Amalan-Amalan Di Bulan Ramadhan
Hafiz Firdaus Abdullah

 

Puasa Sunat Enam Syawal

Oleh:

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Selain puasa wajib pada bulan Ramadhan, syari‘at Islam juga membuka peluang kepada sesiapa yang ingin berpuasa di luar bulan Ramadhan. Ia disebut sebagai puasa sunat dan terbahagi kepada beberapa jenis. Puasa-puasa sunat adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman (Hadis Qudsi):

 

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلاَّ الصِّيَامَ هُوَ لِي

 

وَأَنَا أَجْزِي بِهِ.

 

فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلْفَةُ فَمِ الصَّائِمِ

 

أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ.

 

Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku

dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu). (Rasulullah melanjutkan):

Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa

adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.[1]


 

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat. Para pembaca boleh merujuk ke kitab al-Shahih al-Musnad min Fadhail al-Amal susunan Syaikh Ali bin Muhammad al-Maghribi (Dar Ibn ‘Affan, Riyadh, 2000).

 

Di antara jenis puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Puasa sunat inilah yang akan saya kupas dalam risalah ini.

 

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.

Dalilnya ialah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ

 

كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ.

 

Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal

maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.[2]

 

 

Darjat Hadis Puasa Sunat Enam Syawal.

Hadis yang menjadi dalil puasa sunat enam Syawal adalah sahih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya. Sebelum ini ada segelintir pihak yang meragui kesahihan hadis ini. Keraguan tersebut adalah sia-sia kerana hadis ini diriwayatkan dari beberapa sahabat dan memiliki banyak jalan periwayatan. Syaikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Bassam menjelaskan:

 

Hadis ini nyata kesahihannya, ia datang dengan tiga jalan periwayatan selain jalan di atas (yang dikemukakan oleh Imam Muslim). Ia juga diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dengan tiga wajah (yang berlainan) sehingga dikatakan: Sesungguhnya ia adalah hadis mutawatir. Ini kerana al-Dimyathi telah menghimpun semua jalan periwayatan hadis ini dan sanadnya dari dua puluh orang perawi, kebanyakan mereka hafiz dan thiqat.[3]

 

 

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat sebagaimana jelas Syaikh Abdullah al-Bassam: “Disunatkan berpuasa enam hari (dibulan Syawal), ini merupakan mazhab al-Salaf dan al-Khalaf serta jumhur ilmuan, termasuklah Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi’e dan Imam Ahmad.”[4] Imam Malik menganggap hukumnya makruh. Sebabnya dijelaskan oleh Imam Ibn Rusyd rahimahullah (595H):

 

Dan ada pun (puasa) enam hari dari bulan Syawal, maka sesungguhnya telah sabit bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun. Walaubagaimana pun (Imam) Malik menganggap hukumnya makruh. (Anggapan ini) mungkin kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan, atau mungkin kerana hadis tersebut tidak sampai kepadanya, atau mungkin kerana hadis itu tidak sahih disisinya. Kemungkinan yang terakhir adalah yang lebih tinggi.[5]

 

Sebahagian ilmuan dari Mazhab Hanafi ada juga yang menganggap hukumnya makruh atas sebab-sebab yang sama dengan Mazhab Maliki. Akan tetapi jumhur Hanafiyah menganggapnya tidak mengapa, yakni membolehkannya.[6]

 

 

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu 'anh berkata:

 

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الْفِطْرِ وَالنَّحْرِ.

           

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.[7]

 

 

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Hanya saja terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan: Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara rambang?

 

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara rambang asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Justeru puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal.

 

Walaubagaimana pun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan keumuman firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu,

dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi

yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. [Surah Ali Imran 3:133]

 

 

Tidak Ada Hari Raya Selepas Puasa Sunat Enam Syawal.

Sebahagian orang ada yang menyambut Hari Raya pada 1 Syawal dengan perasaan hambar dan kekosongan. Bagi mereka, Hari Raya yang memiliki erti sambutan dan kegembiraan sepenuhnya ialah pada hari selepas mereka menggenapkan puasa sunat enam Syawal.

 

Ini adalah satu bid‘ah yang mungkar. Hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Dua hari ini bukanlah sesuatu yang dibuat-buat manusia tetapi disyari‘at oleh tuhan yang mencipta manusia, yakni Allah Subhanahu wa Ta'ala. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا

 

مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ.

 

Sesungguhnya Allah telah mengantikan untuk kalian dua perayaan yang lebih baik

dari perayaan (zaman jahiliyah), iaitu (perayaan Aidil) Adha dan (perayaan Aidil) Fitri.[8]

 

Oleh itu hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Hanya pada dua hari inilah kita menyambut dengan penuh kegembiraan kerana ia disyari‘atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Tidak ada hari perayaan sempena genapnya puasa sunat enam Syawal.

 

Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.

