Di Mana Allah
MOHD HAIRI NONCHI

 


Artikel # 1

Benarkah Ahl al-Sunnah Menghukum Bid’ah  Dan Kafir al-Imam al-Nawawi, Ibn Hazm, Ibn Hajar al-’Asqalani, al-Baihaqi Dan Para Tokoh al-Asya’irah Lainnya?

 

Telah tersebar fitnah menerusi pelbagai media daripada kelompok Ahl al-Bid’ah yang menyatakan bahawa kononnya Ahl al-Sunnah telah menghukum bid’ah dan kafir sebahagian besar para tokoh umat Islam seperti al-Imam al-Nawawi rahimahullah, Ibn Hazm rahimahullah, Ibn Hajar al-’Asqalani rahimahullah dan al-Imam al-Baihaqi rahimahullah serta selain mereka yang terlibat di dalam mentakwilkan nas-nas al-Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Untuk kita menilai sejauh manakah kebenaran fitnah ini, berikut akan penulis nukilkan beberapa keterangan daripada para ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang kebetulan juga merupakan antara mangsa fitnah para Ahl al-Bid’ah bahawa mereka ialah antara tokoh yang telah menghukum kafir para ulamak Islam di atas.

Sebelum itu izinkan penulis menukilkan pernyataan Syaikh ‘Abdul Muhsin al-‘Abbad al-Badr, iaitu salah seorang tokoh Ahl al-Sunnah semasa bagi menjelaskan sikap yang sepatutnya diambil oleh setiap individu di dalam berinteraksi dengan para ulamak Islam, khususnya mereka yang terlibat dengan kesalahan-kesalahan tertentu baik yang melibatkan persoalan akidah mahupun selainnya. Ini termasuklah para tokoh yang telah disebutkan di atas. Beliau menjelaskan di dalam kitabnya, Rifqan Ahlas Sunnah bi Ahlis Sunnah:[1]

Tidak ada seorang pun yang maksum (terpelihara) dari kesalahan selain Rasulullah dan tidak ada seorang ulamak pun yang tidak lepas dari kesalahan. Siapa yang salah tidak boleh diikuti kesalahannya. Namun, kesalahannya tersebut tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk mencelanya dan menjauhkannya daripada orang lain darinya. Tetapi kesalahannya yang sedikit tertutup dengan kebenarannya yang banyak.

Dan siapa sahaja di antara ulamak tersebut sudah wafat, maka dianjurkan untuk mengambil faedah dari ilmu mereka. Bersamaan dengan itu, perlu berhati-hati agar tidak mengikuti kesalahan-kesalahannya serta tidak lupa mendoakannya semoga Allah mengampuni dan merahmatinya.

Siapa sahaja yang masih hidup, baik dia seorang ulamak atau sebagai penuntut ilmu, maka dia perlu diberitahu tentang kesalahannya dengan ramah dan lemah-lembut serta menginginkan bagaimana dia boleh terlepas dari kesalahan tersebut dan kembali kepada kebenaran.

Ulamak-ulamak dahulu juga memiliki beberapa kekeliruan dalam sejumlah masalah akidah. Namun, para ulamak dan penuntut ilmu tetap merasa perlu terhadap ilmu mereka. Bahkan, buku-buku karangan mereka tetap menjadi rujukan-rujukan yang amat penting bagi orang-orang yang aktif menggali ilmu syar’i seperti al-Imam al-Baihaqi, al-Imam al-Nawawi dan (al-Hafiz) Ibn Hajar al-Asqalani.

Selanjutnya mari kita saksikan pula kenyataan para ulamak mengenai kedudukan para tokoh Islam yang didakwa oleh Ahl al-Bid’ah telah dihukum kafir oleh para ulamak Ahl al-Sunnah, antaranya ialah:

 

1 - Syaikh Shalih bin Fauzan Abdillah al-Fauzan.

Syaikh Shalih bin Fauzan Abdillah al-Fauzan hafizhahullah berkata ketika ditanya mengenai sikap sebahagian pihak yang gemar menghukum kafir para tokoh Islam khususnya al-Imam al-Nawawi, Ibn Hajar dan selainnnya: [2]

Ulamak-ulamak tersebut memiliki keutamaan, ilmu yang banyak, manfaat kepada manusia serta kesungguhan dalam menjaga sunnah dan menyebarkannya serta mereka memiliki karya-karya besar yang menutupi kesalahan-kesalahan mereka, rahimahullah.

