Amalan-Amalan Di Bulan Ramadhan
Hafiz Firdaus Abdullah

 

Puasa Ramadhan: Antara Yang Ditinggalkan dan Ditokok Tambah.

Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Bahagian A: Perkara yang ditinggalkan

 

[1] Kelonggaran hukum bagi yang menghadapi kesukaran berpuasa

Antara perkara yang telah ditinggalkan umat ialah memanfaatkan kemudahan dan kelonggaran hukum yang diberikan oleh syari‘at Islam kepada orang yang berpuasa. Islam adalah satu agama yang mudah lagi memudahkan. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

 

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. [al-Baqarah 2:286].

 

Berdasarkan firman-Nya ini, Allah telah memberi beberapa kemudahan atau kelonggaran hukum di dalam syari‘at Islam. Sangat dianjurkan untuk memanfaatkan kemudahan dan kelonggaran ini sebagaimana pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

Sesungguhnya Allah menyukai keringanan-keringanan hukum-Nya diamalkan

sebagaimana Dia benci larangan-larangan-Nya dikerjakan.[1] 

 

Bagi ibadah puasa, Allah telah memberi kelonggaran hukum kepada tiga kategori keuzuran. Daripada tiga kategori ini, hanya kategori pertama yang dimanfaatkan manakala dua kategori yang selebihnya jarang-jarang dimanfaatkan. Tiga kategori tersebut adalah:

 

Kategori pertama:

Keuzuran yang mewajibkan seseorang itu untuk tidak berpuasa dan dia wajib mengqadhanya selepas itu. Ini adalah keuzuran yang dialami oleh para wanita yang didatangi haid dan nifas.

 

Kategori kedua:

Keuzuran yang memberi pilihan kepada seseorang untuk berpuasa atau tidak dan faktor keuzuran tersebut hilang selepas bulan Ramadhan berakhir. Maka dia wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan. Contohnya:

  1. Orang yang bermusafir di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak berpuasa. Setelah bulan Ramadhan dia tidak lagi bermusafir, maka dia wajib qadha puasa yang ditinggalkan itu.

  2. Orang yang sakit di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak berpuasa kerana yakin sama ada berdasarkan pengalaman atau nasihat doktor pakar bahawa berpuasa akan memudaratkan lagi kesihatannya. Setelah itu dia kembali sihat, maka dia wajib qadha puasa yang ditinggalkan itu.

  3. Orang yang terpaksa bekerja keras di dalam bulan Ramadhan sehingga dia tidak terdaya berpuasa. Akan tetapi selepas itu dia tidak lagi membuat apa-apa kerja keras, maka dia wajib qadha puasa yang ditinggalkan itu.

  4. Orang yang tinggal di tempat yang waktu siangnya amat panjang. Demikian juga pelajar Malaysia yang pergi belajar di tempat yang seumpama. Siang yang panjang menyebabkan mereka tidak mampu untuk berpuasa. Mereka boleh memilih untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dan wajib menqadhanya apabila tiba musim di mana waktu siangnya adalah lebih pendek.

  5. Seorang ibu yang mengandung atau menyusukan anak di dalam bulan Ramadhan, dia memilih untuk tidak berpuasa demi menjaga kesihatan diri dan/atau anaknya. Setelah itu dia tidak lagi mengandung atau menyusukan anak. Maka dia wajib qadha puasa yang ditinggalkan itu.

Kategori ketiga:

Keuzuran yang memberi pilihan kepada seseorang untuk berpuasa atau tidak dan faktor keuzuran tersebut tetap wujud selepas bulan Ramadhan berakhir. Maka dia tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan tetapi hanya perlu membayar fidyah, iaitu bagi setiap hari yang ditinggalkan, dia memberi makan kepada satu orang miskin dengan kadar yang dapat mengenyangkan orang tersebut. Contoh bagi kategori ketiga ini:

  1. Orang yang mengalami sakit yang tetap atau berpanjangan, seperti kanser, gastrik yang serius atau semata-mata kerana tua. Dia tidak dapat berpuasa sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selepasnya. Maka orang seperti ini tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkannya, dia hanya wajib membayar fidyah.

