Risalah #10:

Keutamaan Tauhid Dan Bahaya Syirik

Mohd. Hairi Nochi

 


Salah satu tujuan diutusnya para Nabi dan Rasul adalah untuk mengajak umat manusia mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’ala serta membersihkan mereka daripada segala bentuk amalan dan keyakinan yang membawa kepada perbuatan mempersekutukan Allah Subahanhu wa Ta’ala dengan sesuatu selain-Nya.

 

Firman-Nya dalam surah al-Nahl, ayat 36:

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus seorang Rasul untuk setiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah taghut itu.

 

Jika dicermati ayat-ayat al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam akan didapati tidak sedikit ditemui ayat-ayat dan hadis-hadis yang memberi penekanan kepada persoalan tauhid melebihi persoalan lainnya.[1]

 

Sesungguhnya tanggungjawab menyeru umat manusia agar mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’ala bukan sahaja terletak di atas bahu para Nabi dan Rasul akan tetapi ia juga merupakan tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap yang mengaku umat baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Yusuf, ayat 108:  

Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata. Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik (mensyirikkan Allah).

 

Tanggungjawab untuk mendakwahkan umat manusia kepada mentauhidkan Allah juga merupakan perkara yang diwasiatkan sendiri oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menerusi salah satu hadisnya sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari seperti berikut:

Maka hendaklah hal pertama yang kamu serukan (dakwahkan) kepada mereka (manusia) adalah mentauhidkan Allah Ta’ala.

 

Risalah ini akan meninjau beberapa bentuk kepercayaan dan amalan syirik serta khurafat yang dilihat berpotensi membatalkan akidah seseorang Muslim. Jika diperhatikan kepercayaan dan amalan-amalan tersebut, ia adalah sesuatu yang sebati lagi masyhur diamalkan oleh sebahagian umat Islam.

 

Sebelum itu mari kita lihat keutamaan yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada mereka yang mentauhidkan Allah serta membersihkan diri daripada segala perbuatan yang membawa kepada perbuatan mempersekutukan-Nya dengan sesuatu.

 

¯ Keutamaan Tauhid

Di antara keutamaan tauhid ialah:

 

Pertama:

Orang yang mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’ala.akan beroleh keamanan dan petunjuk daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Firman-Nya dalam surah al-An’am, ayat 82:  

Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik)[2], mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan. Mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.

 

Kedua:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberi jaminan bahawa orang yang mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menjadi salah seorang penghuni Syurga di akhirat kelak. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Dzar radhiallahu ’anhu:[3]

 

Tidaklah seorang hamba mengatakan ‘laa ilaha ilallaah’, kemudian dia meninggal dunia atas kalimat tersebut melainkan dia akan masuk Syurga. Aku (Abu Dzar) bertanya: ‘Walaupun dia berzina dan mencuri?’. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: ‘Walaupun dia berzina dan mencuri’.

 

Aku berkata lagi: ‘Walaupun dia berzina dan mencuri?’ Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: ‘Walaupun dia berzina dan mencuri.’ (Baginda menjawab demikian sebanyak tiga kali). Kemudian pada kali yang keempat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: ‘Walaupun dia berzina dan mencuri, meskipun Abu Dzar tidak menyukainya.’[4]

 

Sabdanya dalam hadis yang lain:[5]

Sesiapa yang bertemu dengan Allah (mati) dalam keadaan tidak menyekutukan (mensyirikkan) Allah dengan sesuatu pun maka dia akan masuk Syurga.

 

Dalam lafaz yang lain, hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim, no. 26:

Sesiapa yang meninggal dunia dan dia mengetahui bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan benar selain Allah maka dia masuk Syurga.

 

Salah satu pertanyaan yang sering dilontarkan oleh sebahagian pihak: Adakah dengan hanya mengucapkan kalimah ‘Laa ilaaha illallaah’ sahaja seseorang itu telah dijamin kedudukannya sebagai ahli Syurga? Terhadap syubhat ini Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas hafizhahullah menjawab:[6]

 

Hadis-hadis yang dimaksudkan tersebut[7] diperuntukkan bagi orang-orang yang telah mengucapkan (kalimah) laa ilaaha illallaah dan mati dalam keadaan bertauhid serta tidak merosakkannya dengan kesyirikan dan dia mengucapkan kalimat tersebut dengan ikhlas.

