Risalah #3:

Mengenal Umat Nabi Yang Terusir

Mohd. Hairi Nochi


al-Imam Malik rahimahullah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Muwaththa’, hadith no. 53 bahawa:

 

Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju pekuburan lalu beliau membaca: “Keselamatan bagi kamu wahai para penghuni kubur orang-orang mukmin. Jika Allah berkehendak, kami akan menyusul kalian.” Sungguh saya ingin melihat saudara-saudara kami.

 

Maka para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, bukankah kami adalah saudara anda." Baginda menjawab: "Bahkan kalian adalah sahabat-sahabatku. Tetapi saudara-saudaraku adalah yang akan datang nanti, pada saat aku menunggu mereka di tepi telaga."

 

Mereka berkata; "Wahai Rasulullah, bagaimana engkau boleh mengenali orang yang datang sepeninggalmu dari umatmu?"

Rasulullah menjawab: "Bagaimana pendapatmu jika ada seorang lelaki yang memiliki kuda putih cemerlang di antara kuda hitam yang pekat, bukankah dia mengetahuinya?" Mereka menjawab: "Ya benar wahai Rasulullah."

 

Beliau bersabda: "Sesungguhnya mereka datang pada Hari Kiamat dengan putih bersinar kerana (bekas) wudhu. Saya yang akan menyambut mereka di telaga. Maka jangan sampai ada yang terusir dari telagaku, sebagaimana unta tersesat yang terusir. Saya memanggil mereka: 'Ayuhlah ke sini, ayuhlah ke sini, ayuhlah kesini!

 

Tiba-tiba ada yang menegur: “Sesungguhnya mereka telah mengganti (agamanya) sepeninggalmu”. Maka saya berkata: “Jauhlah, jauhlah, jauhlah."

 

Dalam lafaz yang lain yang dikeluarkan oleh al-Bukhari, no. 6584 dan Muslim, no. 2291 disebut:

Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang mereka ada-adakan (dalam agama ini) setelah (kewafatan) engkau ...

 

Hadis yang mulia di atas memaparkan perkhabaran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai suasana yang bakal berlaku pada hari kiamat kelak. Dalam hadis ini, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan kepada kita umatnya, bahawa pada hari tersebut umat Islam akan terpecah kepada dua golongan.

 

Golongan yang pertama ialah mereka yang berjaya mendatangi telaga al-Haudh[1] sementara golongan yang kedua ialah mereka yang dihalau oleh baginda shallallahu ‘alaihi wasallam daripada mendatangi telaga tersebut.

 

Di kalangan para pembaca mungkin ada ketika ini yang sedang tertanya-tanya, siapakah golongan kedua yang dimaksudkan dalam hadis di atas dan apakah faktor yang menyebabkan mereka dihalau oleh baginda shallallahu ‘alaihi wasallam daripada mendatangi telaga al-Haudhnya pada hari kiamat kelak?

 

Bagi merungkai persoalan ini, ikutilah huraian selanjutnya.

 

 

¯ Siapakah golongan yang tercicir itu?

Jika diperhatikan matan (teks) hadis di atas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebut bahawa ... Sesungguhnya mereka datang pada Hari Kiamat dengan putih bersinar kerana (bekas) wudhu....  Kenyataan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam ini menunjukkan kepada kita bahawa mereka semua adalah kelompok umatnya yang terdiri daripada golongan ahli ibadah.

 

Namun apa yang memeranjatkan kita ialah dalam hadis tersebut Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga turut menyatakan bahawa ... Maka jangan sampai ada yang terusir dari telagaku, sebagaimana unta tersesat yang terusir.... Berdasarkan kepada pernyataan ini maka dapat difahami bahawa dalam kalangan "orang-orang yang beribadah" tersebut akan ada satu kelompok dari mereka yang akan dihalau daripada mendatangi telaga al-Haudh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

Di sini timbul satu persoalan, siapakah kelompok yang dihalau oleh baginda shallallahu ‘alaihi wasallam tersebut dan mengapakah mereka dihalau, padahal mereka ialah umat baginda shallallahu ‘alaihi wasallam serta merupakan golongan yang tekun di dalam beribadah?