  2. Orang yang terpaksa bekerja keras (hard labour) secara tetap seperti pekerja buruh, pembinaan, lombong dan sebagainya. Dia tidak dapat berpuasa sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selepasnya. Maka orang seperti ini tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkannya, dia hanya wajib membayar fidyah.

  3. Orang yang tinggal di kawasan yang berhampiran kutub utara atau selatan. Sepanjang tahun waktu siang adalah tanpa malam kecuali pada beberapa hari. Dia tidak dapat berpuasa kecuali pada beberapa hari yang memiliki peredaran siang dan malam. Maka bagi orang seperti ini dia tidak wajib mengqadha puasa kecuali hanya membayar fidyah.

  4. Seorang ibu yang mengandung atau menyusukan anak di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak berpuasa. Namun menjelang Ramadhan seterusnya, dia telah mengandung kembali atau masih menyusukan anak. Maka bagi si ibu dia tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkannya, dia hanya wajib membayar fidyah.

 

Dalil bagi kelonggaran kategori pertama:

A’isyah radhiallahu 'anha berkata:

 

Apabila yang demikian itu (haid) menimpa kami, maka kami disuruh (oleh Rasulullah) mengqadha puasa

namun tidak disuruh untuk mengqadha solat.[2]

 

Daripada keterangan A’isyah di atas, dapat difahami bahawa seorang wanita yang didatangi haid tidak diwajibkan bersolat dan berpuasa. Ini kerana perkataan “...disuruh mengqadha puasa namun tidak disuruh untuk mengqadha solat” menunjukkan dua ibadah tersebut pada asalnya tidak diwajibkan dalam waktunya ke atas wanita yang didatangi haid. Hukum yang sama diterapkan ke atas wanita yang didatangi nifas.

 

Hikmah kelonggaran ini adalah kerana apabila seorang wanita didatangi haid dan nifas, mereka mengalami gangguan yang berat ke atas kesihatan badan mereka. Ini kerana pertukaran hormon dan kehilangan darah pada saat itu sememangnya memberi kesan ke atas kesihatan tubuh badan. Mewajibkan puasa dan solat pada keadaan seperti ini hanya akan memberatkan lagi kesan yang sedang dihadapi. Dengan itu Allah memudahkan kepada mereka untuk tidak berpuasa dan tidak bersolat pada saat didatangi haid dan nifas.

 

Perhatikan juga bahawa di dalam kelonggaran ini, mereka hanya diwajibkan mengqadha puasa dan bukan solat. Sekalipun solat adalah ibadah yang paling penting, mengqadhanya akan memberatkan para wanita kerana ia melibatkan jumlah yang banyak dan pengulangan yang kerap. Berbeza dengan mengqadha puasa, ia tidak melibatkan jumlah yang banyak mahupun pengulangan yang kerap. Sememangnya Allah adalah tuhan yang Maha Bijaksana dan Maha Mengasihi.[3]

 

 

Dalil bagi kelonggaran kategori kedua dan ketiga:

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas

orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

 

(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit,

atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu

pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa

(kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

 

Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu,

maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu

(daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. [al-Baqarah 2:183-184]

 

Daripada dua ayat di atas jelas bahawa puasa adalah wajib kecuali kepada orang yang sakit atau musafir. Pengecualian ini adalah kerana orang yang sedang sakit atau musafir lazimnya mengalami kesukaran untuk berpuasa. Maka “kesukaran” adalah faktor penentu sama ada untuk berpuasa atau tidak. Berdasarkan kaedah qiyas, sesiapa yang mengalami kesukaran untuk berpuasa sekalipun tidak sakit atau musafir, seperti pekerja keras (hard labour) dan ibu yang mengandung atau menyusukan anak, mereka juga dikecualikan daripada kewajipan berpuasa.

 

Sama ada mereka wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan atau hanya membayar fidyah, hal ini ditentukan oleh firman Allah: “…kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” Pembeza antara mengqadha puasa atau membayar fidyah adalah dengan memerhatikan sama ada faktor keuzuran yang menyebabkan dia meninggalkan puasa masih wujud atau tidak selepas bulan Ramadhan:

  • Jika faktor keuzuran telah hilang, maka baginya ialah: “…kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain…”.

