Amalan-Amalan Di Bulan Ramadhan
Hafiz Firdaus Abdullah

 

Jom Berhari Raya (‘Ied Al-Fithri) Bersama Rasulullah.

Oleh:

Mohd. Yaakub Mohd. Yunus & Hafiz Firdaus Abdullah[1]

 

Definisi ‘Ied Al-Fithri

Secara bahasa ‘Ied adalah sesuatu yang berlaku secara berulang-ulang atau suatu hari yang terjadi perkumpulan. Menurut Ibnul ‘Arabi rahimahullah: Hari raya disebut ‘Ied, kerana hari itu kembali muncul setiap tahun dan membawa kegembiraan baru.[2]

 

Fithri atau fitrah pula bermaksud sediakala atau sifat asal. Justeru itu Hari Raya ‘Ied al-Fithri adalah salah satu dari hari kebesaran umat Islam yang disambut pada tanggal 1 Syawal setiap tahun bagi menyambut kejayaan umat Islam setelah berjaya menyempurnakan ibadah sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak dan kembali kepada fitrah iaitu sifat asal manusia yang dibenarkan makan dan minum sepanjang hari. Menurut al-‘Allamah Ibnu ‘Abidin rahimahullah:

 

Disebut ‘Ied, kerana pada hari itu Allah Ta’ala memiliki berbagai macam kebaikan yang akan kembali kepada hamba-hambaNya setiap hari, yang di antaranya (tidak berpuasa) setelah adanya larangan makan dan minum (pada bulan Ramadan), zakat fitrah, … Dan kerana kebiasaan yang berlaku pada hari tersebut adalah kegembiraan, kebahagiaan, keceriaan dan hubur (kenikmatan).[3]

 

Dalil disyari’atkan ‘Ied al-Fithri sebagai hari kebesaran bagi umat Islam adalah sebagaimana dikhabarkan oleh Anas bin Malik radhiallahu 'anh, dia berkata: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua Hari Raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliyyah, maka baginda bersabda: “Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya ‘Ied al-Adha dan ‘Ied al-Fithri.”[4]

 

 

Amalan-Amalan Yang Disunnahkan Pada Hari Raya ‘Ied Al-Fithir

  •   Bertakbir

    Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena ‘Ied al-Fithri merupakan suatu amalan yang disyari’atkan. Ini sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

     

    وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ.

     

    Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.[5]

     

    Tentang jangka masa untuk bertakbir Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah  berkata: Takbir pada hari ‘Ied al-Fithri dimulai ketika terlihatnya hilal (anak bulan), dan berakhir dengan selesainya ‘Ied iaitu ketika imam selesai dari khutbah, (demikian) menurut pandangan yang benar.[6] Perihal lafaz takbir raya maka terdapat beberapa riwayat dari para sahabat radhiallahu 'anhum yang di antaranya adalah:

     

    • Ibnu Mas’ud radhiallahu 'anh pernah mengucapkan:

     

    اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ, واللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

    Allahu Akbar, Allahu Akbar, Laa ilaha illallah, Wallahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahilhamd. (Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan yang berhak diibadahi kecuali hanya Allah semata, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah).[7]

     

    • Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh pernah mengucapkan:

     

    اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ, اللهُ أَكْبَرُ وَ أَخَلُّ, اللهُ أَكْبَرُ عَلَى مَا هَدَانَا.

    Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahilhamd, Allahu Akbar wa A-khallu, Allahu Akbar ‘alaa maa hadaana. (Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar segala puji hanya bagi Allah, Allah Maha Besar lagi Maha Agung, Allah Maha Besar di atas petunjuk yang telah diberikan kepada kita).[8]

     

    • Salman al-Farisi radhiallahu 'anh pula berkata:

       

    كَبَرُوْ اللهَ: اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا.

    Agungkanlah Allah dengan menyebut Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Kabira (Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar).[9]

     

    Ketika dalam perjalan ke tempat solat ‘Ied, disunnahkan juga untuk kita bertakbir sehinggalah apabila solat akan didirikan. Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani rahimahullah: … disyari’atkan apa yang dikerjakan oleh kaum Muslimin berupa takbir dengan suara lantang selama di dalam perjalanan menuju tempat perlaksanaan solat (musholla), meskipun banyak dari mereka mulai meremehkan sunnah ini.[10]

    Bertakbir sejak mula keluar dari rumah adalah untuk menyerlahkan syi’ar Islam di seluruh perjalanan yang ditempuhi untuk menuju ke tempat solat. Syaikh Wahid Abdussalam Bali telah berkata:

     

    … setiap muslim bertakbir sejak keluar dari rumahnya sehingga sampai ke tempat solat, dengan mengeraskan suaranya, sebagai memaklumkan syi’ar Islam yang agung ini.

     

    ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ

     

    Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.[11]

     

     

    Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dengan sanad sahih dari al-Zuhri rahimahullah: Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam keluar pada Hari Raya al-Fithri dengan bertakbir hingga sampai di tempat solat.[12]

     

    Tentang tatacara takbir yakni dengan suara yang kuat, maka ianya tidak berbeza antara ‘Ied al-Fithri atau ‘Ied al-Adha (Hari Raya Haji). Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah:

     

    Sa’id bin Manshur meriwayatkan dengan sanad yang maushul[13], dari Ubaid bin Umair, dia berkata: “Bahawa ‘Umar ketika sedang berada di dalam khemahnya di Mina selalu mengumandangkan takbir, begitu pula dengan orang-orang yang berada di dalam masjid dan orang-orang yang berada di pasar, hingga kota Mina bergemuruh dengan suara takbir.”[14]

     

     

  •   Mandi Di Pagi ‘Ied

    Disunnahkan untuk mandi di pagi Hari Raya iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat ‘Ied al-Fithri. Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah: Baginda (shallallahu 'alaihi wasallam) mandi sebelum berangkat mengerjakan solat ‘Ied.[15]

     

    Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh pernah ditanya tentang mandi; apakah perlu mandi setiap hari? Maka beliau menjawab: Tidak perlu. Namun, yang perlu mandi ialah pada hari Jumaat, hari ‘Arafah, hari ‘Ied al-Adha dan ‘Ied al-Fithri.[16] Menurut Imam al-Nawawi rahimahullah pula di dalam kitab Majmu’nya (jilid 1, ms. 7): Imam al-Syafi’i dan rakan-rakannya mengatakan: “Untuk melaksanakan solat ‘Ied al-Fithri dan ‘Ied al-Adha dianjurkan mandi. Tidak ada perbezaan pendapat di dalam masalah ini.”[17]

     

    Tatacara mandi sunat di pagi Hari Raya ini adalah sama dengan tatacara mandi wajib (janabah).