 

Terhadap persoalan di atas, ia dapat dijawab dengan merujuk kepada matan (teks) hadis itu sendiri, dimana dalam hadis tersebut sedia dijelaskan bahawa ... Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang mereka ada-adakan (dalam agama ini) setelah (kewafatan) engkau ...

 

Berdasarkan penjelasan ini,  tidak syak bagi kita bahawa mereka ialah golongan ahli ibadah yang gemar melakukan amalan-amalan yang bid'ah (perkara baru yang diada-adakan) di dalam agama.

 

Syeikh Muhammad bin Abd al-Wahhab al-Wushabi mengutip pandangan al-Hafiz Ibnu ‘Abd al-Barr berkenaan dengan maksud hadis di atas di mana beliau berkata:[2]

Semua yang mengada-adakan perkara baru (bid’ah) dalam Islam termasuk golongan yang dihalau dari telaga, misalnya kaum Khawarij, (Syi’ah) al-Rafidhah dan semua pengekor hawa nafsu. Demikian pula orang-orang zalim, melakukan kejahatan, merampas hak dan terang-terangan melakukan dosa besar. Mereka ini dikhuatirkan termasuk dalam golongan yang dimaksudkan dalam berita hadis-hadis ini.

 

Hal ini bukanlah suatu yang menghairankan kita kerana sedia difahami bahawa Islam amat melarang keras umatnya daripada mengadakan sesuatu di dalam urusan agama ini apa yang tidak pernah disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya, Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

Ini sebagaimana jelas hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan pernyataan daripada para tokoh al-Salaf al-Shalih yang mencela setiap bid’ah di dalam agama kerana setiap bid’ah itu adalah sebuah kesesatan di sisi ajaran Islam.

 

Perhatikan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berikut:[3]

Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk).

Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat.  

 

Sabdanya lagi dalam riwayat yang lain:[4]

Sesungguhnya perkataan yang paling benar adalah kitabullah (al-Qur’an). Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Sedangkan seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (dalam urusan agama) dan semua yang diada-adakan adalah bid’ah. Semua yang bid’ah adalah sesat dan semua yang sesat tempat kembalinya adalah neraka.

 

al-Imam Malik bin Anas rahimahullah (179H) berkata:[5]

Sesiapa yang membuat bid’ah (perkara baru) dalam Islam yang dia menganggapnya sebagai hasanah (baik), maka sesungguhnya dia telah menuduh bahawa Muhammad telah berkhianat di dalam (menyampaikan) risalah (Islam yang diamanahkan kepadanya). Kerana sesungguhnya Allah telah berfirman: Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu. Maka apa-apa yang tidak menjadi (bahagian dari) agama pada hari itu, nescaya  tidak akan menjadi (bahagian dari) agama pada hari ini.

 

Apa yang diungkapkan oleh al-Imam Malik rahimahullah di atas ini diperkuatkan lagi dengan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dimana baginda shallallahu ‘alaihi wasallam menegaskan bahawa:[6]

Siapa yang menyangka bahawa Muhammad masih menyembunyikan sesuatu dari wahyu yang telah Allah turunkan kepadanya, maka dia telah membuat kedustaan yang besar atas nama Allah kerana Allah telah berfirman (dalam surah al-Maidah, ayat 67): Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya.

 

Selanjutnya, perhatikan pula ucapan ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu’anhu seperti berikut:[7]

Semua bid’ah adalah sesat, walaupun manusia menganggapnya hasanah (baik).

 

Sementara itu, al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata:[8]

Pokok Sunnah menurut kami (Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah) adalah berpegang teguh kepada apa yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan mengikuti mereka serta meninggalkan bid’ah. Segala bid’ah itu adalah sesat.

 

Perlu difahami bahawa apa yang dimaksudkan dengan bid’ah yang sesat menerusi huraian di atas adalah merujuk kepada hal-hal baru yang diwujudkan di dalam urusan ibadah dan akidah.

 

Syeikh Mulla Ahmad Rumi al-Hanafi menjelaskan di dalam kitabnya Majalisu al-Abrar: [9]

Sesiapa yang mengada-ngadakan sesuatu untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah berupa perkataan atau perbuatan, bererti dia telah membuat syariat yang tidak direstui Allah, kerana itulah maka semua bentuk bid’ah berupa ibadah-ibadah agama adalah keburukan.

