D: Berbuat Baik Kepada Ibubapa Setelah Mereka Meninggal Dunia.

Mengurus Jenazah :  Melunaskan Hutang : Melaksanakan Rancangan Atau Janji : Melakukan Kebaikan : Meneruskan Yang Baik dan Menghentikan Yang Buruk :  Mendoakan : Berhubung Dengan Yang Dicintai

 

 

Allah Subhanahu wa Ta'ala Maha Mengetahui bahawa ada di kalangan kita, anak-anak yang tidak tahu, tidak sempat atau tidak mampu berbuat baik kepada ibubapa ketika mereka berdua masih hidup. Justeru selari dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Allah membuka ruang kepada kita untuk tetap berkesempatan berbuat baik kepada ibubapa setelah mereka meninggal dunia. Tidak ketinggalan, berdasarkan Rahmat-Nya yang amat luas, Allah juga memberi ruang kepada kita yang telah berbuat baik kepada ibubapa ketika masa hidup mereka menyambung berbuat demikian setelah mereka meninggal dunia.

 

Oleh itu pada Bahagian D ini, kita akan memberi tumpuan kepada ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menerangkan cara-cara berbuat baik kepada ibubapa setelah mereka meninggal dunia. Namun sebelum itu, terdapat dua perkara penting yang perlu diterangkan:

 

 

Pertama:

Apabila salah seorang atau kedua-dua ibubapa meninggal dunia, mereka memasuki Alam Barzakh yang amat berbeza daripada alam dunia. Malah perbezaannya adalah sesuatu yang tidak dapat dinalar oleh akal atau dianalisa oleh ilmu pengetahuan. Ia adalah satu alam yang ghaib.

 

Justeru apabila ibubapa memasuki alam ini, kita tidak dapat mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk untuk mereka melainkan berdasarkan petunjuk wahyu, yakni al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ilham tok syaikh, kasyaf pak lebai, mimpi tok wali dan petua ustaz tidak dapat mengganti petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah.

 

Manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah adalah kita menerima ilham, kasyaf dan mimpi asalkan ianya selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ilham, kasyaf dan mimpi yang menepati syarat ini memang sedikit manakala majoriti yang lain menyalahinya. Malah kemungkinan besar ia adalah mainan syaitan. Ini kerana suasana sedih yang meliputi anak-anak yang baru kehilangan ibubapa dimanfaatkan sepenuhnya oleh syaitan dengan memberi pelbagai ilham, kasyaf dan mimpi agar anak-anak tersebut melakukan amal-amal bid‘ah dan kurafat, konon untuk kebaikan arwah ibubapa. Berwaspadalah akan strategi syaitan ini.

 

Oleh itu hendaklah kita memiliki iktikad yang benar lagi tulen dalam bab ini. Lakukanlah apa yang benar-benar bermanfaat kepada ibubapa berdasarkan pengkhabaran daripada yang akan memberi manfaat itu sendiri, yakni Allah Subhanahu wa Ta'ala. Tinggalkanlah apa yang disangkakan dapat memberi manfaat kerana yang mengkhabarkannya sendiri tidak dapat menjamin manfaat kepada sesiapa, termasuk kepada dirinya.

 

 

Kedua:

Tidak berlebihan jika dikatakan bahawa sebahagian besar anak-anak masa kini meremehkan peluang berbuat baik kepada ibubapa ketika mereka masih hidup. Anak-anak hanya membiarkan ibubapa di kampung sementara mereka sibuk mengejar kehidupan sendiri. Anak yang belajar sibuk mengejar ijazah, anak yang lulus sibuk mengejar kelulusan Master dan PhD, anak yang bekerja sibuk mengejar kedudukan dan kenaikan gaji, anak yang sudah memegang duit sibuk mencari jalan memperbanyakkannya manakala anak yang sudah berumahtangga sibuk memanjakan anak.

 

Apabila ibubapa “tiba-tiba” meninggal dunia, timbul perasaan sedih, kesal dan rugi yang amat sangat di dalam diri anak-anak. Perasaan ini menyebabkan mereka tercari-cari cara untuk “membayar balik” kesalahan mereka yang meremehkan ibubapa ketika mereka masih hidup. Namun oleh kerana jahil terhadap petunjuk agama, mereka melakukan apa yang biasa dilakukan oleh orang ramai, iaitu melaksanakan kenduri arwah pada malam-malam tertentu. Tidak aneh bahawa orang ramai yang dijadikan ikutan juga sedang melalui pengalaman yang sama, iaitu ingin “membayar balik” kesalahan meremehkan ibubapa sendiri ketika mereka masih hidup.