Wujud perbincangan di kalangan para ilmuan, adakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini membuahkan dua pendapat.

 

Pendapat Pertama membolehkannya berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah berkata:

 

“Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali

pada bulan Sya’ban kerana sibuk (melayani) Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.”[9]

 

 

Para ilmuan yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah, yakni Aisyah, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan. 

 

Pendapat Kedua tidak membolehkannya berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi:

 

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal

maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.”

 

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

 

Pendapat yang rajih (kuat) ialah pendapat kedua kerana lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini ditambah dengan ayat 133 surah Ali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih disegerakan dari amal yang sunat.

\

Ada pun dalil yang digunakan oleh pendapat pertama, ia hanya satu andaian. Mereka hanya membuat andaian bahawa Aisyah telah berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Yang benar Aisyah tidak menerangkan sedemikian. Bahkan jika diperhatikan dengan cermat keterangan Aisyah, terdapat isyarat bahawa beliau juga tidak berpuasa sunat enam Syawal. Ini kerana jika beliau sentiasa sibuk melayani Rasulullah sehingga ke bulan Sya’ban, bererti beliau sememangnya tidak sempat untuk berpuasa tanpa mengira sama ada ia puasa wajib (mengqadha puasa Ramadhan) mahu pun puasa sunat (enam Syawal).

 

Di sini mungkin ada yang bertanya: “Ehh! Takkanlah isteri Rasulullah tak puasa sunat enam Syawal?” Pertanyaan ini dijawab, bahawa umat Islam generasi awal, termasuklah Aisyah, tidak memahami Islam dalam bentuk juzuk-juzuk kecil sebagaimana yang difahami oleh umat Islam masa kini. Mereka memahami Islam dalam konteks yang luas lagi jauh ke hadapan. Bagi mereka, amal yang memberi manfaat kepada orang ramai diunggulkan di atas amal yang memberi manfaat kepada diri sendiri. Amal yang besar manfaatnya diunggulkan di atas amal yang sederhana manfaatnya. Amal yang memiliki manfaat jangka panjang diunggulkan di atas amal yang memiliki manfaat jangka pendek.

 

Justeru jika Aisyah tidak berpuasa sunat enam Syawal, ia bukanlah satu kekurangan. Ini kerana memberi tumpuan melayani Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memiliki manfaat yang besar untuk umat Islam seluruhnya untuk jangka masa yang panjang.

 

Ibadah Puasa Bukan Syampu Rambut 2 Dalam 1.

Terdapat pandangan yang amat masyhur di Malaysia yang membolehkan puasa dua dalam satu, iaitu puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat Syawal dilaksanakan dalam satu hari. Ramai agamawan yang menyampaikan petua ini tanpa mengemukakan apa-apa dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Tidak kurang pula, ramai orang bukan agama yang menerima petua ini tanpa bertanya apakah dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih yang membolehkannya. Mereka menjadikan persoalan ini semudah syampu rambut 2 dalam 1.

 

Padahal ia adalah satu persoalan yang amat berat. Prof. Dr. Hasbi al-Shiddieqie rahimahullah (1394H) menjelaskan:

 

Kemudian hendaklah diketahui bahawa mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

 

Dalilnya ialah firman Allah: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya. [al-Baiyinah 98:05].

 

Ikhlas yang dimaksudkan dalam firman Allah ini ialah mengikhlaskan amal ibadah yang disuruh dengan cara yang disuruh. Demikian menurut Imam Malik, al-Shafi‘e dan Abu Sulaiman. Kemudian perhatikanlah pula hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim daripada A'isyah radhiallahu 'anha bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan sesuatu amal yang tidak ada atasnya tuntutan (ajaran) kami, maka amalnya itu tertolak.

 

Maka sesiapa mencampur adukkan sesuatu amalan dengan amalan lain, bererti telah melakukan suatu amal yang tiada dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan tiada dibenarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kerana itu, amalan sebegini tidak diterima.[10]

 

 


 

[1]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1151 (Kitab al-Siyam, Bab keutamaan berpuasa).

[2]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1164 (Kitab al-Siyam, Bab disunatkan berpuasa enam hari dari bulan Syawal).

[3]               Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 3, ms. 533]

[4]               Taudhih al-Ahkam, jld. 3, ms. 533.

[5]               Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtashid (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 3, ms. 209.

[6]               Ibn ‘Abidin – Rad al-Muhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar fi Syarh Tanwir al-Abshor (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn), jld. 3, ms. 435.

[7]               Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1991 (Kitab al-Shaum, Bab berpuasa pada hari Aidil Fitri).

[8]               Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 1134 (Kitab al-Solat, Bab solat dua hari raya).

[9]               Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1146 (Kitab al-Siyam, Bab mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Syawal). Dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayai Rasulullah” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.

[10]             Pedoman Puasa (Thinker’s Library, Kuala Lumpur, 1996), ms. 136-137.

 

 

kandungan