Kita nasihatkan kepada para penuntut ilmu agar tidak disibukkan dengan perkara-perkara ini kerana hal tersebut akan menghalanginya untuk mendapatkan ilmu, dan seseorang yang mencari-cari permasalahan ini pada diri ulamak maka akan menghambatnya untuk menuntut ilmu kerana mereka disibukkan dengan fitnah dan menyukai perselisihan di antara manusia maka kami nasihatkan untuk semua supaya menuntut ilmu dan bersemangat untuk mencarinya serta berpaling dari perkara-perkara yang tidak ada manfaatnya.

al-Imam al-Nawawi, Ibn Hazm, Ibn Hajar, asy-Syaukani dan al-Baihaqi mereka adalah para ulamak senior dan tempat kepercayaan di kalangan ulamak, mereka memiliki karya-karya besar dan rujukan-rujukan Islam – yang dijadikan rujukan oleh kaum Muslimin – sehingga hal tersebut menutupi kesalahan dan kegelinciran mereka.

Namun kamu (wahai para pencela –pen), apa yang kamu punyai? Wahai orang yang mencari-cari dan memata-matai kesalahan-kesalahan Ibn Hajar, Ibn Hazm dan selain keduanya, manfaat apa yang telah engkau berikan kepada kaum Muslimin dengannya? Apa ilmu yang dapat kamu kumpulkan?! Apakah engkau berilmu seperti Ibn Hajar dan al-Nawawi?! Apakah engkau telah mempersembahkan bagi kaum Muslimin sebagaimana yang telah dilakukan oleh Ibn Hajar dan al-Baihaqi?

Subhanallah !!! semoga Allah merahmati seseorang yang mengetahui siapa dirinya, sedikitnya ilmu dan wara’mu menyebabkan engkau lantang berbicara.

 

2 -  Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah (728H).

Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkenaan para tokoh Islam, termasuk mereka yang beraliran al-’Asya’irah: [3]

Tidak ada seorang pun dari mereka, kecuali telah terbukti pembelaannya terhadap Islam. Mereka telah melakukan pelbagai usaha yang terpuji dan kebajikan. Mereka aktif dalam membendung gerakan orang-orang atheis (Ahl al-Ilhad) dan Ahl al-Bid’ah. Pada waktu yang sama, mereka banyak membantu Ahl al-Sunnah dan agama ini (Islam). Usaha mereka terkenal dan tidak ada kesamaran di dalamnya. Khususnya bagi orang yang mengenal baik keadaan mereka dan menceritakan biografi mereka berkenaan ilmu, kejujuran, keadilan dan wawasan tinggi (yang mereka miliki).

Namun sayangnya, ketika prinsip-prinsip dasar agama yang asli menjadi kabur dan samar, yang pada awalnya diakibatkan oleh pemikiran aliran Muktazilah dengan tokoh-tokoh mereka dikenal sangat rasionalis (mengunggulkan akal), maka prinsip-prinsip tersebut diabaikan oleh mereka.

Akibatnya, timbul banyak pemikiran yang ditolak oleh para ulamak dan tokoh agama dari kaum muslimin. Akibat lanjutnya, kaum muslimin terbahagi kepada dua kelompok: Sebahagian ada yang mengagung-agungkan mereka kerana memiliki beberapa kebaikan dan keunggulan. Sebahagian lagi ada yang mencela dan menjatuhkan mereka kerana di antara pemikiran mereka ada termasuk dalam kategori bid’ah dan batil. Padahal sebaik-baik urusan adalah di pertengahan. Hal ini tidak hanya terjadi kepada mereka sahaja, bahkan menimpa sebahagian ahli ilmu dan agama. Namun demikian, Allah Ta’ala tetap akan menerima kebaikan-kebaikan dari hamba-hamba-Nya dan akan memberi maaf atas keburukan-keburukan mereka. Firman-Nya:

Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.[4]

Kita tidak perlu ragu bahawa sesiapa yang berijtihad untuk mencari kebenaran dalam agama dari jalur Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu kemudian dia melakukan kesilapan pada sebahagian ijtihadnya, Allah pasti akan mengampuni kesilapannya.[5] Ini sebagai bukti penerimaan doa yang dijanji untuk diterima-Nya bagi Nabi dan orang-orang mukmin, ketika mereka berdoa:

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau silap. [6]

Sesiapa yang mengikuti prasangka dan hawa nafsunya, lalu dia memburuk-burukkan orang yang berijtihad tetapi tersilap, padahal yang berijtihad itu memandangnya benar, maka ia (tindakan memburuk-burukkan tersebut) adalah satu bid’ah (yang jelas) menyalahi sunnah. Sepatutnya dia (orang yang memburuk-burukkan) membandingkan hal ini, sama ada terhadap kes yang lebih besar atau lebih kecil kepada seseorang yang diagung-agungkan olehnya dari kalangan kelompoknya sendiri (pasti dia akan menemui berlaku kesilapan dalam sebahagian ijtihad, namun tidak pula diburuk-burukkan mujtahid tersebut kerana berada dalam kelompok yang sama).

Ini kerana sedikit sekali para ulamak mutakhir yang selamat dari masalah-masalah sedemikian (tersilap dalam ijtihad) disebabkan oleh banyaknya hal-hal yang samar dan jauhnya manusia dari cahaya al-Nubuwah dan naungan risalah, yang dengannya dapat diperoleh kebenaran dan petunjuk. Selain itu dengan cahaya al-Nubuwah pula, perasaan ragu dari hati akan hilang.

Syaikh al-Islam juga turut memperingati kaum Muslimin agar tidak bermudah-mudahan di dalam menjatuhkan hukum kafir (takfir) ke atas orang lain. Hal ini diperingatkan oleh beliau di dalam kitabnya, al-Majmu’ al-Fatawa:[7]

Adapun takfir (menganggap kafir), ini termasuk ancaman yang keras. Memang barangkali seseorang melakukan perbuatan kufur, tetapi pelakunya boleh jadi baru masuk Islam, atau hidup di perkampungan yang jauh dari agama. Maka orang seperti ini tidak dapat dikafirkan sehingga tegak hujah ke atasnya. Atau boleh jadi orang tersebut belum mendengar nas-nas (penjelasan daripada al-Qur’an dan al-Hadis), atau (sudah pun) mendengarnya tetapi masih keliru, maka (orang) seperti ini sama seperti yang di atas (iaitu diberi kemaafan), sekalipun dia salah.

 

3 - Syaikh Muhammad bin Shalih al-’Utsaimin (1421H).

Syaikh Muhammad bin Shalih al-’Utsaimin rahimahullah (1421H) ketika ditanya tentang tindakan sebahagian pihak yang menghukum bid’ah al-Imam al-Nawawi rahimahullah dan al-Imam Ibn Hajar al-’Asqalani rahimahullah menjawab: [8]

Sesungguhnya al-Imam al-Nawawi dan al-Imam Ibn Hajar adalah dua ulamak yang benar dan berjasa besar kepada umat Islam. Jika mereka pernah melakukan kesalahan dalam mentakwilkan teks-teks, maka hal itu tidak boleh mengabaikan keunggulan-keunggulan yang ada pada kedua-duanya. Kita tidak boleh menganggap bahawa pendapat mereka tidak berdasarkan ijtihad yang serius atau dengan takwil yang sebarangan meskipun dalam pendapat keduanya terkadang ada kesalahan, semoga Allah mengampuni keduanya.

Untuk itulah apa yang telah mereka berikan (berupa ilmu yang tertuang dalam hasil karya), memang terdapat kegunaan dan kita harus mengakuinya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (bermaksud):

Sesungguhnya amal yang baik dapat menghilangkan amal yang jahat. [Surah Hud: 114]

Apa yang kita lihat bahawasanya mereka berdua termasuk Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, terbukti dengan cara mereka mengamalkan sunnah Rasul serta merealisasikan apa yang ada dalam sunnah tersebut. Akan tetapi mereka berdua berbeza dalam ayat-ayat sifat, hadis-hadisnya atau sebahagian lain tentang kebaikan Ahl al-Sunnah, maka kita mohon kepada Allah agar mereka tetap bermuamalah dengan keampunan-Nya.

 

4 - Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (1420H).