 

Manakala Syeikh Salim bin ‘Ied al-Hilali hafizhahullah pula menulis di dalam kitabnya, Mausu’ah al-Manahisy Syar’iyyah fii Shalihis Sunnah an-Nabawiyyah:[10]

Bid’ah yang diharamkan di sini adalah tata cara yang diada-adakan dalam agama yang bentuknya menyerupai syariat. Maksud dari pelaksanaannya adalah agar lebih mendekatkan diri kepada Allah. Dan tidak ada dalil syar’i yang sahih yang mendukungnya, baik yang mendukung asal-muasal atau pun bentuk dan sifatnya.

 

Tambahnya lagi: [11]

Sebahagian orang menyangka bahawa bid’ah yang dilarang adalah yang bertentangan dengan kaedah-kaedah agama dan menyelisihi pokok-pokok dasar agama dan kaedah umumnya. Adapun perkara baru dalam agama yang ada dasarnya atau masuk dalam kaedah umum, bukanlah termasuk bid’ah.

 

Namun sangkaan di atas dibantah dengan riwayat yang dikeluarkan oleh Abu Ya’la dalam Musnadnya (no.4594) dan Abu ‘Awanah dalam Mustakhrijnya (4/18) dengan sanad yang sahih:

 

Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama kami yang tidak ada di dalamnya maka ia tertolak.

 

Dengan demikian, riwayat yang sahih dari ‘Aisyah memiliki tiga lafaz:

1)    ليس منه bukan berasal darinya.

2)    ليس عليه tidak ada dalil atasnya.

3)    ليس فيه tidak ada di dalamnya.

 

Lafaz pertama kandungannya lebih umum untuk membantah semua perkara bid’ah yang diada-adakan. Meliputi bid’ah haqiqiyyah dan bid’ah idhafiyyah. Lafaz kedua lebih terfokus kepada bid’ah idhafiyyah dan lafaz ketiga lebih jelas lagi keterangan dan keterperinciannya. Jadi, seluruh perkara yang tidak ada asal, sifat dan perinciannya dalam agama, maka ia tertolak.

 

Lebih-lebih lagi, pemahaman Salaf dalam masalah ini menunjukkan terlarangnya seluruh perkara bid’ah yang diada-adakan dalam agama, baik bid’ah haqiqiyyah[12], bid’ah idhafiyyah[13] atau pun bid’ah tarkiyyah[14].

 

Berbeza halnya dengan perkara-perkara baru yang diwujudkan dalam urusan keduniaan yang mana ia memberi maslahah atau manfaat kepada kehidupan manusia serta tidak bercanggah dengan dasar-dasar hukum yang telah digariskan oleh syarak, maka ia adalah diharuskan. Ini berlandaskan kepada hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam seperti berikut:[15]

Kamu lebih tahu urusan dunia kamu

 

Sabdanya lagi dalam hadis yang lain:[16]

Jika sekiranya sesuatu itu (berkaitan dengan) urusan dunia kamu, maka uruskanlah dengannya dan kalau sekiranya (ia berkaitan dengan) urusan agama kamu maka kembalikanlah kepada aku.

 

Dalam hal ini Ustaz Mubarak bin Mahfudh Bamuallim hafizhahullah menjelaskan:[17]

Bid’ah yang sesat adalah bid’ah yang diada-adakan di dalam agama kerana agama sudah disempurnakan Allah berdasarkan al-Qur’an (surah al-Maidah ayat 3). Oleh sebab itu, orang yang mengadakan bid’ah dalam agama yang sudah sempurna ini seakan-akan menganggap bahawa pada agama ini masih terdapat kekurangan dan seakan-akan Rasulullah belum sepenuhnya menyampaikan misi baginda yang diamanahkan oleh Allah (Maha Suci Allah dari mengutuskan seorang Rasul yang berkhianat, apalagi Rasul-Nya yang terakhir dan termulia).