 

Di samping itu, dia pun mengingkari segala sesuatu yang disembah selain Allah dan mati dalam keadaan demikian, maka dia pasti masuk Syurga dan diharamkan masuk Neraka. (Ini) sebagaimana dalam hadis ‘Ithban radhiallahu ’anhu bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

Sesungguhnya Allah telah mengharamkan Neraka atas orang yang telah mengucapkan: laa illaha illallaah dengan mengharapkan wajah Allah. (H/R Muslim 1/456)

 

Di dalam hadis Muslim (1/53) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda:

Barangsiapa mengucapkan laa ilaaha illallaah dan mengingkari segala sesuatu yang disembah selain Allah maka harta dan darahnya haram dan hisabnya diserahkan kepada Allah.

 

Beliau seterusnya mengulas lanjut maksud bagi kedua-dua hadis di atas dengan katanya:

 

Dalam hadis ini Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memberi dua syarat terjaganya harta dan darah iaitu (pertama) mengucapkan laa ilaaha illallaah dan (kedua) mengingkari segala sesuatu yang disembah selain Allah.

 

Jadi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak mencukupkan hanya ucapan laa ilaaha illallaah, akan tetapi harus pula difahami dan diamalkan konsekuensinya. Ucapan laa ilaaha illallaah memang sebab untuk masuk Syurga dan selamat dari Neraka, akan tetapi hal itu dapat dicapai apabila dipenuhi syarat-syaratnya dan dihilangkan segala pembatalnya.

 

Ketiga:

Allah dan Rasul-Nya menjanjikan pengampunan dosa bagi mereka yang tetap mentauhidkan-Nya serta membersihkan diri daripada sebarang keyakinan dan perbuatan syirik. Anas bin Malik radhiallahu ’anhu meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:[8]

 

Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi berfirman:

Wahai anak Adam (manusia), seandainya engkau datang kepada-Ku dengan membawa dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-Ku dalam keadaan tidak menyekutukan-Ku dengan sesuatu apa pun, maka Aku akan memberimu ampunan sepenuh bumi pula.

 

Keempat:

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berjanji bahawa orang yang mentauhidkan-Nya akan beroleh kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat kelak. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:[9]  

 

Sesiapa yang mengerjakan amal shalih, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.

 

Kelima:

 Allah Subhanahu wa Ta’ala berjanji akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, meneguhkan agama mereka serta menjadikan kehidupan mereka di dunia aman sentosa. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam surah an-Nur, ayat 55:        

 

Dan Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal shalih bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa.

 

Dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka dan Dia benar-benar akan mengubah (keadaan) mereka sesudah mereka berada dalam keadaan ketakutan menjadi aman sentosa.

 

Mereka tetap beribadah kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu pun. Tetapi sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.

 

Firman-Nya lagi dalam surah al-A’raf, ayat 96:

Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertaqwa pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi. Tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan.

 

¯ Orang kafir juga beriman kepada tauhid al-Rububiyyah Allah?

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:[10]   

Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang kafir): “Kepunyaan siapakah bumi ini dan semua yang ada padanya jika kamu mengetahui?”. Mereka akan menjawab: “Kepunyaan Allah.”

Katakanlah: “Maka apakah kamu tidak ingat?”. Katakanlah: “Siapakah yang empunya langit yang tujuh dan yang empunya ‘Arasy yang besar?”. Mereka akan menjawab: “Kepunyaan Allah.”

Katakanlah: “Maka apakah kamu tidak bertakwa?”. Katakanlah: “Siapakah yang ditangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (azab)-Nya jika kamu mengetahui?”. Mereka akan menjawab: “Kepunyaan Allah.” Katakanlah: “(Kalau demikian) maka dari jalan manakah kamu lihat? Sebenarnya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka dan sesungguhnya mereka benar-benar orang yang berdusta.

 

Firman-Nya lagi:[11]  

Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (orang-orang kafir yang mensyirikkan Allah dengan sesuatu): Siapakah yang menciptakan mereka? Sudah tentulah mereka akan menjawab: “Allah”. Jika demikian, maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakan Allah)?.

