاهُ

 

فَاشْتَرَى مِنْهُ

 

فَإِذَا أَتَى سَيِّدُهُ السُّوقَ

 

فَهُوَ بِالْخِيَارِ.

 

Janganlah kalian memintas seorang peniaga yang sedang dalam perjalanan.

Sesiapa yang memintas dan membeli barangannya,

maka apabila peniaga itu sampai ke pasar (dan mendapati dia telah ditipu),

dia berhak memilih (untuk membatalkan jual-beli atau meminta jumlah harga yang sebenar).[4]

 

 

4. Menyorok Barang Jualan.

Akhir-akhir ini berlaku kes menyorok barang jualan yang merupakan keperluan asas orang ramai seperti gula, beras dan minyak masak agar harganya dapat dinaikkan. Barang-barang tersebut memang mencukupi, akan tetapi para peniaga sengaja menimbunnya di tempat yang tersorok untuk memberi gambaran ia sudah kehabisan stok. Para peniaga muslim dilarang berbuat sedemikian kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah mengingatkan:

 

لاَ يَحْتَكِرُ إِلاَّ خَاطِئٌ.

Tidaklah (seseorang itu) menimbun barangan jualan melainkan dia berdosa.[5]

 

 

5. Jual-Beli Gharar.

Gharar ialah kesamaran di dalam sesuatu urusniaga jual-beli. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma menerangkan:

 

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang jual-beli al-Gharar.[6]

 

 

Kesamaran jual-beli ini menyebabkan ia menghampiri ciri-ciri perjudian. Contoh jual-beli Gharar:

  1. Jual-beli barangan akan datang, seperti membeli hasil tanaman untuk setahun yang akan datang padahal wujud kesamaran sama ada tanaman tersebut mampu mengeluarkan hasil sepanjang tahun. Contoh lain, ialah membeli produk insuran yang menjanjikan pembayaran balik premium apabila tempoh perlindungan berakhir. Premium akan dibayar dengan kadar dividen 5% setahun, setiap tahun, hinggalah tempoh perlindungan berakhir. Di sini berlaku gharar kerana banyak kesamaran yang boleh berlaku dalam tempoh itu seperti ekonomi dunia yang naik turun, prestasi syarikat yang untung rugi dan nilai matawang yang berbeza-beza.

  2. Jual-beli barangan yang belum ada, seperti membeli seratus kilogram ikan daripada seorang nelayan padahal nelayan itu belum keluar ke laut. Apabila dia keluar, tidak pasti berapa banyak hasil tangkapannya.

  3. Jual-beli barangan yang ada tetapi tidak jelas, seperti membeli kereta tanpa mengetahui jenama dan keadaan kereta tersebut.

 

 

6. Jual–Beli Najsy.

Najsy ialah tindakan meninggikan harga barang oleh orang yang sememangnya tidak berhajat membelinya. Dia melakukan sedemikian semata-mata untuk menipu pembeli yang lain. Inilah yang juga disebut sebagai urusniaga spekulatif. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anh menerangkan:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ النَّجْشِ.

Bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang daripada al-Najsy.[7]

 

 

 

7. Jual-Beli Barangan Tiruan.

Satu bentuk jual-beli yang menjadi kegemaran sebahagian umat Islam ialah barangan tiruan. Ia adalah barang dengan jenama tertentu yang dibeli dengan harga yang jauh lebih murah kerana ia bukan yang asli tetapi tiruan semata-mata. Perisian cdrom al-Qur’an misalnya, jika yang asli berharga RM200.00, maka yang tiruan dapat dibeli dengan harga RM5.00.

 

Jual-beli barangan tiruan seumpama ini dilarang kerana ia tidak berlaku dengan keredhaan di antara semua pihak. Keredhaan mungkin wujud antara pembeli dan penjual akan tetapi ia tidak wujud di sisi syarikat pembuat perisian. Syarikat pembuat perisian tidak redha produknya yang menelan kos yang tinggi untuk research, development and manufacturing, dijual dalam bentuk tiruan.