 

Adapun bid’ah duniawi (hal-hal baru yang berkait erat dengan urusan dunia) seperti penemuan-penemuan baru dalam ilmu pengetahuan, teknologi dan lainnya tidak termasuk bid’ah yang tercela. Kita tidak dilarang untuk menggunakannya selama bermanfaat dan tidak bertentangan dengan syariat Allah dan Rasul-Nya.

Oleh kerana itu, alangkah bodohnya orang yang mengatakan bahawa bid’ah-bid’ah duniawi tersebut termasuk dalam cakupan hadis Rasulullah: Setiap bid’ah adalah sesat.

 

Selanjutnya perhatikan pula penjelasan terperinci daripada salah seorang imam besar bermazhab Syafie, al-Imam as-Sayuti rahimahullah terhadap maksud sebenar bid’ah hasanah,[18] istilah yang sering disalahfahami oleh sebahagian pihak khususnya mereka yang menyandarkan diri mereka kepada mazhab Syafie. Beliau menulis di dalam kitabnya al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’:[19]

 

Bid‘ah hasanah disepakati keharusan membuatnya. Juga disunatkan demi mengharapkan pahala bagi sesiapa yang baik niatnya. Iaitu setiap pembuatan bid‘ah yang bertepatan dengan kaedah-kaedah syarak tanpa menyanggahinya sedikit pun. Perbuatannya tidak menyebabkan larangan syarak.

 

Ini seperti membina mimbar, benteng pertahanan, sekolah, rumah (singgahan) musafir dan sebagainya yang terdiri dari jenis-jenis kebaikan yang tidak ada pada zaman awal Islam. Ini kerana ia bertepatan dengan apa yang dibawa oleh syariat yang memerintahkan membuat yang makruf, tolong menolong dalam kebaikan dan taqwa.[20]

 

Apa yang dinyatakan oleh al-Imam as-Sayuti rahimahullah berkenaan dengan anjuran mengadakan pembaharuan-pembaharuan dalam urusan keduniaan yang mendatangkan  maslahah kepada umat Islam di atas adalah bertolak belakang dengan kefahaman dan amalan umat Islam masa kini.

 

Umat Islam hari ini dilihat begitu ghairah mengadakan pelbagai pembaharuan dalam urusan agama mereka, sebaliknya agak terkebelakang dalam menghasilkan inovasi berhubung dengan hal-hal keduniaan mereka berbanding orang-orang bukan Islam.

 

Amat tepatlah apa yang telah diungkapkan oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali rahimahullah di mana dia pernah berkata:[21]

Sebahagian orang ada yang gemar untuk melakukan penemuan dan pembaharuan. Hal ini merupakan suatu yang dibolehkan bahkan sangat ditekankan oleh Islam, walaupun berkarya mempunyai tempat khusus iaitu dalam masalah duniawi dan yang berkisar dalam masalah-masalah kehidupan, sehingga dalam masalah ini seseorang bebas berkarya dan mencari penemuan-penemuan baru. Orang-orang bukan muslim memanfaatkan kemampuan mereka di bidang ini, sehingga dalam hal ini mereka selalu menemukan hal-hal baru dan memberikan manfaat dari hasil penemuannya.

 

Sementara kita kaum muslimin adalah kebalikan dari mereka. Mereka sangat kolot dalam beragama namun menonjol dalam urusan duniawi. Kita membaliknya dengan kreatif dalam masalah-masalah agama yang tiada erti dan manfaatnya, lalu kita kolot serta tidak berkembang dalam masalah duniawi. Orang lain sudah terbang di angkasa sedangkan kita masih berada di bumi.

 

Bagaimana jika kita mengikuti apa yang telah diturunkan Allah dan berkarya terhadap apa yang telah diserahkan Allah kepada akal dan usaha kita? Bukankah itu akan lebih dapat mengangkat agama kita dan lebih berkemungkinan untuk meninggikan martabat kehidupan kita.

 

 

¯ Kata Penutup

Demikian sedikit peringatan berkenaan bahayanya bid’ah kepada umat Islam. Atas kesedaran ini, ingin penulis mengambil kesempatan untuk memperingati kaum muslimin dan muslimat agar hendaklah mereka sentiasa memerhatikan setiap amal ibadah yang mereka kerjakan selama ini. Adakah ia adalah sesuatu yang benar-benar berasal daripada tunjuk ajar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menerusi al-Sunnahnya yang sahih atau sebaliknya (bid’ah).