 

Dua ayat di atas dan lain-lain ayat yang seumpama[12] menjelaskan kepada kita umat Islam bahawa orang-orang kafir juga beriman akan kewujudan Allah dan meyakini Allah sebagai Tuhan yang menciptakan mereka, termasuklah seluruh alam raya ini. Meskipun demikian keyakinan dan pengakuan mereka, namun Allah dan Rasul-Nya tetap menegaskan bahawa mereka adalah golongan yang telah terpesong dari jalan kebenaran.

 

Punca kesesatan golongan ini adalah disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, meskipun pada hakikatnya mereka sendiri menyedari akan kedudukan Allah sebagai Tuhan alam semesta. Inilah yang disebut sebagai syirik.

 

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam surah al-Zumar, ayat 3:

Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya.”

 

Dengan mengutip penjelasan Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti rahimahullah, Syeikh ‘Abd. al-Razzaq bin ‘Abd. Al-Muhsin al-Badr menulis di dalam kitabnya al-Qaul al-Sadid fii al-Radd ‘Ala Man Ankara Taqsim at-Tauhid:[13]

 

Al-Qur’an banyak berhujah dengan golongan kafir yang mengakui kerububiyyahan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Al-Qur’an mewajibkan mereka mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta’ala dari sudut peribadatan (al-Uluhiyyah). Sehubungan dengan ini Allah berhujah dengan mereka mengenai tauhid al-Rububiyyah dalam bentuk al-Istifham al-Taqrir (pertanyaan berbentuk penetapan).

 

Dalam konteks ini apabila golongan kafir mengakui kerububiyyahan Allah Subhanahu wa Ta’ala, al-Qur’an menjadikan pengakuan mereka sebagai penghujahan terhadap mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala semestinya ditauhidkan dari sudut peribadatan (al-Uluhiyyah).

 

Oleh itu Allah mencela golongan kafir sebagai bantahan terhadap pengakuan mereka terhadap al-Rububiyyah disebabkan perbuatan syirik yang mereka lakukan.

 

Penjelasan di atas menunjukkan kepada kita bahawa keimanan kepada tauhid al-Rubiyyah sahaja adalah tidak memadai seandainya ia tidak diikat dengan satu lagi tauhid yang memisahkan antara seorang muslim dengan orang musyrik. Tauhid yang dimaksudkan ialah tauhid al-Uluhiyyah yang bermaksud mentauhidkan Allah dalam setiap peribadatan dengan membersihkannya daripada segala unsur yang membawa kepada perbuatan mempersekutukan Allah dengan sesuatu selain-Nya.

 

¯ Apakah Syirik?

Secara mudahnya syirik[14] bermaksud ‘menduakan’ Allah dengan sesuatu selain-Nya, dalam erti kata meyakini adanya sesuatu selain Allah yang berupaya mengendalikan tugas-tugas ketuhanan atau memiliki sifat-sifat ketuhanan sebagaimana layaknya Allah. Ini  seperti berkuasa menghidup dan mematikan sesuatu, memberi manfaat (nikmat) dan mendatangkan mudarat (bala), mengabulkan sesuatu hajat dan lain-lain seumpama.

 

¯ Apakah bentuk-bentuk kesyirikan yang lazim berlaku dalam masyarakat Islam?

Termasuk dalam amalan atau kepercayaan yang membawa kepada kesyirikan yang lazim diamalkan oleh sebahagian umat Islam ialah seperti berikut:

 

1.   Berdoa atau memohon sesuatu daripada orang yang telah mati.

Ini seperti meminta kepada orang shalih yang dianggap sebagai ‘wali’ atau nenek moyang yang dipercayai memiliki kuasa mendatangkan nikmat berupa rezeki dan menolak sesuatu mudarat (seperti penyakit dan seumpama). Keyakinan ini adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang menetapkan Allah sebagai sumber permohonan doa atau hajat serta Dzat yang Maha Berkuasa menolak sesuatu mudarat.

 

Firman Allah dalam surah al-Isra’, ayat 56: 

Serukanlah (berdoalah kepada) orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberi pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya.

 

Firman-Nya lagi dalam ayat yang lain: [15]  

Dan janganlah engkau menyeru (menyembah atau berdoa) selain daripada Allah yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).