 

Jual-beli ini menjadi satu kebatilan kerana melibatkan pencerobohan dan kezaliman ke atas hak syarikat pembuat perisian. Keredhaan di antara semua pihak dalam urusniaga jual-beli adalah penting berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Wahai orang-orang yang beriman!

Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang batil,

kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara redha dengan redha di antara kamu,

dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.

Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

 

Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan menzalimi,

maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka,

dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah.

[al-Nisa’ 4:29-30]

 

Hukum barangan tiruan tidak terhad kepada contoh perisian di atas tetapi merangkumi pelbagai barangan berjenama yang lain seperti tayangan filem (VCD & DVD), alat ganti kereta, rakaman audio, jam tangan, barangan kulit, pakaian dan talifon bimbit.

 

 

8. Jual-Beli Ketika Solat Jumaat.

Dilarang jual-beli ketika waktu solat Jumaat, iaitu bermula dari laungan azan sehinggalah selesai solat jumaat. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

Wahai orang-orang yang beriman!

Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat,

maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat)

dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu,

jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

 

Kemudian setelah selesai sembahyang,

maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah,

serta ingatlah akan Allah banyak-banyak supaya kamu berjaya.

[al-Jumu’ah 62:9-10]

 

Timbul perbincangan di kalangan para ilmuan, adakah perintah meninggalkan jual-beli meliputi semua orang Islam atau hanya mereka yang wajib melaksanakan solat Jumaat? Perbincangan ini membuahkan dua pandangan:

 

  1. Perintah itu hanya ditujukan kepada orang yang wajib melaksanakan solat Jumaat, iaitu lelaki yang sudah baligh. Orang yang tidak wajib melaksanakan solat Jumaat seperti kanak-kanak, wanita, orang sakit dan orang musafir dibolehkan berjual-beli. Alasannya ialah firman Allah: …maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah… di mana orang yang diwajibkan bersegera ke masjid melaksanakan solat Jumaat ialah lelaki yang sudah baligh sahaja.

  2. Perintah itu ditujukan kepada semua orang Islam tanpa membezakan orang yang wajib atau tidak kerana ayat di atas dimulai dengan: Wahai orang-orang yang beriman! Justeru hendaklah semua orang Islam meninggalkan jual-beli agar orang lelaki yang sudah baligh di kalangan mereka dapat ke masjid melaksanakan solat Jumaat tanpa dilalaikan oleh urusan jual-beli yang masih berlangsung.

 

Pandangan kedua menjadi pilihan saya sebagai satu pencegahan. Ini kerana jika jual-beli masih dibenarkan kepada kanak-kanak, wanita, orang sakit dan orang musafir ketika azan dilaungkan, ia akan melalaikan orang lelaki dari ke masjid melaksanakan solat Jumaat. Hakikat ini berlaku secara meluas pada masa kini di mana sebahagian besar orang lelaki yang wajib melaksanakan solat Jumaat tidak pergi ke masjid ketika azan di laungkan, sebaliknya mereka berada di pusat membeli belah, restoran, cyber cafe dan sebagainya.

 

Berdasarkan pandangan kedua ini, hendaklah para peniaga muslim menutup perniagaan mereka, sama ada kecil atau besar, pada hari Jumaat sekurang-kurangnya setengah jam sebelum azan dilaungkan dan hanya dibuka setelah solat Jumaat selesai. Pada waktu yang sama janganlah kanak-kanak, wanita, orang sakit dan orang musafir melakukan apa jua bentuk jual-beli dari saat azan dilaungkan sehingga selesai solat Jumaat, sekalipun terhadap peniaga bukan Islam.

 

 

9. Jual-Beli Di Dalam Masjid.

‘Abd Allah bin ‘Amr bin al-Ash berkata:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ الشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ فِي الْمَسْجِدِ.