     

     

  •   Makan Sebelum Solat ‘Ied Al-Fithri

    Disunnahkan untuk menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan Solat ‘Ied al-Fithri.[18] Ini bertujuan untuk menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari ‘Ied. Menurut al-Muhallab rahimahullah: Adapun hikmah makan sebelum solat ‘Ied adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia harus berpuasa sampai melaksanakan solat ‘Ied. Maka seakan-akan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ingin menutup prasangka semacam ini.[19]

     

    Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam makan kurma dalam jumlah yang ganjil di pagi ‘Ied. Dari Anas bin Malik (radhiallahu 'anh), dia berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak pergi (ke musholla) pada pagi ‘Ied al-Fithri hingga baginda makan beberapa buah kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: “’Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memakannya di dalam jumlah yang ganjil.”[20]

     

     

  •   Memakai Pakaian Yang Indah

    Disunnahkan untuk kita menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada Hari Raya. Imam al-Syafi’i rahimahullah berkata: Saya lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dia miliki pada hari-hari raya iaitu hari Jumaat, dua hari raya (iatu ‘Ied al-Adha dan ‘Ied al-Fithri), dan tempat-tempat keramaian. Hendaklah dia memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.[21]

     

    Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah berkata: Baginda (shallallahu 'alaihi wasallam) mengenakan pakaian yang paling indah ketika keluar untuk solat ‘Ied. Bahkan baginda mempunyai pakaian khusus yang digunakan hanya untuk solat Jumaat dan ‘Ied.[22]

     

     

  •   Berjalan Kaki Menuju Tempat Dikerjakan Solat ‘Ied

    Dianjurkan berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat ‘Ied jika tidak memberatkan. Ini sebagaimana yang diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh: Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju tempat solat ‘Ied dan memakan sesuatu sebelum berangkat.[23] Imam al-Syafi’i rahimahullah juga menjelaskan di dalam kitab al-Umm: Kami mendengar dari al-Zuhri bahawa dia berkata: “Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah naik kenderaan baik ketika solat ‘Ied ataupun solat jenazah.”[24]

     

     

  •   Mengikuti Jalan Yang Berbeza Ketika Pergi Dan Kembali Dari Mengerjakan Solat ‘Ied

    Disunnahkan bagi kita mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat ‘Ied.  Jabir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh berkata: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melalui jalan yang berbeza pada hari ‘Ied.[25] Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah berkata:

     

    Baginda (shallallahu 'alaihi wasallam) selalu menempuh jalan yang berbeza ketika berangkat dan ketika pulang dari tempat solat ‘Ied. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui dua jalan tersebut. Ada pula yang berpendapat untuk memberikan barakah kepada mereka. Ada yang berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua jalan tersebut. Ada yang berpendapat untuk menampakkan syi’ar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih menepati kebenaran adalah agar perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, maka salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjatnya, sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.[26]

     

    Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah: Imam al-Syafi’i (rahimahullah) di dalam kitabnya al-Umm mengatakan bahawa seorang imam dan makmum disunnahkan untuk mengikuti jalan yang berbeza dengan jalan waktu pergi ketika pulang dari solat ‘Ied. Demikian juga pendapat majoriti pengikut mazhab Syafi’i.[27]

     

     

  •   Tempat Perlaksanaan Solat ‘Ied Adalah Di Musholla

    Mengerjakan solat ‘Ied al-Fithri di musholla merupakan satu amalan yang hampir tidak dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil manusia yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Apakah itu musholla dan apakah perbezaannya dengan masjid? Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah menjelaskan:

     

    Adapun perbezaan di antara musholla dan masjid adalah bahawa musholla berada di tempat terbuka (seperti padang) sehingga khatib dapat melihat semua hadirin. Sedangkan masjid berada di dalam sebuah tempat (bangunan) yang tertutup, sehingga terkadang seorang khatib hanya dapat melihat sebahagian sahaja para hadirin. Shalat ‘Ied disunnahkan untuk dilakukan di musholla, dan tidak dilakukan di masjid kecuali apabila di dalam keadaan darurat (seperti hujan, angin kencang dan lainnya).[28]

     

    Dalil yang menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat ‘Ied di musholla adalah sebuah hadis dari Abu Sa’id al-Khudri (radhiallahu 'anh), dia berkata: Pada hari ‘Ied al-Fithri dan ‘Ied al-Adha, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar menuju musholla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat ‘Ied.[29]

     

    Ketahuilah bahawa solat di Masjid Nabawi adalah 1000 kali lebih baik dari bersolat di masjid-masjid lain. Ini sebagaimana sabda baginda shallallahu 'alaihi wasallam: Solat di masjidku ini (iaitu Masjid Nabawi) adalah lebih baik dari seribu kali solat di masjid lainnya kecuali Masjidil Haram (di Mekah al-Mukarramah).[30] Namun ternyata, meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tetap memerintahkan para sahabat radhiallahu 'anhum untuk mendirikan solat ‘Ied al-Fithri di musholla. Ibnu Qudamah rahimahullah di dalam al-Mughni (jilid 3, ms. 260) berkata:

     

    Mengerjakan solat ‘Ied di musholla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para khulafa’ al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat ‘Ied.[31]

     

    Tentang hikmah diselenggarakan solat ‘Ied di musholla, Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

     

    Sesungguhnya mengerjakan dua solat ‘Ied di tanah lapang (musholla) memiliki hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidaknya boleh berkumpul bersama dua kali selama setahun. Semua orang dari penjuru negeri berkumpul di sebuah tempat, baik lelaki, perempuan mahupun kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (kalimat tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan demikian, Hari Raya benar-benar memiliki erti yang agung bagi mereka.[32]