 

Perhatikan juga firman-Nya dalam surah al-Ahqaf, ayat 5 berikut yang menjelaskan akan kesesatan orang-orang yang menyeru kepada selain Allah Subhanahu wa Ta’ala padahal yang mereka seru itu tidak berupaya sedikit pun untuk memakbulkan permintaan mereka sehingga ke Hari Kiamat:  

Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sembahan-sembahan selain daripada Allah yang tidak dapat memperkenankan (doa) sampai Hari Kiamat dan mereka lalai dari (memperhatikan) doa mereka?

 

Sementara itu al-Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Sesiapa yang mati sedangkan dia berdoa kepada selain Allah sebagai tandingan-Nya maka dia akan masuk Neraka.

 

Sabdanya lagi dalam hadis yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmidzi dan disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam al-Misykah, no. 5302:

Apabila kamu meminta maka mintalah kepada Allah dan apabila kamu meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah.

 

2.   Memakai tangkal atau azimat.

Memakai tangkal atau azimat, baik bagi tujuan pelaris perniagaan atau untuk menolak sesuatu mudarat, adalah suatu yang masyhur khususnya di kalangan mereka yang memiliki akidah yang rapuh terhadap keesaan dan kekuasaan Allah.

 

Tangkal wujud dalam pelbagai jenis dan reka bentuk, seperti rantai, taring haiwan, bungkusan kain hitam atau kuning dan sebagainya.  Dalam sesetengah kes, azimat juga wujud dalam bentuk gambar potret orang mati yang dianggap sebagai ‘wali’ dimana orang yang menyimpannya meyakini ia berupaya mendatangkan nasib tuah dan menolak sesuatu bencana, sebagaimana yang berlaku di kalangan para pengamal tarekat kesufian.

 

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-An’am, ayat 17: 

Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu maka tidak ada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia.

 

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:[16]

Sesiapa yang memakai tangkal maka sungguh dia telah syirik.

 

Sabdanya dalam hadis yang lain:[17]

Sesungguhnya jampi, azimat dan tilawah adalah syirik.

 

Dalam sebuah hadis yang dikeluarkan al-Hakim dan disepakati kesahihannya oleh adz-Dzahabi diceritakan bahawa pada suatu ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melihat seorang lelaki yang mengenakan azimat pada dirinya, lalu baginda shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepadanya:

Azimat ini tidak akan menambahkan kepadamu kecuali kelemahan. Jauhkanlah ia darimu kerana jika engkau mati (sementara engkau masih memakainya) maka engkau tidak akan pernah beruntung selamanya.

 

3.   Meyakini adanya sial atau bencana pada bulan-bulan atau hari-hari tertentu.

Umpamanya meyakini setiap hari Rabu pada bulan Safar mengandungi sesuatu malapetaka atau kesialan. Keyakinan seperti ini adalah bercanggah dengan akidah Islam yang menetapkan bahawa sesuatu nikmat dan bencana adalah merupakan ketentuan yang datang Allah semata-mata.

 

al-Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Tidak boleh menjangkitkan penyakit, tidak boleh mempercayai nasib baik atau buruk pada burung, tidak boleh mempercayai Hama dan tidak boleh (mempercayai kecelakaan) pada bulan Safar.

 

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abdul ‘Aziz at-Tuwaijiri menulis di dalam kitabnya al-Bida’ al-Hauliyah:[18]

Menganggap sial terhadap waktu tertentu atau terhadap bulan tertentu seperti bulan Safar atau yang lainnya tidaklah dibenarkan. Sebab, waktu adalah ciptaan Allah dan di dalam lingkup waktu itulah Allah menetapkan perbuatan cucu anak Adam.

 

Setiap waktu yang diisi seseorang dengan perbuatan taat kepada Allah maka itu merupakan waktu yang penuh berkah baginya. Sebaliknya, setiap waktu yang diisi seseorang dengan perbuatan maksiat kepada Allah maka itu merupakan waktu yang penuh sial baginya.

 

Dengan demikian kesialan yang sesungguhnya adalah berbuat derhaka kepada Allah dan melakukan perbuatan dosa. Itu jelas mendatangkan kemurkaan Allah. Jika Allah telah murka kepada seorang hamba, pastilah hamba itu akan merugi di dunia dan di akhirat.