 

Bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang daripada aktiviti jual-beli di dalam masjid.[8]

 

 

Bahkan baginda pernah berpesan:

 

إِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِي الْمَسْجِدِ فَقُولُوا:

 

لاَ أَرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ.

 

Apabila kalian melihat orang yang berjual-beli di dalam masjid, maka ucapkanlah:

“Semoga Allah tidak memberi keuntungan kepada urusniaga kamu.”[9]

 

 

Pengecualian diberikan kepada jual-beli yang tidak dapat dielakkan seperti jual-beli bekalan elektrik dan air antara pihak masjid dan pembekal bahan asas tersebut. Wujud perbincangan di kalangan ilmuan berkenaan hukum jual-beli di luar binaan masjid tetapi masih di perkarangannya. Pendapat yang dipilih ialah dibolehkan jual-beli selagi mana ia tidak mengganggu aktiviti masjid dan kehadiran orang ramai bersolat jamaah di dalamnya. Tidak ada aktiviti jual-beli ketika azan dilaungkan sehinggalah solat berjamaah selesai. Allah sahaja yang lebih mengetahui.

 

 

10. Jual Beli Riba.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ

 

وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ

 

مِثْلاً بِمِثْلٍ سَوَاءً بِسَوَاءٍ يَدًا بِيَدٍ

 

فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ.

 

Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli,

kurma dengan kurma dan garam dengan garam;

mestilah sama timbangan dan sukatan (kuantiti) serta dilakukan secara kontan.[10]

Jika berlainan jenis, maka berjual belilah sesuka kalian tetapi hendaklah tetap secara kontan.[11]

 

 

Dalam beberapa hadis lain diterangkan bahawa sesiapa yang melakukan penukaran atau jual-beli barangan yang disebut tanpa mengikut syarat yang ditetap, maka ia adalah riba. Jika ia dilakukan dengan timbangan dan sukatan (kuantiti) yang berbeza terhadap barang sejenis, maka ia adalah Riba al-Fadhl. Jika ia dilakukan secara tertunda atau berhutang, maka ia adalah Riba al-Nasi’a.

 

Jual beli riba ini dapat diperincikan seperti berikut. Terlebih dahulu perlu dibezakan dua jenis barang:

  • Barang berharga, iaitu emas dan perak. Melalui kaedah qiyas, ia juga meliputi apa-apa barang berharga atau matawang seperti Ringgit Malaysia (RM) dan Dollar Singapura (SGD). Peti sejuk dan perabut tidak termasuk dalam kategori ini.

  • Barang asasi, iaitu gandum, barli, tamar dan garam. Melalui kaedah qiyas, ia juga meliputi apa-apa barang makanan asasi yang dapat disimpan seperti beras bagi kita di Malaysia. Buah anggur dan cili padi tidak termasuk dalam kategori ini.

 

Selanjutnya:

  • Barang berharga dengan barang berharga:

  1. Sama jenis = mesti sama kuantiti dan secara kontan. Sebagai contoh, jika Azura ingin menukar 10 gram emas 916 dengan emas jenis 999, ia hendaklah dengan berat 10 gram juga sekalipun kualiti emas antara 916 dengan 999 dianggap berbeza. Jika 10 gram emas 916 ditukar dengan 6 gram emas 999, maka ia adalah Riba al-Fadhl.

  2. Berlainan jenis = mesti secara kontan. Jika Azura ingin membeli 10 gram emas 999 dengan bayaran Ringgit Malaysia, dia perlu membayar saat itu juga. Jika ditunda atau secara berhutang, maka ia adalah Riba al-Nasi’a.

 

  • Barang asasi dengan barang asasi:

  1. Sama jenis = mesti sama kuantiti dan secara kontan. Apabila Ahmad Lim ingin menukar 10 kilogram beras Malaysia dengan beras wangi Siam, ia hendaklah dengan berat 10 kilogram juga. Jika Ahmad Lim menukar 10 kilogram beras Malaysia dengan 5 kilogram beras wangi Siam, ia adalah Riba al-Fadhl.