     

    Menurut Syaikh Wahid Abdussalam pula: Para ulama’ telah mengemukakan sejumlah hikmahnya:

    a) Berkumpulnya kaum muslimin di satu tempat untuk menampakkan kejayaan kaum muslimin.

    b) Berkumpulnya kaum muslimin di tempat terbuka yang terlihat awal dan akhirnya disertai takbir dan tahlil, dapat menguatkan keimanan dan memantapkan keyakinan.

    c) Keluarnya kaum muslimin di satu tempat, dewasa dan kanak-kanak, laki-laki dan perempuan, adalah salah satu fenomena kegembiraan pada Hari Raya.

    d) Tercerai-berainya kaum muslimin di beberapa masjid pada hari yang diberkahi ini menyebabkan perselisihan hati dan tercerai-berainya kalimat.

    e) Kaum muslimin memakai pakaian baru dan berkumpul di satu tempat dengan bertakbir, bertahlil, solat dan mendengarkan nasihat (khutbah), adalah salah satu bentuk rasa syukur kepada Allah, Rabb semesta Alam yang berfirman:

     

    Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.[33]

     

    f)     Berkumpulnya kaum muslimim di dalam pemandangan yang disegani ini dapat menggentarkan para musuh agama dan membuat marah kaum kafir.[34]

     

    Oleh itu sewajarnya umat Islam di Malaysia berusaha untuk mengembalikan pengamalan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang semakin dipinggirkan ini.[35]

 

  •   Hukum Solat ‘Ied

    Ulama’ berbeza pendapat tentang hukum solat ‘Ied al-Fithri. Bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia mereka berpegang kepada pendapat bahawa hukum solat ‘Ied adalah sunat mu’akkadah (yang dituntut). Ulama’ yang berpegang kepada pendapat ini berpandangan bahawa dengan wujudnya hadis-hadis yang menyatakan solat yang hukumnya wajib hanyalah solat lima waktu membuktikan solat ‘Ied tidak termasuk di dalam kumpulan solat yang wajib. Antara hadis yang dijadikan pegangan mereka adalah sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

     

    خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللَّهُ عَلَى الْعِبَادِ

     

    مَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا

     

    بِحَقِّهِنَّ كَانَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ.

     

    Ada lima solat yang diwajibkan Allah ke atas hamba-hamba-Nya.

    Maka siapa yang mengerjakannya dan tidak mengsia-siakan walau satu pun di antaranya

    disebabkan menganggap mudah, Allah berjanji akan memasukkanya ke dalam syurga.[36]

     

     

    Namun ada juga sebahagian ulama’ yang berpendapat Solat ‘Ied al-Fithri adalah fardhu ‘ain atau wajib. Mereka melihat kepada kesungguhan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di dalam menganjurkan para sahabat radhiallahu 'anhum untuk mengerjakannya sebagai bukti kewajipannya. Malah baginda shallallahu 'alaihi wasallam sendiri tidak pernah gagal untuk mengerjakan solat ‘Ied. Baginda memerintahkan para wanita yang sedang haid untuk turut serta menghadirkan diri di musholla hanya untuk menyaksikan upacara solat ‘Ied tersebut. Bahkan bagi wanita yang tidak memiliki pakaian yang sempurna untuk menutup aurat  telah diperintahkan untuk dipinjamkan pakaian kepada mereka hanya semata-mata untuk turut serta di musholla.

    Ummu ‘Athiyah  radhiallahu 'anha telah berkata:

     

    أُمِرْنَا أَنْ نَخْرُجَ

     

    فَنُخْرِجَ الْحُيَّضَ وَالْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ.

     

    قَالَ ابْنُ عَوْنٍ: "أَوْ الْعَوَاتِقَ ذَوَاتِ الْخُدُورِ," فَأَمَّا الْحُيَّضُ

     

    فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلْنَ مُصَلَّاهُمْ.

     

    Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) untuk keluar,

    maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun berkata: “atau wanita-wanita pingitan,” dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat.[37]

     

     

    Bagi wanita yang tidak memiliki pakaian sempurna untuk bersolat ‘Ied al-Fithri, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

     

    لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا فَلْيَشْهَدْنَ الْخَيْرَ وَدَعْوَةَ الْمُؤْمِنِينَ.

     

    (Jika dia tidak mempunyai jilbab) hendaklah temannya meminjamkan jilbabnya, sehingga dia dapat menyaksikan kebaikan dan dakwah orang-orang mukmin.[38]

     

    Pandangan akan wajibnya solat ‘Ied al-Fitri ini diperkuatkan lagi dengan hakikat bahawa solat ‘Ied ini dapat menggugurkan kewajipan solat Jumaat jika keduanya terjadi pada hari yang sama. Hanya sesuatu yang wajib dapat mengugurkan kewajipan yang lain.[39] Dalil yang menunjukkan kewajipan solat Jumaat gugur sekiranya ianya serentak dengan hari ‘Ied adalah:

     

    عَنْ إِيَاسِ بْنِ أَبِي رَمْلَةَ الشَّامِيِّ قَالَ:

     

    "شَهِدْتُ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ.

     

    قَالَ: "أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ.

     

    " قَالَ: "نَعَمْ." قَالَ: "فَكَيْفَ صَنَعَ." قَالَ: "صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ.

     

    " فَقَالَ: "مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ."

     

    Dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, dia berkata:

    “Aku pernah menyaksikan Mu’awiyah bin Abi Sufyan yang sedang bertanya kepada Zaid bin Arqam.

    Dia bertanya: “Apakah engkau menyaksikan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghadiri dua Hari Raya (hari ‘Ied dan hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari?”

    Dia menjawab: “Ya.” Mu’awiyah bertanya: “Lalu apa yang baginda kerjakan?” Dia menjawab: “Baginda mengerjakan solat ‘Ied, kemudian baginda memberikan keringanan dalam hal (mengerjakan) solat Jumaat

    dan bersabda: “Barangsiapa yang ingin solat (Jumaat) maka hendaklah dia solat.”[40]

     

     

    Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di dalam Majmu’ Fatawa (jilid 23, ms. 161) berkata:

     

    … oleh kerana itu, kami mentarjih (menguatkan) bahawa solat ‘Ied itu wajib bagi setiap individu muslim, sebagaimana pendapat Abu Hanifah dan lain-lainnya. Dan ini merupakan salah satu pendapat al-Syafi’i, dan ia merupakan salah satu dari dua pendapat di dalam mazhab Ahmad.