 

Orang yang suka melakukan kemaksiatan adalah orang yang menimpakan kesialan pada diri sendiri dan kepada orang lain. Sebab, ia tidak aman dari azab Allah yang menimpa dirinya dan yang kemudian menimpa manusia yang lain pula, khususnya terhadap orang yang tidak mengingkari kemaksiatan tersebut. dengan demikian maka jelaslah bahawasanya kita harus menjauhi maksiat.

 

Kenyataan Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abdul ‘Aziz at-Tuwaijiri di atas dikuatkan lagi dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah asy-Syura, ayat 30:  

Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan.

 

4.   Berjumpa dengan bomoh, dukun dan pawang

Salah satu amalan masyhur dalam masyarakat kita yang apabila mereka ditimpa dengan suatu musibah berupa kehilangan barang atau inginkan sesuatu kelebihan seperti ingin menjadikan wajah bertambah seri atau melariskan sesuatu perniagaan (pemanis), maka mereka akan mendapatkan khidmat daripada para bomoh/dukun yang didakwa memiliki kuasa dan mengetahui perkara ghaib.

 

Padahal Islam amat melarang keras perbuatan ini sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi menerusi hadisnya, iaitu sejak lebih dari 1400 tahun yang lalu:

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis riwayat Muslim, no. 2230:

Sesiapa yang mendatangi seorang peramal lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.

 

Sabdanya lagi dalam hadis yang lain:[19]

Sesiapa yang mengunjungi seorang tukang ramal  atau dukun dan percaya pada apa yang dikatakannya, maka dia telah kafir kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad (al-Qur’an).

 

5.   Berlebih-lebihan (ghuluw) di dalam memuliakan orang-orang shalih.

Salah satu faktor yang membawa kepada terlaknatnya kaum Ahl al-Kitab di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah kerana sikap mereka yang keterlaluan di dalam memuliakan orang-orang shalih di kalangan mereka.

Salah satu perbuatan yang menggambarkan sikap ghuluw (keterlaluan) mereka di dalam memuliakan orang-orang shalih di kalangan mereka ialah menjadikan kuburan orang-orang shalih tersebut sebagai pusat beribadah. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:[20]

Allah melaknat orang-orang Yahudi dan Nasrani kerana mereka telah menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai tempat ibadah.

 

Dalam hadisnya yang lain disebut:[21]

Ketahuilah, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah menjadikan kubur-kubur para nabi mereka sebagai tempat ibadah. Maka janganlah kamu menjadikan kuburan sebagai tempat ibadah. Sesungguhnya aku melarang perbuatan itu.

 

Hal ini tidak jauh berbeza dengan sikap sebahagian golongan tareqat kesufian yang keterlaluan di dalam memuja dan memuliakan guru mereka sehingga yang demikian kita dapati kebanyakan golongan ini menjadikan kuburan para tokoh atau syeikh mereka sebagai lokasi beribadah seperti mengerjakan solat[22], bertabarru’ (mengambil berkat), bertawassul[23], membaca al-Qur’an[24] dan sebagainya.

 

Diriwayatkan dalam Shahih al-Bukhari, no. 427 dan Shahih Muslim, no. 528 dari A’isyah radhiallahu’anha, dia berkata bahawa Ummu Salamah radhiallahu’anha bercerita kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang gereja yang dilihatnya di negeri Habsyah berserta gambar-gambar yang berada di dalam gereja tersebut.

 

Mendengarkan yang demikian, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:[25]

Sesungguhnya mereka ialah orang-orang yang apabila seseorang lelaki yang shalih di kalangan mereka meninggal dunia, mereka bangunkan di atas kuburnya masjid (tempat ibadah)[26] dan membuat gambar-gambar (orang-orang shalih) tersebut di dalamnya. Mereka itulah seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada Hari Kiamat.

 

Kebimbangan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam terhadap tertimpanya fitnah seumpama ini kepada umatnya dapat dilihat menerusi doanya sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam Malik seperti berikut:

Ya Allah, janganlah engkau menjadikan kuburku sebagai berhala yang disembah. Alangkah murkanya Allah kepada orang yang menjadikan kubur-kubur orang shalih sebagai tempat ibadah.