     

  • Jika faktor keuzuran masih wujud, maka baginya ialah: “…dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

 

 

Beberapa perbincangan lanjut

 

Pertama: Sama ada qadha atau fidyah, bukan qadha dan fidyah.

Jelas daripada ayat 183 dan 184 surah al-Baqarah di atas bahawa mengqadha puasa dan membayar fidyah merujuk kepada dua kes yang berlainan. Mengqadha puasa diwajibkan ke atas orang yang memiliki keuzuran di dalam bulan Ramadhan, namun keuzuran tersebut hilang selepas bulan Ramadhan. Membayar fidyah diwajibkan ke atas orang memiliki keuzuran secara berterusan di dalam bulan Ramadhan dan selepas bulan Ramadhan. Tidak ada qadha dan fidyah sekali gus tetapi yang ada ialah qadha atau fidyah.

 

Akan tetapi pendapat yang disebut di dalam kitab-kitab fiqh menyatakan bahawa qadha dan fidyah adalah diwajibkan kedua-duanya sekaligus tanpa membezakan sama ada faktor keuzuran masih wujud atau tidak. Malah ditambah pula hukum bahawa fidyah tersebut digandakan bagi setiap tahun yang terlambat. Pendapat ini, sekali pun masyhur, tidak ditemui dalilnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Malah ia menyelisihi ayat 183 dan 184 surah al-Baqarah di atas yang secara jelas telah membezakan antara qadha atau fidyah, bukan qadha dan fidyah.

 

Pendapat yang masyhur tersebut juga menyelisihi tujuan syari‘at Islam yang ingin memberi kemudahan kepada seseorang yang menghadapi keuzuran. Bayangkan seorang ibu yang hamil yang tidak berpuasa dalam bulan Ramadhan kerana bimbangkan dirinya dan bayi kandungannya. Dia bukan sahaja terpaksa menanggung susah payah kehamilan, melahirkan anak, menjaga dan menyusu anak tersebut, tetapi juga terpaksa mengqadha dan membayar fidyah. Demikian juga kesnya bagi orang yang sakit secara berterusan, orang yang perlu bekerja berat secara berpanjangan dan sebagainya. Mewajibkan qadha dan fidyah sekali gus ke atas mereka hanya menambah kesukaran yang mereka hadapi dan ini sangat-sangat menjauhi roh syari‘at Islam yang sentiasa prihatin ke atas suasana umatnya.

 

Kedua: Ayat 184 surah al-Baqarah dibatalkan?

Terdapat beberapa riwayat daripada kalangan sahabat bahawa ayat 184 surah al-Baqarah telah dibatalkan oleh ayat 185, iaitu:

 

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan

yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

 

Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya),

maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka

(bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu

pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu)

Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan,

dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan),

dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya,

dan supaya kamu bersyukur. [al-Baqarah 2:185]

 

Dalam ayat di atas, orang yang tidak berpuasa kerana sakit atau musafir diwajibkan mengqadha puasanya. Ayat di atas tidak lagi membezakan sama ada faktor keuzuran masih wujud atau telah hilang.

 

Untuk menjawab persoalan ini, perlu diketahui bahawa maksud nasikh dan mansukh di sisi generasi Salaf bukanlah bererti pembatalan hukum sepertimana yang dikenali masa kini tetapi ia bererti pengkhususan atau pengecualian atau penjelasan daripada satu keumuman.[4]

 

Maka ayat 185 surah al-Baqarah bukanlah membatalkan ayat 184, tetapi ia mengkhususkan bahawa orang yang tidak berpuasa kerana sakit atau musafir hendaklah mengqadha puasanya. Akan tetapi pengkhususan ini hanyalah bagi orang yang mampu mengqadha, yakni yang telah hilang faktor kesukarannya. Adapun bagi orang yang tidak mampu mengqadha kerana faktor kesukaran masih wujud, mereka tidak termasuk di dalam pengkhususan ini. Rujukan mereka tetap kepada ayat 184 surah al-Baqarah.