     

    Adapun pendapat mereka yang menyatakan tidak wajib maka ia benar-benar jauh (dari kebenaran), kerana ia termasuk salah satu syi’ar agama Islam yang paling agung. Dan orang-orang yang berkumpul untuk mengerjakannya lebih banyak dari solat Jumaat. Di dalamnya disyari’atkan bacaan takbir. Sedangkan pendapat orang yang menyatakan bahawa solat ‘Ied merupakan fardhu kifayah, sama sekali tidak kuat…[41]

     

    Apa pun jua pendapat yang dipegang sama ada wajib mahupun sunat mu’akkadah, ketahuilah bahawa baginda shallallahu 'alaihi wasallam amat menitik-beratkan agar kesemua umat Islam memenuhi musholla termasuk kaum wanita sebagaimana yang tercatat di dalam hadis-hadis di atas. Ini berbeza dengan amalan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang mana kaum wanita hanya ditinggalkan di rumah untuk menyiapkan apa-apa persediaan yang diperlukan di rumah sempena budaya rumah terbuka di hari Lebaran. Budaya sedemikian rupa perlu dikikis. Berusahalah untuk membawa seluruh isi keluarga untuk menghadirkan diri bagi mengerjakan solat ‘Ied al-Fithri. Setelah selesai solat ‘Ied boleh teruskan apa jua agenda yang berupaya menggembirakan keluarga anda asalkan tidak bertentangan dengan syari’at.

     

     

  •   Tatacara Solat ‘Ied

    Waktu untuk mengerjakan solat ‘Ied  adalah setelah terbitnya matahari setinggi tombak sehingga tergelincirnya matahari iaitu waktu dhuha. Disunnahkan untuk dilewatkan solat ‘Ied agar memberikan kesempatan mereka yang belum menunaikan zakat fitrah untuk menyempurnakannya.

     

    • Tidak ada solat sunat sebelum dan sesudah Solat ‘Ied.[42] Dari Ibnu ‘Abbas bahawasanya

       

       Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar pada ‘Ied al-Fithri kemudian solat dua rakaat

      dan tidak solat sebelumnya dan tidak pula sesudahnya.[43]

       

       

    • Tidak ada azan atau iqamah mahupun apa-apa ucapan sebelum solat ‘Ied. Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh:

       

      Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaksanakan solat ‘Ied

      tanpa azan dan tanpa iqamah.[44]

       

       

    • Jumlah rakaat solat ‘Ied al-Fithri adalah dua. Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh dia berkata:

       

      Bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar pada ‘Ied al-Fithri

      kemudian solat dua rakaat…[45]

       

       

    • Terdapat tambahan takbir di dalam solat ‘Ied.

     

    Dari ‘Aisyah (radhiallahu 'anha), dia berkata: “Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

    biasa bertakbir pada solat ‘Ied al-Fithri dan ‘Ied al-Adha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir

    dan pada rakaat kedua lima kali takbir, selain dari dua takbir rukuk.[46]

     

     

    • Tentang haruskah diangkat tangan atau tidak ketika takbir tersebut, menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan:

       

      Tidak pernah diriwayatkan dari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bahawa baginda mengangkat kedua tangannya ketika takbir pada solat ‘Ied (takbir pada rakaat pertama yang berjumlah tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali)… Hanya sahaja Ibnul Mundzir berkata: “Malik telah berkata bahawa di dalam masalah ini (iaitu angkat atau tidak tangan ketika takbir tersebut) tidak ada sunnah yang dianggap muktamad. Barangsiapa ingin mengangkat kedua tangannya pada waktu takbir tidak mengapa. Namun pendapat pertama (iaitu tidak mengangkat tangan) lebih aku sukai.”[47]

     

    Oleh itu di dalam hal ini bolehlah kita memilih untuk mengangkat atau tidak tangan ketika takbir-takbir tersebut, namun yang lebih hampir kepada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ialah dengan tidak mengangkatnya. Wallahu’alam.

     

    • Mengenai bacaan di antara takbir-takbir tersebut maka Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari berkata:

       

      Tidak ada hadis yang sahih yang diriwayatkan dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mengenai doa tertentu yang dibaca di antara takbir-takbir solat ‘Ied, tetapi telah ditetapkan dari Ibnu Mas’ud radhiallahu 'anh bahawasanya dia berkata mengenai solat ‘Ied: “Di antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada Allah 'Azza wa Jalla sekaligus sanjungan ke atasNya.”[48]

       

      Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i rahimahumallah sunat di antara dua takbir itu membaca zikir seperti:

    “Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar”.[49]

     

     

    • Tentang surah-surah yang dibacakan baginda shallallahu 'alaihi wasallam setelah membaca al-Fatihah, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah berkata: Diriwayatkan secara sahih dari bacaan pertama surah Qaf dan surah al-Qamar dan bacaan kedua surah al-A’laa dan al-Ghaasyiah, dan hanya inilah riwayat yang sahih dari beliau tentang bacaan itu (iaitu pada solat ‘Ied).[50]

     

    • Apabila seseorang tidak dapat turut serta untuk solat ‘Ied bersama secara berjemaah maka hendaklah dia solat dua rakaat secara sendiri. Di dalam Shahih al-Bukhari terdapat sebuah riwayat dari Atha’ bahawa dia berkata:

     

    Jika seseorang terlewatkan (tidak mendapatkan) solat Hari Raya,

    maka hendaklah dia solat dua rakaat.[51]

 

  •   Khutbah ‘Ied Al-Fithri

    Adalah disunnahkan untuk dilaksanakan khutbah sesudah mengerjakan solat ‘Ied al-Fithri. Dari Abu Sa’id al-Khudri (radhiallahu 'anh), dia berkata:

     

    كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى

     

    فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلَاةُ

     

    ثُمَّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ

     

    فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ.