 

Oleh sebab itu Islam amat melarang keras umatnya daripada berlebih-lebihan di dalam memuliakan siapa jua. Ini termasuklah kepada Nabi kita yang mulia, Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabdanya:[27]

Janganlah kamu memujiku dengan berlebih-lebihan seperti pujian orang Nasrani kepada Ibnu Maryam. Sesungguhnya aku adalah hamba. Oleh kerana itu, katakanlah: “(Muhammad) adalah hamba Allah dan Rasul-Nya.”

 

Umar menuturkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:[28]

Janganlah kamu bersikap berlebih-lebihan. Sesungguhnya faktor penyebab kehancuran umat-umat yang sebelum kamu adalah berlebih-lebihan.

 

Sementara Ibnu Mas’ud radhiallahu’anh meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:[29]

Binasalah orang-orang yang berlebih-lebihan (ghuluw). Nabi mengulangi perkataan ini sebanyak tiga kali.

 

Termasuk dalam perbuatan berlebih-lebihan di dalam memuliakan orang-orang shalih ialah mentaati apa jua yang diajarkan oleh mereka berhubung dengan ajaran agama tanpa merujuk kebenarannya di sisi al-Qur’an dan al-Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih.

 

Sekali lagi Allah Subhanahu wa Ta’ala menegur sikap seumpama ini sebagaimana firman-Nya ketika mencela golongan Ahl al-Kitab yang keterlaluan di dalam mentaati ajaran para ulamak dan rahib mereka sehingga membelakang ajaran Allah dan Rasul-Nya:[30]

Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah.

 

6.   Bertabarruk (mengambil berkat) pada kuburan orang-orang shalih, pokok, batu dan sejenisnya.

Antara lain perbuatan yang boleh mengheret seseorang ke lembah perbuatan syirik ialah mengambil berkat pada perkara-perkara yang tidak disyariatkan agama seperti pada kuburan orang-orang shalih, pokok, batu dan lain-lain seumpama.[31]

Perhatikan ucapan Amirul Mukminin Umar bin al-Khaththab radhiallahu ’anhu di bawah ini ketika beliau mencium Hajar Aswad:[32]

Saya tahu engkau adalah batu yang tidak berupaya mendatangkan bahaya atau manfaat. Seandainya saya tidak melihat Rasulullah menciummu maka saya tidak akan menciummu.

 

al-Imam Ibnu al-Mulaqqin berkata ketika mengomentari atsar di atas:[33]

Ucapan di atas merupakan pokok dan landasan yang sangat agung dalam masalah ittiba’ (mengikuti) kepada Nabi walaupun tidak mengetahui alasannya serta meninggalkan ajaran jahiliah berupa pengagungan terhadap patung dan batu kerana memang tidak ada yang dapat memberikan manfaat dan menolak bahaya kecuali hanya Allah semata, sedangkan batu tidak boleh memberikan manfaat. Lain halnya dengan keyakinan kaum jahiliah terhadap patung-patung mereka, maka Umar ingin membanteras anggapan tersebut yang masih menempel dalam benak manusia.

 

¯ Kata Penutup

Demikian secara ringkas mengenai beberapa bentuk amalan dan kepercayaan syirik yang sempat penulis ketengahkan buat tatapan para pembaca sekalian. Tentu saja,  di luar sana masih terdapat banyak contoh berkenaan amalan dan keyakinan berbaur syirik dalam masyarakat Islam yang tidak sempat penulis kupas menerusi perbincangan singkat ini.[34]

 

Justeru, penulis menyarankan agar para pembaca meluaskan pembacaan dan membuat kajian lanjut mengenai persoalan yang amat mustahak ini. Mudah-mudahan dengan tersingkapnya segala kepercayaan dan amalan syirik tersebut, iman dan amal kita akan terpelihara dan kita akan mendapat syafaat di Hari Kiamat kelak.

 

Kalam Allah dan Rasul-Nya yang mulia berikut menutupi tirai perbincangan risalah ini. Firman-Nya:[35]  

Jika engkau mempersekutukan (Allah dengan sesuatu) tentulah akan gugur (batal segala) amalan kamu dan kamu akan tetap menjadi orang-orang yang rugi.

Firman-Nya lagi:[36]    

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.

 

al-Imam Muslim meriwayatkan bahawa telah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:[37]

Sesiapa yang bertemu dengan Allah sementara dia menyekutukan Allah dengan sesuatu (maka) dia akan masuk Neraka.