 

Hal ini perlu dicermati oleh semua pihak memandangkan ia melibatkan status kita di akhirat kelak, apakah kita termasuk dalam golongan yang selamat dan mendapat kemuliaan mendatangi telaga al-Haudh itu atau pun termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat kemurkaan Allah dan Rasul-Nya sehingga dihalau daripada mendatangi telaga al-Haudh baginda.

 

Janganlah kerana kita termasuk dalam golongan "ahli ibadah" kita mengambil sikap sambil lewa, lantas cuai dan leka di dalam memerhatikan kesahihan amalan yang akan atau telah kita lakukan selama ini.

 

Hendaklah kita sedar bahawa dengan hanya beribadah sahaja tidak akan mampu menyelamatkan kita dari menerima azab Allah Subhanahu wa Ta’ala.  Juga dengan beribadah sahaja, ia belum tentu akan dapat menjanjikan pembelaan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di hadapan Mahkamah Allah kelak, andaikata ibadah yang kita lakukan itu termasuk dalam amalan-amalan yang menjauhi petunjuk al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha berittiba' (mengikuti) al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih dan menjauhi diri daripada melakukan segala bentuk amalan bid'ah di dalam agama. Semoga dengan ini kita termasuk dalam kelompok umat Nabi yang mendapat kemuliaan mendatangi telaga al-Haudh serta terlepas daripada kelompok yang disebutkan oleh baginda sebagai golongan lelaki yang dihalangi untuk datang ke telagaku seperti dihalaunya unta-unta sesat sebagaimana yang dijelaskan di awal permulaan risalah ini. Mengakhiri perbincangan yang serba ringkas ini, marilah kita merenungi sejenak salah sebuah hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di bawah ini. Sabdanya:[22]

 

          Sesungguhnya Syaitan telah berputus harapan untuk ia disembah di bumi kamu tetapi ia rela untuk dipatuhi selain itu daripada perkara-perkara yang kamu pandangnya senang daripada amalan-amalan kamu. Oleh itu hendaklah kamu berhati-hati. 

   

Sesungguhnya aku telah meninggalkan pada kamu sesuatu yang jika kamu berpegang kepadanya maka kamu tidak akan sesat sama sekali untuk selamanya; iaitu al-Quran dan al-Sunnah Nabi-Nya.

 

 



[1] Telaga al-Haudh ialah sebuah telaga yang diperuntukan khas bagi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada Hari Kiamat kelak. Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda ketika menjelaskan sifat-sifat telaga al-Haudh:

               حوضي مسيرة شهر ماؤه أبيض من اللبن وريحه أطيب من المسك وكيزانه كنجوم السماء من شرب منها فلا يظمأ أبدا.         

Telagaku seluas perjalanan sebulan (perjalanan). Warna airnya lebih putih daripada susu, aromanya lebih harum daripada minyak kasturi dan bejananya sejumlah bintang-bintang di langit. Sesiapa yang meminum darinya, maka tidak akan dahaga selamanya. – Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6579 dan Muslim, no. 2292.

[2] Lihat Orang-Orang Yang Terusir Dari Telaga Nabi karya Syeikh Muhammad bin Abd al-Wahhab al-Wushabi, ms. 20-21.

[3] Hadis riwayat Abu Daud, no. 4607, at-Tirmidzi, no. 2676 dan al-Hakim 1/95. Disahihkan oleh al-Hakim dan disepakati oleh adz-Dzahabi. Lihat komentar Syeikh al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil, no. 2455.

[4] Hadis riwayat Abu Daud, no. 1097,  at-Tirmidzi, no. 1105, Ibnu Majah, no. 1892 dan lain-lain.

[5]  Lihat al-Masa-il karya Ustaz Abdul Hakim Amir Abdat, jld. 1, ms. 91.

[6]  Hadis riwayat Muslim, no. 287.

[7]   Diriwayatkan oleh al-Lalaka’i, 1/104 dan Ibnu Baththah dalam al-Ibanah 1/339, no. 205.