     

    Pada hari ‘Ied al-Fithri dan ‘Ied al-Adha, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar menuju musholla.

    Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat ‘Ied.

    Kemudian baginda berpusing dan menghadap jamaah yang sedang duduk di saf-saf mereka.

    Kemudian baginda memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka.[52]

     

     

    Ada pun cara memulakan khutbah, maka menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah:

     

    Baginda memulakan khutbahnya dengan bacaan Hamdallah (أَنْ الْحَمْدَ لِلَّهِ...) dan tidak disebutkan di dalam satu hadis pun bahawa baginda memulai khutbah ‘Ied dengan takbir. Hanya sahaja Ibnu Majah (rahimahullah) menyebutkan di dalam Sunan-nya, bahawa Sa’d al-Qaradh (radhiallahu 'anh), salah seorang mu’adzin Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah memperbanyakkan takbir di dalam khutbah ‘Ied. Sekiranya hadis ini benar[53], tetap hal itu tidak menunjukkan bahawa baginda memulai khutbah ‘Ied dengan takbir. Yang benar, baginda memulai semua khutbah dengan Hamdallah.[54]

     

    Khutbah ‘Ied juga berbeza dengan khutbah Jumaat kerana ianya tidak dibahagikan menjadi dua khutbah dan khatib tidak perlu duduk di antara dua khutbah tersebut. Imam al-Nawawi rahimahullah telah berkata:

     

    Apa yang diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa dia mengatakan: “Disunnahkan berkhutbah pada Hari Raya dengan dua khutbah yang keduanya dipisahkan dengan duduk adalah dhai’f (lemah) lagi tidak bersambung. Tidak ada satu riwayat sahih pun yang menyebutkan dua khutbah.[55] [56]

     

    Para jemaah juga tidak diwajibkan untuk menghadiri khutbah ‘Ied ini. Oleh itu setelah selesai mengerjakan solat ‘Ied bagi seseorang yang tidak ingin turut serta untuk mendengar khutbah maka dia dibenarkan untuk meninggalkan majlis tersebut. Ini sebagaimana diriwayatkan dari ‘Abdullah bin al-Sa’ib (radhiallahu 'anh), dia berkata:

     

    شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِيدَ فَلَمَّا قَضَى الصَّلاَةَ

     

    قَالَ: "إِنَّا نَخْطُبُ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَجْلِسَ

     

    لِلْخُطْبَةِ فَلْيَجْلِسْ.

     

    وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَذْهَبَ فَلْيَذْهَبْ."

     

    Aku pernah menghadiri solat ‘Ied bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan ketika selesai solat

    baginda bersabda: “Sesungguhnya kami akan berkhutbah, barangsiapa ingin duduk

    untuk mendengarkan khutbah maka dipersilakan.

    Dan barangsiapa yang ingin pergi, maka dipersilakan untuk pergi.[57]

     

     

    Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga amat mengambil berat tentang perihal kaum wanita. Setelah selesai berkhutbah baginda akan menemui kaum wanita dan memberi nasihat khusus kepada mereka lalu menganjurkan mereka untuk banyak bersedekah. Dari Jabir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh dia berkata bahawa dia mendengar Atha’ radhiallahu 'anh berkata:

     

    Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdiri pada hari ‘Ied al-Fithri melakukan solat dan berkhutbah.

    Setelah selesai, baginda turun lalu menemui para wanita,

    baginda menasihati mereka seraya memegang tangan Bilal.

    Bilal membentangkan bajunya, dan para wanita menghulurkan sedekah mereka… [58]

     

     

  •   Bergembira Di Hari Raya ‘Ied Al-Fithri

    Islam adalah agama yang praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah 'Azza wa Jalla, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan tersebut dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada Hari Raya ‘Ied al-Fithri adalah sebahagian daripada syi’ar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat.

     

    Bagi kita di Malaysia kegembiraan sambutan Hari Raya ‘Ied al-Fithri dapat dilihat dengan berkumpul seluruh ahli keluarga dan ziarah-menziarah sesama umat Islam. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum Hari Raya ‘Ied al-Fithri dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut ‘Ied al-Fithri selagi mana ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Menurut Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah:

     

    Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, begitupun pelbagai macam nyanyian yang baik, semua itu menjadi syi’ar agama yang disyari’atkan Allah pada Hari Raya, untuk melatih tubuh jasmani dan untuk kepuasan serta kesenangan hati.[59]

     

    Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan suasana kegirangan di Hari Raya pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di mana baginda membenarkan acara-acara permainan untuk tontonan umum dan nyanyian yang tidak bercanggah dengan syarak. Di antara hadis-hadis tersebut adalah:

     

    وَكَانَ يَوْمَ عِيدٍ يَلْعَبُ السُّودَانُ بِالدَّرَقِ وَالْحِرَابِ.

     

    فَإِمَّا سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

     

    وَإِمَّا قَالَ: "تَشْتَهِينَ تَنْظُرِيَ؟"

     

    فَقُلْتُ: "نَعَمْ." فَأَقَامَنِي وَرَاءَهُ خَدِّي عَلَى خَدِّهِ

     

    وَهُوَ يَقُولُ: "دُونَكُمْ يَا بَنِي أَرْفِدَةَ!"

     

    حَتَّى إِذَا مَلِلْتُ قَالَ: "حَسْبُكِ؟"

     

    قُلْتُ: "نَعَمْ." قَالَ: "فَاذْهَبِي!"

     

    Hari itu adalah Hari Raya, di mana orang-orang Sudan bermain pedang dan perisai.

    Aku (‘Aishah radhiallahu 'anha) tidak ingat apakah aku yang meminta untuk melihatnya

    ataukah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang berkata: “Apakah kamu ingin melihatnya.”

    Aku pun menjawab: “Ya.” Aku disuruhnya berdiri di belakangnya, di mana pipiku dekat dengan pipi baginda. Baginda berkata: “Biar yang lain, wahai Bani Arfidah!”

    Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya kepadaku: “Sudah cukup?”

    Aku menjawab: “Ya.” Bagindapun bersabda: “Pergilah.”[60]

     

     

    عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ:

     

    "دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

     

    وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثَ.