 

Jika kita menganalisa fenomena kenduri arwah, ia memiliki beberapa kesalahan dan kerugian, seperti:

 

 

Analisa Pertama:

Berhimpun atau menghimpunkan orang ramai bersama jamuan makan di rumah keluarga yang kematian seseorang, dalam kes ini ibubapa, adalah satu bentuk meratap kematian yang dilarang oleh agama. Jabir bin Abdillah radhiallahu 'anh berkata:

 

Kami (para sahabat) memandang berkumpul di rumah keluarga yang ditimpa kematian dengan membuat makanan termasuk dalam perbuatan meratap.[1]

 

 

Meratap kematian adalah satu perbuatan yang bukan berasal daripada Islam. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Empat perkara yang dilakukan oleh umatku yang berasal daripada tradisi Jahiliyyah yang belum mereka tinggalkan: berbangga-bangga dengan keturunan, mencela keturunan, mempercayai hujan turun berdasarkan ramalan bintang dan meratapi kematian.[2]

 

 

Jika perbuatan ini diteruskan, maka akibatnya adalah amat berat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegaskan:

 

Dua hal yang ada pada manusia yang kedua-duanya menyebabkan mereka kufur: mencela keturunan dan meratapi kematian.[3]

 

 

Selain dari itu perbuatan meratapi kematian akan menjemput syaitan ke dalam rumah. Ketika suaminya meninggal dunia, Umm Salamah dan seorang wanita lain berhasrat untuk meratapinya dengan cara menangis berlebih-lebihan.[4] Melihat yang sedemikian Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegur:

 

Apakah kamu ingin memasukkan syaitan ke dalam rumah yang telah Allah mengeluarkan syaitan itu daripadanya? (diulangi dua kali).

 

Lalu Umm Salamah tidak meratapi kematian suaminya.[5]

 

Meratapi kematian wujud dalam pelbagai bentuk dan ia tidak terhad kepada menangis secara berlebih-lebihan. Antara bentuk meratapi kematian adalah berhimpun di rumah keluarga yang ditimpa kematian bersama jamuan makan, seperti hadis pertama di atas. Pada masa kini, ia sinonim dengan majlis kenduri arwah yang dilakukan oleh masyarakat kita, sama ada di rumah ahli keluarga yang ditimpa kematian, rumah saudara kepada ahli keluarga yang ditimpa kematian atau di surau dan masjid.

 

 

Analisa Kedua:

Apabila satu keluarga ditimpa kematian, dalam kes ini kematian ibubapa, yang dituntut adalah orang ramai membantu keluarga tersebut dengan memberi makanan. Ketika melihat jenazah Ja’far yang gugur dalam peperangan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Buatkanlah makanan untuk ahli keluarga Ja’far kerana mereka telah ditimpa sesuatu yang menyibukkan mereka.[6]

 

 

Namun apa yang berlaku masa kini adalah sebaliknya. Ahli keluarga yang ditimpa kematian terpaksa bersusah payah membuat kenduri arwah. Keadaan menjadi lebih berat apabila kos pembiayaan kenduri arwah diambil daripada harta peninggalan ibubapa yang meninggal dunia, padahal harta tersebut sepatutnya menjadi milik anak demi manfaat masa depan mereka.

 

Anak yang ditinggalkan ibubapa adalah anak yatim dan haram hukumnya untuk menggunakan harta mereka untuk perbuatan sia-sia lagi dilarang oleh agama. Jamuan kenduri arwah dengan wang ringgit yang sepatutnya menjadi milik anak sebenarnya adalah jamuan api neraka. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala. [al-Nisa 4:10]

 

 

Sebahagian orang ada yang cuba menipu dirinya sendiri dengan berkata kepada keluarga yang ditimpa kematian:

 

Buatlah kenduri arwah. Kami akan sediakan makanan dan membiayai kosnya melalui syarikat catering.

 

Ini hanyalah satu helah kerana:

  1. Ia tetap menyalahi sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dimana makanan yang sepatutnya disediakan adalah untuk keluarga yang ditimpa kematian dan bukannya hadirin kenduri arwah.

  2. Sekalipun makanan disediakan oleh pihak lain, ia tetap menyusahkan ahli keluarga yang ditimpa kematian kerana mereka perlu bersiap sedia mengurusi majlis kenduri arwah.

  3. Dengan cara apa sekalipun, perhimpunan kenduri arwah tetap merupakan ratapan kematian yang dilarang oleh Islam.

 

Analisa Ketiga:

Apa-apa ibadah yang dilakukan, ia hendaklah ikhlas kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala tanpa mengharapkan apa-apa pujian dan imbalan. Ibadah yang dilakukan dengan harapan kepada sesuatu selain Allah, maka ia adalah syirik kepada Allah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman (yakni Hadis Qudsi):

 

Aku tidak memerlukan sekutu dalam segala-galanya. Sesiapa yang mengamalkan sesuatu amalan, lalu dia menyekutukan-Ku dalam amalnya dengan selain-Ku, maka Aku tinggalkan amalnya itu padanya dan pada sekutunya.[7]

 

 

Ahli keluarga yang melakukan kenduri arwah, antara sebab mereka melakukannya, malah mungkin merupakan sebab utama, adalah pandangan masyarakat. Jika mereka tidak melakukannya, pasti masyarakat memandang serong dan berkata:

 

Itulah anak-anak Wahabi yang tidak sayangkan ibubapanya.”