 

Ketiga: Wajib Imsak

Disebut dalam beberapa kitab fiqh bahawa apabila keuzuran yang menyebabkan seseorang itu tidak berpuasa telah hilang manakala waktu puasa masih wujud, maka dia wajib menahan dirinya daripada makan, minum dan bersetubuh sehinggalah ke waktu Maghrib, iaitu waktu berbuka puasa. Dalam erti kata lain, dia wajib imsak sekalipun tidak wajib puasa. Contohnya:

  1. Seorang wanita mendapati dirinya suci daripada haid pukul 11 pagi. Maka dia wajib imsak sehinggalah ke waktu Maghrib.

  2. Seorang yang daripada malam menghadapi sakit kepala yang amat berat (migraine) sehingga dia tidak berpuasa pada esok harinya. Akan tetapi sakitnya itu kembali sembuh pada siang harinya. Maka dia wajib imsak sehinggalah ke waktu Maghrib.

  3. Seorang buruh binaan yang habis bertugas pukul 5.30 petang. Maka dia wajib imsak sehinggalah ke waktu Maghrib.

  4. Seorang yang kembali daripada musafir pukul 3 petang. Maka dia juga wajib imsak sehinggalah ke waktu Maghrib.

Hukum wajib imsak diperselisihkan sebagaimana berikut:[5]

1.    Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat hukumnya adalah wajib, maksudnya wajib imsak.

2.    Mazhab al-Syafi‘e berpendapat hukumnya adalah sunat, maksudnya sunat imsak.

3.    Mazhab Maliki berpendapat hukumnya adalah harus, yakni tidak wajib mahupun sunat imsak.

 

Dalil yang diberikan oleh Mazhab Hanafi, Hanbali dan al-Syafi‘e ialah kerana menghormati bulan Ramadhan. Pendapat yang dianggap kuat adalah pendapat ketiga, iaitu tidak wajib mahupun sunat untuk imsak. Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:

  1. Allah dan Rasul-Nya tidak mensyari‘atkan hukum berupa wajib atau sunat imsak. Maka menghormati kesempurnaan syari‘at Allah dan Rasul-Nya adalah lebih berhak daripada mencipta hukum tersendiri atas alasan menghormati bulan Ramadhan.

  2. Kes-kes yang melibatkan hilangnya keuzuran ketika waktu puasa masih wujud adalah lumrah manusia yang tanpa ragu turut berlaku di zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Akan tetapi Allah dan Rasul-Nya tidak menetapkan apa-apa hukum ke atas kes tersebut. Tidak ada penetapan bukanlah bererti Allah dan Rasul-Nya telah lupa tetapi kerana sememangnya kes tersebut tidak perlu dihukumkan. Maka jika Allah dan Rasul-Nya tidak menetapkan hukum wajib atau sunat imsak, tidaklah perlu bagi umat terkemudian untuk menetapkannya.

  3. Menambah hukum wajib atau sunat imsak menjauhi roh syari‘at yang sebenarnya ingin memberi kemudahan kepada orang yang mengalami keuzuran. Ini kerana sekali pun faktor keuzuran telah hilang, seseorang itu tetap akan merasai kesan daripada keuzuran tersebut sehingga ke beberapa ketika. Contohnya, seorang wanita yang telah suci daripada haid masih akan merasai kelemahan kesihatan akibat daripada haid tersebut. Seorang yang telah sembuh daripada penyakitnya tetap akan merasai kesan-kesan daripada penyakitnya itu. Seorang pekerja buruh atau musafir tetap akan dibebani kepenatan akibat daripada pekerjaan atau perjalanan mereka sekalipun ianya telah selesai.

Oleh itu yang benar, tidak wujud hukum wajib atau sunat imsak bagi orang yang telah hilang faktor keuzurannya dalam waktu puasa.