Tidak ketinggalan dalam memberi komentar terhadap kedudukan para tokoh yang mentakwilkan nas-nas al-Sifat di atas ialah Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah di mana beliau menyebut: [9]

Saya ingin menyebutkan sebuah hakikat yang tidak diperselisihkan dan saya ingin menambahkan sesuatu yang tidak difikirkan oleh para pemuda pada masa kini, iaitu sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam banyak hadisnya (yang bermaksud): Sesiapa yang mengkafirkan seorang Muslim, maka dia telah kafir. Ini hakikat yang tidak diragukan lagi dan diketahui rinciannya dalam hadis ini.

Dalam sebahagian riwayat lain (disebut) bahawa jika orang yang dia kafirkan itu adalah seorang kafir, maka dia telah melakukan hal yang benar. Jika tidak, tuduhan itu kembali kepada dirinya (orang yang menuduh kafir itu sendiri). Ini tidak perlu untuk dibahas lagi kerana hadis ini jelas.

Akan tetapi saya ingin menjelaskan sebuah tambahan. Maka saya katakan, siapa yang menuduh seorang Muslim sebagai Ahl al-Bid’ah, boleh jadi Muslim itu Ahl al-Bid’ah. Akan tetapi jika tidak, penuduh itu sendiri yang (menjadi) Ahl al-Bid’ah. Ini adalah realiti yang saya sebutkan tadi. Sesungguhnya para pemuda kita membid’ahkan para ulamak, namun mereka itulah (para pemuda) yang terjatuh dalam bid’ah. Akan tetapi mereka tidak mengetahui dan tidak berniat untuk melakukan bid’ah, hanya saja mereka terjerumus ke dalamnya.

Oleh kerana itu kami menasihati para pemuda untuk berpegang teguh dengan mengamalkan al-Qur’an dan al-Sunnah sesuai dengan pengetahuan mereka dan tidak menuduh orang lain dimana mereka tidak memiliki ilmu, kefahaman dan bahkan kemaslahatan. Seperti al-Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani. Kita katakan, berikanlah kami hari ini di dunia Islam orang-orang seperti mereka (sudah tentu tidak ada lagi yang seperti mereka). Tinggalkanlah Sayyid Quthb, orang ini telah dimuliakan oleh jihadnya. Akan tetapi hal ini tidak mengubah dia dari seorang penulis dan sasterawan, tapi dia bukan seorang ulamak. Maka tidak perlu hairan jika ada yang keluar dari diri beliau hal-hal yang menyalahi manhaj yang benar.

Ada pun orang-orang yang disebut bersamanya seperti al-Imam al-Nawawi, al-Imam Ibn Hajar al-’Asqalani dan selainnya, Demi Allah! Merupakan satu kezaliman jika mengatakan mereka sebagai Ahl al-Bid’ah. Saya tahu bahawa mereka mengikut mazhab al-’Asya’irah akan tetapi mereka tidak berniat menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka mengikut kerana dua sebab:

Pertama, bahawa (Abu al-Hasan) al-Asya’ari mengatakan hal itu, padahal dia mengatakan hal itu pada masa awalnya dan sesudah itu dia menariknya kembali. Kedua, mereka menduganya benar padahal tidak.

 

5 - Abd Allah al-Ghunaiman.

Ketika ditanya: Bagaimana sikap kita terhadap para ulamak yang mengucapkan perkataan bid’ah atau kesalahan yang batil secara jelas?, ‘Abd Allah al-Ghunaiman menjawab:[10]

Kesalahan sebahagian ulamak, sama seperti ketika mengkritik al-Imam Ibn Hajar al-’Asqalani, al-Imam al-Nawawi, al-Imam al-Baihaqi dan lainnya, juga yang lebih terdahulu daripada mereka seperti al-Imam al-Khatthabi; sedikit kita dapati dari kalangan ulamak yang memiliki perjuangan dan buku-bukunya yang tersebar luas lalu tidak ditemui dalamnya kesalahan.

Sebahagian mereka mengatakan lebih dari ini, bahawa mereka adalah para mujtahid yang meniatkan kebenaran, mereka tidak inginkan kebatilan dan tidak meniatkan hal itu. Akan tetapi mereka tidak tiba kepada kebenaran, maka mereka jatuh dalam kesalahan sesudah berijtihad.