     

    فَاضْطَجَعَ عَلَى الْفِرَاشِ وَحَوَّلَ وَجْهَهُ.

     

    وَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ فَانْتَهَرَنِي وَقَالَ:

     

    "مِزْمَارَةُ الشَّيْطَانِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ."

     

    فَأَقْبَلَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ عَلَيْهِ السَّلَام فَقَالَ: "دَعْهُمَا."

     

    فَلَمَّا غَفَلَ

     

    غَمَزْتُهُمَا فَخَرَجَتَا.

     

    Dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata:

    “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam masuk ke rumahku (pada Hari Raya),

    dan ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu’ats. Baginda langsung berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya.

    Ketika Abu Bakar (radhiallahu 'anh) masuk ke rumahku, dia memarahiku dan berkata:

    “Pada pandangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, (nyanyian) itu adalah seruling setan.”

    Mendengar itu maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menemui Abu Bakar dan berkata kepadanya: “Biarkanlah mereka.”[61]

    Ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lengah,

    aku memberikan isyarat dengan mata kepada kedua budak perempuan itu hingga mereka keluar.[62]

     

    Dari kedua-dua hadis ini al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah berkata: Pada Hari Raya dibolehkan mengadakan kegiatan yang dapat menghiburkan keluarga untuk melepas kelelahan setelah melakukan ibadah. Menampakkan kegembiraan pada Hari Raya merupakan sebahagian dari syi’ar Islam.[63]

 

Kesimpulan

Demikianlah sunnah-sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam berhari Raya. Di antara sunnah-sunnah tersebut adalah memiliki nilai hukum, ada yang memiliki nilai anjuran dan ada yang terbuka kepada uruf (kebiasaan) masyarakat mengikut masa dan tempat. Hayatilah ia dan ikutilah ia, nescaya kita seolah-olah berhari Raya bersama Rasulullah sekali pun kita hidup lebih 1400 tahun selepas kewafatan baginda.

 

 


 

[1]               Risalah ini asalnya susunan sahabat saya Mohd. Yaakub bin Mohd. Yunus. Kemudian saya (Hafiz Firdaus) meringkaskannya agar sesuai dijadikan sebagai risalah atau nota kuliah. Pada waktu yang sama saya menambah beberapa penjelasan yang dirasakan perlu agar ia lebih releven dengan amalan masyarakat kita. Penjelasan tambahan ini saya letak di bahagian notakaki.

[2]               Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis oleh Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari (edisi terjemahan oleh M. Abdul Ghoffar E.M., Pustaka Imam Asy-Syafi’i, Jakarta 2005), ms. 11.

[3]               Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis oleh Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 11.

[4]               Hadis riwayat Imam al-Nasa’i, di dalam Sunan al-Nasa’i, Kitab al-Sholah, hadis no: 959.

[5]               al-Baqarah (2) : 185

[6]               Majmu’ Fatawa, jilid 24 ms. 220 dan 221. Penulis nukil daripada artikel bertajuk Bimbingan Berhari Raya Idul Fithri yang disusun oleh Abu Sulaiman Aris S yang diterbitkan oleh Majalah As-Sunnah Edisi 07/VIII/1425H/2004M, ms. 39.

[7]               Hadis riwayat Imam Ibnu Abu Syaibah di dalam Mushannaf, hadis no: 5649.

[8]               Hadis riwayat Imam al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra (III/315)

[9]               Hadis riwayat Imam al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra (III/316)

[10]             Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis oleh Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32.

[11]             al-Hajj (22) : 32

[12]             Syaikh Wahid Abdussalam Bali, 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya (edisi terjemahan oleh Ahmad Syaikhu, Darul Haq, Jakarta 2005), ms. 415-416.

[13]             Sanad yang maushul (bersambung) bermaksud sanadnya bersambung sampai kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

[14]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Tahqiq Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, (Edisi terjemahan oleh Amiruddin, Pustaka Azzam, Jakarta 2004) Jilid 5, ms. 315. Selepas ini kitab ini hanya akan disebut sebagai Fathul Baari sahaja.

Hafiz Firdaus: Ada pun cara bertakbir, maka ia adalah umum sebagaimana keumuman dalil yang menganjurkannya. Oleh itu bertakbir boleh secara bersendirian atau berkumpulan, sama ada secara serentak atau dipimpin oleh seseorang. Semuanya bergantung kepada suasana ketika sedang  bertakbir. Yang dilarang adalah menetap atau mengkhususkan cara bertakbir kepada satu cara sahaja sehingga orang ramai menganggap ia adalah satu-satunya cara untuk bertakbir.

Ada pun lafaz takbir yang pelbagai pada masa kini, yang lebih utama adalah lafaz takbir yang diriwayatkan daripada para sahabat sebagaimana yang dikemukakan di atas. Sekali pun dalam riwayat-riwayat tersebut tidak dinyatakan bahawa ia berasal daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dalam kaedah usul fiqh sedia diterangkan bahawa perbuatan sahabat dalam ibadah memiliki nilai marfu’, iaitu berasal daripada Rasulullah, sekali pun mereka tidak menyandarkan secara jelas kepada baginda.

[15]             Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Mukhtasar Zaadul Ma’ad Bekal Menuju Ke Akherat, (edisi terjemahan oleh Kathur Suhardi, Pustaka Azzam, Jakarta 1999), ms. 48. Di mukasurat seterusnya kitab ini hanya akan disebut sebagai Zaadul Ma’ad sahaja.

[16]             Hadis riwayat Imam al-Syafi’i di dalam Musnad al-Syafi’i, I/118-119.

[17]             Dinukil dari artikel karangan Abu Ihsan al-Atsari bertajuk Mendulang Sunnah Nabi Pada Hari Raya ‘Iedul Fitri yang diterbitkan oleh majalah As-Sunnah, edisi 08/VII/1424H/2003M, ms. 23.