[8]   Riwayat al-Lalaka’i dalam Syarh Ushul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, no. 317.

[9] Lihat Ilmu Ushul al-Bida’ Dirasah Takmiliyah Muhimmah fii Ilmi Ushul al-Fiqh karya Syaikh Ali bin Hasan bin Abdul Hamid al-Halabi al-Atsari, ms. 93.

[10] Lihat Mausu’ah al-Manahisy Syar’iyyah fii Shalihis Sunnah an-Nabawiyyah karya Syeikh Salim bin ‘Ied al-Hilali, jld. 1, ms. 254.

[11] Lihat Mausu’ah al-Manahisy Syar’iyyah fii Shalihis Sunnah an-Nabawiyyah karya Syeikh Salim bin ‘Ied al-Hilali, jld. 1, ms. 253.

[12] Iaitu bid’ah yang sama sekali tidak ada asal usulnya dan dasarnya dalam agama. Dengan perkataan lain, tidak ada satu jua dalil dari al-Qur’an dan/atau al-Sunnah yang memerintahkannya.

[13] Iaitu bid’ah dalam kaifiyyat (tata cara) ibadah yang tidak ada contohnya dalam agama. Pada dasarnya terdapat dalilnya dalam agama, namun kaifiyyat pelaksanaanya tidak ada contohnya dari Rasulullah. Sebagai contoh ialah amalan berzikir dan berdoa secara berjemaah selepas solat-solat fardu serta tetap melakukannya. Anjuran untuk berzikir dan berdoa banyak disebutkan di dalam al-Qur’an dan al-Hadis, akan tetapi berzikir dan berdoa dengan cara (kaifiyyat) berjemaah setiap kali selesainya mengerjakan solat-solat fardu serta tetap melakukannya tidak pernah dicontohkan oleh Rasulullah dan juga para sahabatnya.

[14] Iaitu perbuatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah walaupun terdapat alasan dan tuntutan serta tidak ada hal yang menghalangi baginda untuk melakukannya. Sebagai contoh tindakan baginda meninggalkan azan dan iqamat sebelum mengerjakan solat tarawih, solat ‘Eid al-Fitri dan solat ‘Eid al-‘Adha, tidak menghadiahkan pahala sekian-sekian ayat al-Qur’an kepada orang yang telah meninggal dunia, tidak melakukan kenduri arwah pada hari pertama, ketiga dan keempat puluh dari hari kematian dengan dilengkapi ritual tertentu berserta jamuan dan lain-lain seumpama dari amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah. Tindakan baginda meninggalkan semua amalan ini menunjukkan ia bukanlah hal yang disyariatkan atau diperintahkan oleh agama. Oleh itu wajib bagi kita umat Islam untuk meninggalkannya.

[15] Hadis riwayat Muslim dalam Shahih Muslim, no. 2363.

[16] Hadis riwayat Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah, no. 2462.

[17] Lihat Fadhilah Shalawat Kepada Nabi Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah karya Ustaz Mubarak bin Mahfudh Bamuallim, ms. 142 dengan sedikit suntingan bahasa.

[18] Perbincangan yang lebih terperinci mengenai bid’ah hasanah akan menyusul kemudian.

[19] Lihat al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ karya Imam as-Sayuti, ms. 25; edisi muat turun internet di http://www.hafizfirdaus.com/ebook/BidahHasanah/Bab2.htm (dirujuk pada 5 Mei 2012).

[20] Perhatikan, tiada satu jua contoh-contoh bid’ah hasanah yang dikemukakan oleh al-Imam as-Sayuti rahimahullah di atas berkaitan dengan perkara ibadah. Dengan penjelasan ini maka tertolaklah dakwaan sebahagian pihak bahawa bid’ah hasanah adalah meliputi hal-hal ibadah.

[21] Lihat Mausu’ah as-Sunan wa al-Mubtada’at karya Syeikh Sa’ad Yusuf Abu Aziz, ms. 39.

[22] Hadis riwayat al-Hakim dengan sanad yang sahih. Lihat Shahih at-Targhib wa at-Tarhib 1/36/21.