 

 

 


[1] Lebih lanjut sila lihat at-Tauhid Awwala Ya Du’atal Islam karya Syeikh al-Albani rahimahullah. Bagi edisi terjemahan, sila lihat Kepada Para Pendakwah Utamakanlah Tauhid, terbitan Badan Perkhidmatan Penerangan Islam Selangor Dan Wilayah Persekutuan.

[2]  Tafsiran kalimah ‘zalim’ sebagai ‘syirik’ di sini adalah berdasarkan kepada keterangan surah Luqman, ayat 13.

[3]  Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, no. 5827 dan Muslim dalam Shahih Muslim, no. 94.

[4]  Harus difahami bahawa hadis ini tidaklah bermaksud  membenarkan atau memandang kecil amalan berzina dan mencuri seperti yang difahami oleh sebahagian golongan jahil. Sebagaimana yang telah kita sedia maklum bahawa perbuatan berzina dan mencuri, kedua-duanya adalah perbuatan yang salah di sisi ajaran Islam dan setiap pelakunya akan menanggung dosa yang sangat besar di hari akhirat kelak.

Apa yang benar berhubung hadis ini adalah, ia hanyalah sekadar menjelaskan akan keagungan pengucapan kalimah ‘laa ilaha illallaah’ sehingga dengannya seseorang telah diberi jaminan untuk menjadi penghuni Syurga kelak, meskipun sebelum itu dia diazab dengan api Neraka disebabkan oleh sebahagian dosa-dosa yang dilakukan olehnya selama mana dia tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.

Wallahu a’lam.

[5]  Hadis riwayat Muslim, no. 93.

[6]  Lihat Tauhid Jalan Menuju Keadilan Dan Kemakmuran karya Yazid Abdul Qadir Jawas, ms. 68.

[7]  Iaitu hadis-hadis yang menerangkan keutamaan mengucapkan kalimah laa ilaaha illallaah sebagai salah satu antara sebab yang melayakkan seseorang memasuki Syurga dan dijauhkan daripada azab Neraka.

[8]   Hadis riwayat at-Tirmidzi, no. 3540 dan beliau menjelaskan bahawa hadis ini hasan gharib.

[9]   Surah an-Nahl, ayat 97.

[10] Surah al-Mu’minun, ayat 84-90.

[11]  Surah az-Zukhruf, ayat 87.

[12]  Sila lihat surah Yunus ayat 31, surah al-Ra’d ayat 16, surah al-Ankabut ayat 61dan 63, surah Luqman ayat 25 dan lain-lain.

[13]  Lihat al-Qaul al-Sadid fii al-Radd ‘Ala Man Ankara Taqsim at-Tauhid karya Syeikh ‘Abd. al-Razzaq bin ‘Abd. Al-Muhsin al-Badr, ms. 47-48.

[14]  Menurut bahasa asy-Syirku ertinya asy-Syarik bentuk jamaknya syuraka’, maknanya ialah sekutu. Sedangkan menurut istilah syariat, syirik ialah menjadikan sesuatu sebagai sekutu atau tandingan bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

[15]  Surah Yunus, ayat 106.

[16]  Hadis riwayat Imam Ahmad dan disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Shahih al-Jami’, no. 6394 dan Silsilah al-Ahadith ash-Shahihah, no. 492.

[17]  Hadis riwayat Abu Daud, no. 3883, Ibnu Majah, no. 3530 dan lain-lain. Disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Silsilah al-Hadith ash-Shahihah, no. 331 dan 2972.

[18]   Lihat  al-Bida’ al-Hauliyah karya Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abdul ‘Aziz at-Tuwaijiri, ms. 208-209.

[19]  Hadis riwayat Ahmad dan disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Shahih al-Jami’, no. 5939.

[20] Hadis riwayat al-Bukhari, no. 190, 435 dan Muslim, no. 5229, 531.

[21] Hadis riwayat Muslim, no. 532.

[22] Pengecualian bagi solat jenazah dimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam  pernah mengerjakan solat jenazah di kawasan perkuburan sebaik sahaja mendengar berita kematian seorang yang sering membersihkan masjid. Ini sebagaimana riwayat al-Bukhari di dalam kitab Shahihnya, no. 1337. Adapun selain solat jenazah, maka ia termasuk dalam keumuman hadis-hadis di atas yang melarang mengerjakan solat di kawasan perkuburan. Untuk perbahasan yang lebih terperinci berkenaan hukum mengerjakan solat di kawasan perkuburan, sila lihat Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah karya Hafiz Firdaus Abdullah, ms. 243-317.