[18]             Namun begitu untuk Hari Raya ‘Ied al-Adha adalah disunnahkan untuk makan setelah dilaksanakan solat ‘Ied. Imam al-Syafi’i rahimahullah berkata: Diriwayatkan dari Ibnu Musayyib dia berkata: “Kaum muslimin makan pada Hari Raya ‘Ied al-Fithri sebelum mereka berangkat ke tempat solat, namun mereka tidak melakukan hal itu pada Hari Raya ‘Ied al-Adha.” (Ringkasan Kitab Al-Umm (peringkas dan pentahqiq oleh Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, edisi terjemahan oleh Mohammad Yasir Abd Mutholib, Pustaka Azzam, 2004, Jakarta)  jilid 1, ms. 326,)

[19]             Dinukil dari Fathul Baari, jilid 5, ms. 272.

[20]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedaini, hadis no: 953.

[21]             Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab Al-Umm, jilid 1, ms. 327.

[22]             Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Za’adul Maad, ms. 48.

                Hafiz Firdaus: Bezakan antara pakaian yang indah dengan pakaian yang baru. Ada yang memahami anjuran memakai yang indah bererti membeli pakaian yang baru. Ini kemudiannya diperluaskan kepada membeli pelbagai kelengkapan rumah yang baru seperti langsir, sofa, meja makan, permaidani dan sebagainya. Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hanya menganjurkan pakaian yang indah dimana ia tidak semestinya baru dibeli. Ada pun membeli pelbagai pakaian dan kelengkapan rumah yang baru, ia adalah satu tindakan yang menjauhi sunnah baginda, kerana sudah masuk dalam kategori pembaziran dan menunjuk-nunjuk.

[23]             Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi di dalam Sunan al-Tirmidhi, Kitab al-Jamaah, hadis no: 487.

[24]             Dinukil dari Fathul Baari, jilid 5, ms. 286.

[25]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedaini, hadis no: 986.

[26]             Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Za’adul Maad, ms. 49.

[27]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms.341.

[28]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms.282.

[29]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedaini, hadis no: 956.

[30]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Jamaah, hadis no: 1190.

[31]             Penulis nukil dari artikel bertajuk Bimbingan Berhari Raya Idul Fithri yang disusun oleh Abu Sulaiman Aris S, ms. 40.

[32]             Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, Koreksi Total Ritual Shalat, (edisi terjemahan oleh W. Djunaedi S, Pustaka Azzam, Jakarta 2001), ms. 394.

[33]             al-Baqarah (2) : 185

[34]             Syaikh Wahid Abdussalam Bali, 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, ms. 298-299.

[35]             Namun begitu janganlah disebabkan di Malaysia Solat ‘Ied al-Fithri tidak dilaksanakan di musholla maka ada yang beranggapan tidak perlu untuk menunaikan solat tersebut kerana menghindari amalan bid’ah. Insya Allah penulis akan membahaskan hukum solat ‘Ied al-Fithri di dalam risalah ini. Menunaikan solat ‘Ied al-Fithri di masjid diperbolehkan oleh Imam al-Syafi’i rahimahullah sekiranya masjid tersebut mampu menampung seluruh penduduk di daerah tersebut. Imam al-Syafi’i berkata:

Jika sesebuah masjid di dalam sebuah daerah dapat menampung seluruh penduduk, maka menurut saya mereka tidak perlu lagi pegi ke tanah lapang (untuk mengerjakan solat ‘Ied al-Fithri). Tetapi jika tidak dapat menampung seluruh penduduk, maka tidak dianjurkan melakukan solat ‘Ied di dalamnya. (Dinukil daripada Fathul Baari, jilid 5, ms. 283)

Dari fatwa Imam al-Syafi’i ini maka al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani  rahimahullah telah membuat kesimpulan seperti berikut:

Dari sini dapat disimpulkan, bahawa permasalahan ini sangat bergantung kepada luas atau sempitnya sesuatu tempat, kerana diharapkan pada Hari Raya itu seluruh masyarakat dapat berkumpul di suatu tempat. Oleh kerana itu, jika hal itu dapat dilakukan di dalam masjid, maka melakukan solat ‘Ied di dalam masjid lebih utama daripada di tanah lapang. (al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms. 283)

Apa pun jua, mencontohi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah lebih utama kerana hadis-hadis baginda bersifat umum tanpa meletakkan sebarang syarat berkaitan keluasan atau kesempitan sesebuah masjid dalam menentukan tempat untuk di laksanakan solat ‘Ied al-Fithri. Wallahu’alam

[36]             Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunan al-Nasa’i, Kitab al-Sholah, hadis no: 457.

[37]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedaini, hadis no: 981.

[38]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedaini, hadis no: 980.

                Hafiz Firdaus: Para ulama’ yang memandang Solat ‘Ied sebagai sunat mu’akkadah berhujah, bahawa kedua-dua hadis di atas tidak bermaksud memberi hukum wajib. Ini kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah memerintah semua wanita untuk keluar tanpa membezakan sama ada mereka sedang haid atau tidak dan tanpa membezakan sama ada mereka memiliki pakaian yang menuntup aurat atau tidak. Ini menunjukkan tindakan Rasulullah memerintahkan mereka keluar bukanlah kerana wajib mendirikan solat ‘Ied, tetapi wajib meraikan Hari ‘Ied. Seandainya perintah Rasulullah bermaksud mewajibkan solat ‘Ied, nescaya baginda tidak akan menyuruh para wanita yang haid dan tidak menutup aurat untuk keluar kerana mereka sememangnya dalam keadaan tidak boleh mendirikan solat.

[39]             Inilah pendapat Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani rahimahullah di dalam Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, (edisi terjemahan oleh Afifuddin Said, Maktabah Salafy Press, Gajah Mada 2002) jilid 2, ms. 103.

[40]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 904.

Hafiz Firdaus: Para ulama’ yang memandang Solat ‘Ied sebagai sunat mu’akkad berhujah, pengguguran solat Jumaat adalah satu rukhsah (kelonggaran hukum) yang diberikan oleh Allah dan Rasul-Nya sehingga tidak layak dijadikan hujah akal. Jika hendak digunakan logk akal, maka sesuatu yang menggugurkan ibadah yang wajib tidaklah semestinya bersifat wajib juga. Sebagai contoh, musafir telah menggugurkan kewajipan solat empat rakaat kepada dua rakaat (Solat Qasar). Apakah dengan itu dikatakan musafir hukumnya adalah wajib? Tentu tidak. Jawapannya yang tepat adalah pengguguran kewajipan solat empat rakaat kepada dua rakaat (Solat Qasar) adalah rukhsah yang diberikan oleh Allah dan Rasul-Nya. Maka jika hari ‘Ied dan Jumaat adalah sama, pengguguran solat Jumaat bukanlah dalil kewajipan solat ‘Ied tetapi rukhsah yang diberikan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam.