Tidak boleh mencela mereka kerana hal itu. Kita tidak boleh meninggalkan buku-buku mereka dan (meninggalkan daripada) mengambil pelajaran darinya, apatah lagi menganggap mereka sesat atau kafir. Menganggap mereka sesat atau mengkafirkan mereka adalah sebuah kesesatan. Seperti yang kami katakan sebelumnya, sesungguhnya mereka itu dimaafkan. Tidak boleh menganggap mereka sesat semata-mata kerana mereka terjatuh dalam kesalahan. Pendapat-pendapat dan buku-buku mereka tidak boleh ditinggalkan kerana sangat sedikit orang yang selamat daripada kesalahan.

Terdapat perbezaan antara orang yang berijtihad lalu jatuh dalam kesalahan dengan orang yang meniatkan kesalahan itu sendiri dan dia mengetahui bahawa dia terjatuh dalam kesalahan. Hukumnya berbeza dengan hukum orang yang berijtihad lalu dia jatuh dalam kesalahan.

 

6 - Muhammad ‘Id al-Abbasi

Terhadap soalan yang sama, Muhammad ‘Id al-Abbasi berkata: [11]

Yang berkaitan dengan mereka dan segolongannya, kita harus hukumi mereka dengan penilaian yang baik serta memisahkan antara kesalahan dan kebenaran mereka. Kita ambil yang baik dari mereka dan kita tinggalkan kesalahan mereka. Tidak diragukan lagi bahawa kita tidak boleh menghukum mereka dengan satu hukum, misalnya al-Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani dimana hukum keduanya tidak sama dengan Sayyid Qutbh, semoga Allah merahmati mereka semua.

 Tidak diragukan lagi bahawa al-Hafiz Ibn Hajar dan al-Imam al-Nawawi adalah dua orang alim besar yang berijtihad dan merupakan imam bagi kaum muslimin, mereka memiliki banyak ilmu dan prinsip-prinsip yang benar lagi diterima. Jika terdapat kesalahan dari mereka, maka mereka dimaafkan dan mereka tidak keluar dari golongan yang selamat (al-Firqah al-Najiyah), insya-Allah.

Boleh jadi ada yang berkata:  al-Imam al-Nawawi dan al- Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani memiliki pemikiran al-Asya’irah. Kita jawab: Betul, pemikiran ini ditemui dalam tulisan-tulisan mereka. Kedua, bahawa manhaj al-Salaf lebih utama daripada al-Asya’irah. Akan tetapi prinsip yang mereka pegang semuanya benar secara umum. Keduanya terpengaruh dengan pemikiran pada masanya dan pemikiran-pemikiran al-Asya’irah dalam masalah-masalah aqidah. Akan tetapi kedua-duanya adalah Imam, maka kesalahannya itu kita maafkan. Mereka adalah para ulamak pembawa petunjuk insya-Allah.

Berdasarkan kepada pernyataan para ulamak Ahl al-Sunnah di atas maka nyatalah kepada kita bahawa dakwaan Ahl al-Bid’ah selama ini kononnya para tokoh Ahl al-Sunnah telah menghukum bid’ah dan kafir para ilmuan Islam di atas hanyalah merupakan satu fitnah semata-mata. Ternyata, fitnah ini sengaja diada-adakan bagi memburukkan dakwah al-Salafiyah yang sememangnya amat dibenci oleh para penegak akidah dan amalan bid’ah.

 

 

 


[1] Lihat Rifqan Ahlas Sunnah bi Ahlis Sunnah karya Syaikh ‘Abdul Muhsin al-‘Abbad al-Badr, ms. 49.

[2] Lihat al-Ajwibah al-Mufidah ‘an As’ilati Manahij al-Jadidah karya Syaikh Shalih bin Fauzan bin Abdillah al-Fauzan, ms. 232-234.

[3] Lihat Dar’u Ta’arudh al-‘Aql wa al-Naql; jld. 2, ms. 102-103; dalam  Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah karya Hafiz Firdaus Abdullah, ms. 145.

[4] Surah al-Hasyr, ayat 10.

[5] Dalam hal ini terdapat sebuah hadis yang menyebut bahawa para ulamak yang apabila tersilap dalam mengeluarkan sesuatu ijtihad, mereka tetap akan beroleh pahala di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hadis yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَاحَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ.