[23] Kupasan yang lebih terperinci berkenaan hukum bertawassul kepada orang yang telah mati, sila lihat Syarah Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah karya Yazid Abdul Qadir Jawas, ms. 445 dan seterusnya.

[24]  Ini berdasarkan hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

               لَا تَجْعَلُوْا بُيُوْتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِيْ تُقْرَأُ فِيْهِ سُوْرَةُ الْبَقَرَةِ.

Jangan jadikan rumah-rumah kamu seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah. – Hadis riwayat Muslim dalam Shahih Muslim, no. 1179.

[25]  Hadis riwayat al-Bukhari, no. 427 dan Muslim, no. 528.

[26] Syeikh al-Albani rahimahullah memiliki sebuah kitab yang khas yang membincangkan tentang larangan mengerjakan solat di masjid yang dibangunkan di atas kawasan kubur. Kitab tersebut diberi judul Tahdzirus Sajid Min Ittikhadzil Qubur Masajid. Bagi edisi terjemahan, sila rujuk Larangan Shalat Di Masjid Yang Dibangun Di Atas Kubur; terjemahan oleh M. Abdul Ghoffar E.M (Jakarta: Pustaka Imam Asy-Syafi’i).

[27]  Hadis riwayat al-Bukhari, no. 3445.

[28]  Hadis riwayat al-Nasa’i 5/218, Ibnu Majah, no.3029, Ahmad 1/215, Ibnu Khuzaimah, no. 2827, Ibnu Hibban, no. 3871 dan al-Hakim 1/466. Hadis ini adalah sahih.

[29]   Hadis riwayat Muslim, no. 2670.

[30]   Surah at-Taubah, ayat 31.

               Inilah realiti yang dapat kita saksikan ketika ini. Tidak sedikit kita temui di sana sini sebahagian umat Islam yang dilihat begitu fanatik terhadap ajaran para agamawan tertentu. Sehingga apabila berlaku pertembungan antara pandangan agamawan ini dengan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, maka  yang diunggulkan adalah pandangan agamawan berkenaan, bukan al-Qur’an dan al-Sunnah. Semua ini tidak lain adalah disebabkan oleh sikap fanatik mereka di dalam mentaati dan mengunggulkan golongan agama.

[31]   Para ilmuan Islam telah membahagikan tabarruk kepada dua kategori iaitu:

1)     Tabarruk masyru’ iaitu tabarru’ pada perkara yang disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya baik berupa tempat, masa, benda dan selainnya. Ini seumpama air Zam-Zam, al-Qur’an, bulan Ramadan dan lain-lain.

2)     Tabarru’ mamnu’ iaitu tabarru’ pada perkara yang tidak disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya seperti bertabarru’ pada kuburan, batu, pokok dan lain-lain seumpama.

[32]  Atsar riwayat al-Bukhari, no. 1597 dan Muslim, no. 1270.

[33] Lihat al-I’lam bi Fawa’id Umdatil Ahkam karya Ibnu al-Mulaqqin, jld. , ms. 190; dalam Manhaj Salafi Imam Syafi’i karya Abu Ubaidah Yusuf Mukhtar as-Sidawi, ms. 70.

[34] Berikut disarankan beberapa buku yang baik untuk dijadikan rujukan berkenaan subjek tauhid dan syirik, antaranya:

1)     Kitabut Tauhid Alladzi Huwa Haqqu Allah ‘Ala al-‘Abid karya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab; edisi terjemahan oleh Eko Haryono di atas judul Kitab Tauhid Memurnikan La Ilaha Ilallah (Jogjakarta: Media Hidayah).

2)     Tauhid Jalan Menuju Keadilan Dan Kemakmuran karya Yazid Abdul Qadir Jawas (Jawa Barat: Media Tarbiyah).

3)     13 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid karya Hafiz Firdaus Abdullah (Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa).

[35] Surah az-Zumar, ayat 65.

[36] Surah al-Nisa’, ayat 48.

[37]  Hadis riwayat Muslim, no. 9