  2. Berlainan jenis = mesti secara kontan. Seterusnya, apabila Ahmad Lim ingin membeli 5 kilogram beras wangi Siam dengan matawang Bath, dia perlu membayar secara kontan. Jika ditunda atau secara berhutang, maka ia adalah Riba al-Nasi’a.

 

  • Barang Berharga dengan barang asasi: Tidak ada syarat sama kuantiti atau secara kontan. Justeru jika Muhammad Ganesh ingin menukar 10 gram perak dengan 3 kilogram kurma, maka ia dibolehkan sama ada secara kontan atau tertunda.

 

Jika seseorang tetap ingin melakukan penukaran barang sejenis tetapi dengan kualiti yang berbeza, dia boleh melakukannya melalui jual-beli secara kontan. Hadis berikut menjadi rujukan:

 

جَاءَ بِلاَلٌ بِتَمْرٍ بَرْنِيٍّ

 

فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مِنْ أَيْنَ هَذَا؟

 

فَقَالَ بِلاَلٌ: تَمْرٌ كَانَ عِنْدَنَا رَدِيءٌ

 

فَبِعْتُ مِنْهُ صَاعَيْنِ بِصَاعٍ

 

لِمَطْعَمِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

 

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ عِنْدَ ذَلِكَ: أَوَّهْ عَيْنُ الرِّبَا لاَ تَفْعَلْ

 

وَلَكِنْ إِذَا أَرَدْتَ أَنْ تَشْتَرِيَ التَّمْرَ

 

فَبِعْهُ بِبَيْعٍ آخَرَ

 

ثُمَّ اشْتَرِ بِهِ.

 

Bilal (radhiallahu 'anh) pernah datang dengan membawa kurma berkualiti tinggi,

lalu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bertanya kepadanya: “Ini dari mana?”

 

Bilal menjawab: “Kami memiliki kurma berkualiti rendah,

lalu saya menukar dua ukuran (kurma berkualiti rendah) dengan satu ukuran (kurma berkualiti tinggi)

untuk dijadikan makanan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.”

 

Mendengar sedemikian, Rasulullah bersabda:

“Cis! Itu adalah riba! Jangan melakukannya.

Akan tetapi jika engkau ingin membeli kurma (berkualiti tinggi itu)

maka juallah (kurma berkualiti rendah) dalam satu urusniaga yang berasingan,

kemudian belilah (kurma berkualiti tinggi) dari hasil jualan itu.[12]

 

 

Di sini timbul persoalan, apakah hikmah di sebalik larangan Riba al-Fadhl dan Riba al-Nasi’a? Ia dapat dijelaskan seperti berikut:

  1. Kebanyakan orang tidak mampu menentukan kualiti barang berharga secara pasti. Sebagai contoh, tidak mudah untuk dibezakan antara emas 999 dan emas 916 sehingga mungkin berlaku penipuan antara penjual dan pembeli. Maka Islam melalui larangan Riba al-Fadhl berusaha untuk menutup kemungkinan berlakunya penipuan dari sudut ini.

  2. Perbezaan kualiti adalah relatif kepada citarasa individu. Perbezaan antara beras Malaysia dan beras wangi Siam sebenarnya bergantung kepada citarasa masing-masing padahal ia sama-sama memiliki peranan sebagai makanan asasi yang mengenyangkan. Melalui larangan Riba al-Fadhl, Islam menutup pintu-pintu orang yang bercitarasa tinggi daripada menindas orang yang bercitarasa biasa.

  3. Barangan berharga dan asasi memiliki kedudukan dan peranan yang penting kepada ekonomi individu, masyarakat dan negara. Kedudukan dan peranan ini menyebabkan ia sangat mudah dijadikan alat penindasan oleh satu pihak ke atas pihak yang lain. Antara cara penindasan yang dimaksudkan ialah mengenakan denda tinggi jika ia dibayar secara tertunda atau jika pembeli tidak mampu membayarnya mengikut tempoh hutang yang dipersetujui. Bagi mengelakkan penindasan ini, Islam melarang Riba al-Nasi’a.