 

 

 

[2] Meninggalkan sahur pada akhir waktu

Termasuk perkara yang ditinggalkan dalam amalan berpuasa ialah meninggalkan sahur pada akhir waktu. Sudah menjadi kebiasaan sebahagian orang bersahur pada lewat malam, lebih kurang pukul 11 atau 12 malam, kemudian tidur sehinggalah masuk waktu Subuh. Ini menyalahi sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mengajar kita kepentingan bersahur dan melewatkannya sehingga ke saat jelas kepada kita waktu Subuh telah masuk. Baginda bersabda:

 

Bersahurlah kerana sesungguhnya di dalam sahur ada keberkatan.[6]

 

Pembeza antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur.[7]

 

Daripada Anas bin Malik, Zaid bin Tsabit menerangkan bahawa mereka bersahur

bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, kemudian bangun pergi mendirikan solat (Subuh).

Anas bertanya: “Berapa lamakah tempoh antara keduanya (antara sahur dan solat Subuh)?”

Zaid menjawab: “Sekadar tempoh membaca 50 atau 60 ayat al-Qur’an.”[8]

 

 

Hadis pertama dan kedua menerangkan keutamaan dan kepentingan bersahur. Hadis ketiga menerangkan kepada kita bahawa sebaik sahaja selesai bersahur, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bangun untuk bersolat. Ini menunjukkan bahawa waktu sahur selesai sebaik sahaja masuk waktu Subuh. Tempoh antara sahur dan solat selama bacaan 50 atau 60 ayat bukanlah menunjukkan masa berakhirnya sahur sebagaimana yang difahami oleh sebahagian pihak[9], tetapi menunjukkan tempoh bermulanya sahur. Katakanlah tempoh membaca 50 atau 60 ayat adalah sekadar 20 minit dan waktu Subuh ialah 5.40 pagi, maka mereka mula bersahur pada pukul 5.20 pagi.

 

Bersahur bererti makan dan/atau minum pada akhir waktu untuk berpuasa. Sebanyak mana yang ingin dimakan dan/atau diminum terpulang kepada setiap individu. Ada sebahagian orang yang selesa dengan jamuan yang berat manakala ada sebahagian lain yang selesa dengan jamuan yang ringan. Bahkan mungkin ada yang selesa sekadar minum air segelas. Yang penting bukanlah berat atau ringan jamuan tersebut tetapi adalah bangun untuk bersahur. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Makan sahur adalah keberkatan maka janganlah kamu tinggalkannya sekalipun

kamu hanya minum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat

ke atas orang yang bersahur.[10]

 

 

 


[1]               Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 5866 dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan.

[2]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 335 (Kitab Haid).

[3]               Lebih lanjut rujuk buku Petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah Berkenaan Haid, Istihadah dan Nifas oleh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2004.

[4]               Lebih lanjut rujuk I’lam al-Muwaqi‘in oleh Ibn al-Qayyim (edisi terjemahan oleh Asep & Kamaluddim; Pustaka Azzam, Jakarta 2000), jld. 1, ms. 39 (Muqaddimah, Bab Pengertian Nasikh & Mansukh) dan al-Muwafaqat oleh al-Syathibi (diteliti oleh ‘Abd Allah Darraz & Ibrahim Ramadhan; Dar al-Ma‘arif, Beirut 1996), jld. 3, ms. 75 (Bab al-Nasakh dengan maksud al-Takhsis, wa al-Taqyid wa al-Bayan).

[5]               Wahbah al-Zuhaili – al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (Dar al-Fikr, Damsyik 1997), jld. 3, ms. 1703-1705 dan ‘Abd al-Karim Zaidan - al-Mufashshal fi Ahkam al-Mar‘ah wa Bait al-Muslim fi al-Syar‘iyyah al-Islamiyyah (Muassasah al-Risalah, Beirut 2000), jld. 2, ms. 33, masalah no: 1030.

[6]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 1923 (Kitab Puasa, Bab Keberkatan bersahur)

[7]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 1096 (Kitab Puasa, Bab Keutamaan sahur…)

[8]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 575 (Kitab waktu-waktu solat, Bab waktu solat fajar)

[9]               Penulis menerima banyak maklumbalas dan soalan bahawa ramai penceramah yang menggunakan hadis di atas sebagai dalil waktu imsak. Waktu imsak sebenarnya tidak wujud dan ia adalah suatu tokok tambah yang menjauhi sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Perbincangan lanjut tentang waktu imsak akan diberikan seterusnya dalam risalah ini.

[10]             Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 3683

 

kembali