Apabila seorang hakim (mujtahid) menghukum lalu dia berijtihad  kemudian (ijtihadnya itu) menepati kebenaran maka baginya (ganjaran) dua  pahala. Sementara apabila dia menghukum lalu dia berijtihad kemudian salah, maka baginya (ganjaran) satu pahala. [Hadis riwayat al-Bukhari (no.7352).

Walau bagaimanapun, ramai pihak yang telah tersalah faham terhadap hadis ini sehingga yang demikian mereka berpendapat bahawa diperbolehkan mengikuti apa jua hasil ijtihad ulamak sekalipun telah jelas ia adalah sesuatu yang menyelisihi ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.  Malah lebih jauh dari itu mereka juga mendakwa bahawa seseorang yang mengikuti kesilapan seseorang ulamak, dia juga pasti akan dikurniakan keampunan dan pahala di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana halnya ulamak yang dijadikannya sebagai sumber ikutan itu.

Sebenarnya pandangan ini adalah tidak tepat. Ini kerana:

1) Keistimewaan untuk meraih pahala dan pengampunan dari dosa yang disebabkan kesilapan atau kekeliruan dalam mengeluarkan sesuatu ijtihad sebagaimana yang diterangkan dalam hadis di atas hanyalah ditujukan khusus kepada para mujtahid sahaja, mereka yang sememangnya memiliki keupayaan tertentu bagi melayakkan mereka mengeluarkan sesuatu ijtihad di dalam urusan agama. Adapun selain mereka tidaklah termasuk di dalam perbincangan hadis di atas.

2)    Amatlah menjauhi kebenaran apabila dikatakan bahawa Allah dan Rasul-Nya redha apabila ada di kalangan umat Islam yang sengaja mengikuti sesuatu kesalahan ulamak sedangkan telah jelas baginya bahawa ia adalah sesuatu  yang bercanggah dengan petunjuk yang di bawa oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

Ingin penulis menambah, sikap bertaklid membuta tuli sehingga membenarkan apa sahaja ijtihad dan pandangan para ulamak sebagaimana yang menjadi budaya atau amalan sebahagian umat Islam adalah bertolak belakang dengan prinsip ittiba’ yang cuba dianjurkan dan diterapkan oleh para ulamak mujtahid itu sendiri. Tidak ada seorang jua dalam kalangan para ulamak mujtahid ini melainkan semuanya menyeru agar setiap umat Islam sentiasa berpegang teguh kepada petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Pada masa yang sama, mereka juga menyeru agar umat Islam meninggalkan apa jua hasil ijtihad atau pandangan mereka apabila telah terbukti bahawa ianya adalah sesuatu yang bercanggah dengan kedua-dua sumber wahyu tersebut.

Sangatlah menghairankan penulis apabila ada sebahagian kelompok umat Islam termasuk dalam kalangan agamawan sendiri yang membuat kesimpulan bahawa hadis di atas membolehkan untuk sesiapa menerima apa jua hasil ijtihad atau pandangan para ulamak, sekalipun jelas sebahagian hasil ijtihad atau pandangan itu tidak memiliki sebarang sandaran dalil yang benar lagi tepat di sisi syari’at agama.

[6] Surah al-Baqarah, ayat 286.

[7] Lihat al-Majmu’ al-Fatawa, jld. 3, ms. 229; dalam Membela Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah karya Abu Ubaidah as-Sidawi, ms. 57-58.

[8] Lihat Kitab al-‘Ilm susunan Fahad bin Nasir bin Ibrahim, ms. 177-178; dalam Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah karya Hafiz Firdaus Abdullah, ms. 149-150.

[9] Lihat Muzil al-Libas fi al-Ahkam ‘ala al-Nas susunan Sa’id bin Shabir ‘Abd Allah, ms. 268-269; dalam Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah Jamaah karya Hafiz Firdaus Abdullah, ms. 150-151.

[10] Lihat Muzil al-Libas fi al-Ahkam ‘ala al-Nas susunan Sa’id bin Shabir ‘Abd Allah, ms. 252; dalam Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah Jamaah karya Hafiz Firdaus Abdullah, ms. 152-153.

[11] Lihat Muzil al-Libas fi al-Ahkam ‘ala al-Nas susunan Sa’id bin Shabir ‘Abd Allah, ms. 252-253; dalam Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah Jamaah karya Hafiz Firdaus Abdullah, ms. 153-154.