[41]             Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya ditulis oleh Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 47-48.

[42]             Hanya sahaja di Malaysia ini solat ‘Ied dikerjakan di masjid-masjid. Maka perlu untuk dilaksanakan solat Tahiyat al-Masjid kerana secara umumnya setiap kali seseorang masuk ke dalam masjid adalah disyari’atkan untuk dikerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyat al-Masjid. Ini adalah sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ.

Apabila salah seorang di antara kamu masuk masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Sholah, hadis no: 444)

[43]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedaini, hadis no: 989.

[44]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 968.

                Hafiz Firdaus: Namun untuk kemaslahatan umum, dibolehkan membuat pengumuman ringkas untuk memberi tahu para hadirin bahawa solat ‘Ied berjamaah akan bermula, agar mereka dapat bangun dan mula menyusun saf, lebih-lebih di tempat solat yang luas dimana kedudukan imam tidak dapat dilihat.

[45]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedaini, hadis no: 989.

[46]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 970.

Hafiz Firdaus: Ada pun tentang jumlah takbir secara keseluruhannya sebelum bacaan al-Fatihah, maka terdapat dua pendapat yang masyhur:

1.        Untuk rakaat pertama lapan takbir, iaitu satu Takbiratul Ihram dan tujuh takbir kerana solat ‘Ied. 1 + 7 = 8. Untuk rakaat kedua enam takbir, iaitu satu takbir kerana memulai rakaat kedua dan lima takbir kerana solat ‘Ied. 1 + 5 = 6.

2.        Untuk rakaat pertama tujuh takbir, iaitu satu Takbiratul Ihram dan enam takbir solat ‘Ied. 1 + 6 = 7. Untuk rakaat kedua lima takbir, iaitu satu takbir kerana memulai rakaat kedua dan empat kali takbir solat ‘Ied. 1 + 4 = 5.

Kedua-dua pendapat termasuk dalam kategori perbezaan pendapat yang dibenarkan. Boleh memilih salah satu daripadanya atau yang lebih tepat, mengikuti takbir imam solat ‘Ied dalam pendapat yang dipilihnya.

[47]             Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Total Koreksi Ritual Salat, ms. 395-396.

[48]             Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari, Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya, ms. 61.

[49]             Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Syaikh Sayyid Sabiq (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 2, ms. 286.

[50]             Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 49.

[51]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedaini, Bab Apabila Seseorang Tidak Mendapatkan Solat ‘Ied, Maka Hendaklah Dia Melaksanakan Solat Dua Rakaat.

[52]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedaini, hadis no: 956.

[53]             Hafiz Firdaus: Seolah-olah Ibnu al-Qayyim meragui kualiti sanad hadis tersebut. Yang benar ia adalah dhaif, rujuk keterangan Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari dalam bukunya Meneladani Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya, ms. 72. Bertakbir sempena ‘Ied al-Fithri berhenti dengan terdirinya solat ‘Ied al-Fithri.

[54]             Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 49.

[55]             Dinukil dari kitab 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, karya Syaikh Wahid Abdussalam Bali, ms. 424.

[56]             Ini tidak lain menunjukkan sikap keterbukaan Imam al-Nawawi rahimahullah memandangkan pendapat ini sebenarnya bercanggah dengan pendapat Imam al-Syafi’i rahimahullah yang mengsunnahkan bagi imam memisahkan antara dua khutbahnya dengan duduk ketika solat ‘Ied. Inilah sikap yang sepatutnya kita ambil dalam bermazhab. Sekiranya terdapat hujjah yang lebih kukuh dari pendapat mazhab yang kita pegangi, maka sepatutnya kita meninggalkan pendapat tersebut dan mengikuti al-Qur’an dan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Sebenarnya Imam al-Syafi’i rahimahullah sendiri telah melarang kita untuk taksub terhadap pendapatnya. Menurut beliau:

Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu. (Diriwayatkan oleh Harawi di dalam Dzamm al-Kalam, al-Khatib di dalam Ihtijaj bi al-Syafi’i, Ibnu Asakir, al-Nawawi di dalam al-Majmu’, al-Fullani, Ibnul Qayyim, Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah dan Ibnu Hibban di dalam Shahihnya. Penulis nukil daripada buku Sifat Shalat Nabi karya Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani, ms. 58)

Penulis ingin menganjurkan para pembaca yang budiman untuk mendapatkan sebuah buku bertajuk Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam yang ditulis oleh Hafiz Firdaus Abdullah terbitan Jahabersa.

[57]             Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 975.

[58]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedaini, hadis no: 978.

[59]             Syaikh Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jilid 2, ms. 290.

[60]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedaini, hadis no: 950.

[61]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah juga telah membawa sebuah riwayat dari Hisham yang menyebutkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

يَا أَبَا بَكْر! إِنَّ لِكُلِّ قَوْم عِيدًا وَهَذَا عِيدنَا.

Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya setiap kaum memiliki Hari Raya, dan hari ini adalah Hari Raya kita.

Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ini merupakan alasan baginda untuk membiarkan kedua budak perempuan tersebut tetap menyanyi. (al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms. 260)

[62]             Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedaini, hadis no: 949.

[63]             Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms 262.

Hafiz Firdaus: Oleh itu kebiasaan masyarakat kita dalam berhari Raya seperti bersalaman dengan orang tua sambil meminta maaf, saling mengucapkan “Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin”, menjamu rendang, lemang, ketupat dan kuih-muih serta melanjutkan sambutan Hari Raya sehingga genap sebulan adalah sesuatu yang dibolehkan. Ia tidak menyalahi syari’at mahu pun sunnah selagi mana dalam kebiasaan tersebut tidak dilakukan sesuatu yang mungkar atau ibadah yang bid’ah.

 

kandungan