 

Timbul pula persoalan lain, jika penipuan dan penindasan di atas dapat dielakkan, bolehkah seseorang itu melakukan urusniaga yang menyelisihi syarat riba jual beli? Tetap tidak boleh. Ini kerana tiga hikmah di atas hanyalah apa yang mampu digali oleh para ilmuan. Mungkin terdapat hikmah-hikmah lain yang belum ditemui atau belum dikesan setakat ini. Sikap orang beriman kepada nas al-Qur’an dan al-Sunnah bukanlah pada mengikuti hikmah tetapi pada mentaati perintah larangan Allah dan Rasul-Nya:

 

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman

ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya,

supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata:

“Kami dengar dan kami taat”, dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.

[al-Nur 24:51]

 

 

Demikian beberapa cara urusniaga jual-beli yang dilarang oleh Islam. Saya berpesan kepada diri saya dan para pembaca sekalian untuk mentaati hukum-hukum Islam dalam persoalan harta sekalipun dari sudut matematik, ia kurang menguntungkan. Yakinilah bahawa apa yang dilarang oleh Islam pasti disebabkan wujudnya keburukan di sebaliknya, sekalipun kita tidak dapat melihatnya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman kepada Ulul al-Bab, iaitu orang-orang yang bijak lagi matang dalam berfikir:

 

Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik,

walaupun kebanyakan yang buruk itu menarik hatimu.

Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran,

supaya kamu berjaya.”

[al-Maidah 5:100]

 


 

[1] Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3461 (Kitab al-Buyu’, Bab menjual satu barang dengan dua akad).

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, hadis no: 4516 (Kitab al-Buyu’, Bab jualan seseorang di atas jualan saudaranya). Bahagian awal hadis ini terdapat dalam Shahih Muslim, hadis no: 1412-4.

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1522 (Kitab al-Buyu’, Bab larangan penjualan orang bandar bagi orang luar bandar).

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1519-1 (Kitab al-Buyu’, Bab larangan memintas peniaga).

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1605 (Kitab al-Musaqat, Bab larangan menimbun barang).

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 1798 (Kitab al-Tijarat, Bab larangan daripada jual-beli al-Hissah dan al-Gharar).

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1516 (Kitab al-Buyu’, Bab larangan seseorang menjual di atas jualan saudaranya…).

[8] Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 1079 (Kitab al-Solat, Bab bertemu pada hari Jumaat sebelum solat)

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1321 (Kitab al-Buyu’, Bab larangan jual-beli di dalam masjid).

[10] Kontan bererti urusniaga yang dilakukan secara serta merta, tidak tertunda atau berhutang. Terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan, adakah pembelian menggunakan kad kredit dianggap urusniaga kontan? Perbincangan ini membuahkan dua pendapat:

  •  Pendapat Pertama: Ia adalah urusniaga kontan kerana transaksi berlaku serta merta pada saat pembeli menandatangani resit jual-beli kad kredit di hadapan penjual.

  •  Pendapat Kedua: Ia bukan urusniaga kontan kerana sekalipun transaksi berlaku serta merta, pembeli sebenarnya hanya membayar ketika menerima bil kad kreditnya dua hingga tingga minggu selepas itu. Maka ia tetap merupakan satu urusniaga yang tertunda atau berhutang yang dilarang.

Mengingatkan betapa besarnya kesalahan riba (Riba al-Nasi’a), maka yang lebih selamat ialah tidak menggunakan kad kredit kecuali dalam kes kesukaran, keselamatan atau darurat.

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1587-2 (Kitab al-Musaqat, Bab penukaran serta pembelian emas secara kontan).

[12] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1594 (Kitab al-Musaqat, Bab menjual makanan yang sejenis).