 

Maka demi menjaga kedudukan di sisi masyarakat, kenduri arwah dilakukan.

 

Orang ramai yang menghadiri kenduri arwah, antara sebab mereka hadir ialah jamuan makan yang dihidangkan. Tak percaya? Cuba anjurkan kenduri arwah dengan hidangan air sirap dan kerepek ubi. Nescaya yang hadir hanya beberapa orang.

 

Orang ramai yang membaca surah Yasin dan zikir dengan mengharapkan jamuan nasi minyak dan rendang tok, mereka sebenarnya beribadah dengan mengharapkan imbalan. Mereka tidak mendapat apa-apa pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala, lalu apa manfaatnya mereka mensedekahkan pahala yang sifar kepada si mati?

 

 

Analisa Keempat:

Kematian lazim berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, akan tetapi baginda tidak pernah menganjurkan kenduri arwah dengan ulangan pada hari dan tahun tertentu. Ia tidak diajar oleh al-Qur’an dan tidak disunnahkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, sekalipun melalui hadis yang tidak sahih. Seandainya ia bermanfaat, nescaya Allah dan Rasul-Nya akan menganjurkannya dan ia menjadi amalan para sahabat radhiallahu 'anhum. Memandangkan Allah dan Rasul-Nya tidak menganjurkannya, bererti ia adalah amalan yang tidak bermanfaat, sama ada kepada arwah yang meninggal dunia, ahli keluarga yang melakukannya dan orang ramai yang menghadirinya.

 

 

Analisa Kelima:

Melakukan kenduri arwah akan memberi pengaruh kepada ahli keluarga yang ditimpa kematian, dalam kes ini anak-anak, bahawa mereka telah melakukan apa yang sepatutnya kepada ibubapa yang telah meninggal dunia. Kesan ini menimbulkan rasa kecukupan sehingga dianggap tidak perlu melakukan apa-apa yang lain (I’ve done what I’m supposed to do). Ini menyebabkan apa yang benar-benar bermanfaat kepada ibubapa yang telah meninggal dunia tidak dilaksanakan oleh anak-anak. Malah bukan sahaja tidak dilaksanakan, ia juga tidak diketahui langsung. Benarlah kata hikmah seorang tokoh tabi‘in yang bernama Hasan bin ‘Athiyah rahimahullah:

 

“Tidaklah satu kaum mencipta satu bid‘ah dalam agama mereka melainkan Allah mencabut daripada sunnah (Nabi) mereka sesuatu yang semisalnya, kemudian tidaklah ia dikembalikan kepada mereka sehinggalah pada hari Kiamat.”[8]

 

 

Lahirnya bid’ah kenduri arwah dan acara-acara berkaitan dengannya menyebabkan tenggelamnya sunnah-sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang benar-benar bermanfaat kepada ibubapa setelah mereka meninggal dunia.

 

Hendaklah para pembaca sekalian bersikap jujur kepada diri sendiri dalam menganalisa poin-poin yang saya sebutkan di atas. Jika dirasakan ianya tidak benar, maka teruskanlah berkenduri arwah. Akan tetapi jika dirasakan benar, maka tinggalkan ia tanpa mengambil kira penilaian orang ramai. Bahkan mungkin tindakan anda akan memberanikan mereka untuk turut meninggalkan kenduri arwah. Ini kerana orang ramai melakukan kenduri arwah kerana penilaian masyarakat jua. Berikut diterangkan cara sebenar berbuat baik kepada ibubapa setelah mereka meninggal dunia.


 

 


[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 1612 (Kitab al-Jana’iz, Bab berkenaan larangan berhimpun di rumah keluarga si mati).

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 934 (Kitab al-Jana’iz, Bab amaran daripada meratap).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 67 (Kitab al-Iman, Bab menggunakan gelaran “Kufur” ke atas orang yang mencela nasabnya dan meratapi kematian).

[4] Yang dimaksudkan adalah menangis sambil menjerit-jerit, memukul-mukul muka, menarik-narik baju dan lain-lain perbuatan yang berlebih-lebihan. Adapun menangis sekadar mengalirkan air mata, maka ia dibolehkan kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga mengalirkan air matanya apabila anaknya Ibrahim meninggal dunia.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 922 (Kitab al-Jana’iz, Bab menangis berlebih-lebihan ke atas mayat)..

[6] Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah­ – hadis no: 1610 (Kitab al-Jana’iz, Bab menghantar makanan ke rumah keluarga si mati).

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2985 (Kitab al-Zuhud wa al-Riqa’iq, Bab sesiapa yang menyekutukan amalannya dengan selain Allah).

[8] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Darimi dan sanadnya dinilai sahih oleh Husain Salim Asad dalam semakannya ke atas Musnad al-Darimi – hadis no: 99 (Muqaddimah, Bab mengikuti al-Sunnah)

 

Kandungan : Top